22 September 2017

1983: Introverts



Aku seorang remaja lelaki introverts pada awal usia belasan tahun.Sifat itu membawa sepanjang kehidupanku semasa menuntut dulu.Aku boleh bermain sendiri tanpa ditemani rakan.Berasa amat bebas bila bersendirian.Macam-macam yang boleh kufikirkan.Memang benar saat bila bersendirian fikiran golongan ini lebih kreatif dan inovasi.Banyak perkara yang kulakukan.Aku menggunakan ruang waktu bersendirian dengan melukis, menulis sajak, bermain gitar dan mendengar muzik kesukaan.Apalagi melukis, itulah kelebihanku waktu itu.Aku ke padang bersandar pada pohon dan melukis keindahan alam.Aku duduk di bawah payungan daun-daun pohon sambil melihat dedaunan dan rantingan menari-nari di atas tatkala angin menghembus kencang.Juga memikirkan kehebatan alam.

Waktu awal belasan tahun bermain sendiri, menguji wap minyak masak yang dibakar dan menghasilkan wap yang boleh terbakar.Laksana saintis yang sibuk di makmal.Apa saja projek sains di sekolah aku akan mengulang-ulang mengujinya di rumah.Waktu itulah aku mulai jatuh cinta pada subjek sains.Dengan tunjuk ajar guru sainsku, aku berjaya menghasilkan sabun dari garam dengan mengalirkan aliran eletrik melalui cecair natrium klorida.Buih-buih yang terhasil itu adalah bahan asas dalam pembuatan sabun.Tahun itu juga aku terpilih sebagai wakil bagi projek sains.Walhal aku dari kelas sastera.

Waktu remaja aku jadi pemalu bila berhadapan dengan rakan-rakan atau berada di khalayak ramai.Tidak berasa selesa dan kehilangan kata-kata.Jadi aku tidak punya ramai kawan.Aku hanya rapat dengan seorang dua saja.Itupun bila perkenalan sudah menjadi mesra.Hanya itu sajalah rakan sehingga keadaan berubah.Apalagi untuk rapat dan mengenali rakan perempuan.Memang payahlah.Bila berada di kalangan kawan aku lebih suka tidak mendapat perhatian.Tersorok seperti tidak berada di situ.Tidak wujud.Orang tidak akan tahu bila aku datang dan bila aku pergi.Memerhati gelagat rakan-rakan dan berasa selesa kerana tidak menjadi tumpuan.Oleh itu tidak hairan aku hanya rapat dengan seorang atau dua rakan dan selebihnya aku lebih rela bersendirian.


Bila berada di kampong ayah di Jelebu Negeri Sembilan, suasana memang amat asing kerana aku tidak membesar bersama rakan-rakan sebaya.Aku jadi kekok dan komunikasi sering tidak menjadi.Jadi golongan introverts sepertiku sering dianggap sombong dan antisocial bagi mereka yang tidak memahami.Walhal mereka juga ada pertalian darah denganku.

Namun keadaan itu tidak berpanjangan.Aku mula membina keyakinan bergaul dengan saudara dan rakan sekampung yang menjadi teman bicara dan bermain.Kadang-kadang ada juga rasa terkilan dengan sikap sendiri.Itulah hakikat waktu itu yang aku sendiri tidak tahu berlaku ke atasku.

Ketika menuntut di ITM, sikap ini menjadi penghalang untuk mengenali seorang gadis yang menarik perhatianku.Rakan sesama sekuliahan.Pernah menegur mesra dan berbual sebentar.Selepas itu  sifat maluku terus menjarak rasa suka yang mula bercambah.Pasrah.

Penghujung Disember 1983, aku mendapat keputusan peperiksaan akhir sem 1.Lulus tapi gred purataku sungguh merisaukan.Namun aku bertekad untuk lebih focus untuk ke semester berikutnya.Aku berazam bersungguh-sungguh untuk memperbaiki pencapaianku dalam bidang senilukis.Sesuatu yang sejak dulu memang menjadi minat dan hobi masa lapangku.

No comments:

Post a Comment

Aku sangat berterima kasih kerana anda sudi memberi komen dalam blog aku ini namun aku perlu memberi izin dahulu sebelum ianya kupaparkan.

Kembali menulis.

 Kembali menulis. Dalam usia yang telah mencecah 58 tahun, banyak nostalgia tidak lagi diingati dengan jelas dan tepat. Minat menulis masih ...