29 May 2017

Homesick : Bertemu Kaunselor Yang Cantik

Rinduku semakin parah.Jiwaku semakin resah dan gundah.Tiapkali aku bersendiri pasti kerinduanku datang mengetuk pintu hati.Wajah-wajah mereka yang kutinggalkan di utara tanahair datang silih berganti.Menganggu tidur sedang enak dibuai mimpi.Inilah kerinduan yang tidak boleh aku tahankan.Kadangkala aku mudah mengeluarkan air mata bila rindu datang menyapa.Aku terlalu merindukan mereka.Mereka yang dekat di hati.Mereka yang kutinggalkan jauh.Setiapkali aku ke kuliah langkahan kaki tidak bermaya dan lesu.Jiwa terasa pilu.Senyumku kepada rakan-rakan sekelas kumpulan 2 hambar.

Aku terlalu merindukan keluargaku.Adik-adikku, ibu dan abahku.Itu saja yang bermain di akal fikiran ketika itu.Tidak tahu apa yang perlu kulakukan untuk menghilangkan rasa yang kian menggugah perasaan.Tidak ada bentuk perhubungan selain surat-surat kepada mereka yang pernah kutuliskan.Walaupun telah berkali-kali kulayangkan warkah berita namun tiada satupun yang boleh mengubat jiwa yang derita.

Hendak menelefon jauh sekali, kerana era itu (1983) keluargaku tidak punya telefon.Telegram bukan pilihan yang boleh meredakan rasa.Aku buntu.Kepada siapa harus aku meluahkan rasa ini.Walhal di sekelilingku ramai rakan-rakan yang boleh mengalpakan aku dari mengingati keluarga yang jauh walau sebentar.Hendak berkongsi rasa pada siapa?.Lalu aku bertanya kepada rakan bagaimakah aku dapat meredakan rinduku.


Aku tidak ingat, tetapi seseorang telah mengesyorkan kepadaku agar bertemu Kaunselor untuk berkongsi rasa dan mencari jalan untuk menoktah rindu itu.Aku keseorangan.Aku tidak tahu samada rakan-rakan sekuliahan juga turut merasa apa yang ku rasa ketika itu.Pada suatu pagi sebaik waktu rehat jam 10 pagi, aku melangkahkan kaki mencari Unit Kaunseling di Bahagian Hal Ehwal Pelajar, ITM.Aku termanggu keseorangan.Tiada rakan menemankan kerana aku tidak mahu mereka tahu bahawa aku sedang mendapatkan khidmat kaunselor.

Bangunannya terletak di sebelah Perpustakaan Tun Abdul Razak tidak jauh dari art building sekolahku.Aku berjumpa dengan kakitangan unit itu dan menyatakan hasratku untuk mendapatkan khidmat kaunselor.Aku disuruh tunggu sebentar.Tidak lama kemudian kakitangan perempuan itu memanggil aku masuk bertemu dengan kaunselor.Setelah pintu kuketuk, aku masuk perlahan dan...

Seorang Kaunselor perempuan yang cantik melemparkan senyumannya yang manis kepadaku.Aku membalas senyumannya dan mengucapkan selamat pagi.Dia mempelawa aku duduk dengan mesra.Suaranya lembut lalu bertanya tentang diriku dan dari sekolah mana.Peringkat berkenalan itu aku ceritakan semuanya.Bila tiba pertanyaan tentang masalah yang ingin aku kongsikan, aku meluahkan rasa kerinduan yang tidak dapat aku bendungkan lagi.Aku menangis..ya aku menangis di hadapannya.Aku khabarkan bahawa aku sangat rindukan keluarga dan meminta untuk pulang seketika.Kaunselor yang tenang dan sentiasa tersenyum itu meminta aku banyak bersabar menghadapi situasi.Kata-katanya terasa bagai titis embun menyiram dedaunan kekeringan di waktu pagi.Inilah ujian ketika menjadi pelajar, ujarnya lembut bersahaja.Segalanya terpaksa dilakukan sendiri.Dia menasihatiku supaya bersabar dalam mengharungi dunia pelajar dan mencari rakan berbual.Aku luahkan segalanya, terasa lapang memenuhi ruang hati yang rindu bila dapat berkongsi rasa dengannya.Kaunselor itu terus senyum melihatku.Setelah hatiku sedikit lega, aku mohon untuk kembali ke kelas.Aku mengucapkan terima kasih atas kata nasihatnya.

Kembali dari sesi kaunseling, aku mendapat jalan untuk melepaskan rindu.Kalendar Ogos, 1983 kubelek dan aku meneliti satu hari cuti yang jatuh pada hari Isnin.Bermakna tidak  ada kuliah pada hari tersebut.Aku tidak sabar menanti minggu itu kerana aku akan pulang seketika untuk menjenguk mereka yang kurindukan.

Pada petang Jumaat sebaik habis kuliah aku mengusung beg menunggu bas di luar Kolej Jati.Bila bas tiba aku pun naik dan ia membawa aku ke Kelang.Setiba di highway, aku panik ! sepatutnya aku ke Bus Stand Klang dan bukan ke Klang.Aku terkhilaf.Di dalam bas aku bertanya kepada pemandunya jika ada bas ke Bus Stand Klang pada lewat petang itu.Pemandu itu memberitahuku memang sentiasa ada.Aku katakan kepadanya, aku telah tersalah menaiki bas.


Setiba di Kelang, aku segera turun dan mencari bas ke Bus Stand Klang.Setelah mendapatkan bas aku duduk dan mengira waktu untuk sampai ke KL.Masih jam 6.30 petang.Bas bergerak dan hatiku pun terasa lapang kerana bas ke utara akan bertolak jam 8.30 atau 9.00 malam.Malam itu aku keseorangan di perut bas dalam fikiran hanya ingin bertemu keluarga di utara.

24 May 2017

Rahsia (Secret Admirer-1983)

Ketika melalui zaman kanak-kanak, aku tidak seperti kawan-kawan sebaya.Apabila petang suasana di penempatan kem askar BN 19 dan BN 20, Senoi Praaq (Pasukan Polis Hutan) riuh rendah dengan suara kanak-kanak bermain di padang permainan yang terletak tidak jauh dari rumahku.Aku hanya menonton rancangan televisyen.Semua rancangan tv menjadi tontonanku.Dari berita semasa sehingga ke rancangan kartun.

Kalau rancangan berita pasti satu berita antara berita-berita yang disebut melekat kuat di ingatan.Waktu itu era kemuncak perang Vietnam utara dan selatan.Aku mengikuti kisahnya.Rancangan kartun kegemaran pula tentulah Roadrunner dan Sinbad Jr.



Tetapi apabila Ramadan menjelma, aku pasti akan tertunggu-tunggu drama bersiri arab.Kisah nabi-nabi terdahulu.Pada setiap petang bulan Ramadan aku pasti akan menanti drama itu.Walaupun tak memahami apa yang dituturkan, tapi jalan ceritanya kufaham kerana ada sarikata di bawah skrin.Mungkin aku minat mengkaji sejarah nabi dan islam di sekolah dan apabila kisah yang kubaca ada kaitan dengan jalan cerita di tv, itu yang membuatkan aku lekat di depan tv.

Apabila cerita dan kisah nabi menjadi kesukaan ketika aku berusia 8 atau 9 tahun, aku semakin berminat mengkaji islam.Tambahan pula kawan-kawan  dari kaum melayu  memang rapat denganku dan mereka selalu bercerita tentang islam.Aku pula mengambil subjek Pengetahuan Agama Islam dan bacaan jawi sejak darjah satu hingga ke darjah 5.Jadi minatku bertambah kerana apa yang aku belajar selari dengan apa yang aku tonton di tv. Tahun ke tahun, memang aku tak pernah lupa menonton kisah para nabi di tv setiap kali menjelang bulan Ramadan.

Sewaktu darjah 3 (tahun 1974) aku telah pandai membaca jawi dan mengaji sikit-sikit.Kenal huruf-huruf arab.Aku masih ingat ustaz Hassan Basri adalah orang yang selalu memberi peluang kepadaku untuk belajar tentang agama islam.Rakan-rakan sekelas pula memang amat baik dan sentiasa memimpin aku dalam memahami subjek itu. Pada suatu hari Ustaz Hassan akan memimpin kami praktikal amali solat di masjid Iskandariah berdekatan dengan sekolah rendahku.Aku tidak dibenarkan kerana kata ustaz aku bukan islam.Rakan-rakanku tak puas hati dan memujuk ustaz Hassan supaya membenarkan aku turut sama amali solat.Atas desakan rakan-rakanku, akhirnya ustaz setuju dan membenarkan.

Di masjid aku belajar berwudhuk dan bersolat.Aku perhatikan satu persatu apa yang rakanku lakukan ketika berwudhuk dan aku hanya turut saja.Melafazkan niat dan berwudhuk.Ketika solat juga begitu.Kami berbaris beramai-ramai dan melakukan amali solat.Bila tiba waktu sujud, rakanku yang nakal tiba-tiba terkentut langsung ketawa.Aku yang ikut saja perlakuan tersebut tidak dapat menahan lucu lantas ikut sama ketawa.

Bila bersendirian, aku banyak memikirkan tentang apa yang telah aku lalui pada hari itu.Hidayah Allah datang juga, aku kerap mengalami dan bermimpi sesuatu yang terkesan dalam jiwa kanak-kanak ketika itu. Sejak itu aku tidak berpaling lagi.Fikiranku hanya islam sahaja di hati.Aku bertekad akan menjadi seperti rakan-rakanku yang islam.Mereka bukanlah rakan yang baik.Kenakalannya sama saja tetapi bagiku ajaran islam lebih sempurna.Soal rakan, mereka bukanlah contoh bagiku.Aku hanya suka berkawan.

Aku bertuah kerana ustaz Hassan Basri seorang yang lembut dalam mendidik kami.Aku banyak belajar ilmu agama peringkat awal di sekolah darinya.

Mungkin ketika itu (belajar di ITM-1983) selama empat tahun mendatang selama 8 semester yang bakal aku lalui adalah masanya untuk aku kotakan keazaman dan niat untuk memeluk islam.Siapa tahu?.Aku telah remaja.Aku telah bebas melakukan apa yang aku suka. Sewaktu menanti keputusan SPM 1982 keluar dulu, pernah juga aku suarakan kepada Bah (abah).Suatu hari nanti, aku akan masuk islam.Abah marah.Katanya aku perlu habiskan belajar dulu.Selepas itu terpulanglah.Orang tua itu, dalam marah-marah dia redha juga andaikata aku islam.

Dan mungkin juga, apa yang NZ beritahu kepadaku jika aku telah mengotakan hasrat hati, cuba juga mengajak GK ke arah yang sama.Gadis itu memang selalu kufikirkan.Mungkin juga selama tempoh belajar aku akan cuba dulu mencari rahsia tentang dirinya.Aku telah menjadi pemuja dalam diam (Secret admirer).Ciri-ciri pilihan memang telah ada pada dirinya.Cuma aku tidak tahu adakah hatinya sudah dimiliki.

Ketika pertama kali mengenalinya secara zahir sewaktu perjumpaan di Gombak dulu aku telah jatuh hati padanya.Rambut panjang melepasi bahu selalu diselitkan ke cuping telinganya.Juntaian rambut menutupi dahi bak china doll (itu yang suka dipandang).Bermata sepet dan berkulit cerah.Tinggi lampai dan peramah.Semua ciri itu mengingatkan aku pada  rakan sekelas berketurunan tionghua ketika tingkatan 5 dulu.Itulah rahsia pilihanku.Rahsia seorang secret admirer. 

22 May 2017

Latihan Dalam Kumpulan (Minggu Suaikenal) : Rahsia Diri

Aku dan Sariman ditempatkan di Kolej Jati Blok D di tingkat lima yang terletak di luar kampus ITM.Jenuh juga menaiki anak tangga tiap kali balik dari kuliah.Rakan sebilikku pelajar dari Sarawak yang beragama Kristian, James namanya, dan apa yang aku pastikan dia kurang bergaul dengan rakan serumah.Kemungkinan ramai penghuni bilik itu terdiri dari kaum melayu dan beragama Islam dan dia satu-satunya beragama kristian.Aku dan James sebilik dan kami menghuni bahagian dapur yang terdapat katil dua tingkat.Aku mengambil katil di atas sementara James di bawah.

Aku jenis yang tak kisah dengan siapa aku berkawan.Rakan lain terdiri dari cikgu, Taib pelajar dari Johor, Zakaria atau Pak Ya dari Pasir Mas, Kelantan , Azmi dari Melaka, Shahrul Zaman dari batu 5 Gombak (pelakun drama era 1990’an), Zakaria atau Zek dari Johor Bahru yang terkenal dengan motor scramblernya tuh, Sariman dari Layang-Layang Johor dan seorang lagi tak ingat nama tapi berasal dari Melaka juga.




Aku telah terbiasa bergaul dengan rakan-rakan dari pelbagai kaum jadi aku boleh masuk dari celah manapun.Oleh kerana aku Orang Asli Semenanjung maka banyaklah  persoalan berkaitan Orang Asli dilontarkan kepadaku.Mungkin rakan-rakan sebilik tidak pernah melihat bagaimana rupa bentuk fizikal orang asli agaknya.

Di sekolah pengajianku, aku dan beberapa rakan-rakan sealiran disatukan di dalam satu kumpulan LDK.Seingat aku cuma tiga orang sahaja yang sekelas denganku iaitu kumpulan 2.Rakan yang lain terdiri dari kelas berlainan.Antaranya yang masih aku ingat Abdul Halim berasal dari Kedah, Ibrahim dari Melaka dan NZ, pelajar perempuan dari Pasir Mas Kelantan.

Di dalam kumpulan LDK seperti biasa kami memperkenalkan diri masing-masing.Apabila aku memperkenalkan diriku sebagai Orang Asli Semenanjung, ada antara rakan-rakan yang terkejut dan tidak menyangka kerana pada perkiraan mereka aku seperti kaum Melayu.Bagiku itu biasa kerana tidak ada bezanya jika hendak dibandingkan dari segi fizikal.Antara yang benar-benar ingin mengetahui tentang diriku ialah seorang pelajar dari pantai timur iaitu NZ, pelajar bertudung labuh dan kadangkala berjubah.

Setiapkali jika ada waktu terluang, NZ selalu mendekatiku untuk bertanyakan itu dan ini.Banyak juga aku ceritakan tentang diriku kepadanya termasuklah persoalan pegangan hidupku.Pernah juga NZ bertanya tentang agama yang aku anuti.Jawapanku pada ketika itu aku berfahaman free thinker, sambil menerangkan bahawa orang asli lebih percaya kepada semangat dan kebanyakan mereka  golongan athies atau animisma

Bila perbualan kami menjadi lebih peribadi, aku terangkan kepadanya bahawa aku telah berniat sejak kecil untuk memeluk agama Islam !.satu rahsia peribadi yang tidak semua orang tahu.

Pada ketika itu hanya NZ sahaja yang tahu pandanganku tentang Islam.NZ telah memberi aku semangat dan harapan untuk aku mengejar cita-cita zaman kanak-kanak.Kadangkala aku segan dengan NZ disebabkan dia beriya-iya untuk mengetahui tentang diriku dan pandanganku tentang Islam berbanding rakanku yang lain.

Sewaktu sesi LDK, kami diminta untuk menamakan objek sebagai perlambangan diri atau mewakili diri.Objek tersebut hendaklah dilukis di papan hitam dan kami diminta menerangkan apa kisahnya objek tersebut dengan kehidupan masing-masing.Aku memilih sehelai daun berwarna hijau dengan melukiskan urat-urat yang lurus dan bercampur aduk dan bersimpang siur.Ada juga aku lukiskan lubang-lubang kecil dan besar di atas daunku.




Aku diminta menerangkan apa maksud lukisan daun itu.Aku gambarkan diriku seperti sehelai daun yang hijau (muda remaja).Urat yang lurus mewakili garisan kehidupan ini yang lurus dan tulus dan kehidupan itulah yang aku cari selama itu.Sebuah kehidupan yang mempunyai arah tujuan yang benar.Urat-urat daun yang bersimpang siur pula adalah jaluran kehidupan yang tidak punya  pegangan dan sentiasa berubah-ubah mengikut masa.Sementara lubang-lubang yang menembusi daunku adalah jurang-jurang yang membuat aku jatuh dan tidak akan timbul lagi.Juga mewakili sebuah memori hitam tentang sahabatku yang kematian ayahnya.

Aku pasti ketika itu NZ memahami tentang perasaanku mengenai pencarian kehidupan yang benar.Sejak itu NZ juga bercerita tentang kehidupannya sebelum memasuki pengajian senilukis.(dirahsiakan)Dalam LDK, pelajar lelaki juga diuji dengan menyerahkan dompet dan dikumpulkan sambil faciee meminta pelajar perempuan memilih satu darinya dan melihat apa isi yang ada di dalam dompet itu.Tak sangka NZ mengambil dompetku, namun apalah sangat yang ada di dalam dompet duit itu hanya kad pengenalan dan duit tak sampai RM30.00 pun.Selebihnya nama dan alamat rakan-rakanku.Begitulah kisah yang dapat aku ingat dan selebihnya permainan yang mengeratkan lagi hubungan sesama kami.

Hal itu mungkin ada benarnya, kerana setelah masuk minggu kuliah.Aku semakin rapat dengan Abdul Halim.Kami melukis bersama dan begitu juga waktu makan tengahari, pasti aku mencari Halim dan mengajaknya makan di dewan makan Kolej Seroja.

NZ pula bagiku seorang pelajar yang taat pada amalan keagamaan.Cara pakaiannya memang amat asing pada pandanganku ketika itu kerana aku tidak pernah melihat gadis muslim yang berpakaian sebegitu.Jadi hubungan kami agak terbatas.Namun pada satu hari aku tidak menyangka NZ datang menyapa dan  melihat aku dan Halim melukis.Secara tiba-tiba NZ meminta Halim beralih tempat kerana ingin duduk di sisiku dan melihat aku melukis.Katanya cara aku melukis cantik dan NZ berhasrat ingin mempelajarinya.(NZ sebelum itu bersekolah aliran sains).Aku tidak kisah namun terasa janggal apabila ada gadis di sebelah melihat aku melukis.

NZ dan Halim rupa-rupanya sekelas dan aku tidak ingat mereka berdua kelas apa.NZ juga menceritakan di kelasnya juga ada seorang pelajar perempuan Orang Asli yang namanya seakan nama cina.Aku pasti pelajar yang dimaksudkan itu adalah GK.Kata NZ dia hairan kerana GK berketurunan orang asli tapi bernama cina.Semasa LDK dulu, NZ pernah mengusikku tentang GK, katanya cubalah ajak GK ke arah islam.GK tu boleh tahan juga orangnya , lanjutnya lagi.mmm..bagaimanakan kumula sedangkan aku masih tidak punya apa-apa.Rahsia itu akan tersemat nantinya kemas di sanubari.Aku hanya mampu tersenyum mendengar kata-kata NZ.

20 May 2017

Don McLean - Vincent (Starry Starry Night)



aku juga meminati lagu Vincent.sejak mempelajari sesuatu mengenai senilukis, aku mula mengenali beberapa pelukis era post impressionist.tak sangka lagu ini mengabadikan pelukis itu.ketika bersendirian aku memetik gitar sambil memainkan lagu Vincent ini.

Sebenarnya, semasa kepergianku ke ITM, aku membawa bersama kaset-kaset lagu The Beatles dan Sohaimi Mior Hassan.Cuma waktu itu aku tidak mempunyai alat pemain kaset.Jadi kaset-kaset tersebut hanya menghiasai almariku.Hanya kadangkala aku meminjam pemain kaset yakni walkman dari rakan ku Pak Ya atau Zakaria untuk melepas rindu.

Aku suka mendengar lagu-lagu The Beatles sejak usia kanak-kanak lagi.Jadi sayang rasanya nak tinggalkan kaset itu di rumah.

16 May 2017

If by Bread (sentimental feeling)

If a picture paints a thousand words
Then why can't I paint you?
The words will never show
The you I've come to know

If a face could launch a thousand ships
Then where am I to go?
There's no one home but you
You're all that's left me too
And when my love for life is running dry
You come and pour yourself on me

If a man could be two places at one time
I'd be with you
Tomorrow and today
Beside you all the way

If the world should stop revolving
Spinning slowly down to die
I'd spend the end with you
And when the world was through
Then one by one the stars would all go out
Then you and I would simply fly away

14 May 2017

Kenangan Lalu..(sebuah koleksi peribadi 1983)


Bas nombor 37 berhenti di hujung simpang.Aku turun dan mengucapkan terima kasih kepada pemandunya.Dia senyum lalu mengucapkan selamat jalan kepadaku.Ku balas ucapan itu dengan senyuman juga.Bas berlalu dan aku masih lagi terpaku buntu.Berdiri mencari arah pulang ke kampung halaman.Tidak ada siapa yang sudi menyambutku petang itu.Justeru aku juga tidak berharap akan ada sesiapa menantiku.Mereka sudah tidak lagi mengenaliku.Sedang aku telah lama di rantau. Pasti tiada sesiapapun akan mengenaliku.

Bas  berlalu pergi sambil mataku menghantarnya hingga hilang di balik jejeran pokok kelapa sawit.Bas itu masih menabur khidmat baktinya.Ada kenangan lama yang sukar ditepis melihat bas itu berlalu.Bas pergi dan aku pun melangkahkan kaki.

Kumulakan langkah dengan rasa hati yang amat berat.Bagai memikul bebanan di pundak bertan-tan rasanya.Begitupun rinduku tidak pernah reda.Rindu bertemu insan yang telah lama kutinggalkan.Mereka menanti dengan penuh senyuman.Insan-insan yang terpateri di hati. Sanggupkah aku menahan rasa duka di jiwa.

Sekilometer lagi langkahan kaki ini ke destinasi akan menemukan aku dengan istanaku.Istana yang kubina bersama gadis pujaan 16 tahun lalu.Gadis yang kugilai sejak usia remajaku.Kelembutan, kecantikan gadis desa yang tiada bandingan.Paling memikat kepandaiannya mengaji ketika kami anak desa mengadap Ustaz Hashim di suraunya.Lunak dan fasih bacaan dan rindu padanya mekar berkembang.

Aisyah, itulah dara pujaan kampung yang menjadi idaman pemuda sebayaku.Masing-masing cuba menonjolkan diri ingin mencuri perhatian gadis itu.Aku tidak mahu terjebak dalam perebutan lantaran kekurangan diri, lantas aku hanya memujanya dalam diam.Namun satu peristiwa yang tidak akan dapat aku lupakan bila gadis itu sendiri mencurahkan rahsia hidupnya yang selama itu terbuku.

Aku sangat menginginkan dirinya meskipun terpaksa bersaing dengan Azman, pemuda sebaya yang lebih bergaya dan berharta.Kawan paling rapat sejak zaman kanak-kanak lagi.Azman seorang yang berdisiplin, bercita-cita besar dan pintar.Di sekolah sering mendapat markah tertinggi di hujung setiap peperiksaan.Aku kadang-kadang cemburu namun aku akur kelemahan.Azman pula tidak pernah membezakan aku dengan rakan yang lain.Kami berkawan rapat sejak kecil sehinggalah masing-masing menamatkan SPM.Keputusan yang cemerlang membawa Azman ke menara gading dan aku masih di ceruk kampung menunggu jawapan permohonan ke jawatan kerajaan.

Aisyah pastinya akan terpikat dengan kelebihan yang ada pada Azman.Aku sudah mula pandai cemburu tika itu, lalu tidak mahu lagi meneruskan persaingan itu.Selepas itu Aisyah juga berjaya menjejakkan kaki ke maktab perguruan di ibu kota.Cita-citanya untuk menjadi pendidik akhirnya tercapai dan sejak itu desa ini menjadi sunyi kerana tiada lagi bunga yang menyerikan hari-hari kami.

Langkahan kakiku petang itu menjadi perlahan ketika sampai di jambatan kayu merentangi sungai.Di bawahnya sungai jernih mengalir.Masih macam dulu.Cuma airnya tidak lagi deras.Aku berhenti di tengah jambatan itu.Merenung jauh, sejauh kenangan yang lama tersimpan.Cerita indah pernah berlaku di bawah jambatan ini.

Di situlah aku, Azman, Din Gagap, Ali Hashim, Deris Gemuk dan Lokman mandi-manda sambil menanti anak dara kampung lalu.Di sanalah juga peristiwa kepalaku berdarah dibaling batu kerana mengusik Aisyah.Aku sangkakan Aisyah dan rakannya cuma bergurau tapi sangkaanku meleset.Aisyah pohon maaf tapi aku tidak menyalahkan dirinya.Kamilah puncanya. Aisyah dan rakannya mengadu kepada bapa masing-masing namun  kepalaku berdarah demi kerana Aisyah.

Aku kembali mengatur langkah.Rasanya tidak mahu mengenang lebih jauh peristiwa itu.Memang hatiku remuk dan kecewa ketika ini.Bayangan semalam bagaikan terasa baru berlalu.Tidak sangka begitu cepat waktu berjalan meninggalkan aku kembali mengutip sisa-sisa kenangan.Benar sepanjang jalan masuk ke kampung ini begitu banyak kenangan yang tercipta.Aku masih ingat waktu kami di sekolah rendah.Berjalan ramai-ramai pulang dari sekolah menuju rumah masing-masing.Kami telusuri jalan ini sambil bergurau dan bercerita peristiwa di sekolah yang melucukan.

Hari itu Azman kawan baikku tidak ke sekolah kerana demam.Aku yang ketinggalan bas pulang bersama pelajar perempuan sekampung. Aku melihat Aisyah berbisik sesuatu ke telinga Suhana sambil memandang ke arahku di belakang. Entah apa yang dibisikkan Aisyah hingga membuat Suhana ketawa lantas senyum menoleh kepadaku.Aku hanya diam merenung telatah mereka berdua.“Amir…Aisyah suka awak..!!” tiba-tiba Suhana menjerit lantas berlari meninggalkan Aisyah terpinga.Melihat itu Aisyah jadi malu lantas mengejar rakan baiknya dari belakang.Aku tergamam.

Mungkin itu agaknya yang dikatakan Aisyah kepada Suhana tadi.Aku lihat dari kejauhan Aisyah mencubit bahu Suhana.Gelihati melihat tingkah dua sahabat itu.Mereka dua bersahabat baik sejak darjah 1 lagi.Di mana ada Suhana di situ ada Aisyah begitulah sebaliknya.Aku kagum dengan sikap mereka berdua yang punyai ikatan sepupu itu.Tidak pernah aku terlihat mereka bermasam muka apalagi bergaduh sesama sendiri.

Sehinggalah kami melangkah ke sekolah menengah, Suhana dan Aisyah masih seperti dulu.Aku tidak lagi rapat dengan mereka seperti waktu di sekolah rendah.Mungkin masing-masing sudah tahu erti malu.Batas sempadan lelaki dan perempuan yang sudah menginjak ke alam remaja.Suhana dan Aisyah sudah mula mengenakan tudung baik ke sekolah mahupun ketika berjalan-jalan di desa ini.Mereka berdua makin manis begitu.Mereka sudah menjadi anak gadis yang menjadi bualan pemuda kampung. Sejak itu juga aku mula berangan dan berperasaan ingin berkawan dengan Aisyah.Ah cinta monyet.

Aku berjalan lagi, mencari arah mengikut hati.Hati yang pilu seperti waktu dulu ketika aku terpaksa meninggalkan desa ini.Meninggalkan seribu kenangan yang terpendam.Berhenti di bawah bayangan pohon sena petang itu hati bertambah sebak.Suatu ketika dulu di bawah rimbun pepohonan sena aku dan rakan berlindung dari basahan hujan sewaktu pulang dari sekolah.Aisyah dan sepupunya juga sudah tercegat di situ mencari teduh.Aisyah memandangku dengan senyum, mata kami bertentang lalu aku tunduk mengalah.Di situlah saat hati berbisik bahawa gadis remaja itu punya senyum yang manis berlesung pipit dan sepasang mata yang cantik di balik tudung putih.Lalu dalam diam cintapun berputik.

Deretan pohon sena menuju desa sudah tua benar.Tidak seperti dulu bila waktu kami anak desa menuju hentian bas berasa kagum dengan hamparan kuning angsana desa yang gugur lewat subuh.Kabut pagi mendingin dan hamparan sena menguning, mengajak kami menikmati keindahan itu.Bagai salji sepanjang jalan keluar desa dipenuhi bunga halus kuning apalagi ditiup angin lembut lalu gugurnya bagai panorama musim sejuk di negara barat.Indahnya waktu itu sehingga kami terpegun.

Kenangan itu sudah lama berlalu.Azman, Aisyah, Suhana sudah tidak ada di sini untuk berkongsi cerita. Setahun selepas itu akupun berjaya ditawarkan ke jawatan kerajaan.Sebagai kerani di pejabat daerah di Bandar.

Setiap inci bumi desa ini aku lewati.Setiap langkahan aku berhenti, merenung panjang pada sebuah kenangan yang lama tersimpan.Kadang-kadang semacam lelaki kurang siuman bila aku berdiri memandang sepi kepada suatu tempat yang masih kuingat.Aku mula mencari pangkal kisah mula pertama kali aku mengenal dan mencintai Aisyah.Ya di sini mulanya, di bawah pohon sena ini juga sewaktu pulang dari kerja di bandar.Aisyah juga pulang lewat bercuti tahunan dari sekolah tempat mengajarnya di ibukota.Sewaktu turun dari bas petang itu Aisyah menyapaku..“Amir…??”
“Amir..??”
Kutoleh dan senyum.Aisyah membalas senyum.Senyum yang bisa menggetarkan hatiku.Degup jantung bertambah laju ketika Aisyah mendekati.
“Aisyahhh..” balasku perlahan.“Amir boleh tolong tak?” Aisyah senyum lagi.Sedikitpun tidak pernah kulupakan senyuman berlesung pipit itu.Usia kami ketika itu sudah mencecah pertengahan dua puluhan dan saat memandang Aisyah itu hati jadi bergetaran.Masih kurindukan senyummu, Aisyah.
“Boleh..”
“Bawak beg ni,boleh.?”
“Banyak begnya ni..Aisyah”
“Ha..ah,Aisyah dapat tukar sini.Jadi bawak la sikit.Beli barang kat Bandar  tadi tak sedar dah banyak pulak.Takpakan Amir..?”
“Ok jer”
“Terima kasih”

Sepanjang jalan masuk ke kampung menemaninya, kami bercerita.Tentang kerja, tentang kawan-kawan lama Suhana, Azman ,Lokman, Din Gagap, Deris gemuk, Ali anak Ustaz Hashim dan kenangan.Aku seronok mendengar Aisyah bercerita.Ada-ada saja ceritanya.Memang patutlah dia menjadi cikgu, pandai mengolah dan menarik perhatianku.Aku bertanya padanya tentang Suhana, sahabat baiknya itu.Kata Aisyah ,Suhana sudah menjadi guru di selatan tanahair.Katanya lagi Suhana akan bertunang hujung tahun itu.Mendengar berita itu lalu aku jadi teruja ingin menguji dirinya.

“Aisyah pula bila..?”
“Bila apa…?
“Ya la..bila nak ikut jejak Suhana..?
“Aisyah tunggu Amir..!”ketawanya kecil tapi bermakna.

Aku terdiam.Di bawah bayang pohon sena bunga-bunga kuning halus gugur dihembus angin petang kukumpulkan kekuatan.Panorama dulu berulang kembali.Kali ini suasana sungguh romantis.Aku tidak tahu gurauan Aisyah itu sungguh-sungguh atau sekadar mainan.Tapi aku akui memang selalu memujanya.Meskipun Aisyah jauh di ibukota bertahun lamanya.Lalu aku luahkan bahawa aku menyukainya sejak dulu juga.Sejak bertentang mata di bawah pohon sena itu.Aisyah senyum malu.Rupanya masih segar di ingatan gadis manis itu peristiwa kami dibasahi hujan.

Aisyah, sebenarnya sudah lama menyimpan rasa.Memandangku menjadi debar, katanya, kehilanganku menjadi gusar.Satu rasa yang tiada pada rakanku yang lain.Setiap ketika hatinya dihambat rasa sayu bila mengenangkanku.Sejak dulu, katanya aku pemuda yang bertakhta di jiwa.Namun malu gadis itu menyekat niat.Aku terpaku.Alam juga kaku.Aku bungkam bahasa terdiam seribu rasa.Petang itu rahsiaku dan rahsia Aisyah bersatu.

Setahun mencurah kasih.Menitip sayang.Menyiram cinta agar kembang bugar sentiasa.Rindu yang tiada berkesudahan.Surat-surat penghubung kata, gambaran jiwa.Di sanalah ayat-ayatnya membenih cinta.Akhirnya ,Aisyah menyatakan sedianya menjadi suriku.Tahun kedua mencintainya aku paterikan ikatan itu dengan tautan syarak.Sahlah Aisyah menjadi isteriku di dunia dan akhirat selamanya.Istana yang dibina bertambah seri dengan lahirnya dua putera dan seorang puteri.

Aku tiba di laman istana waktu fikiranku ligat mengingatkan wajah putera puteriku.Tiada yang indah lagi di sini.Hanya tinggal tunggul kayu dan rimbunan lalang.Belakangnya belukar kecil telah tumbuh meliar.Aku memandang dari kejauhan dan sejauh itu juga kenangan silam yang hitam satu persatu menghentam fikiran.Malam yang jahanam memusnahkan segala yang aku miliki.Istanaku musnah dijilat api.Sedang aku longlai hanyut dalam syurga dunia.Melayan nafsu menjamu najis dadah.

“Abang ke mana dah dua malam tak balik ni?”
“Ala abang keluar sekejap saja!,kau jangan sibuklah, jaga anak kita”
“Tapi abang dah dua hari tak kerja, sudahlah bang, jangan campur dengan budak dadah tu”
“Kau jangan sibuk!,jaga rumah!”
Itulah kali terakhir aku keluar dari istana yang dibina bersama Aisyah.Tengah hari aku pulang setelah ketagihan ku reda dengan kepala yang berpinar-pinar ,aku tidak nampak lagi sergam indah istanaku.Cuma yang tinggal tiang-tiang kayu yang hangus terbakar dan asap kecil dari timbunan arang.Segalanya hilang lenyap,sunyi sepi dunia kurasakan.

“Kau ke mana Amir..? rumah kau habis terbakar.Celaka betul kau ni.Hidup tak seperti manusia, lebih baik kau yang mampus dulu.”Kata-kata itu masih terngiang-ngiang di telingaku.Umpatan, kejian, sumpah seranah semua dihamburkan kepadaku.Istanaku terbakar ketika aku khayal di port kebun kelapa sawit pinggir hutan.Aku tunduk menangis.Segalanya telah hancur.Petang itu juga aku ditangkap polis kerana ketagihan najis dadah.Ujian dadah positif dan aku ditahan di pusat serenti selama dua tahun.Aisyah, puteri dan puteraku dan desa itu, kutinggalkan.Belum sempat aku bertanyakan hal dan menatap wajah mereka lalu aku dibawa pergi bersama maruah diri yang telah punah.

Sebak di dada tidak tertahan lagi.Hatiku berbaur kesal.Laman istanaku kutinggalkan sepi.Aku cuba mencari silapku dulu berpunca di mana.Bermula kerana dicabar juga rasa ingin tahu nikmat berada di syurga khayalan.Mula hanya suka-suka tetapi menjadi ketagih dan semakin parah jika tidak mendapat bahan terlarang itu.Amanah tuhan telah kuabaikan.Kalaulah aku akur kata-kata Aisyah dan mentaatinya.Isteriku yang baik hati dan melayan karenahku selama itu.Tentu….ahh.

Aku tiba di laman damai destinasi terakhir.Hening petang itu dengan redup cahaya mentari tersirna di balik awan tebal.Angin semilir tidak lagi sedingin dulu.Masih membenciku agaknya.Aku pulang memujuk hati merindui kalian yang pergi.Sepi tapi dalam hati menangis kesal.Kesal yang tidak berkesudahan.

“Salam atas penghuni kubur, mukminin dan muslimin, engkau telah mendahului kami dan insyaAllah kami akan menyusulmu….”
Di hujung sebelah kanan sana tegak nisan isteriku, Aisyah dan batu-batu nisan kecil sebelahnya tersusun sepi.Mereka menungguku dengan damai.Tiada lagi salam lembut Aisyah menyapa seperti selalu ketika menyambutku pulang dari kerja.Tiada lagi laungan abah balik dari putera-puteraku.Lenyap sudah rengekan manja puteriku minta didukung kala melihatku setiap petang pulang ke pangkuan.Airmataku bergenang lalu jatuh deras membasahi janggut nipisku.Sebak dan hancur hati tidak tertahan lagi.Hilanglah kini senyuman lesung pipit yang manis dan sepasang mata yang cantik itu.Tersimpan kemas ia dalam kotak fikiranku bersama kenangan lalu.
  

10 May 2017

Julai 1983 : Minggu Suaikenal yang tak kenal.

Minggu orientasi menuju penghujungnya.Hari terakhir itu kami diasingkan mengikut bidang pengajian yang kami pilih atau terpilih.Aku dan Sariman mengambil barisan paling kanan.Barisan yang menghimpunkan pelajar-pelajar senilukis dan senireka.Di situ aku mula mengenali wajah rakan-rakan sekuliahan yang akan berjuang di bidang yang sama.Oleh kerana masih baru kami tidak banyak berbual dan rata-rata membisu dan menantikan saja arahan selanjutnya.Paling belakang pula barisan pelajar perempuan.

Setelah beberapa penerangan ringkas kami dimaklumkan akan dipimpin oleh senior Art And Design untuk ke bangunan senilukis dan senireka.Yeaayyy..tak sabar rasanya melihat bangunan senilukis yang gah dan terhimpun di situ berbagai karya seni pelajar-pelajar terdahulu.Antara mereka telah mencipta nama besar di bidang senilukis.Aku meminati seni halus dan aku akan mempelajari banyak perkara tentang subjek yang aku minati itu nanti.

Pagi itu kami pun bergerak perlahan ke arah bangunan yang dimaksudkan.Melalui bukit yang dikelilingi pohon-pohon  dan suasana pagi yang panas sedikit.Dari jauh aku dapat melihat bangunan seni yang tersergam di bawah bukit itu.Sepanjang melalui jalan pintas ada antara rakan-rakan yang sempat bergurau dan mengusik sesama kami.Katanya laluan itu ada pacatlah.Aku hanya tersenyum melihat tingkah mereka.Semua mereka itu terdiri dari anak-anak muda Melayu.Sementara aku , Sariman dan GK dari kaum Orang Asli Semenanjung.

Kami memasuki bangunan itu melalui pintu di kiri bangunan dan melalui beberapa studio dan jabatan.Sangat teruja melihat karya-karya seni yang sedang dipamer, sambil mataku mengelak dari memandang senior yang kelihatannya seperti bengis dan mengecutkan ulu hati itu.Senior yang memimpin menerangkan suasana yang ada pada ketika itu.Kami diterangkan mengenai beberapa studio dan jabatan seni.Ada jabatan seni halus, grafik, textile, fesyen, seni industry, seni halus logam dan seni halus pottery.Pandangan yang mengagumkan pada perkiraanku kerana segalanya bermain dengan warna-warna dan dipersembahkan dengan karya yang tersendiri.Sebelum ini aku tidak pernah tahu cabang seni yang pelbagai yang boleh dipelajari.Bagiku yang daif ini, senilukis hanyalah melukis saja.

Kami dibawa berjalan di sekitar dalam bangunan sambil diterangkan jabatan seni yang wujud pada masa itu.Seronok melihat setiap studio-studio seni ada saja karya seni yang indah pada pandangan mata.Ada juga arca logam pelbagai bentuk dan paling menarik semua hasil karya seni pelajar terdahulu dipamer di ruangan yang dipanggil foyer.Pelbagai hasil kerja seni ada di situ.Ukiran, lukisan, pintalan,anyaman dan catan.Tapi kami pelajar baru lebih tertarik kepada objek biasa yang terdapat di rumah dan pusat membeli belah.Ada seterika, peti sejuk, rice cooker turut dipamer.Tetapi apabila didekati ternyata ia adalah hasil kerja tangan yang amat halus yang dihasilkan melalui medium kertas saja.Semuanya dihasilkan dari bahan-bahan biasa untuk projek industrial design.Mengagumkan.

Di foyer itu kami asyik memerhati karya seni setiap satu yang dipamerkan.Aku rasa sungguh bertuah kerana telah memilih bidang yang sesuai dengan jiwaku.Aku berazam untuk mendalami bidang ini sejauh yang mungkin.Aku telah berada di dunia yang aku idamkan.Aku berada di institusi yang disanjung tinggi oleh pada pengkarya kerana di sini lahirnya insan-insan seni yang dipimpin oleh mereka yang hebat dalam sejarah kesenian tampak Malaysia.

Di akhir aktiviti, pelajar senior memaklumkan bahawa sebagai tradisi art and design kami akan melalui pula minggu suaikenal di peringkat kajian atau sekolah.Aku tidak berapa ingat berapa hari, minggu suaikenal yang akan dijalankan.Kami akan dibahagikan kepada beberapa kumpulan dan akan dipimpin oleh sekurang-kurangnya dua orang senior lelaki dan perempuan sebagai fasilitator.Kebanyakan aktiviti lebih kepada latihan dalam kumpulan.Kami juga diasingkan kepada grup study atau kelas selepas tamat minggu suaikenal nanti.Aku telah dipilih masuk ke kumpulan 2 dan kelasku terletak di tingkat bawah bersebelahan grup 1.

Kami juga diminta memberikan persembahan atau sketsa di akhir minggu itu sebagai hiburan santai dan penutup minggu suaikenal.Begitu juga pelajar perempuan diminta untuk memberikan satu sketsa.Terpulang bagaimana kami menyelaraskan dan mengaturkan sketsa yang melibatkan semua pelajar baru.Kecut perut bila mendengar arahan dari senior yang kadangkala lagak seperti pegawai tentera.Bermula dari situ hubunganku dan pelajar lain semakin mesra.Kami berbincang mengenai idea sketsa yang akan dipersembahkan dan melantik seseorang sebagai leader , pengarah sketsa.

Dalam kumpulan latihan dalam kumpulan atau biasa disebut LDK aku bersama dengan pelajar lelaki dari kumpulan lain dan pelajar perempuan juga.LDK satu wadah yang menyatukan kami dari segi hubungan dan toleransi komunikasi.Kadang-kadang timbul perasaan malu dan segan kerana ketika itu aku masih berasa rendah diri.Namun ia juga satu perkara yang baik kerana aku dapat mengenali rakan-rakan seperjuangan dalam bidang yang ku minati.Mujur GK tidak sekumpulan denganku.Jika tidak pasti aku tidak akan jemu menatap wajah chinese looks itu.Rakanku, Sariman aku pun tak ingat lagi.

Kembali menulis.

 Kembali menulis. Dalam usia yang telah mencecah 58 tahun, banyak nostalgia tidak lagi diingati dengan jelas dan tepat. Minat menulis masih ...