28 April 2017

Minggu Orientasi

 Aku tidak banyak mengingati minggu orientasi.Mungkin kerana tidak ada perkara serious berlaku semasa tempoh itu.Tidak ketara perkara yang kami risaukan sebagai freshies seperti budaya ragging yang selalu didengar berlaku di pusat pengajian tinggi.Memang sekitar tahun 1980’an selalu juga terbaca budaya itu bercambah bebas di pusat pengajian tinggi.Tapi kenyataannya ketika itu, aku dan pelajar  baru tidak pun melalui detik-detik cemas seperti yang dirisaukan.Walaupun terdapat insiden penderaan tetapi ia tidaklah begitu ketara sangat.

          Minggu orientasi memang memenatkan.Aku dan rakan-rakan non muslim ditempatkan di asrama Perindu untuk sementara selama seminggu. Penginapan sementara minggu orientasi. Aku, Sariman, Meng Kee dan James masih lagi sebilik.

Selepas sarapan kami berkumpul di hadapan bangunan Menara, sebuah lapangan luas beralaskan simen.Biasanya itulah tempat berkumpul pelajar-pelajar baru.Kami dibahagikan kepada beberapa kumpulan kecil.Aku terpisah dengan rakan-rakan yang lain.Dengan pakaian batik biru tua bercorak ITM berlengan panjang.Nampak kelakar kerana jenis kain itu agak kasar dan tidak boleh diseterika.

Pelajar-pelajar baru dibawa mengelilingi kampus induk, sambil senior lelaki menunjukkan beberapa lokasi dan menerangkan nama-nama tempat tersebut.Kami berbaris seperti askar pelatih yang baru melaporkan diri.Sekejap berlari dan sekejap berjalan.Apabila berselisih dengan barisan pelajar perempuan kami diminta  tundukkan kepala dan jangan memandang kepada barisan pelajar tersebut.Pada masa yang lain, kami juga diminta bersiul dan menyanyikan lagu cinta bila berselisih dengan mereka.Pelik.

Sebelah malam program berjalan di dalam Dewan Seri Budiman bersebelahan bangunan Menara.Mendengar penerangan dan penjelasan dari seniors apa yang boleh dan apa yang tidak boleh dilakukan di dalam kampus.Selama mengharungi  minggu orientasi tidak ada perkara ragging  yang mencemaskan kami.Hanya deraan yang biasa dan tidak serious.Selepas tamat mendengar penerangan kami kembali ke asrama Perindu dan ketika itulah kami diarahkan memeluk tiang lampu dan mencium tiang tersebut.Diarahkan mendukung rakan dan membawa menaiki bukit.

Cuma ada satu peristiwa yang aku tidak lupa berlaku kepada kami pelajar non muslim.Malam itu program terakhir mendengar ceramah agama di Dewan Seri Budiman.Semua pelajar muslim diwajibkan hadir dan tinggallah kami di bilik.Pelajar seniors mengarahkan kami duduk di dalam bilik dan  tidak memadam lampu.Setelah jam lebih 10.00 malam, tiba-tiba seorang senior mengarahkan kami menutup lampu.Pelik dengan dua arahan yang berbeza, kami tertanya-tanya sesama sendiri.Sariman yang agak bengang bertindak memberitahu supaya kami tidak mematuhi arahan senior itu.Berlakulah jeritan ancaman seniors kepada kami.Antaranya mereka tidak takut dengan ilmu kebatinan kami ( orang asli). “kami pun ada power” katanya.

Bila arahan mereka tidak kami layan seorang senior memberi amaran akan datang ke bilik kami sambil mengira dari sepuluh sampai satu.Senior itu melangkah ke arah dorm kami  dan mengira satu persatu.Namun bila sampai ke pintu dorm.Kami tetap berdegil tidak mahu menutup lampu.Oleh kerana kami masih berdegil dan tidak mahu memadam lampu, akhirnya mereka tidak dapat berbuat apa-apa lagi dan membiarkan saja kami.

Lebih kurang jam 3.00 pagi, malam itu, tiba-tiba satu bunyi isyarat bergema dan aku tidak pasti punca bunyi kuat itu.Di luar asrama senior terjerit-jerit meminta semua pelajar baru keluar dan berkumpul di kawasan lapang terletak tengah-tengah asrama Perindu.Kami diminta berbaris dan berdiri selama 30 minit sebelum kembali ke dorm masing-masing.Bayangkanlah tengah enak melayan mimpi tiba-tiba diarahkan berdiri dalam kedinginan awal pagi.Waktu itu aku sempat merenung langit berkabus dan cahaya bulan samar-samar di balik kabus.Indahnya.Hatiku merasa tenang melihat bulan itu.


Setelah itu, tahulah aku, kami semua didera kerana pelajar senior tidak puas hati dengan sikap kami yang tidak melayan arahan mereka menutup lampu. 

17 April 2017

Hari Pertama di ITM Shah Alam (1983)


Kami bertolak ke Shah Alam pada sebelah petang menaiki van.Aku dan tiga rakan lelaki dan dua orang rakan perempuan J dan S telah sedia untuk bertolak. Sementara itu, R dan GK tidak menyertai kami.Mereka menaiki kenderaan lain.Aku sedikit hampa kerana tidak dapat melihat gadis itu.Kami diberitahu mereka telah bertolak awal.Kemungkinan keluarga turut serta pergi menemani agaknya.Aku memang mengharapkan GK menaiki van sekali dengan kami.Sekurang-kurangnya dapat juga berbual-bual dengannya atau berkenalan sepintas lalu.

Cuaca pada petang itu hujan.Sepanjang perjalanan ke Shah Alam melalui ibukota Kuala Lumpur juga hujan.Itu yang aku dapat gambarkan pada ketika itu.Laluan ke sana pula tidaklah seteruk sekarang.Perjalanan lancar setiba di Shah Alam.Di kejauhan aku dapat melihat sebuah menara bangunan tinggi di atas bukit.Van kami masuk melalui pintu utama.

Itulah masanya aku merasa sungguh bertuah kerana dapat menjejaki Institut Teknologi Mara, Shah Alam.Menjadi pelajar pusat pengajian tinggi.Layak digelar siswa.Impian setiap pelajar sebaik menamatkan SPM saban tahun.Aku akan belajar di sini selama empat tahun bersamaan 8 semester.setahun 2 semester dan setiap semester lebih kurang 4 atau 5 bulan pembelajaran.Apa yang aku tahu dari seniorku yang masih belajar di situ.Walaupun kami dianugerahkan diploma pada akhir pengajian tetapi diploma kami bertaraf ijazah am.

Van kami berhenti tidak jauh dari bangunan tinggi yang kulihat dari luar kampus tadi.Setelah mengeluarkan beg pakaian kami berkumpul di satu tempat yang terdapat kerusi panjang.Di situ aku Meng Kee, Sariman dan James duduk untuk menerima arahan selanjutnya.Pegawai JOA yang mengiringi kami pergi ke bahagian pentadbiran untuk memaklumkan kedatangan dan seterusnya mendaftarkan nama-nama kami.

Sementara menanti kami hanya berbual-bual sambil mata ligat memerhati pelajar-pelajar yang baru sampai.Ada di antara mereka ditemani keluarga masing-masing.Senior pulak sibuk memastikan kedatangan  pelajar baru freshies disambut sebaik mungkin.Sesekali kami disapa ramah oleh senior itu.Pegawai JOA kembali dan memaklumkan kepada kami urusan pendaftaran telah dibuat.Cuma, esoknya kami perlu mendaftarkan diri untuk menentukan asrama dan sekolah pengajian.

Kami diberi baju batik biru tua bercorak tulisan jawi ITM dan ia merupakan pakaian rasmi untuk aktiviti esok dan seterusnya.Dalam cuaca yang lembab dan sesekali hujan turun aku mula merasa sepi tetapi kehadiran rakan-rakan membuatkan aku terhibur.Seketika saja.Aku rindukan keluargaku.Kami berempat di tempatkan di asrama perindu.Dan aku pun terus merindu.


Keesokannya bermulalah aktiviti pendaftaran.Sekejap ke bahagian itu sekejap ke sini.Segala-galanya perlu diuruskan dan diselesaikan segera kerana selepas itu kami akan melalui minggu orientasi.Minggu yang menggerunkan kerana cerita-cerita budaya ragging yang pernah kami dengar sebelumnya masih diamalkan di pusat pengajian tinggi.

14 April 2017

Awal Julai, 1983 :Hari Terakhir di Gombak

Aku mengenali Meng Kee, remaja yang berbadan sedikit gempal berkulit cerah dan berkaca mata.Orangnya rendah, rambut sikat tepi dan bermata sepet.Sekali pandang macam remaja tionghua.Tapi dia mixed Jakun dan tionghua.Gaya perbualannya agak kasar dan laju.Tapi aku faham butir percakapannya.Aku juga senang bergurau dengannya sebab dia tak kisah sangat.

Malam itu aku berbual dan bertanya pada Meng Kee tentang seseorang.Siapa lagi kalau bukan GK.Katanya, GK sekampung dan orang tua mereka ada hubungan kekeluargaan.Kalau tak silap Meng Kee pernah memberitahu aku dia dan GK sepupu.Kebetulan mereka berdua mixed juga.Aku katakan pada rakanku itu yang aku sukakan amoi itu.Nampak seperti orangnya lembut dan pendiam.Meng Kee ketawa.Aku tak ingat apa katanya padaku tapi mungkin isyaratnya, mencabar, kalau berani cubalah.Entahlah.Berani ke tidak.mmm..

Tiba-tiba rakan perempuan memanggil aku di luar.J meminta aku tidur di sebelah biliknya yang kosong.Katanya dia dan S berasa lain “macam” tidur di bilik hujung berdekatan dengan ruangan rehat.Aku menurut saja.Aku tidur berseorangan di situ.Sementara rakan yang lain tidur di  bilik berasingan.Aku mengenali J dan S sejak kecil lagi.Malah sebelum kami bersekolah.Usia kami sebaya dan rumah kami terletak sebelah menyebelah.Kami berjiran.Kalau tidak silap J dan S juga lahir di batu 12, Gombak.

Oleh kerana hubungan kami agak rapat sejak kecil aku menganggap J sebagai adik beradik.Sementara S pula anak saudara kepada J.Ketika zaman kanak-kanak kami kerap bermain bersama-sama.Kawan-kawan pula menganggap kami sebagai pasangan.Memang aku lebih senang berkawan dengan J sejak kecil tapi aku tidak ada apa-apa perasaan kepadanya.Sehinggalah meningkat remaja. Apabila sudah ada perasaan malu-malu kerana perubahan  fizikal lelaki dan perempuan.Kami tidak lagi bersama.

Pagi esoknya aku mandi dan bersiap-siap awal.Hari itu kami akan ke Shah Alam untuk pendaftaran masuk ke ITM.Seperti biasa aku akan menyanyi.Pantang masuk bilik air.Aku menyanyi  saja.Setelah semua rakan-rakanku bangun dan bersiap untuk bersarapan kami beramai-ramai menuju kedai di pangkal jalan seperti biasa.J menegurku kerana terkejut dengan nyanyianku waktu pagi.Katanya banyaknya lagu.Apa boleh buat dah jadi hobi pulak.

Cuaca hari itu mendung, memang cuaca sekitar Kuala Lumpur pada awal Julai, 1983 itu selalu hujan.Keadaan agak dingin pada pagi dan malam.Selepas bersarapan, kami diberitahu akan bertolak ke Shah Alam sebelah petang selepas makan tengahari.Aku seronok mendengarkan kerana akhirnya aku akan menjejakkan kaki ke pusat pengajian tinggi itu.Aku akan bergelar siswa.Pasti aku menjadi kebanggaan keluargaku nanti.

Cita-cita untuk mendalami bidang senilukis memang selalu aku impikan suatu waktu dulu.Bila peluang itu muncul betapa riangnya hati tidak dapat digambarkan.Kehidupan di kampus dan bertemu dengan ramai kawan-kawan pasti menjanjikan pengalaman yang tidak akan dapat dilupakan. 

10 April 2017

Ditegur kerana tidak beradab

Menjelang pagi aku dan rakanku menuju ke warung milik kakitangan JOA Gombak untuk bersarapan.Selesai sarapan kami menuju ke Hospital Orang Asli  Gombak untuk sesi pemeriksaan kesihatan sebagai syarat untuk ke ITM nanti.Kami bergilir-gilir diperiksa oleh staff hospital.Aku menanti giliran di luar klinik luar sambil memerhati sekitar.Di hadapan klinik aku dapat melihat tapak pendaratan helikopter suatu masa dahulu.Aku tersenyum sendirian bila mengenangkan di sinilah aku dilahirkan dan di sinilah aku berlari ketakutan lantas menyorok di dalam kain orang.Akhirnya dapat jugak menjejak kaki ke tanah kelahiranku.

Tidak lama kemudian namaku dipanggil untuk pemeriksaan biasa.Aku berdiri di muka pintu dan masuk ke dalam dengan debar.Di dalam bilik terdapat seorang doktor berbangsa India.Apabila aku mengambil tempat duduk dia menegur aku.Nadanya sedikit marah kerana aku tidak menunjukkan adab yang sepatutnya apabila bertandang ke tempat orang.Aku tidak mengucapkan ucapan selamat pagi.Sesuatu yang aku terlupa sebenarnya.Dia kemudian menasihati aku supaya belajar menghormati orang apabila sudah bergelar pelajar nanti.Aku akur kesilapan kerana tidak berbuat seperti dikehendaki.

Sebenarnya aku seorang yang mudah menghormati orang.Di kalangan rakan dan guru-guru sekolah mereka memandang aku sebagai pelajar yang tidak bermasalah dan mudah apabila diminta pertolongan.Aku dilantik sebagai Pengawas, Pustakawan dan Pengerusi Persatuan Bahasa Malaysia sekolah.Masih teringat peristiwa dilantik Pengerusi Bahasa Malaysia waktu di sekolah  dulu.Selepas waktu rehat pelajar-pelajar diminta berkumpul di kantin sekolah untuk sesi pemilihan AJK persatuan.Pada sesi pemilihan pengerusi ada dua nama yang memang popular di kalangan pelajar.Mereka pula terdiri dari rakanku berbangsa Melayu.Seorang dari kelas aliran sains dan seorang lagi aliran sastera yang juga ketua kelasku.Tiba-tiba seorang rakan sekelas yang lain juga mencalonkan namaku.Aku panik.Aku bukanlah menonjol di kalangan rakan disebabkan sikap pendiamku dan low profile.Aku cuba memberi alasan supaya tidak terpilih, tapi guru penaung memasukkan juga namaku.

Semasa pengundian, nama kami disebut dan para pelajar memilih pelajar yang mereka sukai.Dua rakanku mendapat bilangan undi yang ramai.Terasa lega hati melihat angka yang tercatat.Tetapi apabila namaku disebut aku dapat melihat jumlah mereka yang mengangkat tangan  lebih ramai dan hampir kesemuanya mengangkat tangan termasuk rakan-rakan perempuan.Hendak atau tidak aku terpaksa menerima hakikat bahawa mereka juga menyukai aku sebagai calon pengerusi yang baru.

Aku juga pernah dipilih oleh guru sainsku untuk mempersembahkan kajian sains mengenai penghasilan sabun dari sodium klorid.Aku meminati sains dan selalu berbincang dengan penuh minat berkenaan subjek tersebut.Apabila ada pertandingan dan pertunjukan sains di Sekolah Menengah Baru Lenggong, Perak pada awal tahun 1982, (sekarang SMK Tan Sri Abd Aziz, Lenggong, Perak), guru sains memilih aku kerana aku selalu mendapat markah tertinggi dalam subjek itu.Tetapi kemungkinan pengalaman kami bertanding dari sekolah Hulu Perak amat kurang maka aku tidak berjaya meraih tempat.Sedikit terubat bila rakan dari aliran sains berjaya mendapat tempat ketiga dalam persembahan matematik mereka.

Begitulah keadaan ketika di sekolah.Di tempat tinggalku yang biasa, aku juga bukan remaja yang membawa masalah kepada keluarga dan jiran-jiran.Mungkin nasibku tidak berapa baik hari itu aku ditegur oleh doktor berbangsa India itu.Namun bagiku ia menjadi pengajaran yang amat berguna sehinggalah aku dewasa dan menjawat jawatan kerajaan.Aku masih ingat peristiwa itu dan ia membawa makna yang baik dalam pembentukan sikapku.

Selesai ujian pemeriksaan kesihatan, aku tercari-cari rakan gadis yang lain terutamanya GK, tapi tidak kelihatan.Kata kawanku mereka telah membuat pemeriksaan lebih awal.Usai semua aktiviti, kami balik ke dewan dan berkira-kira untuk melakukan aktiviti apa yang sebaiknya untuk mengisi waktu yang ada.Sariman mencadangkan kami ke Batu Caves dan mendaki tangga untuk naik ke atas.Aku setuju kerana ia berdekatan dan mudah dituju.Selesai makan tengahari kami berlima pun ke Batu Caves.Kami turun di Greenwood dan berjalan kaki ke sana.Sesuatu yang tidak susah bagi anak remaja pada masa itu.Itulah pengalaman pertamaku menaiki anak tangga Batu Caves.Sampai di atas kami memasuki lubang gua yang banyak terdapat di atas sana.Sayangnya kami tidak mengabadikan gambar-gambar sewaktu berada di situ.


Esok adalah hari terakhir kami di batu 12, Gombak.Selesai menuruni Batu Caves kami kembali untuk makan malam.Malam itu aku akan menginap di rumah mak cikku.Sebagai menunaikan hajatnya kerana sudah lama tidak bertemu.Sebelah tengahari keesokkannya pula, kami akan bertolak ke Shah Alam.

05 April 2017

1983 :Jatuh Cinta Pandang Pertama.

Aku bergegas kembali ke  dewan serbaguna. Hari mulai gelap. Suasana sudah sunyi dan tiada lagi kedengaran anak-anak penghuni kuaters bermain-main di luar. Semua sudah kembali ke rumah masing-masing. Sampai di bilik, ku perhatikan kawan-kawanku ada yang terbaring, ada yang mengelamun dan membaca sesuatu di tangan. Nampaknya mereka semua sudah mandi dan bersantai merehatkan diri. Hanya menunggu malam berlalu. Tak tahu apa yang hendak dilakukan pada ketika itu. Tiada televisyen. Tidak ada apa-apa. Bosan. Semuanya bungkam sepi.

Aku menyelongkar beg pakaianku dan mencapai tuala mandi. Beberapa peralatan mandian, aku bawa bersama dan dengan senang hati aku menuju ke bilik air di hujung bangunan. Sambil mengalunkan lagu-lagu dari album pertama Sohaimi Mior Hassan, berjudul Prolog. Penyanyi dan pemuisi yang menjadi pujaan ketika itu. Lagu Epilog Cinta Dari Bromley merupakan lagu yang amat popular dan selalu kedengaran di corong radio sekitar tahun 1983. Tapi, bagiku, semua lagu-lagu dari album itu menjadi nyanyian ku. Kebanyakan lagunya berbentuk puisi dan aku meminati puisi.

Di bilik air, ibarat studio seni bagi remaja sepertiku. Di situlah tempat menunjukkan skill nyanyian. Aku berlolong-lolong bernyanyi. Habis sebuah lagu, dikuti dengan lagu lain. Aku meminati lagu-lagu sentimental dan bertemakan cinta. Tidak mengira siapa penyanyinya. Bila penyanyi seperti Sohaimi Mior Hassan muncul membawa genre sebegitu, aku lantas meminati nyanyiannya. Tidak ada lagu lain yang aku nyanyikan selain lagu penyanyi itu. Sehinggakan aku digelar Sohaimi ketika berada di kem tempat tinggalku dan juga di kalangan kawan-kawan. Iras-iras tu adalah sikit.

Semua lagu dari album Prolog habis aku nyanyikan. Puas. Selesai mandi aku kembali ke bilik dengan menutupi bahagian pinggang ke bawah dengan tuala mandian. Ketika menuju ke bilik, mataku terpandang dua susuk gadis siang tadi sedang duduk-duduk di hujung ruangan rehat dewan. Jarak lebih kurang 30 meter dari bilikku. Mereka memandang kembali ke arahku namun disebabkan kurangnya cahaya kemungkinan mereka tidak pasti siapa aku. Aku mempercepatkan langkah dan terus masuk ke bilik.

Di dalam bilik, aku dapati James sedang menunggu. Tiba-tiba pintu diketuk dan Dahalan meminta kami semua berkumpul di ruangan rehat dewan. Katanya, R hendak mengenali kami semua. Aku meminta dia pergi dulu kerana aku baru saja selesai mandi. Selesai bersiap dan merapi rambut ala Hail Amir, aku mengajak James yang agak malu-malu dari tadi. Kami yang terakhir ke sana. Di situ sudah ada Sariman, Meng Kee, Dahalan dan dua rakan perempuan Juwita dan Sopiah. Ada kerusi rotan beralas span lembut, kerusi yang biasa terdapat tahun itu. Aku mengambil tempat menghadapi mereka. Di hadapanku gadis berambut lurus panjang melepasi bahu dan bermata sepet. Hati kecilku mulai berbisik. Aduhai.

Malam itu kami bersuai kenal. Perkumpulan anak-anak Orang Asli pelbagai suku. Lebih kurang 10 orang. 4 perempuan dan 6 lelaki. Berkenalan dan bercerita perihal diri masing-masing. R pula menjadi jurucakapnya. Bila tiba giliran gadis di hadapanku, aku memandang tepat raut wajah chinese looks itu. Tiba-tiba aku dapat rasakan satu perasaan yang lain. Aku suka melihat rambut berjuntaian yang menutupi dahinya yang ala-ala china doll dan rambut panjang diselitkan di belakang cuping telinganya, matanya yang agak kecil dan sepet seperti gadis tionghua dan bertubuh langsing. Berkulit cerah orangnya serta mengenakan pakaian berwarna terang. Sinar lampu neon menyerlahkan lagi kecantikan semulajadinya. Gadis itu memperkenalkan namanya KGK (bunyi nama cina) berketurunan Jakun mixed chinese berasal dari Pahang. Bila dia memandang ke arahku, aku lekas-lekas mengalih pandangan. Rasanya tak sanggup bertentang mata. Malu. Selepas itu aku tidak lagi dapat focus kepada bualannya. Fikiranku telah melayang jauh. Debar, gementar, suka, resah semua rasa bersatu bila sesekali mencuri pandang.

Pada ketika yang lain, aku menyedari bahawa aku telah jatuh cinta pandang pertama. Aku sememangnya menyukai raut wajah seperti anak cina. Sejak dulu lagi. Kemungkinan pengaruh ayahku yang suka membeli album EP penyanyi wanita berketurunan tionghua ketika zaman kanak-kanak. Album lagu dengan wajah manis penyanyinya menghiasi kulit album. Masih ingat ketika itu, aku hafal lagu-lagu mereka. Membelek-belek kulit album sambil mendengar lagunya.

KGK memeritahu dia juga mengambil jurusan Art Design. Sekali lagi cetusan rasa di dalam bagai ingin menjerit kegembiraan. Namun perasaan itu aku tahankan. Dalam hati, dapatlah nanti selalu berjumpa dengannya.

R pula banyak bercerita dan mesra juga orangnya. Dia telah lama menetap di Batu 12 kerana ayah dan ibunya kakitangan hospital Jabatan Orang Asli Gombak. Kediamannya terletak di dalam kawasan hospital. Satu yang dirisaukannya ialah penyakit “homesick”. Buat pertamakalinya aku mendengar perkataan itu. Rumah sakit? Apa tu..? Rupa-rupanya perkataan yang menggambarkan kerinduan yang amat sangat kepada keluarga yang berjauhan. Mmm..


Malam itu kami berbual panjang, diselang-seli dengan gurauan terutamanya rakanku Sariman. Dia cuba mengusik R. Aku hanya tersenyum memerhatikan gelagatnya. Sementara gadis di depanku lebih banyak mendiamkan diri. Aku pun segan hendak bertanya. Esok kami akan ke hospital untuk menjalani pemeriksaan kesihatan, pesan R pada kami semua. Sehari selepas itu kami akan ke Shah Alam.

04 April 2017

Imbauan Kenangan 1983 : Bertemu Saudara

Petang itu,  kami lima sekawan bergerak menuju kedai keluarga JOA yang terletak di sebelah kiri , pangkal jalan masuk  ke kuaters kakitangan JOA Gombak.Lebih kurang 260 meter jaraknya dari dewan penginapan kami.Aku melangkahkan kaki sambil mengamati kawasan tempat aku pernah bermain satu ketika dulu.Melewati dewan besar sebelah kanan dan di sebelah kiri pula adalah rumah sepupu ibuku.Aku melihat rumah itu masih ada penghuni namun tidak dapat dipastikan siapa pula yang mendiaminya.Rakan perempuanku  S dan J mengekori kami dari belakang.

Di situlah segala kenangan mengimbau kembali.Aku lahir di sini 17 tahun yang lalu.Sewaktu keluargaku menetap di kem Lam Jung, Jalan Maxwell, Kuala Lumpur pada tahun 1965, Batu 12 Gombak memang tidak asing bagiku.Di hospital itulah juga aku dilahirkan.Peliknya cuma satu, tentang namaku.Aku pernah bertanya kepada ibu, kenapa namaku pendek saja."Leh!" Ibu pun bercerita pada ketika aku telah dilahirkan, pakciknya dari Pahang telah memberi nama "Abu" disebabkan aku dilahirkan pada hari Rabu.Namaku telah ditulis di atas sekeping kertas kecil dan diletakkan di atas meja misi (nurse).Misi yang kembali bekerja sehari selepas aku dilahirkan bertanya pada ibu apa nama yang hendak diberikan kepadaku.Ibu mengatakan dia tidak tahu tetapi memaklumkan kepada misi, ada kertas kecil atas meja tercatat namaku.Puas misi itu mencari tapi tidak berjumpa.Akhirnya setelah putus asa, misi suku Semai itu mencadangkan kepada ibu supaya diletakkan nama "Leh" saja.Tapi ibuku lebih selesa memanggilku  dengan nama Nin atau Nja.Begitulah ceritanya mengapa namaku pendek saja.

           Satu peristiwa lucu yang ibu pernah ceritakan kepadaku ketika ibu sarat mengandung anak ke dua, adik perempuanku pada tahun 1967 yang aku tidak pernah lupa.Waktu itu ibu di dalam bilik air wad 1 (wad bersalin) kerana membasuh pakaian, sementara aku bermain di luar.Ketika itu seorang perempuan (makcik) sedang menjemur pakaian.Datanglah sebuah helikopter membawa pesakit untuk diturunkan di padang pendaratan di tengah-tengah hospital.Aku yang berusia 2 tahun , ketakutan mendengar bunyi enjin, tidak tentu arah berlari mencari tempat bersembunyi.Oleh kerana terlampau terdesak aku menyelak kain kemban mak cik tadi dan menyorok di bawah kelengkangnya.Mak cik itupun apalagi.Menjeritlah sekuat hati disebabkan terkejut.Ibuku keluar  dari bilik air dan ketawa apabila mendapat tahu di mana aku bersembunyi.

Kini ( 1983) aku kembali menjejaki Batu 12, Gombak.Suasana sudah berbeza.Penduduk sudah ramai tinggal bermastautin di sini.Banyak rumah telah dibina di lereng-lereng bukit, dipenuhi rumah-rumah yang dibina sendiri.Cuaca juga pada masa itu pun masih sejuk lagi.

Di kedai keluarga JOA, kami berkenalan dengan penyedia makanan di situ.Oleh kerana kami bukan orang di sini maka ramailah yang menanya soalan kepada kami .Aku tidak kekok kerana pernah tinggal di sekitar kawasan ini dan mengetahui serba sedikit selok belok penempatan itu.



Di kedai itu aku cuba mencari kelibat dua orang gadis yang bertandang ke dewan.Mereka tidak makan bersama.Mungkin tinggal di rumah R dan sudah pasti makan dan minum di sana.

Setelah selesai makan malam, kami dimaklumkan bahawa sarapan pada keesokan harinya disediakan di situ juga sebelum aktiviti pemeriksaan kesihatan di hospital JOA.Kami berjalan pulang ke dewan.Ketika melalui hadapan rumah yang pernah aku tinggal dulu, aku pun meminta rakan-rakan pulang sementara aku ke rumah tersebut untuk memastikan penghuninya.

Aku melihat ada anak-anak kecil bermain di beranda rumah.Aku cuba berbahasa Temuan.Mereka memahami percakapanku dan memanggil emak di dapur.Aku tidak naik ke tangga rumah tapi  menuju ke  pintu dapur di sisi kiri rumah kerana aku tahu di situ pintunya. Tiba-tiba keluar seseorang yang wajahnya masih kukenali.Dia terkejut dan menegur siapa aku.Aku lantas perkenalkan namaku, “Alen” (Nama ini lebih dikenali di kalangan kawan dan keluarga)

Orang tua itu tergamam dan tidak percaya , aku datang ke rumahnya setelah lebih 10 tahun tidak berjumpa.Macam-macam soalan bertanya bagaimana aku boleh sampai di situ.Aku menerangkan aku terpilih untuk belajar di ITM Shah Alam dan duduk di Gombak untuk sementara.Dia memelukku sambil menangis dan keluarlah panggilan biasa namaku semasa kecil dulu “Nja” singkatan Manja.

Makcikku menjemput supaya aku tinggal di rumahnya sebelum ke Shah Alam nanti.Pelawaannya kusambut baik kerana sememangnya aku ingin bertemu dengan sepupuku yang lain.Abg Aziz,Mie,Lan dan Ani.Lama kami berbual sehingga hari semakin gelap.Aku meminta diri untuk pulang ke dewan dan mandi kerana sejak sampai tengahari itu aku belum lagi membersihkan diri.

Kembali menulis.

 Kembali menulis. Dalam usia yang telah mencecah 58 tahun, banyak nostalgia tidak lagi diingati dengan jelas dan tepat. Minat menulis masih ...