25 December 2008

Suatu Masa...M.Nasir 1981

Bagaimanakan ku mula
Dan apakah kata-kata
Yang indah untuk diabadikan
Tiap wajah berkisah
Tiap madah bererti
Manakah ilhamku

Cahaya di matamu
Senyum di bibirmu
mengukir seribu tanda pertanyaan
Mungkinkah kau jua dalam kerinduan
Di saat begini aku merindukah

Berhelai-helai surat
Terbiar di depanku
Tak dapat aku utuskan
Ku ramas semua
Dan ku buangkan
Jauh dari pandangan

Lalu aku kesal
Ku kumpul semula
Tak dapat ku nyatakan apa yang ku rasa
Jika engkau tahu di dalam hatiku
Mungkinkah kau sahut jeritan batinku

Dengarkanlah panggilanku
Dengarkanlah lagu untukmu
Angin lalu kau sampaikan
Rasa rindu yang membara
Kepadanya

Warna-warna cintaku
Kian pudar bersama
Malam yang gelap gelita
Entahkan kau rasakan
Apa yang aku rasa
Atau kau tak endah

Tapi ku percaya
Semua telah tertulis
Dan niat suciku takkan disiakan
Dan di suatu masa
Di hari yang indah
Ku hulur tanganku
Lalu kau terima

lagu ini akan tetap menjadi memori...


22 December 2008

September 1991

Acapkali aku berbual dengan UJ perkara sama diulangi.Aku tidak kisah.Di samping itu UJ memaklumkan bahawa permohonannya kepada Majlis Agama Islam untuk menambah kakitangan sokongan sambilan di bawah unitnya telahpun dibuat.Hanya menunggu masa untuk diluluskan.Keperluan mewujudkan jawatan perlu dibuat kerana menggantikan seorang lagi pembantunya yang telah meletakkan jawatan kerana mendapat tawaran kerja tetap di perpustakan Negara di Kuala Lumpur.

Aku tahu Ustaz J cuba menarik minatku kepada seorang ustazah di bawah unitnya,Unit Ukhuwah.Selalu UJ menceritakan mengenai kebaikan,istiqomah dalam membantu kerja-kerja ustaz dan kecantikannya juga.Itu peringkat awal yang kuingat.Aku hanya mendengar.Aku cuba mencari-cari wajah ustazah yang diceritakan itu.Orangnya berkulit cerah ,katanya saudara baru juga sepertiku.Waktu itu aku tidak memikirkan perkara ini sangat kerana aku masih memujuk hati agar melupakan kenangan lama dan tidak menerima kehadiran sesiapapun di hati ini selagi aku masih belum bersedia.

Aku masih ingat sewaktu membantu UJ dan unitnya menjayakan kursus kefahaman Islam kepada saudara baru di Port Dickson pada September 1991.Waktu itu aku perasan ustazah yang dimaksudkan turut berada di sana.Aku mencuri pandang kepadanya.Alhamdulillah,bertudung labuh.Memang berkulit cerah orangnya.Berbeza denganku yang gelap ini.Tidaklah pada ketika itu aku cuba mendekatinya kerana perbezaan diriku yang daif dalam serba serbinya ini.

Sepanjang di sana tidak juga aku berbual-bual atau mengenalinya.Kami hanya bertukar-tukar pandangan tanpa iringan senyuman.Hati kadangkala terdetik dan gementar namun kukawal supaya tidak terlihat perasaan di dalam.Ada perasaan bertukar ganti di jiwa yang tidak dapat digambarkan.Namun kerjaku sebagai membantu unitnya ku jalankan sebaik mungkin tanpa kekok.Tidak mahu terlihat nanti tindakan bodoh yang tidak sepatutnya berlaku dalam situasi tertekan ketika itu.

Lagipun aku hadir kerana dijemput untuk membantu UJ.Itu tujuan asal aku menyertainya.Aku tidak tahu langsung sebenarnya UJ dan isterinya telah merancang sesuatu.Mereka merancang untuk mempertemukan aku dan ustazah kenalan mereka itu.Tidak sedikitpun menaruh syak wasangka.Mereka mahu aku mengenali ustazah tersebut dengan lebih dekat dan melihat sendiri orangnya.Aku baru teringat bahawa aku pernah terjumpa ustazah itu ketika waktu aku mula-mula melangkah kaki ke Jabatan Agama Islam N.Sembilan untuk bertemu UJ dulu.Ustazah dimaksudkan itulah yang menunjukkan kepadaku arah ke bilik UJ.Tidak syak lagi.

Sebenarnya ada dua orang lagi ustazah yang membantu UJ.Semuanya masih anak dara lagi.Tapi UJ mahu aku mengenali ustazah yang seorang ini.Ada cerita yang kudengar mereka mengusik ustazah itu dan bertanya pendapatnya berkenaan diriku malah aku dikatakan secocok dengannya.

Aku terkilan.Aku masih mengingati seseorang yang bayangan wajahnya sudah semakin pudar.Kenangan dan pengalaman lalu membuat aku pilu.Apakah terpaksa aku lepaskan ikatan kenangan yang membelenggu diri dan menghadapi kenyataan.Syukur ketika itu aku tidak terburu-buru meluahkan rasa sayangnya aku kepada gadis itu dulu.Tidak tahu bagaimana parahnya jiwa jika niatku disambut mesra dan akhirnya terpaksa berpisah.F yang kutahu dari cerita A (sahabat di YAA) berada di Rantau Panjang , Kelantan ketika aku bertemu sahabatku itu pada 2003 lalu.Kata A,  F telah berpurdah dan terlibat dengan perniagaan mengusahakan taman asuhan kanak-kanak Islam di sana.Baguslah untuknya sebagai rakan aku bersyukur F meneruskan niat murninya.Mungkin,kata A, F telah berkahwin….dan mungkin juga kata-kata F kepadaku dulu bahawa dia ingin menyertai usrah Al-Arqam ketika itu termakbul.Mungkin.

Ketika ini hadir pula seseorang.Kali ini dengan bantuan orang tengah yang bersungguh-sungguh ingin mengenalkan aku dengannya,seorang ustazah.Ustazah F namanya.(F lagi...).Aku tidak memberi kata putus.Aku mahu fikirkan sedalam-dalamnya.Apalagi wajah F  masih belum mahu berpisah.Hati ini telah selalu kupujuk supaya melepaskannya.Namun ada juga kucabar supaya sebaik saja menerima tawaran kerja aku akan mencari F.

Selesai kursus di Port Dickson, UJ mempelawaku menumpang balik bersama ke Seremban.Aku setuju tapi di dalam kereta UJ ada kelibat ustazah itu.Aduh.Mahu atau tidak aku terpaksa kerana tidak ada lagi kenderaan yang membawa kupulang.Lagipun arah perjalanan kami sama.Sepanjang perjalanan aku hanya sesekali berbual dengan UJ.Malu bercampur segan.UJ memaklumkan bahawa permohonan untuk menempatkan jawatan baru di unitnya telahpun diluluskan oleh pihak Majlis Agama Islam N.Sembilan.

Aku gembira mendengar perkhabaran itu dan rasanya aku tidak sabar lagi untuk memulakan khidmat sebagai Pembantu Dakwah Sambilan.

19 December 2008

Cerita cinta..

Aku dan Ustaz Jaafar beza usia hanya 2 tahun.UJ mendapat pendidikan dalam bidang Usuludin dan Tarbiyah di UKM,Bangi.Perwatakan UJ amat berbeza dengan lain-lain ustaz di jabatan agama.Beliau komited dengan kerja-kerja dakwah bukan setakat di universiti tapi sejak bekerja juga.Malah ABIM adalah wadah dokongan kelangsungan dakwahnya.Beliaulah satu-satunya ustaz yang bergiat dengan badan dakwah non government seperti ABIM maka aku tidak hairan melihat betapa istiqamahnya ustaz berdakwah.

Dari situ kami berkawan.UJ sentiasa mencurahkan ilmu dakwahnya dan kadang-kadang bertanya sesuatu yang beliau sendiri kurang jelas.Maka bermulalah dari topik-topik umum kepada lebih bersifat persoalan hidup dan peribadi.Pilihan hidup !.

Aku kurang selesa ketika itu berbual mengenai calon pilihan hidupku.Maklumlah aku ni al-faqir wal masakin...hehehee...jauh lagi hendak memikirkan soal jodoh.Tapi UJ menyatakan bahawa hidup muslim mesti punyai perancangan dan matlamat.aku tidak nafikan itu.

UJ menceritakan bahawa dia juga ada pengalaman bercinta dengan kenalan (siswi ) di UKM dulu.Katanya kenalannya itu orang Melaka dan  sebenarnya tidak  menyukai diri beliau.UJ benar-benar menyukai gadis itu tapi setiap kali telefon tidak dilayan dengan mesra.Begitulah yang berlaku dari hari ke hari.Kata UJ lebih kurang hampir seminggu beliau menelefon tapi tidak ada layanan baik diharapkan.Sehingga beliau mengambil keputusan untuk tidak menghubungi gadis itu lagi.(Sebenarnya taktik tu...nak tengok apa respon si gadis bila tidak dihubungi lagi).Nyata tidak sampai sehari,sigadis itu menghubunginya balik dan bertanya kenapa tidak menelefonnya lagi.(Kan dah cakap...orang perempuan!).Namun cintanya tidak disenangi keluarga si gadis.Pinangan ditolak kerana.....title "ustaz".Maka di situlah berakhirnya cinta pertamanya.

UJ mengajarku andaikata menyukai seseorang cuba lakukan apa yang pernah beliau praktikan (ilmu ni..hehehe).Aku yang teruja mendengar ceritanya juga menceritakan pengalaman peribadi bagaimana aku juga menyukai seseorang sewaktu menuntut dulu.Aku anggap itu sebahagian pengalaman dan kenangan.Aku masih ingat pesan ayah.

Awal 1990 hingga pertengahan 1991 sedikit sebanyak ingatan ku terhadap seseorang telah semakin hilang.Bagiku itu baik untuk diriku kerana aku  sendiri belum bersedia dari aspek material.Mungkin juga jodoh tidak seperti yang diimpikan.

Namun tanpa aku sendiri memahami rupa-rupanya UJ ada maksud tersendiri mengapa beliau bertanya tentang diriku.Aku dapat menangkap maksud segala pertanyaannya apabila kerap diajukan persoalan pilihan hidup.Aku hanya pendengar tapi bukan masanya memikirkan persoalan hidup di luar kemampuanku pada masa itu.

"sampaikan daripadaku walaupun satu ayat"

Mengajar saudara baru memahami Islam bukan satu perkara yang mudah. Mereka tidak biasa dengan istilah-istilah 'Arab. Ada yang tercengang, melopong dan ada yang memandang kepadaku dengan pandangan yang melucukan. Maklumlah mereka tidak biasa mendengar perkataan-perkataan yang mudah seperti sunat, wajib, makruh, solat, wudhu' dan sebagainya. Itu belum lagi perkataan yang amat asing bagi mereka seperti lafaz-lafaz niat. Namun aku tetap bersabar kerana lambat laun aku yakin Allah SWT akan memberi faham kepada mereka. Aku hanyalah alat perantara.

Alhamdulillah, aku dapat membatu Ustaz Jaafar meringankan sedikit kerjanya. Tergambar kepuasan di wajahnya ketika itu. Kami mencari uslub (kaedah) untuk menyampaikan maksud pengajaran dan pemahaman supaya saudara baru dapat faham dengan lebih jelas. Kami banyak menggunakan logik akal dan sesekali nas al-Qur'an dan hadis sebagai bukti qat'i dalam menerangkan sesuatu kewajipan beramal. Memang berdepan dengan saudara baru kita terpaksa lebih kepada logik.

Aku tidak sunyi kerana sentiasa di dampingi oleh mereka baik waktu mengajar, rehat bahkan waktu hendak melelapkan mata juga dihujani dengan pertanyaan berkaitan Islam. Aku terangkan apa yang aku faham dan selebihnya Ustaz Jaafarlah rujukanku.  Ternyata mereka memang perlu difahamkan bermula dari A hingga Z. Kadangkala kuselitkan juga kisah-kisah Rasul dan Nabi yang biasa aku dengar dulu. Dan adakalanya juga aku menceritakan bagaimana aku mula tertarik dengan agama suci ini.

Peringkat awal  mereka menyangka aku kaum Melayu yang asal Islam. Ya itulah yang berlaku. Namun setelah aku jelaskan bahawa aku juga seperti mereka yang suatu ketika dulu tidak ada pegangan agama. Mencari erti kehidupan sebenar dan maksud aku dihidupkan. Kenapa ada kematian. Mengenal siapa rabbi yang sebenar. Alhamdulillah hidayah itu telah lama bersarang dalam jiwaku cuma menunggu apakah aku akan datang menyahut panggilanNya atau tidak.

Dan kini aku amat-amat bersyukur. 

14 December 2008

Kursus Saudara Baru

Aku sudah punya kenalan di Jabatan Agama Islam N.Sembilan. Ustaz Jaafar orangnya komited dengan kerja-kerja dakwah kepada saudara baru. Banyak yang beliau ingin tahu tentang diriku. Beliau sedikit teruja apabila mengetahui bahawa aku juga seorang saudara baru (dah lama convert dah !). Katanya waktu itu kurang da'i-da'i dari kalangan saudara baru dan ini menimbulkan masalah untuk beliau merancang kursus. Dengan adanya aku, diharap dapat membantu kerja-kerjanya itu. Alhamdulillah. Aku nyatakan kepada UJ bahawa aku bersedia menolong mana yang terdaya.

Aku cukup berkenan dengan ustaz seorang  ini. Banyak yang aku dengar cerita tentang ustaz yang menarik hati. Perwatakannya, cara beliau berdakwah kepada saudara baru malah perngorbanannya juga mengagumkan.

Ustaz Jaafar menjemput aku menghadiri kursus saudara baru sebagai tenaga pengajar sambilan ataupun fasilitator. Aku terima dengan senang hati. Sekurang-kurangnya ilmu yang ada akan aku curahkan kepada  mereka yang baru mendalami Islam. Dalam masa yang sama aku juga belajar bagaimana berdakwah kepada saudara baru. Alhamdulillah, pengalamanku sebagai saudara baru suatu masa dulu banyak juga membantu dalam memberi semangat dan motivasi kepada mereka.

Aku mengikuti kursus pertama anjuran Unit Ukhuwah di bawah pimpinannya di Institut Pertanian Chembong, Rembau, N.Sembilan. Di samping itu tiga orang ustazah yang pernah aku jumpa di jabatan agama dulu juga turut membantu UJ. Di sana aku dilantik sebagai fasilitator (pemudahcara) untuk praktikal berwudhuk, solat dan sebagainya yang mudah-mudah. Memang kecil peranan yang diberi namun aku bersyukur kerana aku dapat mencurahkan ilmu yang pernah kutuntut dahulu. Sekurang-kurangnya amalan tersebut akan berterusan. InsyaAllah.

Suatu ketika selepas solat A'sar di surau institut , UJ memanggilku. Kami mengadakan usrah kecil. Bertukar-tukar pendapat dan percambahan idea. Selepas berbincang UJ bertanyakan umurku. Usiaku ketika itu sudah mencecah 26 tahun. UJ bertanya lagi kenapa "tak kahwin". Aku senyum. Aku teringat pesan ayah sewaktu di darjah 2 dulu. Kalau diri sendiripun susah jangan susahkan hidup orang. InsyaAllah, jika aku sudah punyai kerja tetap aku akan fikirkan.

Satu waktu dulu, aku sentiasa memikirkan F, bagaimana aku pernah melukakan hatinya. Jika aku punyai kerja yang bagus, insyaAllah aku akan cari dan tebus kesalahanku semula.

Di akhir usrah aku bertanya kepada UJ jika ada peluang kerja di jabatan agama. Aku lihat UJ  sedikit gembira kerana sememangnya dia perlukan pembantu lelaki untuk menyelia kursus-kursus dakwah pada masa akan datang. Pada ketika itu yang ada hanya 3 orang ustazah saja yang membantunya dan itu menyulitkankan kerana mereka kadang-kadang sukar hendak menunjuk ajar saudara baru lelaki. UJ memberi jaminan dan meminta ruang waktu untuk mengadakan perbincangan dengan Majlis Agama Islam N.Sembilan.

Aku gembira mendengar jawapannya. Lalu aku sentiasa berdoa jika ini jalan yang Allah takdirkan untukku satu masa lalu, maka  aku akan teruskan kerja-kerja dakwah kepada saudara seagamaku.

11 December 2008

Doa yang panjang...

Pertengahan tahun 1991 aku bermastautin di Seremban. Di rumah Ustaz Razak, seorang bekas ahli al-Arqam yang kukenali sejak aku menganut agama suci ini pada pertengahan tahun 1985 dulu. Dia mempelawaku tinggal bersama dengannya di Seremban. Dia bercadang hendak berniaga dan aku boleh membantunya.

Aku tinggal di Taman Negeri Seremban sambil membantu kerja harian Ustaz Razak yang juga seorang pakar mengurut. Di samping itu sebelah malamnya aku mengajar anak-anak jiran mengaji di taman tersebut. Sekurang-kurangnya aku ada sumber pendapatan sampingan. Bermula dari situ aku mula berhubung dengan kenalanku  yang bekerja di jabatan kerajaan bertanya jika ada peluang pekerjaan. Aku juga ada bertanya Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan mengenai peluang-peluang kursus.

Tempoh dari awal 1991 hingga pertengahan tahun tersebut merupakan hari-hari yang membosankan kerana tidak ada rutin yang luarbiasa dalam hidupku. Namun segala doa dan tawakalku kepada Tuhan akhirnya terjawab.

Suatu pagi aku ke jabatan agama Islam Seremban untuk bertanyakan tentang kursus yang boleh aku sertai. Seorang kawan mencadangkan aku berjumpa Ustaz Jaafar Muhamad, Penolong Pengarah Unit Ukhuwah yang bertanggungjawab secara terus aktiviti dakwah dan kebajikan kepada saudara baru. Aku melangkah ke tingkat 3 bangunan jabatan, sampai di pintu perpustakaan kulihat ada 3 orang ustazah sedang makan sambil berbual, lalu aku memberi salam dan bertanya di mana aku boleh berjumpa dengan Ustaz Jaafar.

Salah seorang ustazah di situ (bertudung labuh) menunjukkan kepadaku arah ke bilik UJ. Aku ucapkan terima kasih dan menuju ke bilik yang ditunjuk tadi. Di situ aku berkenalan dengan UJ yang menyambutku dengan senyuman. Alhamdulillah tafsiran awalku tentang ustaz ini melapangkan dadaku. Memang unit UJ menganjurkan banyak kerja-kerja dakwah kepada saudara baru.

UJ kulihat amat ceria dan mengharapkan agar aku sentiasa berhubung dengannya. Peluang ini memang tidak akan aku lepaskan. Akupun mula memasang doa dan pasrahkan hidup dan nasibku kepada Tuhan andaikata di situ ada jalan untuk aku meraih rezekiNya.

Sebuah doa yang panjang.

10 December 2008

Kembali ke Negeri Sembilan

Rasanya aku tidak lama berada di bandar besar ini.Dan rasanya tempatku untuk mencari rezeki bukan di sini.Aku sentiasa memohon petunjuk Allah SWT,  berfikir dan juga terkadang mencongak hari samada aku perlu meneruskan kelangsungan hidupku di sini.Rasanya ketika itu aku tidak menemui petanda yang dapat kujadikan alasan berada di ibukota ini.Aku mula berkira untuk kembali ke Negeri Sembilan.Aku mahu mencari pekerjaan tetap yang dapat menjamin masa depanku.

Aku sungguh-sungguh berterima kasih kepada rakan-rakan fuqara'ku,pengurusan masjid dan siswa-siswa Universiti Malaya yang juga menumpang sewa rumah bersebelahan Masjid Al-Rahman,UM kerana membantu menyelesaikan keperluan asas hidupku.Juga kepada kenalan-kenalan yang sama-sama menghadiri banyak kelas-kelas fardhu ain sekitar Petaling Jaya dan Kuala Lumpur dulu.Dan kepada Zamzuri staf UM yang memahami diriku.

Penghujung 1990 aku kembali ke Seremban,Negeri Sembilan.Seorang ustaz yang lama mengenaliku mempelawa tinggal bersamanya yang sudah berkeluarga di Taman Negeri bersebelahan Tapian Gelanggang Paroi.Namun  aku menolak kerana aku  mahu kembali dulu ke kampung menjenguk keluargaku kerana sudah lama benar aku meninggalkan mereka.Alhamdulillah semuanya baik.

Di kampung ayah,ibu adik-adikku menyambutku dengan gembira.Lelah sudah kembaraku,jauh sudah rasanya perjalanan ini.Kini tiba masa untuk berbakti kepada kedua orangtuaku.Sebak dan sesal tidak terucap lagi.Hakikatnya Islam masih kekal di hati.Aku tidak lama di kampung kerana waktu itu usiaku sudah hampir 25 tahun aku wajib mencari pekerjaan.

Dan aku akan mencuba nasib diri di Seremban kerana di sana aku masih punya kawan-kawan dan kenalan yang bekerja di institusi kerajaan dan swasta.InsyaAllah kepada Allah bertawakal.






07 December 2008

Kuala Lumpur

Kehidupanku di kota besar seperti  Kuala Lumpur ini tidaklah seindah yang diimpikan.Sebelum aku bekerja secara tetap aku telah banyak mencuba di pelbagai bidang pekerjaan.Apa yang aku dapati kebanyakan kerja agak sukar dan payah jika kita tidak menetapkan atau pandai membahagikan waktu.Kadangkala juga halangan dari majikan yang membuat aku sedikit kecewa.Aku mengambil contoh mudah seperti solat.

Aku dapati amat sukar menerangkan kepada majikan bahawa aku perlu menunaikan solat jika sudah sampai waktunya.Mereka tidak membenarkan solat ketika kerja-kerja perlu diselesaikan.Kebanyakan kerja kutinggalkan begitu saja kerana aku terpaksa mendahului tuntutan agamaku.Ada juga aku mengambil jalan dengan mudah iaitu berhenti kerja.Aku tidak mahu mengadaikan agamaku.Rezeki yang kudapat tidak kurelakan bercampur yang haram.

Memang aku banyak bertukar tempat kerja terutama swasta.Mengapa perlu bertegang urat semata-mata hendak mengerjakan amalan ibadah.Malangnya ada supervisor beragama Islam sendiri tidak membenarkan aku dan rakan solat.Melampau.Aku rela berhenti dari terus-terusan bersekongkol dengan orang seperti ini.


03 December 2008

Cerita dari ibu.

Aku tidak ingat berapa lama aku di kota besar ini.Kadang-kadang ada juga aku balik ke kampung menjenguk adik-adik dan ibu ayahku.Sudah agak lama aku merantau di tempat orang.Jadi pasti kerinduan kepada mereka terjemput juga.Walaupun mereka tidak seakidah denganku.Adik perempuanku, Sarina akhirnya memeluk juga agama suci ini.Maka dalam keluargaku hanya aku dan adik perempuan saja yang beragama Islam.

Aku juga punyai sepupu perempuan yang bernikah dengan orang Sabah dan menetap di Ranau,Sabah. Nurhidayah namanya.Alhamdulillah sejak aku tinggalkan kampungku,aku dapat tahu dari ibu sudah ramai penduduk mula menganut Islam.Malah di kampungku telah didirikan surau begitu juga kampung bersebelahan.

Nikmat ini perlu disyukuri.

01 December 2008

Awal 1990...Masjid Al-Rahman,Universiti Malaya

Awal 1990 aku masih lagi berada di kota Kuala Lumpur.Bersama teman dari jemaah Tabligh.Aku hanya mengikuti aktiviti anjuran mereka kerana aku ingin merasai pengalaman berdakwah dengan jemaah Tabligh.Banyak perbezaan jika dibandingkan dengan corak dakwah bil-hal al-Arqam.Masing-masing punyai kelebihan sendiri.Namun bagiku,aku hanya mengambil yang terbaik sahaja.Aku tidak mahu taksub kepada sesuatu amalan dan menjadikan hujah dalam berdakwah.Aku lebih suka cara bil-hal.Menunjukkan contoh-contoh terbaik.Oleh kerana aku jenis yang kurang bercakap jadi berdakwah dengan pebuatan adalah lebih utama dan aku fokuskan ke situ.

Tabligh merupakan satu cabang dakwah dan sifat wajib bagi Rasulullah SAW.Jemaah ini dinamakan tabligh kerana mereka keluar berdepan orang awam dan menyampaikan risalah thoyibbah terus kepada masyarakat.Di sinilah ujian sebenar dalam menyampaikan dakwah secara lisan.Tidak tahu samada yang mendengarnya suka atau tidak.Benci atau minat.Aku pernah merasakan ujian-ujian itu.Beginilah rupanya secebis ujian yang pernah dirasai oleh Nabi-nabi terdahulu.Malah bagiku ini adalah terlalu jauh dengan ujian yang pernah ditimpakan kepada para Rasul.

Selain itu aktiviti mingguan ialah beriktikaf di Masjid India,Kuala Lumpur.Memang penuh sesak dengan jemaah dari dalam dan luar negeri.Terutama jemaah yang datang dari Pakistan dan India.Semuanya berpakaian putih.Terdapat juga watak-watak popular tempatan yang pernah biasa terlihat di kaca tv.Tidak sangka mereka juga aktif berdakwah malah mesra bila ditegur.
Itulah kehidupanku yang biasa.Pada pagi Sabtu pula, aku dan rakan dari sekitar Kuala Lumpur akan ke Kampung Baru untuk mendengar kuliah agama di rumah Pak Yazid.

Untuk menampung kehidupan di sini (KL) aku bekerja di kilang Lever Brothers ,Jalan Bangsar.Cukuplah untuk lepaskan aku seorang.Aku biasa tinggal di masjid jadi Masjid al-Rahman,Universiti Malaya semacam rumah bagiku.Tambah lagi kulihat ramai juga golongan fuqara' yang menumpang tidur dan iktikaf di situ.Alhamdulillah ramai juga kenalan.Pihak pengurusan masjid tidak menghadapi masalah dengan golongan itu kerana di samping dapat membuat amalan malam sekurang-kurangnya masjid mempunyai pengawalnya di malam hari.

Itulah kehidupanku di awal 1990 dulu.Bekas rakan dari Yayasan Anda Akademik,Noor Azam kadangkala singgah di masjid dan menziarahiku jika kelapangan.Kami berbual dan adakala Azam turut iktikaf di masjid berkenaan.

Kembali menulis.

 Kembali menulis. Dalam usia yang telah mencecah 58 tahun, banyak nostalgia tidak lagi diingati dengan jelas dan tepat. Minat menulis masih ...