24 June 2009

20/7/1979....nostalgia yang masih kuingat




Bahagian depan perisai "Pertiwi"


Bertarikh 20/7/1979,ketika aku berada di Tingkatan 2 (2A5) ketika itu di Sekolah Menengah Tun Saban,Kroh.Sedang aku dan kawan-kawan berbual di bawah pokok di tepi pagar sekolah menikmati waktu rehat lebih kurang jam 10.30 pagi , tiba-tiba kami terdengar ledakan,letupan dari senjata yang saling berbalas.

Rupa-rupanya pasukan konvoi tentera sedang "digasak" oleh gerombolan pengganas komunis yang berselindung di sebalik hutan pinggir bukit.Menanti konvoi renjer pulang dari Baling ,Kedah menghala ke kem di Kroh,Perak.

Ini adalah perisai tentera yang berjaya diletupkan oleh pihak komunis menggunakan launcher tepat mengena di bahagian belakang (enjin) lalu mengakibatkan letupan di dalam kabin.Tiga renjer di dalamnya mati kebakaran.hangus sama sekali.Seingat aku sewaktu itu kami dari kem bersebelahan meninjau perisai yang pada ketika itu hangus dimakan api ketika ia diletakkan berhampiran pagar kem bersebelahan.

Bangkai perisai ini kini dipamerkan di Muzium Tentera Port Dickson,N.Sembilan.


10 June 2009

Selamat Hari Bapa : Kenangan lalu.....

Bergelar abah mungkin bukan suatu gelaran yang luar biasa.Setelah mempunyai tanggungjawab berkeluarga panggilan seperti itu menjadi lumrah.Sewaktu kecil aku mengenal seorang lelaki yang punya hubungan keluarga denganku,pelindung dan pencari rezeki dalam rumah kami.Tinggi sederhana dengan wajah yang menyimpan tegas.Seringkali wajah itu mengecut perutku.Takut.

Itulah ayahku yang biasa kupanggil "abah" memang tegas dan sedikit garang.Seingat aku kali terakhir bergurau dengan bah ketika aku berusia 4 atau 5 tahun.Selebihnya untuk tahun yang mendatang aku dan abah seperti orang asing.Bukan kerana berlainan arah dan berseteru rasa tapi aku menjadi tidak biasa berbual mesra dengan abah sendiri.

Puncanya mudah saja,abah akan masuk hutan kerana operasi memburu pengganas Komunis antara awal 1970 hingga 1980.Tahun di mana Malaysia ketika itu masih bergelut menumpaskan pengganas yang berjuang secara gerila.Kadang-kadang abah akan berada jauh di mata kami adik-beradik sebulan dua.Jarak masa waktu itu kami membesar dan mengharap kasih dan perhatian seorang ayah.Apabila abah habis operasi di hutan dan pulang ke pangkuan,proses mengenal kami juga memakan masa.Tambahan sikap abah juga yang pendiam macam aku.Menambahkan lagi kerenggangan antara aku dan abah.

Abah yang ku tahu tidak pandai menulis.Setakat kenal huruf dan angka saja.Dengan pengetahuannya itu pada peringkat kanak-kanak aku diajarnya mengenal huruf.Alhamdulillah.
Memang abah seorang yang bercita-cita punya anak yang  pandai dan bijak sama seperti impian abah orang lain juga.Dalam tempoh aku tidak punya ramai adik abah lebih memberi perhatian kepadaku.Apa saja yang kupinta kepada ibu pasti disampaikan.Abah hanya mengotakan.

Seingat aku kerap juga aku membanggakan abah.Dilantik sebagai Ketua Kelas,mendapat No.1 atau 2 dalam peperiksaan tahunan.Pujian dari guru mengenaiku kepada abah.Tapi itu cerita ketika aku di sekolah rendah.Setelah memasuki peringkat menengah aku tidak lagi rapat dengan abah.Maklumlah adik-beradik seramai tujuh orang.Hanya sekali-sekala saja aku berbual dengan abah.

Paling membanggakan abah apabila rakan-rakan sekerja dan bosnya mengucapkan tahniah kerana kejayaanku melanjutkan pelajaran ke Institut Teknologi Mara pada tahun 1983 lalu.Pada ketika itu aku adalah contoh  kepada adik-adikku.Abah tahu bahawa aku akan berjaya juga.

Aku juga pernah memberitahu ibu bahawa aku akan memeluk agama Islam ketika aku di tingkatan 4.Waktu itu abah mendapat tahu dari kawanku lalu abah marah dan mengingatkan aku supaya belajar menjadi orang pandai dan berguna dulu baru cita-cita lain dikejar.Abah tahu bahawa satu hari nanti aku akan berkata begitu sebabnya abah juga.Ketika aku masih kanak-kanak,abah akan belikan sepasang baju Melayu lengkap bersampin dan memakaikannya supaya aku dapat berhari raya bersama-sama rakan Melayuku.

Tapi abah tidak pernah menghalang.Abah tahu satu hari nanti pasti aku akan mengejar impian kecilku itu.Masih kuingat abah tidak terkejut ketika aku pulang dari Kuala Pilah selepas hilang dua hari tanpa berita.Walau pun cuba diselindung.Abah tahu aku telah Islam.Abah tidak mahu mengikut jejakku kerana sudah terlambat katanya.

Kini abah telah meninggal dunia.Walau pun kedudukannya di akhirat nanti sudah pasti tapi aku sentiasa berdoa agar abah juga mendapat keampunan dari Allah.Aku pernah tahu bahawa wan (nenek) ibu kepada abah juga pernah berkahwin dengan pemuda Melayu.Sejauh mana pegangan agama wan tidaklah ku pasti.Kata orang-orang tua  di Kg.Jerang,Simpang Durian,Jelebu,N.Sembilan.Kubur wan bersebelah dengan kubur orang Islam.

05 June 2009

Mac 1993...Kuala Klawang

Pertengahan bulan Mac 1993, aku ditukarkan ke daerah Jelebu, N.Sembilan.  Waktu itu Jelebu adalah satu daerah yang terpencil jauh sedikit dari pembangunan. Kata rakan-rakan pekan Kuala Klawang, Jelebu merupakan pekan koboi (maknanya hanya hidup di siang hari saja). Aku biasa lalu di pekan itu waktu merantau dulu. Benar. Ia agak ketinggalan. Taman perumahan boleh dikira dengan jari. Pekan Klawang pula tidaklah sebesar mana.

Waktu itu aku hanya berulang naik bas. Masuk jam 8.00 pagi dan pulang 4.15 petang. Di pejabat baruku hanya ada dua staf. Seorang Jurutaip Kak Ani dan seorang lagi penghantar saman, abang Hussin. Keadaan pejabat agak kecil dan sempit. Aku masih ingat mula-mula berkerja dulu akulah penderaf surat, menaip (komputer belum ada lagi), masukkan dalam sampul surat, letak stem dan pos surat.

Kerja-kerja mendaftar kes ke dalam Buku daftar biasalah. Buka fail, masukkan segala tuntutan dan dakwaan selepas tu failkan. Letak tarikh dan agih-agihkan mengikut tarikh. Kalau borang-borang sudah kehabisan aku meminta jasa baik pejabat agama Islam di  sebelah untuk menggunakan mesin cetak mereka. Hah buatlah sendiri.

Waktu mula berkerja, hendak bawa kes ke mahkamah kena pakai kot hitam, songkok dan bertali leher. Tidak pernah seumur hidup aku bertali leher. Terpaksalah belajar  cara mengikat tali leher dari kerani pejabat Agama di sebelah. Alhamdulillah...hidup ini kena selalu merendah diri. Jika sudah membiasakan diri menghormati orang lain mereka juga akan bersikap begitu kepada kita. Aku belajar dari semudah-mudah perkara, selok belok pentadbiran pejabat sehinggalah kepada mengendalikan mesyuarat.

Rakan-rakan dari pejabat agama melayanku dengan baik. Walaupun aku dari Mahkamah Syariah, jawatan pula lebih tinggi sikit tapi aku selalu memikirkan pengalaman kurang. Kepada mereka selalu aku bertanyakan permasalahan yang timbul berhubung kait dengan pentadbiran dan kewangan.

Cuaca daerah Jelebu sejuk sedikit berbanding Seremban. Tiga hari aku bertugas, aku mula batuk-batuk dan selsema. Maklumlah cuaca Seremban panas. Aku berulang dari Seremban yang jaraknya lebih kurang 30 km. Keluar pagi tu agak panas berbanding Jelebu yang masih berkabus.Tak lama kemudian aku pun demam.MC.

Itulah pengalaman pertama bertugas di daerah ini. Sedikit sebanyak ia mengingatkan aku mengenai Kroh di utara Semenanjung. Bezanya Kroh daerahnya agak besar dan aku merasa bebas di sana. Di sini persamaannya cuma cuaca, pekan yang sunyi apabila malam tiba pada 1993 dulu.


04 June 2009

Sunnah Orang Berjuang...tribute to Nadamurni




Sudah Sunnah Orang Berjuang
Mengembara dan berkelana
Miskin dan papa jadi tradisi
berenggang dengan anak dan isteri

Sudah Sunnah Orang Berjuang
Mengembara dan berkelana
Miskin dan papa jadi tradisi
berenggang dengan anak dan isteri

Biasanya para pejuang
rumah mereka merata-rata
rezekinya tidak menentu
tidur baringnya tidak berwaktu

rezekinya tidak menentu
tidur baringnya tidak berwaktu

Orang lain membuat harta
tapi dia membuangnya
orang lain kawan terbatas
tapi pejuang kawan merata

Orang lain musuhnya kurang
pejuang musuhnya tidak terbilang

Sudah Sunnah Orang Berjuang
Mengembara dan berkelana
Miskin dan papa jadi tradisi
berenggang dengan anak dan isteri

tidak kurang yang sayang padanya
orang lain mati dilupa
para pejuang tetap dikenang
sejarahnya ditulis orang
makamnya sentiasa diziarahi
walau perjuangan tak berjaya

Sudah Sunnah Orang Berjuang
Mengembara dan berkelana
Miskin dan papa jadi tradisi
berenggang dengan anak dan isteri

01 June 2009

Ketika Cinta Bertasbih...The Movie






Sebuah lagi adaptasi Novel karya Habiburrahman al-Shirazy
Selesai membaca novel ini..nak cari siri 2 pulak.

Kembali menulis.

 Kembali menulis. Dalam usia yang telah mencecah 58 tahun, banyak nostalgia tidak lagi diingati dengan jelas dan tepat. Minat menulis masih ...