28 March 2017

Julai 1983 : Senja nan indah.

Petang itu kami bersembang panjang menghabiskan masa terluang di dalam bilik. Aku mengenali rakan-rakan baru yang sama-sama akan mendaftarkan diri ke Institut Teknologi Mara, Shah Alam. James Fredolin Daniel berasal dari Kampar Perak.Orang Asli suku Semai. Beragama Kristian. Orangnya rendah berkulit sawo matang dan berpakaian smart kasual. Gaya percakapannya agak lembut dan berhati-hati.Kurang senyum di wajah namun mesra dan peramah. Kadang-kadang perbualannya terhenti dan seperti tercari-cari ayat untuk menyambung cerita. Aku agak rapat dengannya disebabkan aku boleh berbahasa Semai sikit dan berbetulan aku juga datang dari Perak.

Meng Kee, pelajar mixed chinese dan orang asli suku Jakun. Orangnya rendah, juga cara berpakaian seperti James. Kulit cerah persis anak cina sekali pandang dan sememangnya anak cina. Bermata sepet dan bercermin mata. Aku tak tahu apa agamanya kemungkinan mengikut agama bapanya. Perbualannya agak cepat sehingga kadang-kadang aku tak tahu punca percakapannya. Namun Meng Kee seorang yang suka berbual. Apa saja pertanyaan singkat pasti jawapannya padat dan meleret. Kadang-kadang dia menjadi usikanku. Meng Kee tak kisah, mungkin itu cara membina kepercayaan dan berkawan. Bergurau senda.

Dahalan, dari suku Semelai Pahang. Orangnya tinggi sebaya denganku. Agak serius dan pendiam. Jarang tersenyum. Dalam perbualan, dia sebagai pendengar dan sesekali menyampuk. Kadang-kadang dia akan meninggalkan kami yang tengah rancak bersembang.  Sebagai orang yang sudah biasa tinggal di Gombak ketika itu, dia sebagai rakan tempat kami mendapatkan maklumat dan berita.

Sariman Ibrahim, seorang lagi rakan dari Layang-Layang, Johor, selatan tanah air dan suku Orang Laut. Dia seorang muslim. Seorang yang kuat bergurau dan berborak. Orangnya agak rendah. Sariman suka bercerita dan selalu dia akan menyapa aku untuk turut sama mendengar ceritanya. Selain Meng Kee, aku juga rapat dengan Sariman. Macam-macam cerita yang dibawa mengenai tempat asalnya.

Aku terhibur mendengar perbualan rakan-rakanku yang baru ini. Walaupun baru bersua dan mengenali namun keakraban kami diikat oleh bangsa kami. Hilang seketika ingatan kepada mereka yang kutinggalkan. Aku pula suku Temuan atau Melayu Proto dan kami menggunakan Bahasa Melayu sebagai medium komunikasi disebabkan perbezaan bahasa pertuturan. Kami bercerita tentang sekolah , keluarga dan tempat asal kami.

Petang itu kami dikunjungi oleh dua orang gadis ditemani remaja perempuan. Mereka hanya berdiri di court badminton di tingkat bawah. Salah seorang dari mereka memanggil Dahalan. Dahalan bingkas bangun dan pergi mendapatkan mereka yang berada di tingkat bawah dewan. Kami mengambil peluang mengintai gadis-gadis itu di balik pintu. Aku dapat melihat seorang gadis remaja berambut pendek paras bahu dan seorang lagi berambut lurus melepasi bahu. Kedua-duanya berkulit cerah. Gadis berambut pendek itu berkata-kata sesuatu kepada Dahalan dalam bahasa Semelai. Sementara seorang lagi hanya diam memerhati.

Sesudah meninggalkan pesan, Dahalan kembali ke bilik dan memaklumkan kepada kami yang tercegat menunggu. Semua kami tak sabar ingin tahu siapa mereka dan apa tujuan mereka ke dewan  petang itu. Dahalan menerangkan bahawa mereka adalah pelajar yang akan memasuki ITM bersama kami dan sambil itu ia memberitahu  atucara tak rasmi pada petangnya satu persatu sambil tersenyum. Senja nanti kami semua diarahkan makan malam di kedai makan koperasi di pangkal jalan masuk ke dewan dan begitulah dari hari ke sehari sehingga kami ke ITM nanti.

Sesudah penerangan ringkas, Sariman cuba mencungkil gerangan gadis berambut pendek yang petah berkata-kata dari Dahalan. Orangnya agak menarik maka berkali-kali pertanyaan rasa ingin tahu diulang. Dahalan memperkenalkan si gadis berambut pendek berkulit cerah itu sebagai R, anak kakitangan JOA Gombak. Juga bakal pelajar ITM begitu juga gadis berambut panjang yang menemaninya. Cuma tidak diketahui siapa namanya. Sariman mendengar dengan penuh minat. Aku pasti dia suka gadis bernama R itu. Bila mereka pulang melalui jalan bukit di belakang dewan. Semua kami mendekati tingkap cermin nako, mengintai sekali lagi. Memang menarik orangnya berambut pendek berkulit cerah.

Aku.... aku terpaku memandang kepada si gadis berambut lurus panjang melepasi bahu itu. Tinggi lampai orangnya dan apa lagi yang menarik hatiku pada gadis itu, kalau bukan chinese looks.

Senja itu aku melihat sorotan sinar mentari petang menembusi tingkap kaca. Indah.

26 March 2017

Julai, 1983:Batu 12, Gombak

Julai 1983.Kroh, tinggallah daerah itu jauh dari pandanganku.Segala kenangan akan kubawa bersama.Menjadi teman sewaktu aku kesunyian nanti.Petang yang agak panas, aku duduk di belakang berseorangan.Dua kenalan perempuan masing-masing duduk di hadapan bersama pemandu.Sementara aku di belakang mengintai pekan Kroh buat kali terakhir.Kita akan berjumpa lagi nanti.

          Perjalanan petang itu dikhabarkan akan berhenti di destinasi sementara di bandar Ipoh.Kata pemandu yang peramah itu kami akan bermalam di kuaters Jabatan Orang Asli di Ipoh dan akan memulakan perjalanan pada pagi keesokannya.Lebih kurang tiga jam perjalanan akhirnya kami tiba di bandar Ipoh.Aku ditunjukkan bilik untuk beristirahat dan menghilangkan penat.Terdapat dua katil.Tapi malam itu aku akan berseorangan tidur di situ.Selepas menyegarkan diri kami dibawa makan malam dan pulang ke penginapan untuk tidur.Malam itu tidak seperti biasa, terasa jam begitu malas berdetik.Malam yang panjang dan aku tidak dapat melelapkan mata.Tentunya terbayang wajah adik-adik,ibu, bapa dan kawan-kawan yang ditinggalkan.

Esoknya kami bertolak lebih kurang jam 9 pagi selepas sarapan.Itu ingatan yang masih aku pasti.Kami memulakan satu lagi perjalanan yang panjang.Aku tidak lagi mengingati perjalanan itu.Dari jauh aku mengintai melalui tingkap kaca van melihat jajaran bangunan tinggi ibukota Kuala Lumpur.Sebenarnya aku sudah biasa dengan beberapa jalan-jalan ibukota sejak beberapa tahun sebelum.Bila musim percutian, biasanya keluargaku pulang ke kampong ibu kami di Pahang dan kampong ayah di Jelebu, Negeri Sembilan.Ibuku berasal dari Kg Sungai Leleh, Lanchang, Pahang.Sementara ayah Kg Air Baning atau Kg Putra, Jelebu Negeri Sembilan.Ketika pulang bercuti biasanya kami akan menaiki keretapi dari Butterworth di Pulau Pinang dan berhenti di Stesen Keretapi Kuala Lumpur, dari situ menaiki teksi ke jalan Pahang untuk mengambil bas ke arah Temerloh.Jadi aku biasa mengecam setiap perjalanan itu.

Tiba di Kuala Lumpur pada petang pertengahan Julai 1983, van kami terus ke Batu 12, Gombak , Selangor.Sekali lagi kenangan menjelma apabila kami sampai di situ pada sebelah petangnya.Di situlah aku dilahirkan pada 1 September 1965.Di situlah ibu dan ayahku bertemu lalu tidak lama mereka dikahwinkan oleh datukku.Kami biasa tinggal di sebuah rumah saudara sebelah ibu.Rumah itu masih wujud sehingga ke hari ini.Terletaknya betul-betul berhadapan surau yang dulunya kawasan permainan kanak-kanak.

Bila van menaiki bukit dan melalui deretan rumah-rumah pekerja Jabatan Orang Asli Gombak di sebelah kanan, aku meneliti setiap rumah itu dan mengamati rumah saudara ibuku.Ya masih ada penghuninya walaupun sudah hampir sepuluh tahun tidak datang ke situ.Van kami terus ke dewan serbaguna jabatan di sebelah bawah Muzium Orang Asli Gombak sekarang.Bangunannya masih wujud cuma jalan ke sana sudah ditutup ketika entry ini ditulis.




Kami tiba petang itu di pintu besar dewan serbaguna dan setelah mengeluarkan beg pakaian kami diarahkan ke tingkat atas.Ada seorang remaja lelaki menyambut kami dan dia memimpin sambil menunjukkan arah bilik penginapan.Aku, J dan S membuntuti remaja itu seperti rusa masuk kampong.Masih terpinga dan tiada punca sebenarnya.Di fikiran, aku ingin segera berjumpa saudara ibu dan sepupuku Abg Aziz dan adik-beradiknya yang lama tidak bertemu.


Di dalam bilik di tingkat atas aku mengenali rakan baru, Dahalan, Meng Kee dan James Daniel Fredolin.Dahalan berasal dari Bukit Serok,Pahang, mengambil jurusan Pra Akauntan di ITM cawangan Sabah.Meng Kee berasal dari Rompin dan mengambil jurusan diploma dalam bidang Hotel Dan Catering sementara James mengambil jurusan lanskap ataupun kuantiti survey.Tak ingat sangat dah.Lewat petang kami didatangi seorang lagi pelajar lelaki dari Layang-Layang, Johor.Sariman Ibrahim yang juga mengambil kursus sama denganku.Seni Lukis Dan Senireka.

20 March 2017

Julai 1983: Merantau.

Aku mendapat berita namaku dan dua orang rakan perempuan telah disebut oleh kakitangan polis.Ia berkaitan melanjutkan pelajaran ke Institut Teknologi Mara di Shah Alam, Selangor pada Julai 1983 tahun itu.Aku tersentak dan seakan tidak percaya bahawa aku bakal menjadi pelajar di peringkat yang lebih tinggi sebaik menamatkan Sijil Pelajaran Malaysia 1982.Aku tidak tahu perasaan ibu sewaktu menerima berita itu.Namun aku pasti ibu berbangga denganku.Berita itu disampaikan oleh anggota polis di pejabat ayahku bertugas.

Dalam masa tiga hari aku diminta bersiap sedia kerana kakitangan JOA Gerik akan tiba di kem BN 19 dan 20 , Kroh, Perak untuk membawa aku dan rakan-rakan ke Ipoh.Perasaanku bercampur baur antara kegembiraan dan kesedihan.Gembira dengan tawaran untuk melanjutkan pelajaran di bidang yang kuminati dan sedih kerana terpaksa meninggalkan keluarga dan rakan-rakan sepermainan.Aku jadi tidak menentu.Perasaanku ketika itu lebih terarah untuk mencuba pengalaman baru tetapi dalam masa yang sama aku akan meninggalkan daerah tempat aku membesar itu.15 tahun bukan masa yang sekejap, seluruh ceruk daerah ini telah sebati dengan jiwaku.

Segala kenangan pasti menggamit rindu.Wajah-wajah rakan akan sentiasa terbayang.Menjadi teman kala keseorangan di rantauan.Tapi paling tragis aku akan meninggalkan keluargaku untuk suatu tempoh yang agak lama nanti.Adik-adikku yang menjadi bahan usikan kenakalanku sewaktu remaja.Aku menjadi pembuli yang mesra terhadap mereka.Dan aku juga menjadi penghibur kerana aku suka menyanyi dan membuat pelbagai aksi yang mencuit hati.Mereka pasti akan tertawa.Sementelahan pula, aku baru menerima adik bongsu perempuan pada Ogos 1982.

Akulah yang dipertanggungjawabkan menjaga adik bongsuku sementara ibu masih di hospital kerana menjalani pembedahan membuang peranakan selama seminggu.Selama itu juga, aku menjaga adikku.Menukar lampinnya,mandi,menyusu botol dan membasuh najisnya.Malam pula sentiasa terjaga kerana adik akan menangis kerana basah lampinnya.Waktu cuti sekolah aku memasak untuk adik-adik yang lain dan ayahku yang pulang dari bekerja.

Julai 1983, tarikh bersejarah padaku.Aku akan meninggalkan mereka semua untuk mengejar cita-cita.Jauh di Shah Alam, Selangor.Usiaku masih 17 tahun pada masa itu dan aku akan merantau jauh.Persediaan mental masih tidak cukup kuat bagi remaja seusia sebegitu. Semestinya hidup di perantauan nanti segalanya terpaksa diikhtiar sendiri.

Aku masih ingat aku tidak punya banyak baju dan seluar..Cuma aku bernasib baik kerana baju-baju ayahku masih banyak yang tidak dipakainya sejak berpindah dari Kuala Lumpur tahun 1968 dulu.Seluar pula ada tiga pasang.Itupun  seluar askar yang tidak dituntut sekian lama.Kata ibu yang mengambil upah membasuh pakaian askar.Memang terdapat banyak pakaian yang tidak pernah dituntut di rumahku.


Tiba hari yang dinanti, lebih kurang jam 3.00 petang aku menanti kenderaan yang akan membawaku jauh.Tidak sabar rasanya tapi dalam hati aku cuba menolak dari memikirkan perkara yang bukan-bukan.Ayah memberiku wang saku.Aku tidak ingat berapa jumlah setepatnya.Mungkin RM 50.00 buat bekalan.Dari rumah aku memandang ke arah jalan.Tidak lama selepas itu, sebuah van warna kuning air pun muncul.Rakan perempuan S dan J sudah sedia di sana menanti.Aku mengucup tangan ibu dan ayah dan memandang sepi rumahku.....adik-adikku.Aku pergi.

14 March 2017

Jun 1983 : Ceritaku.

Sekitar Jun,  1983 aku menerima berita dari ayahku, aku dikehendaki ke pejabat Jabatan Orang Asli Perak di Ipoh.Tujuannya ada kaitan dengan permohonan menyambung pelajaran ke Institut Teknologi Mara di Shah Alam, Selangor.Kata ayah, permohonan aku akan diuruskan dan ditaja oleh pihak JOA Perak.Aku berasa girang kerana kemungkinan besar aku berjaya memasuki ITM dan mendapat peluang mempelajari bidang yang aku minati.Aku dan dua orang kenalan perempuan dari kem yang sama akan bertolak awal pagi keesokannya.Tuan Uda Nagu, bapa kepada  Y, rakan perempuan setempat akan membawa kami dengan mengunakan kenderaannya sendiri.

Aku masih ingat kami bertolak awal pagi sebelum subuh.Menaiki Toyota Corolla kepunyaan pakcik itu.Aku duduk di hadapan sementara dua orang kenalan perempuanku, S dan J duduk di belakang.Cuma aku tidak melihat kelibat Y.Mungkin Y tidak berjaya atau menolak permohonan melanjutkan pelajaran ke ITM.Aku tak tahu.

Kami tiba di Ipoh lebih kurang jam 11.00 pagi dan melaporkan diri di pejabat JOA Perak.Itulah kali kedua aku berurusan dengan Jabatan Orang Asli Perak.Kali pertama sewaktu di Gerik dulu.Kakitangan jabatan ramah menyambut kami.Seingat aku, hanya sekali menerima bantuan belajar dari jabatan itu , ketika aku di darjah empat pada tahun 1975 dulu.Bantuan buku tulis , alatan menulis dan melukis.Selepas itu tiada lagi bantuan.Segala bayaran pendidikan ditanggung sepenuhnya oleh ayahku.Gaji ayah yang pernah aku lihat sekitar RM870 sebulan sewaktu ayah berpangkat sarjan.Menanggung kami sekeluarga seramai sepuluh orang.Lima orang termasuk aku masih bersekolah.Buku-buku teks terpaksa beli sendiri kerana peraturan sekolah  gaji ayah yang melebihi RM 800 sebulan.

Selesai urusan dokumentasi, kami pun beransur pulang. pegawai di jabatan tersebut memberitahu, permohonan kami besar kemungkinan diterima masuk ke ITM sesi Julai 1983.Pegawai itu memberi jaminan ketiga-tiga kami akan mendapat berita gembira , sambil beliau memberi nasihat supaya belajar dengan penuh dedikasi dan tekun.Sebelum pulang, atas permintaan rakan perempuan, kami singgah di Super Kinta, Ipoh untuk windows shopping katanya.Aku merayau sekitar gedung itu sambil melihat cenderahati berbentuk plak dihiasi dengan sajak berbahasa Inggeris.Sajak cinta!

          Ayat-ayat cintanya cukup tragis dengan hiasan lanskap indah dan itu membuat aku berminat untuk membelinya.Di perjalanan pulang, aku masih cuba meneka kehidupanku selepas itu.Aku tidak akan tahu.

01 March 2017

1982: Antara Chinese looks dan China Doll.

Sewaktu berada di tingkatan lima pada tahun 1982 aku mengambil tempat paling hadapan sebelah kanan berdekatan pintu masuk. Memang itu kesukaanku. Seingatku, aku duduk di barisan belakang cuma pada ketika aku berada di tingkatan satu. Selepas itu dari tahun ke tahun aku memilih untuk duduk di barisan paling hadapan. Barisanku hanya ada sebaris meja dan kerusi dan tidak berkembar.

Duduk di sebelah kananku seorang gadis tionghua. Namun pelajar perempuan ini tidak seperti rakan tionghua yang lain. Maksudku, gadis itu tidak bermata sepet. Rambut lurus melepasi bahu dan stail rambut ala china doll. Orangnya juga pendiam. Sesekali saja mahu berbual denganku yang juga amat pendiam.

Dari hari ke hari aku suka melihat rakanku ini bermain-main dengan juntaian rambutnya yang halus menutupi keningnya. Ditiup-tiup hujung rambut lalu berterbangan. Diulang-ulang sehingga dia puas. Aku tak pasti apa sebabnya. Tapi dari tafsiranku kemungkinan ia habit. Aku tidak mengambil kisah sangat tentang hal itu lantaran dia bukan selalu menegurku. Hal itu selalu diulangnya sebaik waktu sesi permulaan kelas waktu pagi. Aku hanya melirik pandang.

Satu hari kebosanan waktu kuisi dengan melukis potret wajah guru kelasku Cikgu Amin. Aku hanya berimiginasi bagaimana raut guru itu dapat aku abadikan di atas kertas. Menggunakan pensil 2B dan kertas lukisan. Aku cuba bayangkan setepat-tepatnya wajah guruku itu. Gaya sisir rambutnya dibelah tengah. Fesyen yang popular ketika tahun 1980’an. Aku, kadangkala cuba meniru fesyen menyikat rambut belah tengah. Tetapi oleh kerana aku berambut ikal kerinting. Hmmm... amat tak sesuai. Persis Bobby Farrel dari kumpulan Boney M pula  yang kelihatan. Jadi fesyen menyisir rambut ala Hail Amir adalah sesuai buatku.

Setelah aku leka melukis seorang rakan lelaki sekelas datang melihat hasil lukisanku. Nah... sebijik raut wajah guruku telah berjaya diabadikan di atas kertas putih. Dijajanya hasil kerja tangan ku di dalam kelas. "Weyy... tengok ni Leh lukis Cikgu Amin”. Semua mata dalam kelas tertumpu. Aku malu. Rakan gadis tionghua sebelahku mendongak cuba memahami situasi. "Leh, awak lukiskan? Soalnya kepada ku. Aku jawab “ya”. Sambil senyum kelat. Sengih yang tidak menjadi. Awak pandai melukis Leh. Pujinya lagi. Aku hanya sengih lagi.

Azhari menjaja lukisanku. Sementara aku melayani pertanyaan si gadis. Bermacam jenis lontaran soalan. Bagaimana aku melukis tanpa rujukan fotonya?. Aku menggunakan apa sebagai medium?. Ada tak lukisan lain?. Fuhh... dah tak ingat lagi. Akhirnya soalan maut darinya.."Leh, awak boleh lukis gambar saya tak..?” Aku terkedu. Terkedu yang dibuat-buat atau memang terkedu betul aku mendengar rayuan lembut suaranya. Sambil menyorokkan seronok melayan soalan gadis. Aku selamba jer menjawab “boleh”!!.”. "Nanti esok , saya bagi awak gambar saya ya.” cadang si gadis tionghua itu. Wah amoi nak bagi gambar!. Aku simpan rasa suka kerana esok rakanku yang manis ini akan menyerahkan fotonya dan meminta aku melukis.

Sejak itu dia semakin mesra. Ada saja pertanyaannya. Kerja rumah dah siapkah. Itulah inilah. Pernah sekali dia meminta aku mengajarnya matematik. Sebabnya aku dah siapkan kerja rumah tu sebelum diserahkan kepada cikgu. Aku hanya berseloroh.."eh awak cina memang lagi pandai maths". Dia hanya gelak. Ada juga, oleh kerana waktu remaja aku suka memakai gelang berwarna hitam di lengan sebelah kiri. Dia turut berminat untuk memakai gelang yang sama. Mulalah bertanya dekat mana beli?. Boleh belikan untuknya satu tak?...mmmm. Aku melayan saja pertanyaan dengan memberi cadangan gelang seperti itu memang banyak terjual di pasar khamis. Kalau nak datanglah ke Kroh. (kerana dia duduk di Klian Intan). 

Sebenarnya aku juga meminati dirinya dalam diam. Aku suka melihat dia bermain dengan anak rambut di dahinya. Ditiup-tiup anak rambut yang mencecah dahi. Timbul juga rasa ingin menegur tapi rasa malu masih menebal. Rambut ala china doll dan amoi chinese looks. Dalam impian zaman remajaku, sememangnya aku meminati gadis sebegitu.

 Namun perbualan mesra kami cepat saja dihidu rakanku bernama Azhari. Azhari mengatakan gelang tu sebenarnya gelang penyendal tong minyak! Alamak kantoi la pulak. Mungkin itu dikatakan cinta monyet agaknya. Tetapi bagiku itulah permulaan aku menyukai gadis chinese looks.

Kembali menulis.

 Kembali menulis. Dalam usia yang telah mencecah 58 tahun, banyak nostalgia tidak lagi diingati dengan jelas dan tepat. Minat menulis masih ...