29 March 2014

Rakan pena

Aku perlu berubah dan aku perlu berhijrah.Itulah tekad yang aku ambil pada penghujung tahun 1987.  Aku kembali ke ibukota Kuala Lumpur dan dengan bantuan rakan-rakan dan pertolongan seorang pegawai kerajaan aku disyorkan meneruskan pengajian. Cuma tekad aku ketika itu hanya satu. Iaitu meneruskan pengajian kefahaman Islam di Institut Dakwah Islamiah Perkim , Jalan Universiti, Petaling Jaya yang dibuka khusus untuk saudara baru sepertiku. Bangunannya terletak berhadapan Hospital Universiti. Namun hasratku itu tidak dipersetujui dan beliau mencadangkan aku meneruskan di peringkat STPM. Katanya aku seorang yang boleh dikatakan pandai kerana pernah menuntut di Institut Teknologi Mara pada tahun 1983-1984 dulu.

Kisah ini telah kuceritakan pada entry yang lalu. Lalu aku pun memilih seperti apa yang dicadangkan. Yayasan Anda Akademik, Jalan Pantai Bahru, Kuala Lumpur. Memasuki tingkatan enam bawah pada tahun 1988 hingga 1989. Tempoh dua tahun itu sebahagiannya telah kuceritakan pada "entry" yang lepas. Itulah pengalaman bergelar pelajar kembali.

Dalam masa dua  tahun itu rakan pena dari pantai timur ,M ada mengutuskan kepadaku sekeping fotonya bersama rakan sekelas dalam uniform sekolah agamanya. Apa yang aku tahu dia sedang menanti keputusan STU (Sijil Tinggi Agama). Juga seperti biasa aku tidak menyimpan lama foto itu. Lantas kukembalikan semula. Sebenarnya aku selalu berasa bersalah jika meyimpan foto dirinya. Mungkin didikan yang kuterima semasa di al- Arqam dulu membuat aku berfikir dua kali.

Selesai STPM 1989 aku terus menetap di kota Kuala Lumpur mencari rezeki. Usia pun dah mencecah 24 tahun. Bermacam-macam pekerjaan pernah aku buat. Jadi pengawal keselamatan @ jaga. Penghantar barang, pencuci bangunan, pekerja kilang di Jalan Bangsar Syarikat Lever Brothers , pekerja kilang di Nestle Sdn Bhd..semua itu pengalaman.

Selama setahun di ibukota, aku pun berfikir untuk terus mencari pekerjaan tetap di jabatan kerajaan. Berbagai jawatan kerajaan telah kupohon. Sebenarnya aku berpeluang berkhidmat bersama PDRM satu waktu dulu.  Namun di saat-saat akhir aku tidak meneruskan niat tersebut. Dan pernah juga dipanggil temuduga jawatan Pelukis Pelan di Pejabat Daerah Jelebu, N.Sembilan. Namun peluang itu juga aku sia-siakan.

Lama-kelamaan aku terfikir untuk menetap di N.Sembilan terutamanya di Seremban kerana aku mendapat tahu dari seorang rakan di jabatan kerajaan peluang pekerjaan yang ada  di Jabatan Hal Ehwal Agama Islam N.Sembilan di Seremban. Aku berminat untuk mengembangkan pengetahuan Islam sebenarnya. Menetap di Taman Negeri berhadapan Tapian Gelanggang Paroi,Seremban , aku menumpang di sebuah rumah kepunyaan Ustaz Razak, kenalan lama sewaktu di al-Arqam awal 1986 dulu. Biasanya kupanggil abang. Abang Ajak mengalu-alukan kedatanganku. Penerimaannya terhadapku tidak pernah berkurang.

Di rumahnya , aku mengambil upah mengajar Muqaddam kepada anak anak jiran setaman. Dengan itu ada jugalah wang saku. Di situ , sekitar hujung tahun 1990 aku juga berkesempatan berkerja di kedai runcit kenalan Ustaz Razak di Ampangan, Seremban pada siangnya. Namun tidak lama. Aku tidak pernah dibayar upah walau sehari sekalipun. Aku nekad berhenti.

Pertengahan tahun 1991 aku meminta izin untuk pulang ke kampungku di Kampung Putra, Simpang Durian. Rindu benar rasanya dengan keluargaku. Tinggal di desa aku membantu ibu dan ayahku menebas tanah kebun getah yang semak samun. Sempat juga kuhabiskan. Itulah bakti kepada ibu ayahku sejak aku bergelar muslim. Kata ibu durian dan rambutan yang kutanam tahun 1984 dulu dan mula berbuah. Tapi tuannya tak pernah datang menjenguk. Terpukul dengan kata-kata ibu.Terharu.

Suatu hari aku terima sepucuk surat. Aku pasti surat dari M ,  rakan pena kerana kukenal tulisannya. Tapi cop di setemnya dari Kuala Lumpur. Hairan. Lantas kubuka dan baca. M menulis, dia sekarang (tahun 1991) berada di Keramat, Kuala Lumpur. Dan ayat lainnya ingin berjumpa denganku secepat mungkin kerana ada perkara ingin dibincangkan. Ada juga nombor telefon untuk dihubungi. Wah..inilah masanya aku dapat mendengar suara rakan pena yang dihubungi sejak tahun 1985 dulu. Malam itu aku tidak nyenyak tidur memikirkan bagaimana akan berjumpa dengan dirinya sedangkan satu sen pun tiada untuk dijadikan tambang...bagaimana.?



Dapat Hadiah Dari Ayah

Sejak dulu lagi aku terpaut pada beberapa lagu hits The Beatles, bertajuk And I Love Her , I Will dan Till There Was You dan Yesterday ...