28 October 2008

Yayasan Anda Akademik - 1987


En Shuib mendengar hasratku untuk meneruskan pengajian di bidang agama di IDIP pada satu pagi waktu kutemui dia. Memang dia mengagumi semangatku untuk meneruskan pelajaran. Namun dia mempunyai idea yang lebih baik untuk aku. Katanya, aku sudah memiliki asas sebagai muslim. Fardhu ain dan sebahagian bidang fardhu kifayah banyak yang telah kufahami dan amalkan. Malah aku selayaknya sudah boleh mengajar. Cuma aku tidak mempunyai sijil yang sah yang dapat diterima oleh agensi pekerjaan jika aku berhasrat untuk memohon kerja di bidang agama suatu hari nanti.

Aku akur kenyataan itu. Lalu dia memberitahu supaya aku tidak meneruskan belajar di IDIP kerana katanya pelajar di situ kebanyakannya belajar di peringkat asas. Katanya lagi aku sudahpun melalui peringkat itu. Dia mencadangkan aku memasuki sekolah swasta di Yayasan Anda Akademik yang terletak di Jalan Pantai Bahru, Kuala Lumpur. Ujarnya, supaya aku mengambil STPM kerana aku pernah belajar di ITM jadi kemungkinan peluangku menduduki sekali lagi menara gading.

Aku bersemangat mendengar nasihat En. Shuib mengenai belajar di Yayasan Anda Akademik kerana di sana suasana pendidikannya Islamic oriented. Ini satu peluang yang tidak dapat kuelakkan lalu aku langsung setuju.

Pertengahan tahun 1988, aku mendaftarkan diri sebagai pelajar baru dan memasuki tingkatan 6 bawah. Maka bermulalah kisahku sebagai pelajar semula. Menyarung kembali seluar panjang berwarna hijau dan berbaju putih. Bezanya aku tidak seperti di tahun 1982 dulu. Kini aku muslim dan ke sekolah dengan memakai serban putih...!!!

         Ramai juga pelajar yang datang dari luar bandar ke sekolah ini. Rata-rata mereka yang datang bercerita tentang betapa gahnya nama Yayasan Anda Akademik kerana sekolah swasta ini melahirkan ramai ilmuan. Apa tidaknya, ia juga pejabat ABIM ketika itu yang dinaungi oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim. 

27 October 2008

Kuala Lumpur awal 1988

Aku kembali ke Kuala Lumpur setelah hampir setahun tinggal di Kg Batu Papan.Segala kenangan sepanjang di sana akan kuingat sampai bila-bila.Aku kembali kerana sudah sampai masanya aku berubah.Waktu itu usiaku sudah hampir 22 tahun sedang aku belum lagi mempunyai pekerjaan tetap.Cita-citaku telah kufokuskan untuk menjadi penyebar ilmu agama.Dalam fikiranku kini hanya ada satu tempat yang sesuai untuk aku teruskan menambah ilmu di samping berdakwah.Ya...aku ingin melanjutkan pelajaran di Institut Dakwah Islamiah Perkim.Satu institusi yang khusus untuk saudara-saudara baru mencari ilmu.

Dulu aku juga pernah ditawarkan oleh seorang kenalan di Negeri Sembilan.Tapi aku menolak kerana ketika itu aku masih di dalam Al-Arqam.Kini aku kembali dan mencari tempat untuk melanjutkan pendidikan di institusi ini yang pada ketika itu terletak di Jalan Universiti,Petaling Jaya.

Tidak lama selepas tinggal di Kuala Lumpur aku berurusan dengan seorang pegawai di Jabatan Hal Ehwal Orang Asli yang terletak di Jalan Tun Razak,bangunan Tabung Haji.En.Sallehudin,seorang yang peka dengan permasalahanku.Beliau banyak membantuku ketika itu.Aku meluahkan hasratku untuk kembali belajar.

Di Kuala Lumpur aku menumpang di rumah seorang kenalan dari Kuala Pilah yang bekerja di sini.Namanya Mohd Dino Al-Ain.Aku kenal pemuda ini kerana kami pernah bersama-sama mendengar ceramah Al-Arqam di Kuala Pilah dan pernah juga tinggal di markaz Al-Arqam Kuala Pilah sekitar tahun 1985 dulu.Kadang-kadang aku juga tinggal menumpang di rumah Dino di Kg Parit Seberang.

Dino banyak membantuku.Kalau aku boleh katakan dia sahabat sejati memang dia menepati ciri-ciri itu.Dino teman masa susah dan senang.Ayah dan ibunya telah berpisah dan masing-masing telah berkahwin lain dan tinggal jauh.Adik Dino,Azim,Ani dan Yati hanya tinggal menumpang dengan wan mereka (nenek).Kadang-kadang aku kasihan mengenang Yati (darjah lima ketika itu) yang tinggal dengan wan sejak ibunya berkahwin lain.Namun mereka adik-beradik faham masalah yang menimpa keluarga.

Dino pula seorang abang yang bertanggungjawab.Harapan ayahnya.Kadang-kadang aku malu kerana Dino banyak membantu aku.Tapi Dino faham masalahku.Hidup di kota raya ini penuh dengan ujian.Kami saling membantu jika salah seorang menghadapi masalah.Aku pula tidak mahu bergantung sangat pada Dino terutama masalah duit.Tanpa diminta Dino kadangkala menghulurkan wang belanjanya untuk aku ikhtiar mencari kerja.

20 October 2008

Hijrah !

Kalau hendak diceritakan sepanjang tinggal di Kampung Batu Papan, mungkin tiada noktahnya.Suka duka, pahit manis segalanya mewarnai hidupku ketika itu. Aku seakan lupa masa silamku. Keluarga di Negeri Sembilan kadang-kadang saja aku kenangkan. Kroh telah tersimpan kemas dalam ingatan, namun suatu hari nanti aku pasti kembali ke sana. Di sini kehidupanku amat baik dari sebelumnya. Aku dapat menjaga Islamku dan aku bersyukur tentang itu. Kampung ini tenang dan damai sekali. Air sungai sungguh sejuk maklumlah air yang mengalir di kaki bukit bukau belakang kampung ini.Sungguh sejuk.Kaya dengan pelbagai spesies ikan air tawar.

Memancing pula sudah jadi kegemaranku sejak kanak-kanak dulu. Sungai di kampung ini pula tidak akan menghampakan sesiapa bagi yang mahu menduganya.

Namun tika malam aku bermuhasabah juga. Mengenang akan nasib pada masa akan datang. Aku perlu lebih berjaya menjadi muslim. Berbakti pada keluarga dan agama. Aku perlu berubah. Kata-kata ustaz yang mengajar dulu bahawa Allah tidak akan mengubah nasib diri kita selagi kita tidak ubahnya sendiri.Benar!

Aku mula memikirkan masa depan. Apa akan terjadi padaku suatu hari nanti. Beginikah selamanya. Hidup di kampung.Tidak salah hidup di sini.Tapi naluriku bukan di sini.Aku bukan ditakdirkan untuk menjadi perantau selamanya.Tiba masanya aku pula memberi manfaat kepada manusia lain.......

...........aku wajib berubah !

07 October 2008

(1986-1987) Kg Batu Papan II

Ketika tinggal di Kampung Batu Papan, Gua Musang, Kelantan, banyak juga aku pelajari mengenai adat-adat Melayu Kelantan. Walaupun tidak ada jauh bezanya dengan adat di kampung Melayu lain tetapi di sini aku dapat merasakan suasana yang berbeza dengan kampung Melayu yang pernah aku bermastautin dulu. Kehidupan di rantau orang perlu mengamalkan sikap merendah diri. Menghormati orang-orang kampung tidak kira usia. Aku diterima baik oleh masyarakat sini. Tambahan pula aku anak angkat Pokcik Me (nama sebenar Haji Abdul Rahman). Seorang tua yang di hormati di kampung itu selain penghulu.

Kepercayaan Pokcik Me dan Mek kepadaku tidak berbelah bagi. Kerap juga aku tinggal berseorangan di rumah mereka menjaga ternakan dan kedai runcit, sementara mereka tidur semalam dua di kebun yang terletak agak jauh dari rumah. Mek dan Pokcik Me pernah juga menasihatkan aku supaya kekal lama di sini. Mereka akan carikan tanah dan rumah jika aku mahu. Ada juga usikan kalau berkenan dengan anak dara kampung Batu Papan khabarkan kepada mereka. Hmmmm...

Kepercayaan dan keihklasan mereka aku balas dengan sebaik mungkin. Aku sedar aku hanyalah perantau. Di rumah, aku menjaga kedai dan melakukan tugas-tugas yang biasa aku buat ketika aku di kampung ayahku dulu. Mek selalu juga berpesan “tok payohla basuh pinggan nu.”  kerana aku suka membasuh pinggan selepas makan.

Pernah satu ketika Mek menyuruh aku tidur di katil kelamin mereka sementara mereka suami isteri bermalam di kebun. Malam ketika aku meletakkan kepala ke bantal aku teraba gumpalan barang kemas rantai dan gelang di bawah bantal. Aku terkejut banyak juga barang kemas Mek ni. Aku simpan dan bungkus dengan baik supaya nampak tidak terusik. Mungkinkah Mek mahu mengujiku?

Cucu-cucu Mek dan Pokcik amat menghormatiku, mereka memanggilku dengan panggilan abe Long. Yang sulong perempuan ku panggil Na berada di tingkatan 1 ketika itu manakala yang kedua pula Angah berada di darjah 5. Juga perempuan. Angah agak rapat denganku dan selalu bertanya tentang kehidupanku yang lalu, perihal adik beradik dan keluarga. Juga seorang yang nakal. Angah mahu aku tinggal tetap di kampung ini dan kahwin dengan orang sini.

Sesekali ada juga anak gadis yang bertandang ke kedai Mek membeli barang keperluan dan aku orangnya yang cantik manis. Aku ingin tahu siapa gadis itu lalu aku bertanya terus kepada angah. Angah pula mengusik mengatakan aku nak bergewe. Jauh dalam hati aku tidak berniat kekal lama di sini dan tidak mungkin aku mahu mengakhiri zaman bujangku di sini. Usiaku masih terlalu muda.

Tapi satu insiden yang tidak dapat aku lupakan ialah ketika aku ditertawakan oleh dua gadis ketika datang hendak membeli sesuatu di kedai Mek. Ketika itu Mek dan Pokcik bermalam di kebun dan tinggal aku saja di rumah. Seorang anak dara penghulu dan seorang lagi anak jiran yang cantik bernama Siti. 

Kisahnya, ketika hari semakin senja, aku sedang mandi. Waktu itu kedai belum tutup lagi. Aku terdengar suara orang memberi salam aku pun tergesa-gesa ke depan. Dengan kain pelikat dan tuala menutup badan aku berdiri di anak tangga rumah menghala ke kedai yang bersambung. Entah macam mana la pulak, ketika sedang menunjuk-nunjuk kedudukan barang yang dicari anak tangga tempat berpijak  pun patah. Aku jatuh ke celah anak tangga dan nasib baik kain tak koyak. Kalau tidak ....malu besar weh!. Anak penghulu tidak dapat menahan kelucuan, lalu mentertawakan aku. Aku pun ikut sama ketawa juga..maluuuu. Siti marahkan kawannya itu kerana ketawakan aku. Nasib badan. Aku tidaklah kecil hati dengan sikap mereka. Memang salah sendiri.

Sesuatu yang aku pelajari ketika tinggal di kampung ini ialah sikap hormat menghormati. Belajar dari pengalaman orang-orang kampung. Apalagi hidup di rantau orang. Aku dapat merasakan, jikalau kita menghormati orang lain pasti orang juga akan menyenangi dan segan terhadap kita. InsyaAllah.

Kembali menulis.

 Kembali menulis. Dalam usia yang telah mencecah 58 tahun, banyak nostalgia tidak lagi diingati dengan jelas dan tepat. Minat menulis masih ...