04 September 2014

Cinta Pertama - 1991

Kami turun di persimpangan Taman Desa Minang,Gombak dan terus menghala ke klinik perubatan al-Arqam berdekatan.Aku meminta M masuk sementara aku duduk menunggu di luar.Mataku terarah ke sepasang kasut M yang cantik.Belum pernah aku lihat kasut wanita secantik itu.Mesti mahal harganya.Warna krim bersulam bunga-bungaan ros merah.Dalam 20 minit M keluar dan kami beredar.Semasa perjalanan ke jalan utama ,M menceritakan sesuatu kepadaku.Katanya petugas di dalam klinik bertanya siapa lelaki yang menunggu di luar tu.M menjawab dengan tenang,bakal tunangannya.Aku senyum, kulihat M juga tersenyum sambil melemparkan pandangannya ke depan.Dalam hati kecil ini (ketika itu) aku hanya berharap hubungan i ni menjadi sesuatu yang istimewa akhirnya.Tak sangka M boleh bergurau ke tahap itu.Tiba di tepi jalan besar aku mengajak M bersarapan kerana sejak dari pagi tadi aku tidak makan apa-apa.M bersetuju dan kami ke warung berdekatan.

Aku duduk berhadapan dengan M sambil menikmati nasi goreng sementara M memesan minuman sahaja. Itulah detiknya pertama kali aku menatap wajah si gadis yang menjadi rakan pena, pertama kali sejak enam tahun yang lalu.Pagi itu M memakai tudung labuh berwarna kelabu dan ada sulam bunga kecil di hujung tudung sekeliling wajahnya.Aku masih ingat itu.Ketika itu aku sudah tidak mampu menolak perasaan yang bercampur baur dalam hati.Wajah seakan Ustazah Norhafizah Musa (kini) .M seorang gadis yang hebat di mataku.Mendapat didikan  agama sehingga Sijil Tinggi Agama.Mempunyai azam yang tinggi.Hasrat hatinya berhijrah ke Kuala Lumpur semata-mata ingin menjalankan perniagaan.

M mengulangi ajakannya supaya aku menjadi rakan kongsi dalam perniagaan.Semacam ada perancangan besar yang terselit di sebalik kata-katanya itu.Lalu M menceritakan betapa dia sudah mempunyai modal.Aku sekadar menguji dan bertanya berapa banyak yang telah dia kumpulkan.M beritahu kepadaku jumlahnya RM 7000.00, hasil simpanannya ketika menjadi guru sandaran dulu.Semua disimpan di akaun Bank Simpanan Nasional.Wau....Aku terkedu.Tak sangka dia boleh menyimpan sebanyak itu.

Katanya,dia berazam akan membuka kedai menjual kasut wanita.Patutla..!!!Aku baru teringat kasut yang dipakainya.M meminati kasut.Patutlah kasutnya menarik perhatianku di klinik tadi.Dia asyik bercerita perihal perniagaan kasut wanita yang belum ramai menceburinya.Tapi apa yang lebih penting M mahu aku bersamanya menjalankan perniagaan itu.Aku  bersetuju.Tapi meminta masa untuk memikirkan.Ini perancangan besar.Boleh jadi perniagaan ini menjadi perniagaan keluarga.Hehehehee...

Banyak perkara yang dibualkan di warung itu.M menceritakan berkenaan keluarganya.Mereka membenarkan dia berhijrah ke Kuala Lumpur kerana terdapat ramai saudara-maranya di sini.Tiba-tiba M beritahu aku bahawa ibunya telah tahu hubungan dia dan aku.Ibunya mempelawa aku bertandang ke Kelantan suatu hari nanti.Aku tersentak.Aku senyum dan kehabisan kata.Aku renung mata M.Tapi dia tidak mengalah.M mengubah topik bicara yang lain.Dia meminta aku membawanya berjalan di sekitar Kuala Lumpur.Mengenal tempat-tempat di kota besar ini.Aku diam.Bagaimana mungkin aku dapat menunaikan hajatnya.Sedangkan aku tidak punya apa-apa.

Aku dapat rasakan ada perasaan yang membara terhadap M.Dia hebat.Bertenaga.Punyai wawasan yang jauh.Bidang perniagaan memang menjadi keutamaan bagi kebanyakan wanita Kelantan.Aku masih ingat ibu angkatku juga seorang peniaga di pasar bandar Gua Musang,Kelantan.Aku pernah melawat ibu angkatku semasa beliau sedang sibuk berniaga.Ada jual pelbagai barangan.Dan itu memang telah menjadi rutinnya setiap hari.Kini aku berhadapan dengan gadis pantai timur ini.Berpendidikan sekolah agama arab hingga ke tahap yang tinggi dalam aliran itu.Minat pula menjalankan perniagaan.Aku jadi kecil.

Aku jadi amat kecil.Merendah diri , sedangkan M berjiwa besar.Perancangan itu telah lama menjadi fokusnya.Jiwanya kental.Perniagaan telah bersebati dengannya.Sebagai rakan dia tidak malu mengajakku.Aku adalah orang dia kenali sejak lama dulu walaupun hanya melalui surat.Lelaki yang rapat dengan dirinya ....untuk pertama kali.

Selesai bersarapan kami beredar ke tempat menunggu bas.Ketika itu M sudah berani berjalan di sisiku.Sementara menanti bas.Ada juga ceritanya tapi tak ingat apa-apa lagi (ketika itu).Sungguh aku dapat rasakan perkenalan ini sudah semakin mesra.Aku masih malu memandang M.Semua ciri-ciri yang kuingini kini (ketika itu) berada di depanku.Tapi kenapa aku masih berasa kurang pada diri ketika itu.Aku memandang M dengan rasa takjub.Dia bersemangat.Sementara aku masih lemah dari segala segi.

Namun aku bisa saja mendengar segala luahan ceritanya.Semuanya berkisar keluarga dan dunia perniagaan.Berbalas senyum.Bas tiba ,aku dan M segera naik dan kami ke arah ibu kota.Tengah hari itu aku mengikuti M ke tempat tinggalnya di sekitar Taman Sri Keramat,KL.M tinggal bersama sepupunya di premis perniagaan salun rambut.Katanya,perniagaan itu milik sepupunya.Ketika kami berjalan ke arah tempat tinggalnya, M ada memberitahuku saudaranya di hujung jalan pula menjalankan bisnes gerai menjual makanan dan minuman.Ramainya saudara.

Aku perasan di depan premisnya tinggal ada surau.Bila aku jejaki kembali di dalam google maps.Tak salah lagi tempat itu kini Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur.di Taman Keramat.Aku kembali ke Jalan Pantai Baru dan ke Masjid Ar-Rahman.M ada meminta aku membawanya menyusuri kota Kuala Lumpur.Tapi aku menolak dan berjanji akan menunaikannya satu hari nanti.Satu hari nanti yang aku sendiri tidak pasti.Sebelum zuhur aku sudah tiba di masjid ar-Rahman.

Malam tiba dan aku tidak dapat menahan rasa suka  kepadanya.Rindu.Teringat pertemuan pertama siang itu.Apalagi yang harus kubuat untuk meluah rasa suka kalau tidak menelefon mendengar suaranya.Ya itulah yang kulakukan.Aku tidak teragak untuk menelefonnya malam itu.Suara halusnya menjawab dengan ceria.Aku tahu dia juga menunggu saat itu.Malam itu kami berbual banyak perkara.Tapi perniagaan memang menjadi topik yang meniti dibibirnya.

Di hujung perbualan....aku tidak dapat lagi menahan rasa.Lalu kuluahkan rasa sayang kepadanya.Buat kali pertama dalam hidup.Keberanian yang bukan dibuat-buat.Dia menjawab.."betul ke ni..?".Aku pula terdiam.Kami terdiam.Jauh dibenak hati aku memang tahu bahawa M juga menyenangiku dan sanggup menerima aku.Dan aku tahu ini cinta pertamaku.


Kembali menulis.

 Kembali menulis. Dalam usia yang telah mencecah 58 tahun, banyak nostalgia tidak lagi diingati dengan jelas dan tepat. Minat menulis masih ...