12 April 2013

kenangan lalu: Rakan Pena.

Kehidupan di dalam jemaah Al-Arqam kuteruskan seperti biasa.Bangun untuk bersolat subuh pada waktu awal paginya dan lazimnya berjemaah sehinggalah ke waktu Isyak pada malamnya .Siang hari adakalanya  aku mengisi jadualku dengan  membantu ahli jemaah menguruskan perniagaan barang-barang runcit atau mengaji kitab feqah yang ringan bersama ustaz-ustaz yang ada di markas Al-Aqram Kuala Pilah ketika itu.Boleh dikatakan banyak masaku ketika itu mengaji kitab.Kebanyakan kitabnya pula kitab-kitab lama karangan Syeikh Daud Fathani dan sebahagian yang tidak dapat kuingati lagi.

Dari situ minat mendalami agama semakin membuak-buak.Aku pasti akan mengaji pondok satu hari nanti.Itu tekadku ketika itu.Hujung tahun 1985, lewat tengah hari seusai solat Zohor , ketika ramai rakan jemaah telah berpergian dan ada antaranya beristirahat,aku mengambil majalah tabloid mingguan (yang tidak kuingat lagi nama akhbarnya).Satu-persatu helaiannya kubelek.Sehingga ke muka surat terakhir ruangan sahabat pena (macam Facebook jugakla).Ruangan itu kutatapi penuh minat dan satu persatu nama dan alamat kuteliti untuk mencari sesuai dengan pencarianku.

Aku teruja dengan satu alamat di Bachok Kelantan,Madrasah Yaakubiah namanya.Empunya nama alamat itu M Mat Jusoh (sebenarnya aku tak berapa ingat nama bapanya..hanya agakkan saja).Wah ini pencarian yang amat berguna buatku untuk mencari maklumat mengenai madrasah tersebut. Lama juga aku berfikir untuk menulis surat kepada rakan pena itu bertanyakan berkenaan madrasah tersebut. Akhirnya dalam minggu itu juga aku  menulis sepucuk surat menghulur salam perkenalan dan selebihnya ingin rakan pena baruku menceritakan perihal madrasah tersebut.

Alhamdulillah..kurang sebulan M menjawab suratku.Kesudian dia menjawab dan menjadi rakan penaku seterusnya sudi berkongsi maklumat tentang madrasah itu membuat aku semakin yakin dengan pencarian pondok pengajian agama di Kelantan ketika itu.Nada tulisannya ikhlas menceritakan suasana pembelajaran dan tarbiyah yang dijalani.Dia menggunakan alamat madrasah kerana mereka tinggal di asrama sekitar madrasah.Dia sendiri adalah pelajar tingkatan lima yang akan menduduki Sijil Pelajaran Malaysia tahun itu.Madrasah Yaakubiah di Nipah, Bachok itu bertukar nama kepada SMU (Arab) Bachok dan kini Maahad Yaakubiah, Bachok.Kelantan.

Agak lama juga selepas surat kali pertama kulayangkan, kami tidak berhubung.Kemungkinan jadual peperiksaan SPM sudah semakin hampir membuatkan kesibukkan M dan aku berutusan , sementara aku pula masih tercari-cari maklumat persekolahan pondok.Aku faham semua itu tidak memungkinkan aku bertanya lebih lanjut. Sehingga ke hujung tahun 1985 tiada lagi surat daripada rakan pena begitu juga aku.

Kembali menulis.

 Kembali menulis. Dalam usia yang telah mencecah 58 tahun, banyak nostalgia tidak lagi diingati dengan jelas dan tepat. Minat menulis masih ...