30 August 2009

Senoi Praaq..The Unsung Heroes ( Lagenda Merdeka)






















Tidak ramai mengetahui sejarah perjuangan sekumpulan pemuda Orang Asli sebelum dan selepas kemerdekaan. Mereka juga adalah pejuang yang turut serta membantu pihak British menentang komunis malah dianggap lagenda kerana kepakaran mengesan dan memburu pengganas komunis (PKM) sehingga jauh ke dalam hutan-hutan tebal sempadan hingga ke sempadan Thailand. Ibuku pernah bercerita kisah-kisah ayahku yang terlibat dengan pengganas komunis ketika zaman mudanya. Kata ibu Senoi Praaq pada asalnya adalah ilham seorang mentor British bernama Tuan Noone (sebagaimana yang disebut oleh ibuku) atau R.O.D.Noone.




Senoi Praaq bermaksud "Orang Perang" dalam bahasa Semai (suku orang asli). Ketika tarikh keramat 31 Ogos 1957 semakin hampir pihak British terdesak mahu menubuhkan sebuah pasukan askar yang dapat membantu kerajaan yang baru ditubuhkan menjaga keamanan dan mengekang pengaruh komunis di kalangan penduduk minoriti orang asli. Tuan Noone telah berjumpa dengan Sir Gerald Templer, pemerintah tentera Bristish Tanah Melayu ketika itu mengenai penubuhan Senoi Praaq, cabang pasukan bersenjata di bahawa Jabatan Orang Asli. Lewat tahun 1956 tertubuhlah pasukan ini yang dinamakan Senoi Praaq.


Bermula dengan 2 unit dan 10 orang setiap unit hasil dari penangkapan beberapa pemuda orang asli yang menyertai komunis di bawah operasi Surrendered Enemy Personnel(SEP) yang kemudiannya berkembang menjadi 3 unit. Menjelang tahun 1957 unit ini telah berkembang menjadi 2 skuadron dan setiap skuadron dianggotai dengan 80 orang pemuda orang asli dari perlbagai suku.



Aku masih ingat ayahku ada bercerita bahawa beliau juga adalah seorang bekas komunis yang ditangkap di sekitar sempadan Jelebu, N.Sembilan dan Pahang. Dibicara di hadapan OCPD British di Kuala Klawang, Jelebu, N.Sembilan dan kemudiannya dihukum gantung sampai mati. Mungkin takdir tidak sebegitu tidak lama kemudian ayahku juga dipanggil pula untuk berkhidmat dengan kerajaan British sebagai anggota Senoi Praaq. Operasi Senoi Praaq ketika itu berpusat di Kem Wardieburn, Setapak dan Batu 12, Gombak, Selangor. Kemudian mereka berpindah ke Jalan Maxwell yang dikenali dengan Camp Lamjung, asalnya sebuah kem peninggalan askar Gurkha (99th Briged). (Di situlah ayah bertemu ibuku dan di situlah juga aku dilahirkan.:-)

Penubuhan Senoi Praaq telah memberi tamparan hebat kepada pengganas komunis. Kepakaran orang asli menjejaki binatang-binatang hutan telah membantu mereka mengesan musuh dengan amat tepat sekali. Bau, rasa, jejak, tanda-tanda persekitaran, bunyi binatang dan unggas rimba malah mimpi-mimpi juga adalah antara isyarat operasi. Biasanya apabila suatu kawasan itu dipercayai ada musuh, Senoi Praaq akan ditugaskan masuk mengesan dulu. Apabila maklumat telah diperolehi tentang anggaran berapa ramai, keadaan bukit dan anak air, jalan jalan yang memungkinkan pengganas komunis melarikan diri barulah pihak tentera akan membuat perancangan serangan. 


Sebenarnya kisah Senoi Praaq tidak pernah dibukukan di dalam Malaysia. Namun perjuangan mereka boleh dianggap lagenda kerana pengganas komunis amat takut dengan unit ini disebabkan skil mereka memburu dan mengesan musuh di hutan. Tidak hairanlah pada peringkat awal serangan gerila komunis dulu mereka berjaya mempengaruhi anak-anak muda orang asli untuk dijadikan sebahagian dari mereka bagi membantu mereka meloloskan diri dari serbuan tentera. Insya Allah aku akan menulis lagi tentang Senoi Praaq pada masa akan datang.




Sumber :Death Waits in The Dark,The Senoi Praaq:Malaysia's Killer Elite,Roy davis Linville Jumper.


9 comments:

  1. Anonymous8:40 AM

    senoi praaq terima kasih kerana telah memberi peluang kepada kaum orang asli berkhidmat dengan senoi praaq sehingga sekarang walaupun telah berubah nama .namun peranan dan tugas tetap sama .

    ReplyDelete
  2. Terima Kasih Di Atas Jasa Senoi PPraaq didalam susah payah menjadikan Malaysia sebuah negara Merdeka...Sebagai Rakyat Malaysia aku berterima kasih dan berbangga dengan peranan berkesan yang dimainkan oleh Senoi Praaq.

    ReplyDelete
  3. Anonymous4:54 PM

    Terima kasih kepada penulis yang sudi untuk berkongsi bahan-bahan rujukan,ianya sedikit sebanyak dapat menketengahkan sejarah Senoi Praaq yang kini semakin suram. Apa yang ingin saya kongsikan disini agar penulis dapat duduk semeja bersama-sama pejuang-pejuang moden Senoi Praaq untuk membukukan sejarah yang selama ini perlu atau lebih afdal dikatakan wajib untuk tatapan masyarakat Orang Asli yang akan datang. Sekian terima kasih..

    ReplyDelete
  4. Sejarah Senoi Praaq akan hanya luput sebagai kenangan silam.Tidak ada usaha yang bersungguh-sungguh untuk tujuan pembukuan Senoi Praaq.Saya sebagai anak bekas askar Senoi Praaq akan cuba mencari solusi kepada persoalan ini.Malangnya kita hanya ada rujukan (buku) sezaman dengan dengan Senoi Praaq di luar negara.InsyaAllah saya akan cuba dapatkan buku ini dan menterjemahkannya ke dalam BM.Di samping itu beberapa tokoh OA tempatan juga telah saya kenal pasti yang punyai maklumat SP.Cuma kekangan masa menjadi isu sekarang.InsyaAllah saya akan cuba.

    ReplyDelete
  5. Anonymous2:01 AM

    terima kasih kerana menceritakan tentang sejarah senoi praaq..sy x rse rmai ank mude tahu tnttg pjuangan ini...sy sgt teruja.. klu blh terbitkn buku..inilah pejuang yg tidak didendangkan wlwpon pjuangan mereka sgt penting untuk kemerdekaan kita..

    ReplyDelete
  6. Kalau anak bangsa kita sekarang ikut semangat perjuangan Senior Praaq (Man on war)kan ka bagus. Merdeka

    ReplyDelete
  7. Anonymous3:51 AM

    Saya mengetahui kisah senoi praaq apabila menonton kisah sejarah perjuangan senoi praaq dalam drama 'lembing & layang'. Kisah itu membuat saya berminat ingin mengetahui lebih lagi tentang sejarah penubuhan & perjuangan senoi praaq. Sehinggalah saya terbaca maklumat tersebut dlm blog saudara. Saya berasa sangat terharu membaca kisah perjuangan tersebut. Semangat perjuangan yang tinggi senoi praaq benar-benar menaikkan semangat saya agar mencintai tanah air yang bertuah ini.

    ReplyDelete
  8. Senoi praaq tidak asing bagi saya dan oc saya ketika itu adalah Tuan Mohd Nor..dan saya bangga bekerja dengan pasukan Senoi Praaq sehingga lah saya bersara pada tahun 2013...

    ReplyDelete
  9. Anonymous12:57 AM

    Terima Kasih di atas perkongsian maklumat ttg SP. sy bangga dgn mereka, Saya ade pergi camping di hutan Royal Belum. dan nama SP ini tidak pernah putus menceritakan kehebatan mereka. teringin untuk mengetahui lebih dalam.

    ReplyDelete

Aku sangat berterima kasih kerana anda sudi memberi komen dalam blog aku ini namun aku perlu memberi izin dahulu sebelum ianya kupaparkan.

Kembali menulis.

 Kembali menulis. Dalam usia yang telah mencecah 58 tahun, banyak nostalgia tidak lagi diingati dengan jelas dan tepat. Minat menulis masih ...