30 April 2009

Yang Bertakhta Akhirnya..M.Nasir

Kita tak lagi sehaluan

Bukan sebagai yang diimpikan
Rupanya di saat-saat yang genting ini
Terjawab jua persoalan

Dan kita terpaksa memilih
Jalan yang telah ditentukan
Dan kita sama-sama dewasa menghadapinya

Kesan cinta membakar, menghempas, mencabar
Keteguhan hati dalam nostalgia
Cinta membakar, menghempas, mencabar
Dan harus ditelan walaupun pahit

Tidaklah kita yang berkata
Cinta tak mesti bersatu
Apa benarkah itu
Atau kata-kata yang tak bermakna

Dan mereka jua berkata
Tiada yang lebih pedih
Tiada yang lebih menyiksa
Dari cinta yang tak sampai

Dan akhirnya cinta jua yang bertakhta
Menyuluh dalam kegelapan
Dan akhirnya cinta jua yang bertakhta
Menyatukan kita dari terpisah
Oleh cinta palsu


lagu ini dinyanyikan oleh M.Nasir...satu waktu dulu lagu-lagunya terkesan juga..

28 April 2009

Badai Semalam...retro 1982

Satu lagi novel yang menjadi bacaan harian waktu aku bergelar remaja sekitar tahun 1982 sebelum melangkahkan kaki ke ITM. Ketika itu aku dapat membayangkan watak utama si Mazni itu orangnya bagaimana. Tinggi lampai, berambut lurus mencecah bahu, berkulit kuning langsat, muka bujur sireh, mata yang kecil redup dan alis yang halus lentik. Fuuhhh...detail. Mulalah ketika itu cuba mengabadikan si manis yang tabah itu di atas kertas lukisan. Tapi watak Zaki rakan Mazni itu lebih memikatku. Dan aku dapat rasakan wataknya ada persamaan dengan diriku.. hehehehee...perasan. Memang watak Zaki tu banyak terperasan. Tapi kesian dia. Terperangkap dengan sifatnya yang lebih banyak menyimpan rasa. Aku kah itu.

Rehlah Minda

Sempat mengikuti novel ini setiap sirinya waktu disiarkan di Utusan Malaysia dulu tahun 2005.Mmmmm...Faisal Tehrani termasuk dalam individu genius lingkungan karyanya.Pasti ada kejutan dalam novel yang terhasil.Karya orientasi islamik sudah mula mendapat perhatian pengemarnya.Selepas itu banyak lagi novelis yang lahir membawa mesej islam dan persoalan agama.Moga-moga terlahir nanti Habiburahman el-Shirazy versi Malaysia.

25 April 2009

Syukur kepada Mu

Peringkat awal aku memulakan tugas sebagai Penolong Pendaftar agak kekok juga.Rakan-rakan sejawatan terdiri dari lepasan KUSZA dan Institut Tahfiz di Pusat Islam, Kuala Lumpur.Sedangkan aku hanya lulusan STPM Syariah.Namun aku bangga kerana rakan-rakan juga yang agak sebaya tidak meninggikan diri.Aku tidak menerima didikan Islam formal waktu di sekolah menengah.Seingat aku hanya ketika di sekolah rendah aku rajin membaca buku-buku agama (tulisan jawi) dan mengambil matapelajaran Tulisan jawi juga Pendidikan Agama Islam.

Semua atas galakan Ustaz Hassan Basri dan rakan-rakan sebaya ketika itu.Walaupun ketika itu aku bukan Muslim tapi aku turut saja mempelajarinya.Masih juga ingat aku dipuji oleh Ustaz Hasan kerana mendapat markah kedua tertinggi sewaktu di darjah 5 dalam matapelajaran Agama Islam.

Masuk ke sekolah menengah aku tidak lagi meneruskan mempelajari dan mengambil pendidikan Agama Islam kerana waktu itu subjek alternatif seperti pendidikan seni lukisan boleh diganti dengan pendidikan agama Islam bagi pelajar-pelajar bukan Islam.Namun kadang-kadang aku duduk di barisan belakang waktu subjek Agama Islam mencuri-curi dengar Ustaz mengajar.Ketika dilantik sebagai Pustakawan pula aku mengambil peluang mengambil buku-buku berkaitan Islam dan membawa pulang untuk untuk dibaca di rumah.

Itulah kali terakhir aku menerima didikan agama Islam secara formal.Alhamdulillah, semuanya atas kehendak Allah juga.Aku boleh membaca jawi dan menulis.Sikit-sikit ada juga ketika itu menghafal ayat-ayat lazim yang pendek.Keluarga tidak tahu malahan rakan-rakan rapat juga tidak tahu.

Andaikata aku berterusan mengambil subjek Islam (yang kuminat) ketika itu insyaAllah mungkin aku juga boleh mendapatkannya hingga ke peringkat yang lebih tinggi.Cuma setelah bergelar Muslim 23 tahun yang lalu aku berusaha mempelajarinya.Ada juga rakan-rakan sejawatan yang bertanya di mana aku mendapatkan didikan formal.Bekas institusi mana? Persoalan itu  hanya kujawab dengan ringkas...aku lulusan STPM jer.

Aku berterima kasih kepada mereka-mereka yang membantuku meneruskan perdidikan formal dengan mengambil subjek Syariah sewaktu di Yayasan Anda Akademik.Dengan kelulusan STPM.Dengan pengalaman menghadiri kuliah-kuliah agama sebelum mendapatkan didikan formal, aku dapat juga memahami cabang-cabang ilmu dalam Islam yang menjadi asas kepada subjek Syariah.

Namun semua itu atas kehendak Allah SWT juga.Aku hanya alat yang diberi hidayah untuk berusaha mendalami ilmunya.Syukur kepada Mu ,Tuhan.

16 April 2009

sepi...


aku menyusun sepi
di tingkap hati
menjenguk dari dalam diri
mencari sinar yang terang
namun kelam.

pernah menyapa bulan
memanggil bintang
kala langit dingin sambil duduk tafakur
melafaz sepatah syukur
dan terus menjadi begini
sepi...

aku sesat di lautan rahmah
sedang sebutir bintang terang di ufuk serlah
cahaya yang tak pernah pudar
ketuklah hati yang tiada sedar
gundah hati yang tiada hilang
pimpin daku ke puncak cemerlang

sepi...
ajari aku tentang hidupmu
lemaskan daku mengenal lautan makrifahMu
moga kukenal kematian mulia
ampunan Tuhan dengan redha

12 April 2009

Cerpen la pulak...

Aku tidak tahan menahan sebak di dada.Hatiku berbaur kesal.Laman istanaku kutinggalkan sepi.Aku cuba mencari silapku dulu berpunca di mana.Bermula kerana dicabar juga rasa ingin tahu nikmat berada di syurga khayalan itulah puncanya.Mula hanya suka-suka tetapi menjadi ketagih dan semakin parah jika tidak mendapat bahan terlarang itu.Amanah Tuhan telah kuabaikan.Kalaulah aku akur kata-kata Aisyah dan mentaatinya.Isteriku yang baik hati dan melayan karenahku selama itu.Tentu....ahh.     

Aku tiba di laman damai destinasi terakhir.Hening petang itu dengan redup cahaya mentari tersirna di balik awan tebal.Angin semilir Batu Papan tidak lagi sedingin dulu.Masih membenciku agaknya.Aku pulang memujuk hati merindui kalian yang pergi.Sepi tapi dalam hati menangis kesal.Kesal yang tidak berkesudahan.
“Salam atas penghuni kubur,mukminin dan muslimin,engkau telah mendahului kami dan insyaAllah kami akan menyusulmu....”

Di hujung sebelah kanan sana tegak nisan isteriku, Aisyah dan batu-batu nisan kecil sebelahnya tersusun rapi.Mereka menungguku dengan damai.Tiada lagi salam lembut dari Aisyah menyapa seperti selalu tika menyambutku pulang dari kerja.Tiada lagi laungan abah balik dari putera-puteraku.Lenyap sudah rengekan manja puteriku minta didukung kala melihatku setiap petang pulang ke pangkuan.Airmataku bergenang lalu jatuh deras membasahi janggut nipisku.Sebak dan hancur hati tidak tertahan lagi.Hilanglah kini senyuman lesung pipit yang manis dan sepasang mata yang cantik di sebalik kerudung biru seperti selalu.Tersimpan kemas ia dalam kotak fikiranku bersama kenangan lalu. 

Riwayat Bidadari Syurga...Munif Ahmad (Hijjaz)

Penulis: Munif Ahmad
Terbitan: Hijjaz Records Publishing
Edaran: Marketing Dept. HRSB
Tarikh dipasarkan: Januari 2009
Harga Semenanjung: RM25.90
Harga Sabah/Sarawak: RM27.90

Alu-aluan Penulis

بسم الله الرحمن الرحيم

Segala puji bagi Allah, Tuhan semesta alam. Dialah yang Wujud, Kekal, Maha Besar, Maha Berkehendak, Maha Mengetahui, Maha Pengampun dan Penyayang, Maha Pemurah dan Maha Berkuasa ke atas setiap hambaNya. Selawat dan salam buat junjungan besar, Nabi Muhammad saw. Nabi yang telah membawa seluruh umatnya ke jalan keredhaan dan keselamatan. Dia juga merupakan sebaik-baik manusia yang diutuskan Allah di muka bumi ini sebagai ikutan seluruh umat, yang membawa rahmat dan cahaya keberkatan kepada seluruh manusia.

Melalui penulisan pertama saya ini, saya ingin mengajak anda semua menghayati dan menelurusi liku-liku kehidupan dan pengorbanan wanita-wanita serikandi dahulu yang sanggup berkorban dan mempertahankan keimanan mereka terhadap Allah swt sehingga tanpa ragu-ragu sanggup mempertaruhkan nyawa mereka sendiri. Itu semua dilakukan demi meninggikan syiar Islam di muka bumi ini dan mengagungkan agama Allah ini.

Idea penulisan buku ini tercetus dari tugas dan tanggungjawab sebagai composer lagu-lagu nasyid. Bagi yang sering mengikuti perkembangan saya, pasti anda sedar saya banyak menghasilkan lagu-lagu yang bertemakan penceritaan sejarah srikandi Islam, kehebatan wanita-wanita terdahulu memperjuangkan Islam dan kesanggupan mereka untuk mati kerana Islam. Dari inspirasi sebuah lagu, saya terjemahkannya melalui buku ini supaya sedikit sebanyak akan memberi kekuatan dan inspirasi kepada pejuang-pejuang agama dan dorongan untuk kita sentiasa menjadikan wanita-wanita yang hebat ini sebagai ilham dan sumber kekuatan untuk melayari liku-liku kehidupan yang mencabar lewat ini. Betapa tidak? Mereka yang dikatakan kaum yang lemah, mampu berdiri sebaris dengan pahlawan-pahlawan Islam yang jauh lebih gagah tanpa ada rasa gentar walau sedikit pun. Biarpun perjuangan itu menurut kemampuan mereka masing-masing, namun ganjaran yang dijanjikan Allah swt untuk mereka tetap standing dengan apa yang telah dijanjikanNya untuk para syuhada’.

Di samping itu saya sertakan juga lirik-lirik lagu sering berkumandang di radio-radio. Mungkin ada yang tertanya-tanya siapakah Sumayyah? Siapakah Ratu Syahadah? Siapakah Zinirrah? Jadi melalui buku ini, Insyaallah anda akan lebih mengenali para wanita penghuni syurga ini.

Hasil dari bacaan dan rujukan buku-buku, kitab-kitab sejarah lama dan kisah-kisah dari Al-Quran maka mana yang dirasakan sesuai dan menepati kehendak penceritaan maka saya himpunkan. Mudah-mudahan ada kebaikan untuk umat Islam seluruhnya dan untuk diri saya serta keluarga.

Untuk mendapatkan keberkatan di atas usaha-usaha ini sama-samalah kita mengirimkan Surah Al-Fatihah buat srikandi-srikandi ini. Moga-moga kita akan mendapat kekuatan dan kehebatan seperti mereka... Al-Fatihah.

Akhir kalam, apa yang benar datangnya dari Allah swt dan yang tidak benar datangnya dari kelemahan diri saya sendiri. Wassalam.

Hamba yang daif
Munif ahmad @ Putra Aiman
Munifhijjaz@yahoo.com


p/s salah seorang sahabat lama sewaktu di Al-Arqam Sg Penchala.

11 April 2009

Yang tersurat dan tersirat

Penghujung 1992 sewaktu aku sedang meneliti beberapa artikel agama di meja,aku disapa oleh boss bahagian dakwah Ustaz Zakaria Hitam.Ustaz Zakaria mengarahkan aku mengisi borang permohonan kerja di Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan.Katanya Dato' Hj Muhamad minta aku berbuat demikian.Aku tahu mengenai iklan jawatan kosong tersebut melalui akhbar Utusan Malaysia namun apabila memikirkan tanggungjawab setelah dilantik nanti aku jadi tidak berminat.(Cetek fikiran pada masa itu)

Apa yang kutahu jawatan tersebut lagi beberapa hari akan ditutup.Berita tersebut sampai ke telinga Ustaz Jaafar dan beliau juga sambil mengucapkan tahniah dan menasihatkan aku mengisi borang jawatan kosong tersebut.Aku ceritakan hal itu kepada isteriku dan beliau juga turut gembira mendengarnya.Kata mereka kalau Pengarah sendiri yang mengarahkan, maknanya peluang mendapat kerja tetap adalah besar.

Aku termenung.Aku punyai prinsipal dalam Syariah di peringkat STPM.Jawatan yang bersesuaian Penolong Pegawai Hal Ehwal Islam (S 5).Tanggungjawabnya agak besar jugak.Mampukah aku?. Pembantu peribadi Dato' , kak Muhaini juga menggalakan aku memohon kerana Dato' memang mahukan aku diserap ke jawatan tetap.Samada isteri atau aku.Dengan dorongan ramai rakan-rakan seunit aku pun bersetuju dan mengisi borang permohonan.Kebetulan kak Muhaini yang menguruskan pengumpulan borang-borang permohonan tersebut , aku jadi bertambah yakin.

Walaupun begitu aku bermohon doa kepada Allah agar permohonan ku berjaya.Sekurang-kurangnya aku mendapat kerja tetap.Lebih terjamin untuk kehidupan aku, isteri dan anak yang baru lahir.Alhamdullilah awal Januari 1993 surat panggilan temuduga menyusul.Apa yang kudengar itu hanyalah syarat saja kerana Dato' Pengarah memang mahukan aku dilantik ke jawatan tetap.

Temuduga yang kulalui pun mudah, panel-panelnya adalah terdiri dari ustaz-ustaz di Jabatan Kehakiman Syariah N.Sembilan dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam N.Sembilan yang memang kukenal.Namun begitu aku tidak mengambil mudah , aku perlu tunjukkan kesungguhan untuk dilantik ke jawatan kerajaan.Alhamdulillah segalanya berjalan lancar.

Mungkin inilah yang dikatakan rezeki anak.Yang tersurat dan tersirat.1/3/1993 aku dilantik ke jawatan kerajaan sebagai Penolong Pegawai Hal Ehwal Agama Islam.Aku diarahkan melapurkan diri ke Jabatan Kehakiman Syariah N.Sembilan sebagai Penolong Pendaftar.Inilah jawatan yang kusandang sehingga ke saat entry ini ditulis.

Saat bersendirian aku termenung, mengingatkan masa lampau yang berlalu.Hidayah dan pertolongan Allah tidak pernah terduga hingga ke ketika ini.Tidak mempunyai asas agama yang dalam satu waktu dulu tidak mematahkan semangat mengejar ilmu-ilmu Allah itu di masa remaja.Kata-kata guruku. "Jika awak datang kepada Allah dengan berjalan ,Allah akan datang kepada awak dengan berlari " sungguh mendalam dan benar sekali.Allah Maha Penyayang,Dia memberi hidayah dan pertolongan kepada siapa yang Dia kehendaki.

Saat susah senang, tauhidku akan tetap kupertahankan kerana aku tahu Allah tidak akan mensia-siakanku setelah pintu hati kecilku diketuk hidayah.SubhanaAllah wa lillahilhamd.

Kembali menulis.

 Kembali menulis. Dalam usia yang telah mencecah 58 tahun, banyak nostalgia tidak lagi diingati dengan jelas dan tepat. Minat menulis masih ...