22 September 2017

1983: Introverts



Aku seorang remaja lelaki introverts pada awal usia belasan tahun.Sifat itu membawa sepanjang kehidupanku semasa menuntut dulu.Aku boleh bermain sendiri tanpa ditemani rakan.Berasa amat bebas bila bersendirian.Macam-macam yang boleh kufikirkan.Memang benar saat bila bersendirian fikiran golongan ini lebih kreatif dan inovasi.Banyak perkara yang kulakukan.Aku menggunakan ruang waktu bersendirian dengan melukis, menulis sajak, bermain gitar dan mendengar muzik kesukaan.Apalagi melukis, itulah kelebihanku waktu itu.Aku ke padang bersandar pada pohon dan melukis keindahan alam.Aku duduk di bawah payungan daun-daun pohon sambil melihat dedaunan dan rantingan menari-nari di atas tatkala angin menghembus kencang.Juga memikirkan kehebatan alam.

Waktu awal belasan tahun bermain sendiri, menguji wap minyak masak yang dibakar dan menghasilkan wap yang boleh terbakar.Laksana saintis yang sibuk di makmal.Apa saja projek sains di sekolah aku akan mengulang-ulang mengujinya di rumah.Waktu itulah aku mulai jatuh cinta pada subjek sains.Dengan tunjuk ajar guru sainsku, aku berjaya menghasilkan sabun dari garam dengan mengalirkan aliran eletrik melalui cecair natrium klorida.Buih-buih yang terhasil itu adalah bahan asas dalam pembuatan sabun.Tahun itu juga aku terpilih sebagai wakil bagi projek sains.Walhal aku dari kelas sastera.

Waktu remaja aku jadi pemalu bila berhadapan dengan rakan-rakan atau berada di khalayak ramai.Tidak berasa selesa dan kehilangan kata-kata.Jadi aku tidak punya ramai kawan.Aku hanya rapat dengan seorang dua saja.Itupun bila perkenalan sudah menjadi mesra.Hanya itu sajalah rakan sehingga keadaan berubah.Apalagi untuk rapat dan mengenali rakan perempuan.Memang payahlah.Bila berada di kalangan kawan aku lebih suka tidak mendapat perhatian.Tersorok seperti tidak berada di situ.Tidak wujud.Orang tidak akan tahu bila aku datang dan bila aku pergi.Memerhati gelagat rakan-rakan dan berasa selesa kerana tidak menjadi tumpuan.Oleh itu tidak hairan aku hanya rapat dengan seorang atau dua rakan dan selebihnya aku lebih rela bersendirian.


Bila berada di kampong ayah di Jelebu Negeri Sembilan, suasana memang amat asing kerana aku tidak membesar bersama rakan-rakan sebaya.Aku jadi kekok dan komunikasi sering tidak menjadi.Jadi golongan introverts sepertiku sering dianggap sombong dan antisocial bagi mereka yang tidak memahami.Walhal mereka juga ada pertalian darah denganku.

Namun keadaan itu tidak berpanjangan.Aku mula membina keyakinan bergaul dengan saudara dan rakan sekampung yang menjadi teman bicara dan bermain.Kadang-kadang ada juga rasa terkilan dengan sikap sendiri.Itulah hakikat waktu itu yang aku sendiri tidak tahu berlaku ke atasku.

Ketika menuntut di ITM, sikap ini menjadi penghalang untuk mengenali seorang gadis yang menarik perhatianku.Rakan sesama sekuliahan.Pernah menegur mesra dan berbual sebentar.Selepas itu  sifat maluku terus menjarak rasa suka yang mula bercambah.Pasrah.

Penghujung Disember 1983, aku mendapat keputusan peperiksaan akhir sem 1.Lulus tapi gred purataku sungguh merisaukan.Namun aku bertekad untuk lebih focus untuk ke semester berikutnya.Aku berazam bersungguh-sungguh untuk memperbaiki pencapaianku dalam bidang senilukis.Sesuatu yang sejak dulu memang menjadi minat dan hobi masa lapangku.

02 September 2017

Kampung Ayah



Disember 1983, kami pun melewati pekan Kroh untuk kali terakhir.Aku menumpang trak askar  yang membawa barang-barang keluargaku sambil ibu dan ayah serta adik-adikku menaiki land rover.Trak yang kutumpangi dipandu oleh anak saudara ayahku.Perjalanan jauh  ke arah selatan itu memakan masa hampir sehari.Sempat juga berhenti di kem Pasukan Polis Hutan, Batalion 20 di Bidor Perak untuk mengisi minyak.Keluargaku tidak sempat menduduki kem itu kerana ayah tidak mahu menyambung lagi perkhidmatan sebagai askar  walaupun ditawar pangkat sebagai Sarjan Mejar.Ayah telah diserapkan ke Batalion 20 “B’ Kompeni.

Kem Batang Padang, Perak itu amat sepi dan asing.Tiada kedapatan anak-anak bermain-main.Mungkin kem itu masih baru diduduki jadi masing-masing masih belum biasa keadaan sekitarnya.Apa yang kutahu kem itu adalah sebuah penempatan Unit Kawalan Kawasan atau UKK suatu ketika dulu tetapi dijadikan kem untuk Pasukan Polis Hutan BN 20.Setelah mengisi minyak di kem itu kami pun meneruskan perjalanan ke Jelebu, Negeri Sembilan.

Lewat senja kami tiba di Kampong Putra, Jelebu, Negeri Sembilan.Kampung ini bukanlah asalnya kampong ayahku.Ia sebuah perkampungan penempatan semula penduduk Orang Asli pada era darurat.Dirasmikan oleh Perdana Menteri Malaysia yang pertama iaitu Almarhum Tunku  Abdul Rahman Putra al-Haj pada tahun 1966.Nama Kampung Putra itu diabadikan sempena nama beliau.Terdapat sebuah sekolah rendah di hujung kampong  yang dinamakan Sekolah Rendah Kg.Putra.Sebuah balai adat yang  bercirikan senibina Minangkabau juga dibina berdekatan sekolah.

Melalui cerita orang tua-tua di kampong itu, kebanyakan penduduknya dari Bukit Im dalam daerah Jelebu bersempadan dengan Pahang.Kampung asal itu terletak jauh di pinggir hutan tetapi mempunyai tanah yang subur.Aktiviti bertanam sawah padi dan berkebun dusun memang menjadi rutin sebelum mereka dipindahkan akibat  takut  dipengaruhi oleh pihak pengganas komunis.Jadi Kampong Putra terletak betul-betul di tepi jalan raya yang menghubungkan antara pekan Simpang Durian yang bersempadan dengan Pahang dan Simpang pertang, Jelebu dan seterusnya ke Kuala Pilah.Ada bas awam yang sentiasa berulang alik setengah jam sekali.Kemudahan air paip dan eletrik juga telah wujud walaupun tidak banyak rumah yang melangganinya.

Aku terasing di kampong ini kerana jarang pulang ke kampong ayah berbanding kampong ibu di Lanchang, Pahang.Aku tidak banyak mengenali saudara ayah berbanding saudara sebelah ibu.Kami menumpang  sebuah rumah kepunyaan sepupu ayah yang kematian suami dan mempunyai seorang anak lelaki dan perempuan.Agak janggal kerana kami sekeluarga saja sudah sepuluh orang menetap rumah makcikku yang kecil.Kebanyakkan barang-barang rumah kami ditempatkan di rumah bujang sebelah rumah.Rumah makcikku pula masih menggunakan pelita berbanding rumah bujang.

Keesokannya adalah hari aku perlu menyiapkan kerja-kerja yang diberikan pensyarahku iaitu membuat wheel of colour atau carta warna.Aku buntu kerana tidak mempunyai keperluan untuk menyiapkan kerja melukis itu.Lagipun aku tidak banyak mengetahui selok belok pekan-pekan berdekatan.Pekan Kuala Pilah adalah pilihan pertama kerana pekannya agak besar dan sibuk.Bolehlah aku mencari peralatan melukisku di sana nanti.

Malam pertama di kampong, bayangan Kroh masih kelihatan di ruangan mata.Kenangan di sana tidak mudah untuk dilupakan.Di kampong ini, suasana sudah sunyi se awal jam 8 malam.Gelap.

24 August 2017

Melankolia Disember 1983

                     Kenangan selama 20 tahun lebih akhirnya ternoktah hujung Disember 1983 itu.Aku dan keluarga akan kembali ke selatan tanahair.Kami akan menetap di kampong ayahku di Jelebu, Negeri sembilan.Aku tidak menyangka pada awalnya, bahawa percutian semester Disember itu adalah kali terakhir aku berada di daerah ini.Bagiku, daerah ini seperti tanah kelahiran.Tidak pernah merasa jemu untuk berada di sini.Di sini aku membesar bersama adik-adik dan kawan-kawan sepermainan.Di sini aku mengenal alam keremajaan.Segala gajet permainan era 1970’an dan 1980’an.Segala siri-siri drama di kaca tv ketika menjadi hiburan yang tidak akan dapat dilupakan oleh remaja 1980’an.

            Mungkin kerana ia sebuah daerah yang luas dan aku bebas menjelajah bersama kawan-kawan. Ada tasek sebagai mercu tanda yang menjadi tumpuan masyarakat setempat.Anak-anak kecil sehingga dewasa tahu apa yang menarik tentang tasek itu.Tempat mencari ikan dan melayan santai petang berlalu.Memasang jaring, bubu dan mengail di pinggiran.Bermacam-macam jenis ikan air tawar terdapat di situ dari sekecil-kecil ikan sehingga yang besarnya.

            Aku dan kawan-kawan juga tidak melepaskan peluang bermandi-manda dan berenang-renang di  dalam tasek itu.Belajar mengapungkan diri dan menyelam.Di tasek ini dan sungai-sungai berhampiran itulah, aku dan kawan-kawan mula pandai berenang.Sewaktu musim hujan dan air menaiki ke paras yang lebih tinggi adalah musim paling menggembirakan buat kami kanak-kanak.Bermain sambil mencari ikan.Teringat waktu zaman kanak-kanak dulu, aku sangat fobia dengan kedalaman sungai atau tasek, mungkin kerana terlalu mengikuti siri tv dari Amerika Syarikat “Voyage to The Bottom of The Sea”.Namun bila sudah pandai berenang, semua itu tidakku kisahkan lagi.

            Kawan-kawan sepermainan, Sony Bahdi, suku Semai Pahang.Muda setahun dariku.Dia kawan yang agak rapat kerana rumah kami selang sebuah.Pergi dan pulang dari sekolah bersama-sama sewaktu di sekolah rendah dan menengah. Aku akan menunggunya di luar rumah kerana ibunya selalu lewat menyiapkan sarapan untuknya.Sambil menarik milo panas ibunya berpesan kepadaku supaya menunggu kerana dia tahu aku rakan baik anaknya.Aku selalu juga mengikuti dia dan ibunya pergi memancing di tasek dan sungai yang mengalir ke tasek itu.

Sewaktu kecil aku juga pernah bergaduh dengan Sony.Pertama disebabkan pedang mainannya ku buang kerana hendak meletakkan pedang rakan yang lebih cantik di dinding.Kali kedua kubuang, dia mula menangis.Petang itu aku dikunjungi ibunya dan bertanya mengapa aku melakukan perbuatan itu.Aku hanya terdiam.Kali kedua kami bermusuhan disebabkan aku tidak puashati kerana pasukan bolasepaknya menjaringkan gol ke pasukanku.Mereka provoke melampau ke atas pasukanku dengan mengejek-ngejek sehingga hatiku menjadi panas.Ketika hendak menjaringkan gol aku melompat tinggi dan menolak Sony lalu dia terjatuh.Dia bingkas bangun dan menggenggam penumbok menunggu masa untuk dilepaskan.Tapi itu tidak berlaku.

Seorang lagi di kalangan mereka Sani Suntai, yang mesra dipanggil Along, suku Temiar Kelantan.Seusia dengan Sony.Along mengajarku cara-cara membuat objek helicopter dengan menggunakan ubi di mana sebelum itu aku hanya tahu menggunakan batang keladi, batang betik atau bertam.Tapi dengan menggunakan ubi, nampak lagi menarik.Kenangan manis bersama Along ketika dia dihalau dari rumah oleh ibunya pada satu senja dan dia meminta tolong untuk bermalam di dalam reban ayam yang tidak digunakan.Aku mengajak dia bermalam di rumahku saja dan kami tidur sebantal sambil bercerita.

Itu antara dua rakan yang agak rapat walaupun muda setahun dariku.Termasuk yang lain-lain yang lebih muda dariku, Ajak, Arin, Bujang, Din, Nuar dan beberapa nama yang sudah tidak tergambar lagi wajahnya.Di kalangan rakan sebaya pula aku berkawan dengan anak Melayu, Jeffry Dikan, Megat Hashim, Namin, Abu Hassan dan seorang rakan dari kaum Orang Asli, Alang Nan.Sementara seorang rakan dari kaum India, Balakrishnan atau kami panggil Bala saja.

Pagi itu, setelah aku dan anak-anak jiran serta kawan-kawan bertungkus lumus memunggah barang-barang keluargaku naik ke atas lori.Aku dan keluarga pun mengucapkan terima kasih kepada mereka.Ada riak kesedihan di wajah dan ada juga hati yang menangis.Terutama ibu yang mudah mengalirkan air mata.Mungkin terkenang jiran-jirannya yang baik hati yang dikenali sejak berjiran di Kuala Lumpur dulu.Terutamanya Makcik Yah.Bagiku, keluarga Makcik Yah, adalah keluarga melayu dan jiran sebelah rumah yang terlalu baik.Banyak kenangan manis bersama keluarga ini.Aku mengenali ahli keluarga ini sejak kecil.Selalunya kalau aku hilang, kata ibu, pasti aku akan berada di rumah ini.

Tinggallah segala kenangan manis.Suka dan duka, pahit dan maung.Disember 1983, kami tinggalkan bumi Kroh, Perak dan kembali ke Jelebu , Negeri Sembilan.Perjalanan yang jauh, namun kenangan di hati amat dekat.Satu masa nanti, akan luntur juga segala kemanisan dan kedukaan kenangan itu di hati.Sedikit demi sedikit akan hilang bersama alam kedewasaan yang bakal dilalui sepanjang hidup ini.

03 August 2017

Dapat Hadiah Dari Ayah

Sejak dulu lagi aku terpaut pada beberapa lagu hits The Beatles, bertajuk And I Love Her , I Will dan Till There Was You dan Yesterday .Mungkin seawal 1981.Bukan kerana hati telah terisi dengan kehadiran seseorang yang digelar teman sejiwa .Tapi ia lebih kepada irama gitar di dalam lagu-lagu itu.Sejak dari itu aku berangan-angan  untuk memiliki sebuah gitar.Sebelum aku berangkat ke ITM, aku telah membeli banyak kaset-kaset The Beatles yang kuminat itu.Muzik yang catchy , lirik yang puitis dan romantis dengan lagu yang sentimental itulah, sebenarnya memikat hati untuk turut sama menyanyi.

Cuti semester pertama pertengahan Disember 1983, kulepaskan kerinduan mendengar lagu-lagu The Beatles.Tetapi aku bukan jenis peminat fanatik sampai menampal atau menggantung gambar kumpulan atau penyanyi yang diminati di dinding kamar.Hanya suka-suka mendengarkan.

Sewaktu pulang ke rumah cuti itu, aku dapat tahu kawan-kawan lama sedang kemaruk bermain dan berlatih dengan alat muzik itu.Aku pun , saban hari berulang-alik ke rumah kenalan lama, Anuar namanya hanya kerana ingin turut serta berlatih berjinak-jinak dengan alat muzik itu.

Kami bergilir-gilir memetik gitar dan mempelajari kod asas gitar.Antaranya Am, G, C, D dan F.Irama yang terhasil dari kod-kod itu menambah lagi kegilaan untuk memahirkan jari jemari memetik gitar.

Sejak aku pulang, aku jarang berada di rumah sedari pagi hingga tengahari.Balik ke rumah hanya untuk makan tengahari dan selepas itu berehat sambil mendengar lagu.Begitulah dari hari ke hari.Ayah perasan aku kerap tiada di rumah.Bila dia keluar berkerja  dan pulang jam 10 pagi, pasti ayah tercari-cari di mana aku berada.Ibu pun bercerita bahawa aku ke rumah kawan untuk bermain gitar.

Tidak terduga dan tidak tergamak untuk aku meminta sesuatu yang tidak mampu ayah sediakan.Sikapku sejak dulu memang tidak mengharapkan atau meminta orangtuaku menyediakan atau membeli sesuatu yang kuhajati.Tetapi itulah sikap ayahku.Bagai tidak percaya pada suatu hari, sewaktu pulang untuk makan tengahari, aku ternampak sebuah bungkusan besar di atas tv.Dari bentuknya sudah kutahu, sebuah gitar.Tetapi siapa yang punya? Diceritakan pada entry yang lepas

Zaman alam kanak-kanak, ayah juga membuat suprise dengan membeli mainan pistol Cowboy dan disangkutkan ke dinding yang tidak tercapai oleh tangan.Mainan yang masih berbungkus cantik dalam plastic memang sengaja diletak tinggi supaya aku tidak dapat mencapainya.Tiap-tiap hari aku hanya memandang tetapi tidak berani meminta dari ibu.Sebabnya ibu telah diamanahkan oleh ayahku supaya tidak menurunkan mainan itu.Kata ayah, kalau nak mainan tu, kena belajar sampai pandai.Itulah antara pesan ayah yang masih kuingat.Tiap kali selepas mandi atau pulang dari bermain, pasti aku akan ke bilik ibu dan memerhati pistol yang tergantung di dinding itu dengan penuh minat.


Waktu itu, aku tahu untuk siapa ayah belikan gitar itu. Tidak tergambar betapa gembiranya hati mendapat hadiah dari ayah.Maka bermulalah satu hari yang panjang, melaluinya dengan memetik gitar kapok pemberian ayah.

29 July 2017

Sebuah memori rakan - Pengkalan Hulu (Keroh)



Sebuah sajak berbahasa Inggeris yang dinukilkan oleh seorang rakan sekolah.Mengabadikan memorinya membesar di daerah itu.Dia adalah rakan berbangsa India yang kuceritakan  di dalam blogku ini.Kami pernah menjadi pengawas sekolah sewaktu berada di tingkatan lima tahun 1981 dan 1982.Seorang lelaki yang peramah dan baik di mataku.Seorang yang tidak banyak bual bicara tetapi memiliki jutaan rasa melalui penulisan puisinya.Sebahagiannya diabadikan di sini dengan izinnya.Mahendren.

A Heaven I Miss - Pengkalan Hulu

Sweet smell of burnt bushes and baked earth

still lingers in the memory though bygone in history

am awakened from the slumber’s depth

to the musical memory from the past gone by;the days I used to wander

brushing the bushes in the forest

caring for the wild wilderness

now but a story shrouded in history

only to be told again and again;

the multicolored spiders

the poisonous snakes that slithered smoothly

beneath pile of dried rotten leaves

harmed me not even in their dreams;

the squirrels that gave me once a native fruit to eat

the monkeys that threw me once a bunch of fruits to be shared with friends

the Orang Asli (Natives of Malaysia) who guided 

me with their skills

are all but embedded layers of past thoughts;

the years rolled fast, past my youth

only for me to carry on with a bundle of memory;

oh, how I wish to be back then

to stroll again the motherly earth there

to smell again the burnt bushes and baked earth

to recover the sweet life hidden in the wilderness;

a place so dear to me

where survival taught in beautiful and colorful manner

hurt none embrace all;I lived in meditationut

most equanimitylife was full of equilibrium

amidst the greenery and serenity

of a forest

in Pengkalan Hulu

a heaven I lived once.

(this is a re-post.Posted elsewhere before)©cyclopseven. All right reserved 030908.

26 July 2017

Nostalgia pilu buat seorang aku

Kroh, sekembalinya aku ke daerah itu sebaik tamat semester 1 hujung tahun 1983, menyemarakkan rasa kerinduan kepada kehidupan zaman kanak-kanak dan awal remaja.Betapa tidak, kerana di sini aku membesar sepanjang 14 tahun yang lalu.Segala ceruk mana yang tidak aku terokai, lorong, denai, sungai, bukit, belukar, hutan, paya, tasik.Semuanya sudah dilalui bersama kawan sebaya.Belum lagi cerita melastik, menjerat dan menggetah burung, mengail ikan, memasang jaring, bubu dan memanah.

Sungguh, orang selalu akan teruja apabila disebut pulang ke kampung, tapi bagiku pulang ke daerah ini merupakan harapan yang selalu diinginkan.Walaupun dilahirkan di Selangor, tetapi aku menganggap Kroh seperti tanah kelahiran.Pulang ke sana bererti seperti kepulangan perantau ke desa kelahiran.Di sana aku mengenal kawan, sahabat lelaki perempuan.Di sana aku tahu erti setiakawan.Permusuhan juga berlaku tapi zaman kanak-kanak dan remaja kebencian ya, sampai ke mana? Tidak berpanjangan.

Kawan-kawan pula berbagai suku kaum.melayu, cina, india, sikh, orang asli dan siam.Bila pulang dari pengajian terasa diri sudah remaja dan mampu hidup berdikari di rantauan.Sudah mampu hidup berseorangan jauh dari ibu bapa dan adik-adik.Senja ketika sampai ke daerah itu, aku berjalan sambil mengusung beg dan fikiran yang sarat dengan kisah di ITM.Pasti aku akan bercerita kepada ibubapaku bahawa sejak kembali ke pangkuan mereka ketika aku tidak sanggup menanggung rindu dulu, aku sudah betah untuk hidup jauh dari mereka semua.Kerinduan kepada rakan-rakan sepermainan sudah beransur-ansur hilang, yang tinggal cuma sisa rindu kepada seseorang yang kukenal ketika tempoh awal pengajian.

Daerah itu, sangat mendamaikan.Beberapa lukisan kedamaian sempat kulukis sebelum aku ke ITM Julai 1983 dulu.Pemandangan bukit bukau yang mengelilingi, tasek takung yang terletak di tengah daerah ini dengan taman permainan kanak-kanak di pinggirnya.Memancing di tebingnya sambil melihat manusia berehat di tebing sebelah sana.Padang pendaratan pesawat tentera dengan sebuah padang yang luas kawasan bermain dulu-dulu.Belukar yang mengalir di bawahnya sungai-sungai tempat bermandi-manda bersama kawan dan juga sungai mencari ikan.Semua itu tersimpan kemas dalam memori indah tentang Kroh.

Cuaca yang sejuk apabila malam dan kadang-kadang berkabus sehingga jam 10 pagi.Tengahari yang sunyi dan meriah bila petang.Jalan Sri Adika Raja antara pekan Kroh ke kem BN 19 itu adalah jalan kenangan waktu kecil.Teringat bila ke sekolah rendah iaitu Sekolah Kebangsaan Kroh, kami susuri jalan ini dengan limpahan gugur bunga angsana yang menguning.Sepanjang jalan menghidu wangian bunga itu.Nostalgia pilu buat seorang aku.

23 July 2017

Retrospektif

Aku masih ingat berkawan baik dengan  seorang pelajar lelaki dari Brunei Darus Salam sewaktu menuntut dulu.Namanya Awang Abdul Rahman, nama panggilan biasa bagi lelaki dari sebelah sana.Kami satu kumpulan iaitu Kumpulan 2.Dia seorang yang kurang bercakap tapi lembut berbicara dengan slang Brunei. Oleh sebab Awang pendiam dan kurang bercampur dengan rakan-rakan sekumpulan yang lain dia lebih rapat denganku berbanding yang lain.Aku pula suka berkawan dengannya disebabkan sikapku yang tidak gila-gila seperti rakan yang lain.
Kumpulan 2 AD 10


Perkenalanku dengannya banyak membuka pengalaman bergaul dengan rakan dari negara lain.Awang memberitahuku bahawa mereka pelajar-pelajar dari Brunei ditaja sepenuhnya oleh kerajaan negara tersebut.Memang betul-betul mewah.Apa yang diberitahu olehnya, mereka diberi wang tajaan sebanyak lebih kurang 7000 Brunei Dollar.Tidak hairanlah mereka tidak makan di dewan makan yang disediakan oleh pihak asrama.Mereka menyewa rumah sewa di sekitar seksyen 2.Rumah sewa pula lengkap dengan perabut asas seperti peti tv, peti ais dan dapur.Aku pernah sekali menziarahi Awang dan rakan-rakannya di rumah sewa itu.

Aku masih ingat aku juga meminati  penyanyi Sohaimi Mior Hassan pada tahun 1983 kerana lagu-lagu berbentuk puisinya itu.Kaset dari album Prolog memang kubawa bersama dan tersimpan di almariku.Bila rindu untuk mendengarnya aku meminjam walkman kepunyaan rakan sebilik.Selepas itu aku larut dalam lagu puisi yang romantis itu.

Dalam minggu kuliah sesekali aku menjenguk surat khabar yang jarang dapat dibaca dek kerana kesibukan dengan assignment.Aku terbaca tajuk hiburan bahawa penyanyi yang kuminati itu akan keluar di kaca televisyen dalam rancangan Hiburan Malam Minggu.Wauuu..waktu itu belum pernah SMH menyanyi di kaca tv.Aku teruja yang amat sangat, lantas terus berjumpa Awang dan meminta untuk ke rumahnya pada malam itu hanya semata-mata ingin melihat penyanyiku ke udara.

Malam itu, itulah kali pertama aku melihat penyanyi yang kuminati, Sohaimi Mior Hassan menyanyi di kaca tv.Sungguh nostalgia.Puas rasanya.Walaupun berseorangan di depan tv.

Aku juga berkawan dengan seorang pelajar jurusan Kuantiti Survey, James Daniel Fridolin.Orang Asli suku semai.Entry yang lepas, aku ceritakan sedikit tentang dirinya.James mengajak aku ke Batu 12, Gombak.Mungkin boring duduk di hostel, aku pun mengikutinya.Kami berjalan kaki menyusuri perumahan di Shah Alam.Sambil membawa kamera,James mengabadikan beberapa gambar sekitar perumahan.
Taman Perumahan Seksyen 2 Shah Alam



Aku sempat bergambar di Padang Kelab Selangor dan sekitar Batu 12, Gombak tahun 1983.Buat pertama kalinya aku mengenal Bandar besar Kuala Lumpur dan mengenal kehidupan serta jenis manusia yang menghuninya.

Padang Kelab Selangor (1983) / Dataran Merdeka

10.10.2017