27 October 2008

Kuala Lumpur awal 1988

Aku kembali ke Kuala Lumpur setelah hampir setahun tinggal di Kg Batu Papan.Segala kenangan sepanjang di sana akan kuingat sampai bila-bila.Aku kembali kerana sudah sampai masanya aku berubah.Waktu itu usiaku sudah hampir 22 tahun sedang aku belum lagi mempunyai pekerjaan tetap.Cita-citaku telah kufokuskan untuk menjadi penyebar ilmu agama.Dalam fikiranku kini hanya ada satu tempat yang sesuai untuk aku teruskan menambah ilmu di samping berdakwah.Ya...aku ingin melanjutkan pelajaran di Institut Dakwah Islamiah Perkim.Satu institusi yang khusus untuk saudara-saudara baru mencari ilmu.

Dulu aku juga pernah ditawarkan oleh seorang kenalan di Negeri Sembilan.Tapi aku menolak kerana ketika itu aku masih di dalam Al-Arqam.Kini aku kembali dan mencari tempat untuk melanjutkan pendidikan di institusi ini yang pada ketika itu terletak di Jalan Universiti,Petaling Jaya.

Tidak lama selepas tinggal di Kuala Lumpur aku berurusan dengan seorang pegawai di Jabatan Hal Ehwal Orang Asli yang terletak di Jalan Tun Razak,bangunan Tabung Haji.En.Sallehudin,seorang yang peka dengan permasalahanku.Beliau banyak membantuku ketika itu.Aku meluahkan hasratku untuk kembali belajar.

Di Kuala Lumpur aku menumpang di rumah seorang kenalan dari Kuala Pilah yang bekerja di sini.Namanya Mohd Dino Al-Ain.Aku kenal pemuda ini kerana kami pernah bersama-sama mendengar ceramah Al-Arqam di Kuala Pilah dan pernah juga tinggal di markaz Al-Arqam Kuala Pilah sekitar tahun 1985 dulu.Kadang-kadang aku juga tinggal menumpang di rumah Dino di Kg Parit Seberang.

Dino banyak membantuku.Kalau aku boleh katakan dia sahabat sejati memang dia menepati ciri-ciri itu.Dino teman masa susah dan senang.Ayah dan ibunya telah berpisah dan masing-masing telah berkahwin lain dan tinggal jauh.Adik Dino,Azim,Ani dan Yati hanya tinggal menumpang dengan wan mereka (nenek).Kadang-kadang aku kasihan mengenang Yati (darjah lima ketika itu) yang tinggal dengan wan sejak ibunya berkahwin lain.Namun mereka adik-beradik faham masalah yang menimpa keluarga.

Dino pula seorang abang yang bertanggungjawab.Harapan ayahnya.Kadang-kadang aku malu kerana Dino banyak membantu aku.Tapi Dino faham masalahku.Hidup di kota raya ini penuh dengan ujian.Kami saling membantu jika salah seorang menghadapi masalah.Aku pula tidak mahu bergantung sangat pada Dino terutama masalah duit.Tanpa diminta Dino kadangkala menghulurkan wang belanjanya untuk aku ikhtiar mencari kerja.

No comments:

Post a Comment

Aku sangat berterima kasih kerana anda sudi memberi komen dalam blog aku ini namun aku perlu memberi izin dahulu sebelum ianya kupaparkan.

Kembali menulis.

 Kembali menulis. Dalam usia yang telah mencecah 58 tahun, banyak nostalgia tidak lagi diingati dengan jelas dan tepat. Minat menulis masih ...