23 January 2021

1981 : Berakhirnya Kenangan Cinta Monyet.

 

          1981. Usia menginjak ke 16 tahun. Setelah berlalunya Sijil Rendah Pelajaran. Aku naik ke tingkatan 4. Naik selangkah ke peringkat tinggi dalam pendidikan sekolah menengah. Aku ditempatkan ke kelas 4A1 aliran sastera. Aliran baru sepanjang aku menerima pendidikan. Pastinya banyak buku-buku berkaitan sastera perlu dibaca. Aku biasa saja membaca cerpen fiksyen di dalam surat khabar atau majalah. Kadangkala isinya menarik dan kadangkala menjemukan. Novel? Adalah jugak membaca novel dan seingat aku, tiada novel yang benar-benar menarik  yang menjadi ingatan sepanjang bergelar remaja tahun itu. Aku lebih menyukai muzik dan lagu. Membaca adalah satu rutin yang malas.

          Tahun 1981 di tingkatan 4 aliran sastera adalah tahun honeymoon bagi istilah pelajar sebaya dan sezaman dengan ku tahun itu. Bulan madu. Tidak perlu concentrate atau bertungkus lumus menatap buku sangat. Siapkan kerja sekolah atau kerja rumah yang diberi dan main dan layan lagu-lagu. Jika berlaku kesalahan selepas disemak betulkan. Simple! Waktu lepak boleh berhabisan sehingga 4 hingga 5 jam sehari. Waktu menalaah pelajar, cukup sejam atau sejam setengah. Relax.

          Tahun itu juga aku masih teringatkan S. Akupun menulis sepucuk surat dan mengepos kepadanya yang jauh di Pahang. Sekadar bertanya khabar dari rakan-rakan di kem ini. Aku menyukai S kerana rambut stail Chinese dollnya itu. Hitam lebat lurus melepasi paras bahu. Entah mengapa aku berminat sangat dengan fesyen rambut sebegitu. Ada satu sitcom komedi tahun 1980 yang menarik hatiku yang bertajuk Mork and Mindy. Watak Pam Dawber dengan fesyen rambutnya itulah membuatkan aku selalu teringatkan S.

          Berbalik kepada pendidikan di tingkatan 4. Aku seperti terkena culture shock dengan subjek Kesusasteraan Melayu. Terkandung dalam subjek itu kaedah memahami dan mempelajari puisi dan pantun yang banyak menumpukan puisi kontemporari dan klasik. Teks sastera lama seperti Hikayat Hang Tuah yang agak memeningkan untuk memahami kaedah cerita dan perbendaharaan kata dalam teks klasik itu. Ada juga novel moden seperti Badai Semalam, di mana aku sangat terhibur dan menyelami gelojak rasa Mazni watak utama dan plot yang menarik waktu itu hasil karya Khadijah Hashim. Bermula dari situ aku semakin berminat dengan perbendaharaan kata yang puitis dan bermulalah cetusan seni berpuisi dalam jiwa. Apalagi kena dengan lagu-lagu sentimental yang dekat dengan jiwaku.

          Awal tahun itu. Aku terima sepucuk surat. Stemnya dari Pulau Tawar, Jerantut, Pahang. Hati berdebar-debar kerana sudah pasti S membalas suratku. Aku masih ingat surat itu kubawa ke bilik air. Senyum ku semakin lebar dan teruja walapun nipis saja sampulnya. Surat pertama dalam hidup sebagai remaja yang ku terima dari seorang gadis yang aku minati. Aku keluarkan surat dari sampulnya. Tetapi… hampa. Bukan dari S tapi daripada sepupu perempuannya bernama J. J menceritakan S tidak lagi tinggal di kampong itu tetapi berpindah ke Jerantut. Walau bagaimanapun J akan memaklumkan kepada S jika S balik ke kampong nanti. J sebaliknya ingin menjadikan aku adik angkatnya kerana jarak usianya tua setahun dariku. Aku tidak membalas surat itu dan membiarkan saja memori S berakhir dalam hidupku kerana ia hanyalah kenangan cinta monyetku zaman remaja.

16 January 2021

Result SRP 1980: Gembira Tapi Terkilan.

            

          Sijil Rendah Pelajaran tahun 1980 telah pun berakhir. Aku yakin akan lulus dengan baik. Waktu itu berulang ke sekolah untuk menghadapi peperiksaan itu seperti akan bertemu dengan seseorang yang aku sentiasa fikirkan sedang menantiku di sekolah. Hakikatnya tak da sesiapa pun. S pun jarang ke sekolah. Mungkin disebabkan pelajar kelas selain tingkatan 3 tidak digalakkan ke sekolah. Bimbang menganggu peperiksaan yang sedang berjalan. Pertengahan bulan Disember 1980, setelah menanti saatnya keputusan peperiksaan itu akan keluar. Aku pun keluar ke sekolah seorang diri. Agak gementar jugak pada awalnya. Setelah berkumpul dan menanti giliran untuk mengambil keputusan, aku pun ke bilik pentadbiran dan mengambil keputusan. Ternyata, keputusan SRP ku agak baik A 24. Cuma, Matematik dapat 7. Jika 6 dan ke bawah, sudah pasti aku ke kelas aliran Sains.

          Berita gembira itu aku kongsi bersama dengan rakan-rakan. Kejayaan kecil dalam pendidikan bersama kawan-kawan yang bersekolah denganku sejak darjah 1 tahun 1972 dulu. Kami semua lulus dengan baik. Boleh dibanggakan jika hendak dibandingkan dengan rakan-rakan sebaya di dalam kem penempatan. Tiba di rumah aku beritahu ibu, aku lulus. Itu saja sudah memadai bagi ibu. Ibu ku tahu, sejak kecil aku belum pernah mengecewakannya dalam pendidikan. Aku teruja jika S juga tahu aku lulus SRP. Waktu itu lagu You light Up My Life begitu popular sehinggakan dialih ke lagu melayu nyanyian kumpulan Black Dog Bone pada tahun 1978, “Berilah Aku Harapan”. Minat betul dengan lagu tu masa tu seolah-olah ada kaitan dengan kejayaan SRP ku.

          Namun hujung Disember 1980 aku menerima perkhabaran sedih bahawa keluarga S akan berpindah. Setepatnya, ayahnya akan menamatkan perkhidmatan dalam pasukan polis dan berpencen. Terkilan jugak kerana hasrat hati nak tengok S bersekolah lagi tahun hadapan. Sementara aku naik ke tingkatan 4, bolehlah berlagak sikit dengan junior tingkatan 3. Berita yang kudengar disahkan benar oleh rakan yang berjiran dengan S. Terkilan. Tak dapatlah melihat lagi S tahun depan. Hampa.

          Hujung Disember 1980, selepas keluarga S balik ke negeri asalnya di Jerantut Pahang, aku pun selalu jugak ke rumah rakan yang berjiran dengan S. Saja-saja berjalan. Sepi dan suasana sudah tak semeriah dan teruja lagi. Rumahnya pun dah kosong. Jika dulu, waktu S tahu aku berada di situ. Pasti S dia mundar-mandir keluar masuk rumah dan kami berbalas pandang. Maklumlah jiwa remaja. Usia belasan tahun, masing-masing gatal.Kikikikik...

     Aku mendapat tahu S dan keluarga balik ke Pulau Tawar, Jerantut Pahang. Wah tak sangka keluarga S senegeri dengan ibuku. Aku cuba mendapatkan alamat S dari rakan yang tahu. Pucuk dicita ulam mendatang. Aku mendapat alamat penuhnya. Ini peluang baik ni. Tunggu. Aku akan utuskan surat kepadanya nanti.

08 January 2021

English Oral Test.

 

            Sijil Rendah Pelajaran tahun 1980. Entah mengapa tiba-tiba aku merasakan peperiksaan itu seperti peperiksaan akhir tahun saja. Aku optimis dapat mengharungi peperiksaan ini dengan mendapat keputusan yang baik di hujung keputusan nanti. Segala-galanya kerana hadirnya S yang seperti menyuntik semangat kepadaku. Aku ingin tiap-tiap hari ke sekolah. Aku ingin belajar dan membuktikan aku terbaik di kalangan pelajar. Tiap-tiap hari bila ke sekolah pasti kami saling berpandangan. Jika S di hadapan, pasti dia akan menoleh ke belakang untuk memastikan aku berada bersaing ke sekolah. Sekiranya aku di depan, aku akan lakukan perkara yang sama. Mana tahu, kalau-kalau S lewat ke sekolah. Anehnya kami tidak pernah bertegur sapa dan berbual. Jauh sekali untuk mengusik S.

            Sekolah Menengah Tun Saban terletak di Hulu Perak. Sekolah luar bandar. Tahun-tahun 1970’an dan 1980’an kemampuan pelajar luar bandar dalam penguasaan bahasa Inggeris tidaklah membanggakan guru-guru sekolah. Aku berada di kelas 3A2. Guru Bahasa Inggeris ku seorang wanita keturunan Tionghua yang manis berambut pendek paras leher. Raut wajah yang kecil dan lembut  perwatakannya menarik perhatianku. Mrs.Lim, namanya. Sudah berumahtangga dan sedang menanti kelahiran anak sulung. Mrs. Lim jarang berbahasa Melayu ketika mengajar. Ya lah, nama pun cikgu B.I, dah tentu speaking English sepanjang pengajaran subjek tu. Aku sangat meminati subjek ini bukan kerana cikgunya, tapi aku memang suka cara mengajar Mrs.Lim. Soft spoken dan tak pernah marah-marah. Lagipun waktu aku di sekolah rendah, aku suka menonton cerita kartun yang kebanyakannya berbahasa Inggeris. Walaupun tiada sari kata, tapi penggunaan English yang simple watak-watak kartun itu menyebabkan aku cepat menangkap jalan cerita dan dialognya. Siri kartun yang paling aku minati ketika sekolah rendah “Sinbad Jr and his Magic Belt” memang tak pernah lepas. Siri kartun itu memang melekat di fikiran sehingga kini. Kemungkinan sifat kanak-kanak yang suka watak-watak kartun lucu dan menghiburkan atau kartun dengan kanak-kanak memang tidak boleh dipisahkan. Lain-lain siri kartun, Roadrunner, Stop The Pigeon (Dastardly and Muttley in Their Fling Machine”, Speed Racer dan lain-lain era 1970’an yang tak berapa aku ingat lagi. Hampir kesemua siri-siri kartun zaman itu tak ada sari kata. Kalaupun aku tidak memahami apa maksud sesuatu perkataan yang diucapkan pasti kamus Oxford  menjadi rujukanku.

            Dalam sistem peperiksaan SRP pula ada satu ujian yang dinamakan Oral English Test. Aku tak mengingati formatnya. Apa yang aku tahu, pelajar diberi masa untuk membaca teks dalam B.I. Mungkin 15 minit kot. Lepas tu bila tiba giliran, nama akan dipanggil untuk diuji kefahaman dan kelancaran berbahasa Inggeris. Mrs.Lim selalu mengingatkan mengenai ujian ini kepada pelajar. Mungkin beliau risau tahap penguasaan BI yang lemah di kalangan pelajar. Penguasaan BI di kalangan pelajar luar bandar memang amat rendah. Kemungkinan era 1970’an di mana televisyen  belum mampu dimiliki oleh penduduk luar bandar. Satu-satunya teknologi moden yang belum mampu dibeli oleh masyarakat luar bandar yang daif tahun itu. Jadi besar kemungkinan pendedahan kepada siri tv berbahasa Inggeris kurang mendapat perhatian pelajar-pelajar luar bandar.

            Berbeza dengan keluargaku, ayahku seorang polis. Bergaji tetap sudah tentu ayah dapat membeli televisyen hitam putih walaupun dengan berhutang. Seingat aku, ayahku mula membeli televisyen pada tahun 1972 jenama Toshiba. Sudah tentulah aku sentiasa melekat di depan tv memandangkan pada waktu itu aku abang sulung kepada adik-adik yang masih kecil. Saban petang dan malam, aku hanya tercegat di depan tv jika tak keluar bermain.

            Berbalik kepada Oral English Test  peringkat  SRP, aku tidak rasa tertekan seperti kebanyakan rakan-rakan yang lain. Sejak sekolah rendah aku biasa meminjam buku fiksyen berbahasa Inggeris di perpustakaan sekolah. Kadang-kadang tak faham sangat tapi baca sajalah. Kalau tak tahu makna kamus Oxford ada.

            Waktu yang ditunggu-tunggu pun tiba. Pelajar tingkatan 3 tahun 1980 melalui oral test dengan tenang. Masing-masing aku lihat biasa saja. Mungkin kami lebih gerun peperiksaan SRP yang bakal tiba tak lama selepas oral test nanti agaknya. Seorang demi seorang nama rakan-rakan dipanggil. Penemuduga pula terdiri dari guru-guru dari sekolah yang established beraliran Inggeris di Lenggong dan Gerik. Bila namaku dipanggil aku diarahkan membaca teks berbahasa Inggeris secara senyap untuk memahamkan isi teks tersebut. Setelah masa yang diberi cukup waktunya. Kami diminta membaca teks dengan didengar oleh penemuduga. Setelah selesai, kami disoal untuk diuji kefahaman teks dan apa sebenarnya cerita dari teks itu. Selepas sesi soal jawab kami diminta menerangkan tentang diri dan keluarga. Aku menceritakannya dalam bahasa Inggeris dengan agak lancar. Cikgu yang menyoalku seorang wanita keturunan tionghua, kulihat guru itu amat teruja dan gembira berbual denganku. Dia senyum dan kadangkala terhibur mendengar aku bercerita tentang diri dan keluargaku. Wow, seorang pelajar orang asli begitu lancar dan fasih berbual dalam bahasa Inggeris, begitulah agaknya dalam fikirannya.

            Usai oral test semua kami lega. Aku juga turut berasa lapang kerana telah melepasi ujian bahasa Inggeris. Pertamakali dalam hidup aku berbual-bual dengan cikgu dalam bahasa Inggeris. Dalam sesi ujian oral test pulak tu. Tapi aku tak mengambil kisah sangat. Aku yakin aku akan lulus ujian itu. Semangat pada tahun itu lain macam. Mungkin kerana kehadiran S yang selalu di fikiranku agaknya.

            Hampir seminggu telah berlalu. Suatu hari Mrs.Lim, guru bahasa Inggeris masuk ke kelas. Entah mengapa hari itu wajahnya berseri-seri dan tidak henti-henti tersenyum. Panjang celotehnya tentang betapa gembiranya dia kerana kami telah melalui oral test dengan baik. Dia memuji kami semua walaupun pencapaian kami sederhana baginya namun ada satu berita gembira yang membuatkan dia amat teruja dan ingin berkongsi dengan kami. Katanya, guru-guru di bilik guru juga begitu teruja mendengar kesimpulan ujian bahasa inggeris dari guru-guru yang menjadi penemuduga. Kata Mrs.Lim dia tidak menyangka ada seorang pelajarnya yang menjadi sebutan dan pujian penemuduga. Malah penemuduga itu juga turut memuji pelajar tersebut. Kami di kelas 3A2 tertanya-tanya siapakah dia. Mungkinkah dia anak cikgu atau pelajar yang cerdik di kelas 3A1. Entahlah. Bila pelajar-pelajar mendesak ingin tahu siapa pelajar itu, Mrs.Lim menoleh ke arahku. Lantas menyebut namaku, Leh!

            Aku terkedu dan tersipu-sipu.

 

Kembali menulis.

 Kembali menulis. Dalam usia yang telah mencecah 58 tahun, banyak nostalgia tidak lagi diingati dengan jelas dan tepat. Minat menulis masih ...