02 August 2012

Aku dan Al-Alqam Oktober 1985

Sejak dulu, ingin sekali aku abadikan dalam blog yang tak seberapa ini satu kisah yang aku rahsiakan jauh dari sudut hati.Malah terkadang aku hampir terlupa apakah aku pernah melaluinya.Sebuah kisah yang bagiku amat peribadi.Tapi kerana tiada nilainya kini maka aku akan beranikan diri menulis kisah ini.

Satu waktu di awal pengIslamanku, aku telah ceritakan bahawa aku pernah menumpang hidup bersama jemaah Al-Arqam di Kuala Pilah,N.Sembilan pada penghujung tahun 1985 sehingga penghujung tahun 1986.Aku pernah belajar di sekolah-sekolah naungan al-Arqam.Cara pendidikan yang lebih kepada sistem pondok.Mengaji , menadah kitab-kitab bertalaqqi dan tarbiyah tazkirah.Bermula dari situ minatku mendalami Islam semakin parah.Aneh..jika dibandingkan kehidupan remajaku suatu masa dahulu.Ustaz-ustaz yang tinggal bersama dan mengajarku bukan calang-calang orang kerana mereka juga adalah ustaz-ustaz di sekolah-sekolah kerajaan.Keinginan ikhlas mereka mengamalkan semua ajaran Islam telah membuka mindaku tentang Islam yang lain dari dunia luar yang kulalui suatu ketika dulu. 

         Beruntungnya aku kerana terus terlontar ke dalam satu jemaah Islamiah yang mengamalkan Islam dari sudut yang berbeza.Apa tidaknya berjubah berserban, purdah dan telekung labuh bagi kaum perempuanya.Semuanya pusingan 360 darjah bagi kehidupanku yang dulu.Teramat asing.Pada mulanya aku hanya menginginkan kehidupan setelah Islam yang biasa-biasa saja.Memandangkan usiaku yang sudah mencecah 20 tahun ketika itu.Mana mungkin Islam akan kupelajari sedalam-dalamnya.Tapi takdir Allah siapa bisa menafikan.Itu juga kehendakNya.Aku tidak lagi berseluar jeans dan memetik gitar hadiah ayahku.Gitar itu pun sudah diambil oleh pakcikku di Pahang pada ketika sepanjang ketiadaanku di kampung.Kasut bola Adidas Worldcup La Plata pun habis dikebasnya.

Aku hidup di kelilingi orang-orang yang membesarkan Allah.Aku lihat suasana kehidupan yang yang begitu unik.Malam Isnin dan Khamis dipenuhi tahlil dan berzanji.Siangnya mereka berpuasa sunat.Makan sekawan dalam talam.Solat lima waktu yang sentiasa tepat berjemaah.Solat sunat siang dan malam dinihari menjadi rutin.Usrah dan tarbiah sekali seminggu.Wanita dan lelaki diasingkan sebaik mungkin.Tidak pernah ada dan tidak pernah kedengaran kata-kata cela nista apatah lagi umpat mengumpat sesama mereka.Ketika itu keterujaanku untuk mendalami Islam makin dalam.

Aku semakin ingin mendalami ilmu-ilmu agama kerana ingin mencontohi mereka dan sifat-sifat para ‘alimin.Apatah lagi kisah-kisah sahabat dan Rasulullah yang kubaca menampakkan banyak yang tidak kutahu.

Minatku untuk mendalami agama yang baru aku anuti semakin mengujakan.Kerapkali di dalam jemaah Al-Arqam rakan-rakan bercerita tentang kehebatan pondok-pondok pengajian agama di pantai-pantai Timur Semenanjung.Ada pula yang memang keluaran pondok-pondok mengkisahkan pengalaman belajar di pondok-pondok hebat ini sehingga aku terpaku mendengarnya.Apatah lagi kisah-kisah misteri guru-guru pondok yang alim.

Semua itu menjadikan jiwaku resah gelisah kerana ingin merasai pengalaman belajar di pondok pengajian agama.Untuk itu aku bertekad menjual motorsikal Yamaha Y88 ku yang dibeli pada tahun 1985 dulu secara cash (duit pencen abahku).Dengan duit itu aku pun ke utara semenanjung mengunjungi saudaraku sebelah ayah yang berasal dari Kelantan.Mungkin ini satu perjalanan yang akan menyampaikan aku ke sana nanti.Insya Allah.

28 February 2012

kenangan lalu..Mac 1992


Aku ceritakan sesuatu di sini yang mungkin juga akan menjadi iktibar kepada yang sudi membaca.Kisah ini bukanlah terlalu istimewa lantaran ingin sangat kupaparkan di sini.Kisah biasa yang boleh kalian dengarkan dari pengalaman hidup manusia.Kerana ia juga berkait denganku maka apa salahnya aku berkongsi dengan kalian.

Sedari kecil aku dibesarkan dengan kasih sayang ibu.Aku melihat ibu sebagai idolaku kerana ibulah satu-satunya insan yang hampir denganku.Memanjai aku,memenuhi keperluan asas hidupku sebagai anak.Maka tidak hairanlah ibu dan aku memiliki perwatakan yang sama.Mudah beralah demi melihat anak-anaknya selesa.Tanpa aku sedari aku membesar dengan sifat yang kuwarisi dari ibu.Begitulah jua aku dengan adik-beradik.Dalam pergaulan kami aku abang sulung yang mudah beralah.Sehingga kini mereka menghormati aku sebagai abang kandung yang disegani walaupun aku dan mereka berlainan akidah.

Aku masih ingat ketika kecil-kecil dulu aku melakonkan watak badot dan adik-adikku menjadi penonton sandiwara lucu.Kami dirikan pentas di tengah rumah dengan menyidai kain cadar sebagai tirai pentas.Aku senang melihat mereka tertawa kerana aksiku.Itulah kepuasan namanya.Aku gembira seketika dan tenggelam dalam perasan dek kegembiraan adik-adikku.Sehingga kini kalau aku berkesempatan menziarahi mereka pasti aku akan bergurau.Dan mereka faham perangaiku walaupun di kalangan rakan aku seorang yang pendiam.Sewaktu kecil aku tidak pernah sekalipun memukul mereka jika terlalu marah atas kesalahan yang mereka lakukan.

Sifat ini terzahir kerana salinan dari watak ibuku dan aku tahu Aki (datukku sebelah ibu) lah punca warisan watak penyabar dan mudah beralah ini.Tanpa terduga sikap perwatakan ini dibawa sepanjang aku bergelar remaja dan menuju alam dewasa.

Sehinggalah bila cinta mula menjadi sebahagian tujuan hidup aku telah ketemukan hidayah yang mengubah hidup dan asas-asas peribadi itu telah sebati menjadi identiti diriku.Aku mengejar cinta ilmu kerana telah tertanam sejak dulu aku diajar mengejar dan mencintai ilmu.Sayangnya aku sedikit lembab dalam perjalanan menghadam ilmu.Namun sifat sabar yang banyak menjadikan aku orang yang punya ilmu…(sedikit saja.)

Sehinggalah aku ditakdirkan mencintai seorang insan yang pada pandanganku tidak jauh bezanya denganku.Atas desakan dan pujukkan seorang kawan aku melapangkan hamparan hati buat si gadis yang sudi duduk bersimpuh menantiku.Andai kesudian itu telah ditakdirkan milik hati, aku akan sudi menerimanya.Maka bermulalah saat perkenalan singkat yang membawa kepada mengenali budi.Entah kali ke berapa aku mengenali perempuan namun si gadis ini membawa makna yang dalam.Jiwa bagai dibuai pelangi yang bisa dijejak.Dunia bagai berada di bawah kaki.Membawa aku ke mana saja.Itulah dunia cinta.

Oktober 1991…detik yang mempertemukan dua hati yang misteri.Aku dengan kisahku yang lalu dan si gadis yang tidak pernah aku tahu kewujudannya walaupun senegeri dan bersebelahan kampung.Apalagi jika mahu ditanya riwayat hidupnya.Tentunya.

Sebetulnya aku mentaarufkan diri,memperkenalkan sisi manisku dan memasang angan agar si gadis tertarik mendengarkan kisah-kisah laluku.Dan harapan agar akan tiba juga si gadis mensuakan kisahnya untuk aku hayati.Pada awal perkenalan..dia memohon tempoh untuk memikirkan samada mahu menerimaku atau kami hanya berkawan.Aku akui sikap itu baik untuknya sebagai berhati-hati menerima cinta.Kami berhubung dan dia memohon tempoh setahun untuk berfikir.Perkiraanku waktu itu terlalu lama.Kerana kata guruku jika terjumpa seseorang yang baik perwatakannya jangan biarkan ia pergi dengan harapan yang tak tergapai.Aku pernah nyatakan aku menyukai gadis bertudung labuh.Ini ciri kemestian yang sudah aku rencanakan dalam memilih jodoh.

Dia menyatakan bahawa lamaranku akan difikirkan.Dengan pertolongan Ustaz Jaafar dan kawan-kawan sekeliling akhirnya kami bernikah juga pada 12/03/1992.

Episod 2

Satu petang yang hangat…usia pernikahanku telah seminggu dua berlalu.Aku capai beg sandang sulaman rotan.Aku selongkar milik peribadi si gadis yang telah sah menjadi isteriku.Kerana beg sandang itu menjadi keinginanku sejak mula-mula kahwin.Aku keluarkan satu persatu isinya.Lalu pandangan ku terarah kepada loket berlambang hati (love).Aku buka loket itu dan tersimpan baik wajah seorang perempuan dan seorang lelaki sebahagian dari belahan hati tadi…..

Dan perempuan itu adalah isteriku.Waktu isteriku keluar dari kamar mandi aku bertanyakan dia tentang pemuda di sisi loket.Isteriku memberitahu bahawa itu kawannya semasa belajar dulu.Lalu aku tutup dan memasukkan kembali.Nun jauh di sudut hati terdetik juga hati ku sebagai suami bahawa tentu istimewanya pemuda itu kerana tertutup dalam loket hati seperti mana istimewanya juga kenangan bersama di dalam hati isteriku.

Aku tidak banyak cakap hari itu dan itulah juga sikapku dulu..dan itulah juga sifat ibuku dulu dan itulah juga sifat aki ku dulu.Aku bukan lahir dari jenis yang pemarah.Aku bukan mudah menjadi pemarah.Sebagai suami sifat itu ada kerasionalannya.Perlu banyak sabar.Ini mungkin dugaan.Dan aku belajar mengenali erti hidup berkelamin dan asasnya sabar.Tidak payah dan susah untukku belajar sabar kerana memang itu identitiku dulu dan kini.

Di masa yang lain aku terjumpa gambar isteri berdua dengan lelaki yang sama.Semasa mereka bergelar pelajar.Dan sebagai suami aku tiada hak mempertikaikan gambar itu.Kenangan mereka waktu alam pendidikan.sepertinya aku…Cuma…

Aku bertanyakan isteri tentang itu dan isteriku akui sememangnya pemuda itu terlalu istimewa di hatinya sebelum mengenaliku.Bahkan mereka telah 4 tahun saling mengenali.Bandingan denganku yang hanya 4 bulan..Tragis.Aku tutup segala kemungkinan yang boleh membahayakan rumahtanggaku.Alasannya …kerana itu temannya semasa belajar.Teman istimewa! dan tidak pernah aku cuba mempertikaikan dan bersangka bahawa isteriku sanggup menduakan ku selepas berkahwin kerana dia telah rela menerimaku seadanya..pemuda merempat ini.Tidak punya apa-apa untuk jaminan ketika itu.Keluargaku bukan Islam.Aku tidak bisa membawa isteri tinggal bersama mereka.Tidak punya rumah untuk melayari bahtera berdua.Semuanya atas ihsan seorang ustaz juga kami bernaung di sebuah rumah milik MAINS.

Cerita itu telah lama berlalu hampir 20 tahun,setua usia pernikahan ku.Dalam usia sebegini aku cuba juga mengenali siapa isteriku sebelum dia kunikahi.Melalui foto-foto lama kami berbual mesra diselit gurau-gurauan nakalku sambil isteri menceritakan kisah di sebalik foto-foto lama alam pendidikannya dulu.Aku ungkitkan foto yang telah lama tidak aku temui di sebalik foto-foto umrahnya.Foto dia dan pemuda itu serta loket berlambang hati emas.Kemungkinan isteri telah membuangnya demi rumahtangga yang bahagia.Lalu aku cuba memecahkan rahsia pemuda itu.Memang itulah pemuda yang bertakhta di hatinya sebelum mengenaliku…

Sayu dan terkilan aku mendengarkan penjelasan satu persatu keluar dari bibir isteriku.Betapa tidak, sememangnya dulu mereka saling berhubung sebelum aku “merampas” tempat di hati isteriku.Sehinggakan pemuda itu merajuk meninggalkan dia.Aku tidak tahu bahwa percintaan dalam diam mereka telah terancang dari awal bergelar pelajar.

Aku termanggu dan ada ketika aku memandu jauh menyusuri jalanraya…aku benar-benar terkilan.Aku seorang yang mudah beralah.Aku tidak suka menyakiti hati insan lain.Itu sifat yang tertanam waktu kecilku.Dan yang penting selesakan hati orang di sisi ku.Jangan biarkan mereka terasa terkilan dengan sikapku.Sebenarnya isteriku telah memberi tempoh kepadaku sewaktu awal perkenalan kerana mengharapkan pemuda itu meluahkan isi hatinya kepada nya.Namun isteriku tidak menyatakan alasan untuk diberi tempoh setahun kerana ketika aku mendekati hatinya rupa-rupanya mereka sedang cuba mendalami hati masing-masing.Sungguh aku benar-benar terkilan.Jika pada awalnya dulu diberitahu bahawa telah ada yang istimewa di hatinya..aku sedia berundur.Beralah.

bersambung….

07 February 2012

sekeping coretan buat kekasih....I

Salam....

Kunukilkan sesuatu yang sejak dulu bermain-main di minda ini.Tidak pernah rasa gundah menggugah jiwa meski pun ku tahu dirimu dulu adalah milik orang lain.Sayang, sudah abang ceritakan sejak dulu abang tidak ada apa yang boleh dibanggakan dibanding kan orang-orang yang pernah kau kagumi, yang berada di sekeliling mu, yang membuat dunia mu indah ceria selalu.Telah abang ceritakan kehidupan abang yang merempat. Membawa diri di alam ini mencari ruang untuk bernafas. Pada awal perkenalan telah abang tuliskan juga bahawa abang rela berundur jika temanmu masih mengharapkan dirimu atau sayang yang menunggu kerana sayang lebih mengenal hati dan budi mereka. Selama lima tahun bukan jarak masa yang singkat buat sayang lebih mengerti setiap dari kebaikan mereka.

Kehadiran abang mungkin bukanlah jawapan pengubat resahmu ketika itu.Firasat abang mengatakan bahwa dirimu memang telah dimiliki dan sifat abang bukan dilahirkan menghalau kehadiran mereka dari hidup sayang.Kiranya begitu abang telah dulu rela dan redha berundur.Tapi sayang tidak mahu begitu.Sebab itu abang tahu kehendak hatimu supaya menunggumu untuk setahun atau dua kerana sesuatu.Jika sayang berterus terang mudah bagi abang melupakan segala-galanya kerana abang tahu sayang telah punyai pilihan yang lebih baik.

Benarlah kata orang tempat jatuh lagi dikenang inikan pula tempat bermanja.Lagu-lagu indah yang selalu menemani sayang adalah memori indah waktu dulu.Abang tahu meskipun tidak terserlah dan tidak terluah olehmu walau sepatah.Kerana telah abang renung sedalamnya sinar matamu yang penuh berahsia itu.Cuma firasat abang yang selalu cuba menduga.Tercari-cari sesuatu yang tidak pasti.Pasti telah pernah juga  ada rasa kekecewaan di jiwamu kerana teman mesramu yang dinantikan dulu akhirnya tidak juga kembali ke sisimu.Jika sayang nyatakan seawalnya akan penantian  setahun itu sungguh tidak akan abang cuba menduga hatimu.Kerana bagi abang tidak harus saudara seagama menafikan hajat saudara seagamanya yang lain.Tidakkah kita telah pernah diajar agar menyempurnakan hajat insan lain.Apalagi kalian memang telah lama saling mengenali.Buruk dan baiknya kalian telah pernah harungi.

Mungkin ada benarnya kekecewaan teman mu itu sebaik mengetahui sayang telah dipunyai lalu dia membawa diri dan mencari sesuatu yang tertinggal di timur tanah air.Dan akhirnya menemui pengganti dirimu.

Dan bila kita telah disatukan memang ada sesuatu yang menduga rumah tangga kita.Telahan abang memang benar.Sayang telah dimiliki sebelum kehadiran abang.Saat sayang melafazkan  agar abang menantimu setahun dua kerana jiwamu tidak dapat menerima sesiapa selain orang yang pernah bertakhta di hatimu.Langsung tidak abang sedari, bahawa sayang tidak dapat menerima abang.Sungguh tidak terniat ketika itu melukaimu.Kekesalan! kerana selama itu sayang merintih sedih di sudut hati.Walaupun sayang ceria menyambut setiap kepulangan abang tapi  jiwamu tidak sebegitu.

Siapalah abang yang hanya kau kenal  empat purnama berbanding teman-temanmu itu.Kebaikan hati budi mereka yang bertahun-tahun.Sakit pening mereka.Kerja-kerja dakwah kalian.Pandai mengambil hati dan mengenalimu jiwa dan perasaan,luar dan dalam.Yang selalu mengambil berat tentang dirimu dari manusia yang hanya kau kenali nama ini.Pasti sayang merindui hari-hari indah bersama teman-temanmu itu.Himpunan manusia seperti saudara kandung tidak seperti manusia merempat ini.Tidak punya apa-apa.

Suatu waktu dulu abang menyedari kesalahan abang pada seseorang di luar sana.Tapi malang rupa-rupanya abang juga telah melukaimu.Benar katamu sayang...ini takdir.Tidak ada guna menyulam kasih walau bertahun-tahun lama sekira akhirnya itu melukakan hatimu kembali.Pengalaman cinta pertamamu dulu telah membuktikan.Bukan sedikit air matamu berjujuran.Apatah lagi cinta dalam diam itu.Lebih mengesankan jiwamu.Dan bukan sedikit rintihan yang sayang terpaksa lalui kerana akhirnya dia bukan ditakdirkan denganmu...

Berdoalah sekiranya kelak kalian akan bertemu kembali di alam sana.Abang hanyalah jodoh syariat mu di dunia sedang hakikat tidak siapa tahu jodoh sebenar kita di akhirat kelak.wallahu a'lam.

06 February 2012

selingkar kisah: kisah hati


Aku baru tersedar.Jauh sudah aku berlalu dalam jarak waktu yang teralpa aku menghitung.Jarak yang menguji kehidupan manusia.Kehidupan insan.Aku terlupa pada satu kisah yang pernah melintasi ruang dengarku.Kisah yang pernah aku titipkan dan pernah ingin aku abadikan dalam blogku ini.Namun mungkin ia bukan cerita milik peribadiku lantas ia hanya tersimpan dalam ingatan yang sesekali ingin juga aku dalami lewat terpandang wajah yang terkesan itu.

Mungkin juga aku bukan orang pertama pendengar setia cerita itu.Tapi aku tahu kesedihan yang lama mendiami ruang hatinya.Lantas sukarnya mempercayai orang lain meluahkan rasa.Tertutup semua pintu buat dunia.Tertutup hati lalu mati segala lafaz.Aku tahu bukan mudah mempercayai seseorang ketika itu dan selama-lamanya.

Hidup ini bukanlah seperti apa yang terlintas dalam fikiran dan bukanlah apa yang kita aturkan.Boleh jadi hari ini kita hidup bahagia di samping teman dan esok kedukaan bakal mengundang.Itu telah aku yakini sejak dulu.

Percintaan mereka sesuatu yang hebat bagiku.5 tahun menyulam rasa kasih dan sayang.Bukan mudah meleraikan dalam waktu yang singkat.Hakikatnya itulah manusia.Hatinya bukan batu yang akan kekal kepada yang satu.Lambat laun suasana akan mengubah rasa.Tambahan cinta yang tidak disandarkan kepada apa-apa.Aku pernah terbaca kisah-kisah ini dulunya.Pastinya bagiku kisah ini menjadi biasa.

Kehebatan cinta bukan terletak kepada ayat-ayat cintanya.Kerana lafaz itu mudah dituturkan tapi payah dikotakan.Walau jarak masa yang terlalu lama bukan jaminan dia adalah milik kita akhirnya.Aku bukanlah pakar cinta untuk mengkaji tapi aku tahu ia bukan segala-galanya.Akurlah.

Berakhirnya alam percintaan kisahnya itu menyedarkan lamunan yang sementara.Hidup ini bukan itu saja.Walau janji-janji manis pernah terpatri.Bukan segala-galanya.Biar ia terhenti di sini.Tapi jangan bohongi diri jika ia tidak terkesan.Jiwa bukan kertas putih boleh dipadam calar yang menggores.Lagu-lagu indah peneman cerita cinta hanyalah gamitan kepada memori.Aku tahu bukan mudah.

Mereka-mereka pernah menyatakan rasa sayang kepada mu tidak lebih hanya melemparkan rasa suka yang sementara.Walau jiwa pun turut menyukai dan menyenangi wajah-wajah yang pernah menjadi temanmu.Menyentuhmu , bukan petanda rasa sayang itu akan kembali bercambah.Walau kau turut merasai bahagia di jiwa yang paling dalam.Satu rasa yang pernah kau alami suatu ketika dulu.Lagu-lagu cinta memuja memang mengasyikan dalam urutan persahabatanmu itu.

Teman yang disayangi...cubalah melihat dunia dari sebelah atas.Keadilan jiwamu selalu mengecewakan.Jangan biarkan ia berlaku lagi.Kesilapan ternoktah.

03 February 2012

Masjid Iskandari..dalam kenangan.


...biarku melutut di padang rinduku.
Hamparan cinta terbentang sejak Kau ciptakan Adam dan HawaMu.
Rinduku masih bisa berbisik,melambai-lambai di sebalik bukit-bukit yang berjejeran.
Bisa ku hirup segar dingin haruman bauan yang turun di kaki gunung kala subuh menghampiri  ke tengkuk si hamba.
Kau yang selalu menyapa dan aku insan yang selalu terlena.
Biar tidak hentinya  ajakan lembut yang berlalu,namun jiwa insan pasti lentur akhirnya.
Menangis dalam suka.
Tatkala malam rintihnya insan lemah kembali mengharap rahman-Mu.

Kembali menulis.

 Kembali menulis. Dalam usia yang telah mencecah 58 tahun, banyak nostalgia tidak lagi diingati dengan jelas dan tepat. Minat menulis masih ...