Cuba cari di sini

13 November 2009

Suatu Ketika.."Lembing dan Layang"







ASTROmeneruskan lagi inisiatif dan komitmennya dalam memberi sokongan terhadap memperkukuhkan nilai-nilai sejarah di kalangan rakyat Malaysia dengan mempersembahkan sebuah lagi dokumentari hebat menerusi platform Suatu Ketika yang berjudul ‘Suatu Ketika...Laskar Senoi’ pada bulan November ini.

Menurut Pengurus Saluran Astro Prima, Nizam Sani, “Usaha untuk memartabatkan kisah dan sejarah negara yang telah dilancarkan pada bulan Jun tahun ini semakin menampakkan sokongan apabila tayangan dokumentari terpilih pada setiap bulan mendapat sambutan hangat.

"Resipi utama yang kami gunakan untuk menghasilkan sebuah dokumentari yang lengkap dan padat dengan informasi ialah dengan mendapatkan input yang lengkap serta temuramah daripada mereka yang pernah terlibat secara langsung dengan kejadian yang dipaparkan bagi menghidupkan lagi dokumentari pilihan.

"Temuramah dan pengalaman yang diceritakan oleh mereka yang pernah terlibat dalam setiap kejadian ternyata berjaya memberi impak yang lebih mendalam kepada para penonton bagi menyelami sendiri kejadian yang pernah berlaku.

"Kekuatan dokumentari ini ialah apabila kami berjaya mendapatkan temuramah dengan Mohd Nor Abdullah atau lebih dikenali sebagai Bah Ayob, Orang Asli dari keturunan Semai di Cameron Highland yang telah bertanggungjawab dalam menubuhkan pasukan pahlawan Senoi Praaq.

"Bah Ayob merupakan ikon penting bagi penubuhan pasukan pahlawan Senoi Praaq pada ketika itu.

"Pengalaman yang diceritakan semasa temubual telah menghidupkan lagi dokumentari yang boleh dijadikan bahan rujukan sejarah untuk semua dalam bentuk visual.”

Dokumentari ini mengisahkan tentang Unit Senoi Praaq dalam Pasukan Gerakan Am yang mungkin terdengar asing bagi segelintir dari kita tetapi suatu ketika dahulu, unit ini pernah memberi sumbangan besar terhadap negara terutama dalam era darurat ketika kerajaan British dan negara berdepan dengan ancaman komunis.

Mereka memiliki kebolehan istimewa yang diwarisi dari generasi ke generasi. Kemampuan mereka mengenali alam belantara adalah sesuatu yang tidak boleh dipertikaikan. Sehebat mana pun musuh yang menghalang, mereka mampu menewaskan musuh dengan hanya berbekalkan pisau, sumpit dan lembing.


Mohd Noor Abdullah atau nama asalnya Bah Ayob, seorang Orang Asli dari keturunan Semai di Cameron Highland merupakan seorang anggota komunis paksaan sejak berusia 8 tahun lagi. Beliau berjaya melarikan diri dan dengan niat untuk membantu kerajaan, beliau telah mencadangkan penubuhan Senoi Praaq pada tahun 1955 yang akan dianggotai oleh masyarakat Orang Asli.

Pada awal penubuhan, sejumlah 10 orang asli termasuk Bah Ayob menganggotai pasukan ini dengan hanya berbekalkan dengan senjata api dan 10 butir peluru, mereka telah diarahkan untuk masuk ke dalam hutan dengan tujuan memburu komunis.

Mereka kembali dengan berita gembira apabila berjaya membunuh lebih dari 10 orang komunis dan unit ini dikembangkan dari semasa ke semasa sehinggalah diiktiraf sebagai pasukan elit untuk pasukan British.

Walaupun era darurat berakhir pada tahun 1960, namun kepakaran unit Senoi Praaq masih lagi diperlukan sehingga ini. Kini, Senoi Praaq diletakkan di bawah Jabatan Pasukan Gerakan Am, sebuah sayap dalam pasukan Polis Diraja Malaysia.

“Jabatan Hal Ehwal Orang Asli Malaysia juga menyokong penerbitan dokumentari ini kerana melihat pengiktifaran yang diberikan kepada masyarakat Orang Asli amnya,” tambah Nizam lagi.

Bagi memberi kefahaman yang lebih mendalam tentang sejarah yang pernah berlaku ini, kisah perjuangan pahlawan Semai ini juga diceritakan dalam bentuk yang lebih fiksyen iaitu drama bersiri 8 episod yang berjudul ‘Suatu Ketika...Lembing & Layang’.

Drama bersiri ‘Suatu Ketika...Lembing & Layang’ dijayakan oleh pelakon-pelakon hebat seperti Natasha Hudson, Ellie Suriyati, Beto Kusyairy, Ruby (peserta Anak Wayang), Azhan Rani dan ramai lagi.

Jangan lupa untuk saksikan dokumentari hebat ‘Suatu Ketika...Laskar Senoi’ pada hari Ahad ini, 8 November 2009, jam 6.30 petang di Astro Prima dan 8 buah episod drama bersiri yang akan menceritakan semula kejadian sebenar tetapi dalam bentuk fiksyen dan membawa penonton mengimbau kembali kisah pahlawan Semai yang berani menggelar diri mereka sebagai Senoi Praaq atau Orang Perang dalam ‘Suatu Ketika...Lembing & Layang’ di Astro Citra (saluran 131) pada setiap hari Rabu dan Khamis, bermula 4 November ini, jam 9 malam.

11 November 2009

Akhirnya adikku pergi juga...

Akhirnya adik kandungku pergi juga.Inna lillahi wa inna ilaihi rojiunn.

Aku pernah ceritakan bahawa aku punya adik perempuan bernama Sarina.Selepas saja adikku dapat tahu aku memeluk agama Islam.Dia selalu datang bertanya tentang Islam kepadaku.Sesekali bila pulang ke kampung,ketika kehidupanku masih baru mengenal Islam tidak banyak yang dapat aku kongsikan bersamanya.Cuma aku sering mengingatkan adikku supaya jika dia berniat hendak mengikuti jejakku bulatkan hati dan ikhlas.

Hidup aku dan adik-adik terpisah selepas itu.Sejak berusia 19 tahun aku sudah merantau jauh.Mengejar kehidupan yang aku yakini.Jiwaku yang sentiasa bergolak mencari ketenangan hakiki.Jeritan yang tidak pernah terdengar.Aku bermain dengan alam.Di kelilingi hutan dan rimba buat aku semakin insaf.Merasai kebesaran Maha Pencipta.Lalu aku terus tidak menoleh ke belakang lagi.

Pada ketika aku sudah mula memahami ajaran-ajaran asas Islam.Sewaktu pulang menjenguk keluarga ,adikku datang bertanya lagi bahawa dia juga sudah nekad untuk memeluk agama suci ini.Usianya masih terlalu muda.Aku pinta agar dia mencari...

Tidak lama aku selepas itu,dia telah bekerja di sebuah kilang di Johor.Dan berita yang kudengar dia telah berkahwin di gereja dengan seorang pemuda Iban beragama Kristian dari Sarawak.Mereka berkahwin di sana.Sedih ketika itu kerana mensia-siakan harapan adik kandung.

Namun setelah melahirkan anak sulungnya dan mengambil keputusan untuk tinggal saja di kampung.Suaminya tidak lagi datang apatah lagi mengirimkan nafkah.Adikku tidak lagi mengharapkan kepulangan suaminya.Aku mengajaknya memeluk agama Islam.Hidayah Allah siapa tahu akhirnya adikku bersama anaknya memilih Islam sebagai anutan.

Aku gembira kerana sebelum ini sepupu perempuanku juga telah memilih Islam.Kini adik ku sendiri.Dengan tunjuk ajar, bantuan dan sokongan Majlis Agama Islam N.Sembilan dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam N.Sembilan,kehidupan mereka anak beranak terjamin.

Usia adikku tidak panjang.Pada tahun 1995 beliau menghidapi barah tulang dan kakinya terpaksa dipotong untuk mengelak ia merebak ke anggota lain.Apa yang diramalkan doktor terjadi juga.Barah menjadi kanser dan membesar di paru-parunya.Aku tahu usianya tidak lama kerana aku sendiri bertanya kepada doktor di PPUM mengenai barah tersebut.

Akhirnya adikku pergi juga pada 24/10/2009 yang lalu.Aku yang pulang dari menjemput isteri di Seremban terus ke kampung.Dalam hujan yang lebat diikuti petir aku tiba di kampung dan kulihat adikku sudah terbaring kaku.Sebagai abang sulung dan satu-satunya yang beragama Islam dalam keluarga aku bertanggungjawab atas semua keperluan pengkebumiannya keesokkan hari.

Tinggalah anak perempuannya yang menjadi tanggungjawabku.InsyaAllah,moga-moga Allah tempat roh adikku bersama-sama roh para solehin.Aku redha dan telah maafkan segalanya.Moga-moga Allah terima seorang insan yang banyak menyimpan luka di hati di sisinya.InsyaAllah kita akan berjumpa di firdausNya nanti.

21 September 2009

Selamat Hari Raya Idil Fitri dan Maaf Zahir dan Batin


Dapatkan Mesej Bergambar di Sini

11 September 2009


Dapatkan Mesej Bergambar di Sini

01 September 2009

Selamat Ulang Tahun...44: Sebuah Kisah

Hari ini (1 September 2009) genap usiaku 44 tahun.Kalau dikira aku sudah semakin matang.Entahlah.Terlalu subjektif.Ada manusia yang muda usianya tapi kematangan berfikir lebih dari orang yang seperti usiaku.Ramai yang telah kujumpa manusia-manusia yang seperti ini.Padaku kematangan bukan terletak kepada usia.Ada manusia yang menjangkau setengah abad tapi masih suka lepak di pusat-pusat hiburan.Minum.Menari.Joget dangdut.Itu yang selalu kulihat jika ada kes-kes tangkapan dibicarakan di tempat kerjaku.Ada yang bergelar warga emas.Rambut sudah beruban.Datang ke mahkamah ditemani cucu dan menantu.Pendek kata bukanlah usia ukuran kematangan.

Biarlah.Jangan diulas panjang.Mungkin ada nanti yang berpolemik.Terasa mungkin.Aku ingin menulis di sini berkaitan sambutan ulang tahunku.Ehem...!Siapa tidak gembira jika ada yang mengingatkan.Mengucapkan Selamat Ulang Tahun atau selamat Harijadi.Kepada isteri yang tidak pernah lupa setahun sekali.Terima kasih.Katanya senang nak ingat..lepas merdeka.Aku pulak dimerdekakan dari rahim ibuku...44 yang lalu.Sebenarnya aku tidak mengharapkan sangat diingatkan tentang hari ulang tahunku.Mungkin terasa sudah semakin hampir nyanyuk..atau bahasa lembutnya tua.Uban di kepalapun sudah boleh dikira.

Gembira...ya juga.Tidak ada manusia yang menolak rasa gembira jika diucapkan selamat harijadi.Disusuli dengan doa dan ucapan semoga panjang umur murah rezeki...rajin beramal atau bertambah amal kebajikan..mmmm..jarang pulak didengar.Mungkin kita perlu mengubah budaya ini.Agar lebih islamik.Mengingatkan kepada diri tentang usia yang sudah lanjut..amalannya sudah mendarah daging.Bukan lagi kerana terpaksa..tidak terfikir diri ini hamba.

Zaman remaja...indah.Budaya mengucapkan selamat harijadi memang menjadi lumrah.Poskad dan hadiah.Seingat aku tidak pulak pernah dalam ahli keluargaku mengucapkan sebegitu.Kawan-kawan dan taulan juga sama.Sehinggalah aku meningkat remaja.

Tetapi satu peristiwa yang mengejutkan pernah terjadi kepada diriku.Tidak pernah seumur hidupku ada yang mengingatkan hari jadi kepadaku.Malah aku kadang-kadang terlupa mengucapkan kepada diri sendiri.Berlalu begitu saja.Kisah ini berlaku ketika aku di lower six sewaktu menuntut di Yayasan Anda Akademik.Aku terima sebungkus hadiah.Terkejut dan teruja.Hadiah dari rakan sekelas.Hadiah dari pelajar perempuan pulak tu.Rupa-rupanya dalam berserban(waktu tu) ada jugak yang sudi mengingatkan tarikh keramat hidupku.Sampai sekarang nama dua gadis comel itu masih aku ingat.Dan sesungguhnya ingatan kepada mereka pada setiap ulang tahunku sangat-sangat istimewa.

Dua gadis comel yang kumaksudkan adalah gadis beragama kristian.Berasal dari Sabah (Ranau).Berketurunan Kadazan Dusun.Memang aku rapat sikit dengan mereka ketika di lower six berbanding rakan perempuan sekelas beragama Islam.Aku tidak tahu rupanya mereka merancangkan sesuatu untuk aku.Sebuah lukisan pemandangan senja di lautan.Di belakang frame diabadikan nama kedua-dua gadis tadi dari Bianah dan Maura Jonip...Selamat Hari Jadi Along.

Aku selesa berbual dengan mereka.Walaupun aku memakai serban (ketika itu) aku cuba tunjukkan bahawa Islam itu sebenarnya adalah agama bertoleransi.Mudah.Malah aku pernah secara bergurau mengatakan bahawa aku punya awek (teman wanita) si Maura ketika rakan perempuan sekelas (Normah) bertanya kepadaku secara jujur (atau sekadar menguji) apakah aku mempunyai rakan perempuan di hati....(dalam pertanyaannya ketika itu).Maura kulihat tercengang dengan jawapan selamber aku itu.(Kalaulah dia muslim...).Dan di penghujung tahun 1988 aku juga tidak segan menghadiahkan kepada mereka berdua sebuah buku bertajuk "Mengapa aku pilih Islam".Aku niatkan sebagai dakwah.Agar mereka faham mengapa Islam pilihanku.

Dan hadiah kepada mereka juga adalah yang teristimewa dariku.Mengapa tidak.Pada awal pagi selepas membeli sarapan di gerai makan tingkat bawah Flat Kg Kerinchi aku berjalan pulang ke asrama.Mataku terarah kepada sehelai kertas direnyuk berwarna perang.Aku pasti gumpalan kertas itu duit,lalu aku mengutipnya di tengah-tengah ramai.Lalu kubuka perlahan dan memang kupastikan ianya mata wang bernilai RM 500.00 (ketika itu note RM 500.00 masih sah laku).Tidak pernah aku terjumpa duit dengan nilai sebesar itu.Dan dengan menggigil aku ke kedai runcit berdekatan.Seorang abang si pekedai runcit yang ku kenal kuceritakan penemuan mata wang itu.Menyerahkan kepadanya agar ada insan yang kehilangan datang mengadu dan menemukannya kembali.

Menjelang isyak rakan sebilik si Bob memanggilku sewaktu aku menatap nota-nota untuk kelas keesokannya.Katanya si penjual kedai runcit ingin berjumpa.Tanpa berlengah aku turun ke tingkat bawah.Kulihat si penjual sedang berbual dengan seseorang yang biasa juga aku jumpa di sekitar flat itu.Abang si pekedai runcit menghadiahkan senyum diikuti dengan ucapan salam dari teman bicaranya ketika itu.Dia perkenalkan diri sebagai abang.Lalu mengucapkan terima kasih kepadaku kerana menyerahkan note RM 500.00 kepada pekedai runcit kenalannya.Kami berbual seketika dan dia menghadiahkan aku RM 50.00 sebagai hadiah dan business kadnya.Wau... seorang kontraktor.

Dengan duit itu aku menghadiahkan kepada diri kain serban baru dan sebuah buku "Mengapa aku pilih Islam" yang kemudiannya aku hadiahkan kepada Maura dan Bianah si gadis Kristian Protestan itu.

30 August 2009

Senoi Praaq..The Unsung Heroes ( Lagenda Merdeka)















Tidak ramai mengetahui sejarah perjuangan sekumpulan pemuda Orang Asli sebelum dan selepas kemerdekaan.Mereka juga adalah pejuang yang turut serta membantu pihak British menentang komunis malah dianggap lagenda kerana kepakaran mengesan dan memburu pengganas komunis (PKM) sehingga jauh ke dalam hutan-hutan tebal sempadan hingga ke sempadan Thailand.Ibuku pernah bercerita kisah-kisah ayahku yang terlibat dengan pengganas komunis ketika zaman mudanya.Kata ibu Senoi Praaq pada asalnya adalah ilham seorang mentor British bernama Tuan Noone (sebagaimana yang disebut oleh ibuku) atau R.O.D.Noone.

Senoi Praaq bermaksud "Orang Perang" dalam bahasa Semai (suku orang asli).Ketika tarikh keramat 31 Ogos 1957 semakin hampir pihak British terdesak mahu menubuhkan sebuah pasukan askar yang dapat membantu kerajaan yang baru ditubuhkan menjaga keamanan dan mengekang pengaruh komunis.Tuan Noone telah berjumpa dengan Sir Gerald Templer,pemerintah tentera Bristish Tanah Melayu ketika itu mengenai penubuhan Senoi Praaq,cabang pasukan bersenjata di bahawa Jabatan Orang Asli.Lewat tahun 1956 tertubuhlah pasukan ini yang dinamakan Senoi Praaq.

Bermula dengan 2 unit dan 10 orang setiap unit hasil dari penangkapan beberapa pemuda orang asli yang menyertai komunis di bawah operasi Surrendered Enemy Personnel(SEP) yang kemudiannya berkembang menjadi 3 unit.Menjelang tahun 1957 unit ini telah berkembang menjadi 2 skuadron dan setiap skuadron dianggotai dengan 80 orang pemuda orang asli dari perlbagai suku.

Aku masih ingat ayahku ada bercerita bahawa beliau juga adalah seorang bekas komunis yang ditangkap di sekitar sempadan Jelebu, N.Sembilan dan Pahang.Dibicara di depan OCPD British di Kuala Klawang, Jelebu,N.Sembilan dan kemudiannya dibebaskan.Tidak lama kemudian ayahku juga dipanggil untuk berkhidmat dengan kerajaan British sebagai anggota Senoi Praaq.Operasi Senoi Praaq ketika itu berpusat di Batu 12,Gombak,Selangor.Kemudian mereka berpindah ke Jalan Maxwell yang dikenali dengan Camp Lamjung ,asalnya sebuah kem peninggalan askar Gurkha(99th Briged).(Di situlah ayah bertemu ibuku dan di situlah juga aku dilahirkan.:-)

Penubuhan Senoi Praaq telah memberi tamparan hebat kepada pengganas komunis.Kepakaran orang asli menjejaki binatang-binatang hutan telah membantu mereka mengesan musuh dengan amat tepat sekali.Bau,rasa,jejak,tanda-tanda persekitaran,bunyi binatang dan unggas rimba malah mimpi-mimpi juga adalah antara isyarat operasi.Biasanya apabila suatu kawasan itu dipercayai ada musuh ,Senoi Praaq akan ditugaskan masuk mengesan dulu.Apabila maklumat telah diperolehi tentang anggaran berapa ramai,keadaan bukit dan anak air, jalan jalan yang memungkinkan pengganas komunis melarikan diri barulah pihak tentera akan membuat perancangan serangan.

Sebenarnya kisah Senoi Praaq tidak pernah dibukukan di dalam Malaysia.Namun perjuangan mereka boleh dianggap lagenda kerana pengganas komunis amat takut dengan unit ini disebabkan skil mereka memburu dan mengesan musuh di hutan.Tidak hairanlah pada peringkat awal serangan gerila komunis dulu mereka berjaya mempengaruhi anak-anak muda orang asli untuk dijadikan sebahagian dari mereka guna membantu mereka meloloskan diri dari serbuan tentera.Insya Allah aku akan menulis lagi tentang Senoi Praaq pada masa akan datang.

sumber :Death Waits in The Dark,The Senoi Praaq:Malaysia's Killer Elite,Roy davis Linville Jumper.

18 July 2009

Sekadar renungan

Mereka yang berjuang ikhlas di jalan Allah.Pasti akan melihat buah budi yang indah bercahaya anugerah dari Allah.Dunia ini penuh dengan perjuangan namun manakah satu perjuangan sejujurnya seperti ketika di zaman Islam yang maha suci baru berkembang.Tidakkah pada masa itu Islam datangnya dagang (sendiri tidak dipedulikan) dan akan kembali dagang.Beruntunglah mereka merebut anugerah kasih sayang Allah yang memberi manusia hidayah lalu disambut dengan penuh rasa insaf.

Telah banyak dan telah terbentang di laluan hidup menuju hari-hari akhir kalam kita lihat manusia menabur bakti budi.Atas nama kejujuran dan ikhlas rasa khabarnya.Harta,jiwa,buah akal dan segala macam bentuk amal telah tercurah guna mencari pahala berlipat ganda.