Ketika
aku di Upper Six, cabaran belajar semakin terasa berat. Aku perlu mengulang
semula nota Lower Six, dan dalam masa yang sama mengejar silibus Upper Six yang
makin mencabar. Rasanya seolah-olah aku kembali ke zaman universiti—mengimbau
kenangan ketika menuntut di ITM dahulu. Namun, aku bersyukur kerana memiliki
kumpulan belajar yang semuanya lelaki. Kadang-kadang ahli kumpulan bertukar,
tetapi itulah yang membuatkan perbincangan kami dipenuhi pelbagai idea, masing-masing
ada cara tersendiri menjawab soalan. Antara yang paling rapat ialah Meor Shahrom (kini
wartawan TV3) dan Azman, rakan dari Kuala Kangsar yang sering menceriakan suasana
bila kami mula bosan. Seorang lagi aku sudah tidak ingat namanya. Kesemua
mereka berasal dari Perak.
Kesibukan
bersama kumpulan belajar membuatkan aku hampir terlupa bahawa ada seorang
pelajar perempuan baharu yang masuk ke kelas kami, 6 Atas 3 Syariah. Dia
menyertai jejak rakan-rakannya yang “melompat” ke Upper Six untuk menamatkan
STPM lebih awal. Di sekolah swasta, perkara begitu tidak menjadi masalah—tidak
wajib melalui Lower Six dahulu. Asalkan boleh mengejar subjek yang dilepasi sewaktu di Lower Six. Dari rakan-rakan, aku mula mengenalinya:
namanya FKA, berasal dari Padang Tengku, Kuala Lipis, Pahang. Katanya, dia anak
kepada seorang anggota polis di sana.
Sebenarnya
aku pernah terlihat dan perasan akan dirinya sewaktu di Tingkatan 5 pada tahun 1988 dulu.
Dia bertudung labuh—dan aku memang mudah tertarik pada pelajar bertudung labuh,
apatah lagi yang mengenakan warna hitam. Mungkin kerana kenangan zaman remaja,
atau nostalgia ketika aku pernah bersama jemaah Al-Arqam sekitar 1985–1986. Aku tidak begitu mengikuti dirinya kerana fokus kepada tahun akhir STPM.
Hampir
setahun aku di 6 Atas, aku sendiri tidak pasti sejak bila aku mula dikaitkan
dengan F, rakan sekelasku itu. Rakan-rakan rapat mula bertanya, “Enta dengan F
ada apa-apa ke?” Sedangkan aku langsung tidak pernah mempunyai apa-apa hubungan
dengannya. Semuanya berlaku tanpa dirancang, tetapi mungkin kerana cara mereka
melihat dari luar, mereka mula membuat andaian sendiri. Aku akui beberapa
perkara memang berlaku di hadapan mata mereka, jadi tidak hairanlah jika mereka
mula meneka.
F
sebenarnya meminati perkembangan jemaah Al-Arqam. Dia selalu bertanya dan merujuk kepadaku
tentang kumpulan itu. Kebetulan aku pernah terlibat, jadi sedikit sebanyak aku
tahu. Namun, walaupun aku masih mempunyai ramai kenalan dalam jemaah tersebut, aku
tidak mahu terlalu dikaitkan dengannya. Pengalaman bergaul dengan pelbagai
kelompok Islam membuatkan aku lebih terbuka—bagiku semuanya kembali kepada niat
menegakkan Islam, asalkan tidak saling dengki-mendengki.
Pada
masa lapang, rakan kenalanku R dari Batu Kikir, Negeri Sembilan—pelajar
Universiti Malaya (1988-1990) ketika itu—sering mengajakku menghadiri usrah dan
kuliah fardu ain anjuran Al-Arqam di Jalan Universiti. Di situlah aku sering
terserempak dengan F. Aku pernah memberitahu R bahawa F berminat dengan jemaah al-Arqam
dan selalu bertanya kepadaku. Pada mulanya aku menganggapnya hanya pertanyaan
biasa, seperti rakan-rakan lain juga. Tetapi kerana kami semakin kerap bertukar
pandangan, dan beberapa rakan mula perasan, akhirnya aku mula dikaitkan
dengannya.
Itulah
permulaannya. Dari situ, rakan-rakan lain mula melihat kami dengan penuh tanda
tanya. MS dan A pula sering mengusik, “Kenapa enta tak cuba jadikan F istimewa?”
MasyaAllah, aku tidak pernah berniat belajar di situ sambil memikat anak dara
orang. Tetapi bila sering sangat diusik, lama-lama hati mula terusik juga.
No comments:
Post a Comment
Aku sangat berterima kasih kerana anda sudi memberi komen dalam blog aku ini namun aku perlu memberi izin dahulu sebelum ianya kupaparkan.