06 May 2011

"tidak ada apa yang perlu dimaafkan,semua sudah berlalu."

Kenangan itu telah lama berlalu.Tidak pernah kubawa kesal berpanjangan mengiringi perjalanan hidup ini. Aku tahu mengingati perkara yang silam lantas menyesali setiap kejadian tidak membawa manfaat untuk hidup pada masa hadapan. Telah kusuburkan jiwa ini dengan keyakinan bahawa itu adalah pengalaman yang mendewasakan pemikiran, tindakan dan emosi. Setiap kehidupan manusia tidak pernah sunyi menempuh pengalaman. Proses kejayaan, kita berdiri di dua simpang, kejayaan yang mematangkan diri atau terus menangisi nasib diri.

Biarku nukilkan di sini. Setahun yang lalu aku telah menadah kedua tangan ini pada ketikanya tersedar dari tidur. Selalu aku berdoa supaya rasa bersalah ini ternoktah akhirnya. Ada ketikanya aku bangun mengerjakan solat hajat kerana semata-mata mahu merayu kepada-Nya. Semoga dosaku kepada seseorang diampunkan.Selalu.

Jawapan dari Tuhan tidak lama dan memang itu takdir-Nya juga. Di dunia maya, aku terpandang imej-imej seseorang yang pernah tersimpan jauh di sudut hati. Aku berusaha menghubungi dirinya. Bertanya khabar, tentunya. Cita-citanya menjadi "ustazah" termakbul. Sudah bersuami dan beranak pinak, aku tumpang gembira kerana kebahagian telah menjadi miliknya. Dan paling penting ayat permohonan maaf dari hati ini kerana pernah menyakiti jiwa halus itu telah ku lafazkan sebaiknya.

"Tidak ada apa yang perlu dimaafkan,semua sudah berlalu."Itulah tutur-tutur lembut yang masih kuingat dan menutup ayat terakhirnya kepadaku. Aku kagum pada jiwa yang masih seperti dulu. Cintakan kebajikan. Menjadi ibu kepada enam anak kandung dan ibu kepada anak-anak yatim. SubhanaALlah. kata Nabi.."aku dan pengasih anak-anak yatim umpama ini (au kama qal)..sambil Nabi mendekatkan dua jari terlunjuk dan hantunya.

Dan tentunya kenangan itu sudah terhakis kini meninggalkan bekas. Isinya telah terbang bersama lafaz kemaafan. Terima kasih kerana sudi memaafkan.

Kiranya kesempatan yang Allah berikan kepadaku telah kusempurnakan sebaiknya. Telah kuniatkan bahawa tujuanku hanya ingin memohon kemaafan sebelum semuanya menjadi titik hitam dalam hidup.

Khabar berita yang kuterima dari rakan facebook mengejutkan. Setelah kali terakhir aku berhubung lapan bulan yang lalu. Berita kematian dirinya kuterima pula. tanggal 30/4/2011 yang lalu segala-galanya berakhir. Dia telah pergi buat selama-lamanya meninggalkan alam nyata ini untuk berada di transit terakhir menuju akhirat.

Terima kasih kepada Mu ya Allah...memberi kesempatan kepada hamba-Mu ini untuk merungkai segalanya. Telah kupohon maaf seperti sebaris doa yang selalu kuulangi dulu. Kau Maha mendengar segalanya.

Kepada keluarga arwah semoga sabar menjadi benteng iman. Kepada rakan-rakan yang mengenali marilah kita sedekahkan al-fatehah. Kita juga akan ke sana satu waktu nanti. InsyaAllah.


Kembali menulis.

 Kembali menulis. Dalam usia yang telah mencecah 58 tahun, banyak nostalgia tidak lagi diingati dengan jelas dan tepat. Minat menulis masih ...