03 May 2020

Menjadi Ketua Darjah 4B - 1975


          Masuk ke tahun 1975,  aku naik ke darjah 4B, Sekolah Kebangsaan Kroh, Perak. Kelas aku terletak di bangunan lama sekolah. Sebuah banglo papan sepenuhnya milik seorang pedagang Inggeris zaman kolonial bernama JD Kemp yang telah pulang ke England. Bangunan banglo itu diserahkan kepada Jabatan Pelajaran Perak dan dijadikan kelas pada Mac 1956. Meja aku sebelah kanan baris ke empat tepi tingkap.  Melalui tingkap yang terbuka dapatlah melihat cikgu-cikgu yang datang dari bilik guru dari bangunan baru dua tingkat. Bangunan sekolah kayu itu ada dua kelas 4A dan 4B.

(bangunan sekolah Sekolah Kebangsaan Kroh - Kredit : SKK)


          Aku sekali lagi dilantik sebagai ketua darjah kelas 4B. Aku tak tahu apa kriteria pemilihan sebagai ketua darjah pada masa itu. Seorang anak orang asli yang pendiam di dalam kelas. Sedangkan masih ramai rakan-rakan yang lebih menonjol dan extrovert dalam kelas aku. Mungkin ada kaitan pencapaian cemerlang aku semasa dalam darjah 3 dulu agaknya. Aku selalu mendapat tempat pertama atau kedua di dalam darjah ketika darjah 3. Guru darjah 4B aku seorang cikgu perempuan yang cantik dan sudah bersuami yang mengajar di sekolah yang sama. Cikgu Fuziah Ismail dan suaminya Cikgu Syed Jamaludin.


( Perasmian bangunan baru sekolah pada tahun 1975 oleh Menteri Pelajaran pada masa itu. Tun Mahathir Mohamad. Kredit : SKK)

( Tun Mahathir semasa merasmikan bangunan. Pada masa ini aku dalam darjah 4B. Kredit:Kredit : SKK )

          Ketika darjah 4 aku tidak lagi nampak kelibat rakan baik sewaktu di darjah 3. Mungkin Roslan telah bertukar sekolah mengikuti bapanya berpindah ke daerah atau negeri lain. Namun aku masih punya ramai kawan-kawan yang baik. Antaranya yang paling aku ingat Khalid seorang kawan yang datang dari tempat yang sama. Bapanya seorang buruh di Jabatan Kerja Raya daerah Kroh. Mereka tinggal di kuaters JKR berdekatan dengan kem BN 19 tempat aku tinggal. Dia duduk di hadapan aku sebelah kanan. Khalid suka berbual dan aku suka berkawan dengannya kerana dia seorang yang mudah berkawan dan mesra. Pandai bermain bola dan terpilih sebagai pemain bola bagi sekolah. Satu yang aku tidak suka tentang Khalid ialah dia kerap berhingus dan cepat berpeluh.

          Rakan lain yang rapat denganku seorang budak India bernama Ganesan. Tinggal di Kampung Baru Kroh. Ganesan tidak seperti rakan India yang lain yang agak nakal. Dia seorang yang sentiasa tenang dan perwatakannya yang hanya melihat saja tingkah rakan yang bising di dalam kelas 4B. Jarang aku melihat Ganesan bergaul dengan rakan-rakan sebangsa pada waktu rehat. Dia duduk di barisan hadapan selari denganku. Aku rapat dengan Ganesan sehingga kami ke tingkatan 5 Sekolah Menengah Tun Saban.  Dia juga pernah bertandang ke rumahku semata-mata mahu melihat rumahku dan berkenalan dengan keluargaku.

          Apa yang ingin kuceritakan di sini ialah tentang kepercayaan cikgu yang melantikku sebagai ketua darjah. Sebagai anak orang asli sikapku yang banyak merendah diri dan cuba mengelak dari menjadi perhatian cikgu-cikgu zaman itu. Sejak darjah 3 aku dilantik hinggalah ke darjah 4 atas pilihan cikgu darjah. Pencapaian akademikku juga amat cemerlang. Aku mendapat tempat pertama atau kedua dalam setiap penggal persekolahan. Mungkin itu penilaian mereka terhadap diriku.

          Namun pada ketika itu aku tidak mengambil tahu kedudukan perbezaan nombor satu atau dua. Sehingga ada satu cerita, di mana aku menunjukkan buku rekod peperiksaan kepada ibu dengan mengatakan kawan-kawan semua dapat banyak nombor. Sedangkan aku dapat satu nombor. Sikit. Sebenarnya aku tidak mengerti maksud pengiraan markah peperiksaan dan kedudukan dalam darjah. Ibu ketawa mendengar peneranganku. Ibu bercerita kepada ayah bila ayah keluar dari operasi di hutan. Tahun itu juga ayah menghadiahkan ku sebuah basikal kerana pencapaian baikku di dalam peperiksaan.         

Kembali menulis.

 Kembali menulis. Dalam usia yang telah mencecah 58 tahun, banyak nostalgia tidak lagi diingati dengan jelas dan tepat. Minat menulis masih ...