29 July 2017

Sebuah memori rakan - Pengkalan Hulu (Keroh)



Sebuah sajak berbahasa Inggeris yang dinukilkan oleh seorang rakan sekolah.Mengabadikan memorinya membesar di daerah itu.Dia adalah rakan berbangsa India yang kuceritakan  di dalam blogku ini.Kami pernah menjadi pengawas sekolah sewaktu berada di tingkatan lima tahun 1981 dan 1982.Seorang lelaki yang peramah dan baik di mataku.Seorang yang tidak banyak bual bicara tetapi memiliki jutaan rasa melalui penulisan puisinya.Sebahagiannya diabadikan di sini dengan izinnya.Mahendren.

A Heaven I Miss - Pengkalan Hulu

Sweet smell of burnt bushes and baked earth

still lingers in the memory though bygone in history

am awakened from the slumber’s depth

to the musical memory from the past gone by;the days I used to wander

brushing the bushes in the forest

caring for the wild wilderness

now but a story shrouded in history

only to be told again and again;

the multicolored spiders

the poisonous snakes that slithered smoothly

beneath pile of dried rotten leaves

harmed me not even in their dreams;

the squirrels that gave me once a native fruit to eat

the monkeys that threw me once a bunch of fruits to be shared with friends

the Orang Asli (Natives of Malaysia) who guided 

me with their skills

are all but embedded layers of past thoughts;

the years rolled fast, past my youth

only for me to carry on with a bundle of memory;

oh, how I wish to be back then

to stroll again the motherly earth there

to smell again the burnt bushes and baked earth

to recover the sweet life hidden in the wilderness;

a place so dear to me

where survival taught in beautiful and colorful manner

hurt none embrace all;I lived in meditationut

most equanimitylife was full of equilibrium

amidst the greenery and serenity

of a forest

in Pengkalan Hulu

a heaven I lived once.

(this is a re-post.Posted elsewhere before)©cyclopseven. All right reserved 030908.

26 July 2017

Nostalgia pilu buat seorang aku

Kroh, sekembalinya aku ke daerah itu sebaik tamat semester 1 hujung tahun 1983, menyemarakkan rasa kerinduan kepada kehidupan zaman kanak-kanak dan awal remaja.Betapa tidak, kerana di sini aku membesar sepanjang 14 tahun yang lalu.Segala ceruk mana yang tidak aku terokai, lorong, denai, sungai, bukit, belukar, hutan, paya, tasik.Semuanya sudah dilalui bersama kawan sebaya.Belum lagi cerita melastik, menjerat dan menggetah burung, mengail ikan, memasang jaring, bubu dan memanah.

Sungguh, orang selalu akan teruja apabila disebut pulang ke kampung, tapi bagiku pulang ke daerah ini merupakan harapan yang selalu diinginkan.Walaupun dilahirkan di Selangor, tetapi aku menganggap Kroh seperti tanah kelahiran.Pulang ke sana bererti seperti kepulangan perantau ke desa kelahiran.Di sana aku mengenal kawan, sahabat lelaki perempuan.Di sana aku tahu erti setiakawan.Permusuhan juga berlaku tapi zaman kanak-kanak dan remaja kebencian ya, sampai ke mana? Tidak berpanjangan.

Kawan-kawan pula berbagai suku kaum.melayu, cina, india, sikh, orang asli dan siam.Bila pulang dari pengajian terasa diri sudah remaja dan mampu hidup berdikari di rantauan.Sudah mampu hidup berseorangan jauh dari ibu bapa dan adik-adik.Senja ketika sampai ke daerah itu, aku berjalan sambil mengusung beg dan fikiran yang sarat dengan kisah di ITM.Pasti aku akan bercerita kepada ibubapaku bahawa sejak kembali ke pangkuan mereka ketika aku tidak sanggup menanggung rindu dulu, aku sudah betah untuk hidup jauh dari mereka semua.Kerinduan kepada rakan-rakan sepermainan sudah beransur-ansur hilang, yang tinggal cuma sisa rindu kepada seseorang yang kukenal ketika tempoh awal pengajian.

Daerah itu, sangat mendamaikan.Beberapa lukisan kedamaian sempat kulukis sebelum aku ke ITM Julai 1983 dulu.Pemandangan bukit bukau yang mengelilingi, tasek takung yang terletak di tengah daerah ini dengan taman permainan kanak-kanak di pinggirnya.Memancing di tebingnya sambil melihat manusia berehat di tebing sebelah sana.Padang pendaratan pesawat tentera dengan sebuah padang yang luas kawasan bermain dulu-dulu.Belukar yang mengalir di bawahnya sungai-sungai tempat bermandi-manda bersama kawan dan juga sungai mencari ikan.Semua itu tersimpan kemas dalam memori indah tentang Kroh.

Cuaca yang sejuk apabila malam dan kadang-kadang berkabus sehingga jam 10 pagi.Tengahari yang sunyi dan meriah bila petang.Jalan Sri Adika Raja antara pekan Kroh ke kem BN 19 itu adalah jalan kenangan waktu kecil.Teringat bila ke sekolah rendah iaitu Sekolah Kebangsaan Kroh, kami susuri jalan ini dengan limpahan gugur bunga angsana yang menguning.Sepanjang jalan menghidu wangian bunga itu.Nostalgia pilu buat seorang aku.

23 July 2017

Retrospektif

Aku masih ingat berkawan baik dengan  seorang pelajar lelaki dari Brunei Darus Salam sewaktu menuntut dulu.Namanya Awang Abdul Rahman, nama panggilan biasa bagi lelaki dari sebelah sana.Kami satu kumpulan iaitu Kumpulan 2.Dia seorang yang kurang bercakap tapi lembut berbicara dengan slang Brunei. Oleh sebab Awang pendiam dan kurang bercampur dengan rakan-rakan sekumpulan yang lain dia lebih rapat denganku berbanding yang lain.Aku pula suka berkawan dengannya disebabkan sikapku yang tidak gila-gila seperti rakan yang lain.
Kumpulan 2 AD 10


Perkenalanku dengannya banyak membuka pengalaman bergaul dengan rakan dari negara lain.Awang memberitahuku bahawa mereka pelajar-pelajar dari Brunei ditaja sepenuhnya oleh kerajaan negara tersebut.Memang betul-betul mewah.Apa yang diberitahu olehnya, mereka diberi wang tajaan sebanyak lebih kurang 7000 Brunei Dollar.Tidak hairanlah mereka tidak makan di dewan makan yang disediakan oleh pihak asrama.Mereka menyewa rumah sewa di sekitar seksyen 2.Rumah sewa pula lengkap dengan perabut asas seperti peti tv, peti ais dan dapur.Aku pernah sekali menziarahi Awang dan rakan-rakannya di rumah sewa itu.

Aku masih ingat aku juga meminati  penyanyi Sohaimi Mior Hassan pada tahun 1983 kerana lagu-lagu berbentuk puisinya itu.Kaset dari album Prolog memang kubawa bersama dan tersimpan di almariku.Bila rindu untuk mendengarnya aku meminjam walkman kepunyaan rakan sebilik.Selepas itu aku larut dalam lagu puisi yang romantis itu.

Dalam minggu kuliah sesekali aku menjenguk surat khabar yang jarang dapat dibaca dek kerana kesibukan dengan assignment.Aku terbaca tajuk hiburan bahawa penyanyi yang kuminati itu akan keluar di kaca televisyen dalam rancangan Hiburan Malam Minggu.Wauuu..waktu itu belum pernah SMH menyanyi di kaca tv.Aku teruja yang amat sangat, lantas terus berjumpa Awang dan meminta untuk ke rumahnya pada malam itu hanya semata-mata ingin melihat penyanyiku ke udara.

Malam itu, itulah kali pertama aku melihat penyanyi yang kuminati, Sohaimi Mior Hassan menyanyi di kaca tv.Sungguh nostalgia.Puas rasanya.Walaupun berseorangan di depan tv.

Aku juga berkawan dengan seorang pelajar jurusan Kuantiti Survey, James Daniel Fridolin.Orang Asli suku semai.Entry yang lepas, aku ceritakan sedikit tentang dirinya.James mengajak aku ke Batu 12, Gombak.Mungkin boring duduk di hostel, aku pun mengikutinya.Kami berjalan kaki menyusuri perumahan di Shah Alam.Sambil membawa kamera,James mengabadikan beberapa gambar sekitar perumahan.
Taman Perumahan Seksyen 2 Shah Alam



Aku sempat bergambar di Padang Kelab Selangor dan sekitar Batu 12, Gombak tahun 1983.Buat pertama kalinya aku mengenal Bandar besar Kuala Lumpur dan mengenal kehidupan serta jenis manusia yang menghuninya.

Padang Kelab Selangor (1983) / Dataran Merdeka

14 July 2017

Disember 1983, Tahun Terakhir di Kroh (Pengkalan Hulu)

Di penghujung semester satu, perasaan kembali teruja dan gembira  untuk kembali bertemu keluarga sebaik menamatkan kertas akhir peperiksaan. Segalanya telah dibuat sebaik mungkin. Di bilik hostel, aku mendapat katil yang paling atas dan hampir dengan siling. Jadi penuhlah siling dengan nota-nota kuliahku. Sebelum tidur aku menatap nota-nota ringkas, begitu juga sebaik bangun dari lena. Tidak lama lagi cuti sem, dan itu saat yang dinantikan. Aku keluar ke bandar Kuala Lumpur menuju ke Puduraya untuk membeli tiket bas. Selok belok jalan di Kuala Lumpur sudah pun dihafal. Aku mempunyai rakan dari Batu 5 Gombak. Shahrulzaman, namanya. (Pelakon drama era 1990’an). Dialah yang menunjuk ajar nama-nama jalan di Kuala Lumpur. Pernah juga “merayap” waktu cuti kuliah dengan seorang lagi kenalan dari institute yang sama tapi berlainan jurusan. James Daniel Friedolin. Kami sempat bergambar sekitar bandar besar. Malangnya banyak foto-fotoku telah hilang.

Begitu juga dengan rakan sekuliahan, Din. Pernah seharian merayap sekitar Kuala Lumpur dan pulang ke ITM bila hari sudah merangkak malam. Pada masa yang lain aku bersama rakan sebilik menonton wayang di Chow Kit Road. Filem Superman.

Aku kembali ke Kroh berseorangan menaiki bas Restu Ekspress. Perjalanan pulang bermula waktu pagi dan tiba di Kroh waktu hari sudah malam. Berjalan berseorangan sambil menghitung kembali rindu di hati. Wajah adik-adik tentu ceria bila abang longnya sudah kembali. Sewaktu tiba di rumah, keadaan sudah jauh berbeza. Ayahku sudah membeli beberapa perabut baru. Kedudukan radiogram di ruang tamu di luar sudah dipindahkan ke dalam ruangan keluarga. Bilikku yang dulu kutinggalkan sudah jadi bilik adik perempuanku. Aku tak kisah. Aku hanya tidur di ruang luar berseorangan. Apabila malam, aku melayan lagu-lagu Sohaimi Meor Hassan yang lama kurindukan. Sehingga dinihari dan turut larut dalam alunan lirik romantic lagu cintanya sambil membayangkan aku pula yang bercinta dengan si dia.

Ketika sem satu, aku selalu juga ke tingkat atas art building. Mendengarkan lagu-lagu klasik kontemporari dari budak-budak muzik.Mereka berlatih mengalunkan lagu tradisional dan disesuaikan dengan alatan muzik moden.Ketika di atas itu, aku bertemu seorang kawan yang datang dari tempat sama di Kroh (sekarang pengkalan Hulu).Dia mengambil jurusan seni fotografi.Walaupun tidak rapat tapi kami berbual panjang.Aku mengenali ibu dan abangnya.Ibunya yang mesra dipanggil Mak Engku adalah bidan yang biasa dipanggil oleh warga kem PPH ketika kaum ibu melahirkan bayi.Mak Engkulah yang mengajar aku bagaimana menjaga adik bongsuku ketika ibuku masih ditahan di hospital Baling, Kedah.Mak Engku menunjukkan cara memandikan dan memakaikan lampin dan barut bayi.Menyediakan susu dan menyucikan najis.Tahun itu tahun aku mengambil SPM.Sementara rakanku dan abangnya adalah rakan-rakan sepermainan bola sepak.Mereka tidak tinggal di kuaters kem tetapi amat mengenali kami kerana ayahnya juga berkerja di kem PPH ketika itu.

Aku mulai meminati untuk belajar memetik gitar hasil dari melihat rakan-rakan muzik bermain muzik.Sekembali ke Kroh, aku mendapat tahu seorang rakan jiran lama selalu bermain gitar di rumahnya.Apalagi di situlah aku melepak setiap hari.Hanya semata-mata melihat dia memetik gitar.Pada entry yang lepas aku telah ceritakan bagaimana ayahku mendapat tahu aku berminat bermain gitar dan tidak lekat di rumah, lantas ayahku membeli sebuah gitar baru untukku.Sejak itu aku mula berjinak-jinak mempelajari kod asas gitar.

Pada waktu siang, aku kembali kepada aktiviti memancing di tasek.Pagi-pagi lagi rakanku datang menjemput untuk ke pinggir tasek.Katanya musim kelkatu banyak keluar dari sarang untuk dijadikan umpan.Kami beramai-ramai menghulurkan joran dan memang benar sekejap saja umpan joran disambar ikan.

Itulah nostalgia terakhir aku bersama kawan sepermainan.Kawan-kawan sama membesar.Sama-sama mengharungi alam kanak-kanak dan remaja.Bergaduh dan berbaik semula tanpa mengira kaum.Melayu dan orang asli tidak ada yang membezakan kami.Penghujung 1983, pada lewat pagi Disember, ayahku pencen dari perkhidmatan kerajaan sebagai askar PPH.Hampir dua puluh tahun lebih.Sejak dari zaman Senoi Praaq, AAP atau Auxiliary Aboriginal Police hingga ke Polis Hutan.Kami akan kembali ke kampong ayahku di Jelebu.Tinggallah segala kenangan. 


Kroh dari pandangan udara tahun 1960.

09 July 2017

Warkah Yang Tidak Kesampaian

Seronok melalui alam remaja dan mengenang kembali perjalanan yang dilalui. Lebih menyeronokan bila bergelar pelajar. Di situlah dapat mengenali rakan dan taulan, sahabat dan teman. Ada antaranya menjadi rapat dan berkongsi rahsia kehidupan. Bergurau, bersenda gelak ketawa. Bersedih, menangis dan menyimpan duka. Setiap orang pasti merasai indahnya bergelar remaja. Bertambah indah apabila mula mengenali seseorang dan menyukainya.

Antara ribuan pengalaman hidup yang indah zaman itu, aku tidak terkecuali. Masing-masing dengan kisah dan pengalaman sendiri. Aku menyukai gadis si mata sepet sejak zaman persekolahan sehingga remaja. Waktu sekolah dulu, rakanku itu duduk di sebelah kiriku. Dia tidak banyak bercakap pada awalnya. Namun bila sudah berkenal mesra, banyak perkara yang dikongsikan. Dia meminta aku mengajarkan subjek matematik, katanya aku pandai matematik. Aku membalas balik, setahu aku orang cina lebih bijak dalam matematik. Rakanku itu hanya senyum dan menunjukkan lesung pipit di pipinya yang tembam.


Aku no.5 berdiri di belakang kiri gambar.Dia berdiri di depanku berambut china doll.


Aku hanya menyukainya dan tidak untuk jatuh cinta, belum lagi. Maklumlah cinta sewaktu alam persekolahan cinta monyet diistilahkan orang. Dia gemar bercerita hal kerja sekolah. Katanya bahasa Malaysianya agak susah, walaupun kutahu tidaklah seteruk mana dan payah.

Bila aku sepi melayan kerjaku sendiri, dia akan cuba menarik perhatianku dengan meniup-niup juntaian rambutnya yang menutupi dahi itu atau menyelak rambut dan diselitkan di celah telinganya. Aku suka bila dia berbuat sebegitu.

Kemuncak perkenalan bila dia memberitahu akan memberi gambarnya kepadaku. Meminta aku melukis potret wajahnya. Insiden aku melukis potret guru kelas telah menarik perhatiannya. Pujinya,  aku pandai melukis. Hati tersangat riang dan teruja, seorang amoi rakan sekolah akan memberi gambarnya. Maklumlah zaman itu istilah rakan perempuan amat tertutup. Masih dikawal paling tidak oleh norma-norma kehidupan yang mementingkan adab dan adat. Lebih-lebih lagi untuk rapat dengan seseorang. Tidak seperti di zaman ini yang serba bebas percampuran tanpa mengira batas.

Ketika menjejakkan kaki sebagai pelajar di institut pengajian tinggi seperti ITM pada tahun 1983. Perwatakan serupa kutemui lagi. Bermata sepet orangnya dan gemar menyelitkan rambutnya ke telinga. Orangnya lembut. Jarang dapat berbual kerana sikapku yang sukar bersosial. Hanya bila ada perkara penting, barulah komunikasi mempunyai tujuan.

Aku menyukai gadis bernama KGK ketika itu kerana ciri-ciri seperti yang dicari muncul di sana. Tambahan pula aku mengenali rakan lelaki satu persekolahan dengannya. Dari rakan yang bernama Meng Kee, banyak rahsia yang aku perolehi mengenai KGK. Satu pagi hari cuti, aku berjumpa dengan Meng Kee di Kolej Jati Blok C. Kami berbual-bual mesra bercerita. Entah macam mana Meng Kee mencabar aku supaya mendekati KGK. Saat itu memang kutunggu, kerana aku memang sudah lama menyimpan hasrat. Samada benar atau tidak Meng Kee mengajar aku supaya memanggil KGK, “Salmah”, katanya lagi KGK anak tokeh balak. Dia menyuruh aku menulis surat menghulurkan salam perkenalan.

Balik ke penginapanku Kolej Jati Blok D (sekarang telah dirobohkan) aku mengarang sebuah warkah yang mudah. Tiada bahasa puitis laksana surat cinta yang romantis. Hanya salam perkenalan yang ingin kuhulurkan. Menyukainya sebagai gadis pilihan. Mungkin untuk seterusnya, bisik hati menyulam impian.

Hari berikut, tanpa perancangan aku bertembung dengan KGK pulang dari kafeteria sesudah minum pagi. Di laluan itu, KGK menghulurkan senyum dan aku membalasnya, kami bertegur sapa dalam nada yang ramah. Tapi aku hilang arah, tak tahu apa dan hilang bicara. Tidak semena-mena, aku terus mengatakan, bahawa Meng Kee meminta aku memanggilnya “Salmah”.KGK hanya senyum dan menidakkan kata-kata Meng Kee. Atau aku telah dipermainkan Meng Kee, aku tidak tahu. Aku tidak tahu butir apa lagi yang mahu keluar, lantas aku meminta diri untuk beredar. KGK berlalu dan aku terlepas satu saat yang indah. Aku terlupa sebuah warkah.

Sukar menafikan yang aku tidak menaruh hati pada KGK. Warkah dikarang tidak kesampaian. Tidak sampai ke empunya badan. Itulah kali terakhir pertemuan. Boleh saja jika aku ingin bertemunya lagi, tapi aku tetap aku. Sikap pemalu dan naif waktu itu membatas segala keinginan. Tidak mengapa bisikku, untuk semester akan datang. Siapa tahu mungkin aku lebih berani atau terdesak untuk mendekati.

Kembali menulis.

 Kembali menulis. Dalam usia yang telah mencecah 58 tahun, banyak nostalgia tidak lagi diingati dengan jelas dan tepat. Minat menulis masih ...