19 January 2017

1981: Menulis bahasa hati



Aku juga suka menulis.  Minat ini datang setelah aku berada di tingkatan 4 aliran sastera.  Subjek Kesusasteraan Melayu yang diajar oleh Cikgu Amin, guru kelasku dan juga guru disiplin sekolah.  Cara pengajaran yang kadang-kadang menarik minatku dan kadangkala menyeramkan.  Apa tidaknya, guru disiplin!.Tapi apabila cikgu memimpin cara menghayati sajak-sajak moden dengan bahasa-bahasa puitis, aku mula berjinak-jinak mencipta sajak yang sama. Pada tahun 1981, aku sudah pun menulis sajak tentang Kroh, daerah yang aku bermastautin ketika itu.Cinta..? maaf tiada sajak bertema cinta sebab aku sendiri tidak mengalaminya.  Naif.

Kebetulan ibuku telah membeli mesin taip jenama Singer pada tahun itu. Jadi ada masanya aku mengadap mesin taip dan mula berkarya.  Seingat aku ada juga menulis cerpen dan naskhah cerpen itu kuhantar ke akhbar Utusan Malaysia untuk tujuan siaran.  Malang, mungkin aku tiada pengalaman dan mungkin tidak menepati ciri-ciri cerpen yang menjadi minat umum pada masa itu, maka cerpenku tidak pernah tersiar.

Namun semua itu hanya menjadi koleksi peribadi saja.  Aku simpan dan sesekali jika teringat aku buka kembali lembaran sajak-sajakku.  Menulis sajak adalah cara aku mengambarkan alam di fikiran.  Lalu gambaran alam itu kutulis atau kulukis di atas kertas.  Itu saja yang aku tahu cara mentafsir perasaan ini.

Maka lengkaplah sudah kekosongan jiwa yang aku rasai dengan aktiviti menulis, melukis dan bernyanyi dan mendengar lagu.  Aktiviti biasa bagi kebanyakan remaja sekitar tahun 1980’an berbanding remaja zaman sekarang yang serba canggih.

17 January 2017

Warkah seorang kawan dan didera rakan perempuan.

"Leh!!..mari sini."  Tiba-tiba namaku dipanggil sebaik saja aku melewati pejabat sekolah.  Waktu itu waktu rehat sudah pun habis dan aku dalam perjalanan untuk masuk ke kelas.  Aku melihat seorang pelajar perempuan yang aku kenal bernama Marina dan beberapa orang lagi pelajar perempuan yang menjadi rakannya tercegat menantiku. Mereka tersengih bila melihatku tergamam. Aku langkahkan kaki mendekati mereka dengan sedikit perasaan segan.  Maklumklah tak biasa dengan rakan pelajar perempuan.

“Ini ada surat untuk Leh.” Aku nampak di tangannya ada sehelai sampul surat putih berbelang merah biru.

“Surat marka ya?” soal Marina kepadaku.
“Dah pandai main surat ya.. sapa bagi ni?. bagi tau cepat!”.soalnya lagi.
Aku terkejut dan tergamam bila disergah begitu.  Tak pernah aku bermain surat dengan mana-mana pelajar perempuan di sekolah. Apalagi sekelas.
Aku cuba melihat surat di tangannya tapi Marina menyembunyikannya dariku.
“Eh mana ada” kataku menafikan.

Sebenarnya aku sudah lama mengenali pelajar perempuan bernama Marina. Sejak dari kami sekolah rendah lagi. Cuma ketika itu aku tidak pernah bercakap dengannya. Maklumlah aku ini terkenal dengan berat mulut dan pemalu. Keadaan berubah ketika kami di tingkatan satu pada tahun 1978. Kami sekelas dan aku melihat penampilan dia telah banyak berubah. Ayahnya seorang anggota polis berpangkat inspektor polis di Balai Polis Kroh.  Tinggi lampai orangnya dan rambut ala-ala Lady Diana yang famous ketika 1980'an itu.

Pengalaman pertama, ketika dia menegur aku dan menyuruh aku duduk di hadapannya sementara aku membelakanginya.  Ketika pemilihan ketua kelas aku sama-sama diundi dengan pelajar lain termasuk Marina.  Di mana akhirnya dia menjadi ketua kelas dan aku sebagai penolong.  Ketua kelas tingkatan 1A2. Sekolah Menengah Tun Saban, Kroh tahun 1978.

Pengalaman kedua yang aku tidak pernah bercerita kepada sesiapapun termasuk kawan rapatku ialah bila mana dia memanggilku untuk membantu menulis nama-nama pelajar yang ingin mengikuti rombongan ke Pulau Pinang.  Pada pagi itu aku lalu di hadapan kelas tingkat bawah berhadapan court badminton bersama kawan-kawan lelaki. Tiba-tiba dia memanggilku dan meminta pertolongan untuk menulis nama-nama pelajar di dalam satu senarai panjang. Aku hairan kerana tiada seorangpun pelajar lelaki dalam kelas itu cuma dia dan beberapa pelajar perempuan yang menjadi kawan rapatnya. Mereka semua memandangku sementara rakan lelakiku pun beredar setelah aku menuruti Marina.

Dia meminta aku menulis senarai nama-nama pelajar.  Pelik, dalam ramai rakan-rakan yang mengelilinginya mengapa pula dia meminta aku yang menulis. Fikirku.

“Tulisan Leh cantik…”, tiba-tiba Marina memuji.
"Eh, mana ada.", jawabku spontan.

Tanpa banyak bicara aku duduk berhadapan rakan perempuan yang lain sambil mereka mengelilingi dan memerhati aku menulis sementara Marina berdiri di belakang sebelah kananku dan memerhati dari belakang.

Sedang aku asyik menulis sehingga ke akhir tulisan kertas, sikuku tersentuh ke pahanya yang sedang berdiri di belakang. Aku tergamam dan berhenti menulis. Takut pun ada. Dengan debar aku menoleh ke belakang dan memandangnya, aku meminta dia ke belakang sedikit. Dia senyum dan akur.  Kawan-kawan di hadapan tidak tahu apa puncanya aku meminta dia berbuat demikian.  Aku pun meneruskan tulisan.  Ketika asyik menulis nama-nama pelajar, sekali lagi sikuku tersentuh ke pahanya. Aku mula panik.  Gemuruh jantungku dibuatnya. Aku mula rasa tidak selesa dan dengan perlahan, aku meminta diri untuk kembali bersama rakanku yang lain tanpa banyak soal.

Itulah pertama kali berlaku sentuhan fizikal dengan pelajar perempuan di sekolah. Marina seorang pelajar perempuan yang mesra dan rajin menegurku jika sesekali bertembung.  Pernah juga , aku pergi berhari raya ke rumahnya yang terletak di kuarters Klinik Kesihatan Daerah Kroh bersama rakan lain atas jemputannya. Waktu itu aku telahpun mendengar berita bahawa Marina akan bertunang dengan seorang pegawai polis juga sebaik tamat SPM 1982.

“Ok.. kalau nak surat ni, aku nak Leh tabik spring kat aku.”, tiba-tiba Marina bersuara. Dalam hati berkata-kata. Beraninya dia mengarahkan aku tabik spring. Mungkin dia tahu aku juga anak polis lantas mengeluarkan arahan sebegitu.

Aduh hai… bisik hati kecilku. Dia seakan menderaku. Aku bukannya rapat sangat dengannya pun. Memang kami tak pernah bertegur sapa apalagi berbual tapi kali ini memang dia berani bergurau sebegitu.  Tanpa banyak bicara dan perasaan hendak tahu juga siapa gerangan yang menulis surat dan dihantar pula ke alamat sekolah, aku pun turut sajalah kehendaknya. Takut juga sebab aku tidak pernah menerima surat dari sesiapa di sekolah. Manalah tahu surat dari pelajar perempuan hendak berkenalan. Kantoi. 

Sesudah aku tabik spring kepadanya, Marina menghulurkan sampul surat dan aku berlagak seperti menerima watikah. Bila surat di tangan, aku teliti setem dan cop posnya ternyata dari Ipoh, Perak. 

“Ohh..ini, Saiful yang bagi ni.”, kataku kepada Marina.

“Saiful Azman kan dah tukar ke Ipoh.”

Saiful Azman Bin Ahmad. Seorang rakan baikku waktu persekolahan yang jarang dapat berbual dengannya sejak darjah satu pada tahun  1972 tetapi menjadi rakan bual yang mesra sewaktu di tingkatan 4. Perkenalan kami pada tahun 1981 itu merupakan tahun terakhir dia di Sekolah Menengah Tun Saban, Kroh, Perak. Tahun 1982 beliau akan bertukar ke Ipoh mengikuti bapanya yang berpindah ke sana.

13 January 2017

Alam Remaja : Retrospektif

Oleh kerana aku sangat meminati lagu-lagu nyanyian Sohaimi Mior Hassan, di kalangan rakan mereka memanggil aku dengan nama Sohaimi.Rupa tu ada lah sikit, rambut ikal kerinting, kulit hitam, bibir tebal.Cuma penyanyi itu tak da tahi lalat di atas bibir kanan dan di hidung.hahahahaha..

Sememangnya lagu-lagu SMH cepat menjerut perasaan.Bait-bait puitis dengan melodi dan alunan muzik yang perlahan seakan membuai hati ini.Membawa dan membelai jiwa jauh meneroka fantasi cinta.Aku berfantasi mencintai seseorang apabila mendengar lagu cintanya.Walaupun hakikatnya tiada.Aku berfantasi dengan alam sehingga perasaan menjadi amat teransang lalu aku abadikan alam di atas kertas lukisan.Sungguh terkesan kerana lagu-lagunya seolah-olah menceritakan dunia remajaku.

Aku masih ingat pada suatu pagi aku berbasikal ke padang yang luas (sekarang padang Golf) di Kroh dulu semata-mata ingin merasai nikmat berada di padang itu.Ya, aku suka lanskap yang luas saujana  mata memandang.Aku dapat sinar matahari, aku hirup lembutnya bayu, aku pandang padang lalang nan hijau.Terasa jiwaku bebas.Aku berbaring di atas padang dan memandang ke langit biru menyaksikan awan lembut berlalu.Lalu mataku pejam dan hanya mendengar bahasa alam.Sunyi.

Sejak dulu lagi, daerah Kroh memberi aku seribu harapan.Sejak kecil juga cahaya matahari selalu muncul di timur di sebalik bukit dan cahayanya masuk ke kamarku melalui tingkap.Aku suka suasana sebegitu.Bila malam bulan pula muncul menggantikan.Aku merenung bulan yang muncul perlahan di sebalik pohon-pohon di atas bukit.Gerak perlahan itu yang selalu kutunggu.Penantian penuh keghairahan Daerahnya pula di kelilingi bukit-bukau dan aku sangat tertarik melihat bukit yang hijau dan biru itu.Bila hujan, situasi selepas hujan inspirasi yang tidak pernah pudar.Aku suka aroma dataran basah sesudah hujan.Tenang.

Itu aku dulu.Ada juga waktunya aku masuk ke belukar di pinggir padang golf dan sambil duduk aku mengenang setiap peristiwa yang berlaku ke atas diri.Aku menoleh kepada kenangan yang pernah kulalui.Setiap rentetan peristiwa itu dan apa yang aku cari dalam hidup, ke mana aku selepas itu.Aku kenangi mereka keluargaku, kawan-kawan dan daerah bertuah ini.Aku menjadi seorang pentafsir yang kuat naluri tafsirannya.Retrospektif.


Di situlah aku tahu aku punyai perasaan yang halus.Seni.Aku mencintai kehalusan.Lukisan lanskap selalu menangkap perasaan di dalam.Ada semacam rasa yang ingin aku luahkan.Aku lukiskan imiginasi lanskap yang tampak suram tidak bermaya.Mainan warnaku ketika itu tidak sehalus perasaan di dalam.Kadangkala, kawan-kawan pula selalu nampak aku bersendirian.Memang aku penyendiri.Tapi aku juga suka berkawan.Cuma apabila sudah meningkat remaja, kejiwaan ku selalu bermonolog mencari sesuatu.Sesuatu yang tidak dapat dinyatakan oleh perkataan dan lukisan.

11 January 2017

Antara hobi dan kenangan

Di samping mendengar lagu aku juga minat melukis.Atau melukis sambil mendengar lagu.Sudah semestinya kena dengan dunia remajaku sekitar awal  1980’an dulu.Sejak di sekolah rendah melukis adalah subjek yang paling senang untuk menggambarkan hati, bermain dengan perasaan dan berkata-kata dengan alam.Melukis dapat meredakan jiwa yang kacau.Medium lukisan pula  aku gunakan pensil 2B dan juga water color.

Selepas berhenti kerja sebagai penampal tiub basikal aku mula mengasah minat sedikit demi sedikit dengan melukis.Aku melukis watak kartun popular yang selalu di siarkan di televisyen. Aku juga melukis imej statik seperti buku-buku dan kasut bola dengan teknik pencahayaan yang tirus .Lanskap dan potret diri serta imiginasi.Kadangkala aku dan kawan ke padang pendaratan helikopter untuk melukis imej helikopter terutamanya helikopter TUDM Nuri.

Aku duduk di perdu pokok sambil mengabadikan alam di atas kertas lukisan.Melukis imej  menarik pada pandanganku.Begitulah hari demi hari, namun bukanlah setiap hari kuhabiskan masa dengan melukis.Minat yang lain adalah menyanyi.Tidak kira apa jenis lagu memang aku suka bernyanyi.Lagu dari kumpulan Carefree yang popular dengan Rindu Bayangan tapi aku juga minat mendengar lagu Kenanganku dan kesemua lagu-lagu dari tiga album yang dihasilkan, Black Dog Bone , Alleycats, Blues Gang, Sweet Charity, The Flybaits, Kembara dan Harmoni antara kumpulan muzik yang popular ketika itu.Lagu-lagu kumpulan itu sentiasa saja diputarkan di corong-corong radio.Hari-hari.

Penyanyi solo pula seperti D.J.Dave, Hail Amir,Uji Rashid, Sharifah Aini.Lagu-lagu mereka memang sentiasa menjadi feveret sebabnya aku telah terdedah dengan muzik mereka sejak dari sekolah rendah terutama lagu Rintihan Rasa nyanyian D.J.Dave dan Uji Rashid.Apalagi gandingan Hail Amir dan Uji Rashid yang meletop-letop itu.Terdapat juga penyanyi lelaki dan perempuan sezaman era itu yang juga diminati ramai.Namun penyanyi itu tidak selalu menjadi perhatianku.

      Itulah pop culture ku ketika itu.Boleh dikatakan  segala jenis LP lagu-lagu penyanyi pada masa itu terkumpul di bawah radio gram di rumahku.Album dari pelbagai jenis penyanyi.Ayahku minat mendengar lagu-lagu penyanyi keturunan Cina sementara ibuku  pula meminati lagu-lagu Tamil dan Hindustan.Memang meriah.

Memasuki tahun 1983 aku meminati lagu-lagu berbentuk puisi.Barisan ayat-ayat yang puitis dengan irama yang melodi menghiasi kesyahduan lagu.Selalunya lagu itu bertemakan cinta.Memang syahdulah apabila mendengarnya.Dan pada sekitar awal Februari atau Mac 1983, aku tertarik  dengan iklan di surat khabar Berita Harian mengenai kelahiran penyanyi baru yang membawa lagu-lagu berbentuk sajak dan puisi.Wow.

Aku masih ingat saban hari aku menunggu masanya untuk album itu dijual di kedai-kedai muzik di sekitar pekan Kroh.Berhari-hari aku mengulangi kedai-kedai muzik menantikan album baru itu.Sehinggakan tauke kedai keturunan India di hujung jalan menghala ke pekan Baling, Kedah, itu faham, apa sebenarnya yang aku tunggu.Aku menceritakan album penyanyi  yang bakal keluar dan beliau akan menyimpan satu unit untuk aku apabila telah terjual nanti.

Sohaimi Mior Hassan, nama penyanyi yang sangat menarik pada perkiraanku.Unik nama itu.Orangnya tidak kacak, suara garau atau suara jantan kata media ketika itu.Kulit hitam manis.Penuntut luar negara bidang engineering dan meminati lagu folk dan pop.Boleh bermain gitar dan yang paling penting kulit album Prolog yakni album pertamanya seakan-akan misteri.Hanya potret wajah penyanyi dilukis .Suatu lukisan yang mengasyikkan bagiku dan sesuatu yang misteri yang menjadi kesukaanku.


Aku mula menyanyi lagu-lagu SMH.Kesemua lagu-lagu album Prolog amat-amat aku minati.Terutamanya Epilog Cinta Dari Bromley yang dikatakan ada kaitan dengan penyanyi tersebut.Lagu-lagu dari album itu paling seronok  dinikmati pada waktu malam...lagunya sedap.Penggunaan ayat yang mudah dan puitis.Dari situ aku terpengaruh mendengar lagu-lagu yang agak sentimental dan bermelodi.Setiap patah perkataan disebut dengan amat jelas.Apalagi tema cinta memang cepat menangkap jiwa dan perasaan orang yang berjiwa lembut sepertiku. Di situlah aku menemui  cinta yang lazimnya dialami oleh remaja.Semua minatku itu terangkum menjadi cinta.Cinta pada apa-apa sahaja.

05 January 2017

Alam Remaja : Mencari Identiti Diri.

Aku bertekad berhenti kerja sebagai penampal tiub basikal.Tempoh sebulan terlalu lama aku menanggung rindu pada kawan-kawan sepermainan.Aku rindukan gelak tawa dan keriangan yang mereka ciptakan.Aku rindu pada gurauan dan sapaan mereka.Aku terlalu rindu suasana petang dan menghabiskan masa bersama kawan yang sama-sama membesar sejak dari alam kanak-kanak lagi.

Setelah habis bermain bolasepak dan pulang ke rumah kami berpakat  untuk mandi bersama-sama di berek mandi askar.Suasana riuh ketika di padang bola tidak habis di situ saja malah bersambung ketika mandi-manda.Usik mengusik, simbah menyimbah, menyapu sampoo atau sabun ke mata kawan sambil berkejaran dalam bilik mandi.Rindunya suasana itu.

Petang itu aku menerima gaji pertamaku sebagai penampal tiub.RM 70.00 sahaja.Wah sudah cukup besar bagiku.Aku mengucapkan terima kasih dengan senyum kepada taukeh.Aku mengayuh basikal ke kedai seberang jalan bertentang dengan kedai basikal.Di kedai itu aku membeli dua aiskrim Walls Cornetto.Aiskrim yang lama aku idamkan tapi tidak pernah merasakannya disebabkan harganya yang mahal sedikit pada tahun 1983 dulu.Di samping aiskrim lain berharga murah untuk adik-adikku di rumah.

Itulah kali terakhir aku berkerja.Ayah bertanya juga kepadaku mengapa tidak berkerja lagi.Aku hanya menjawab aku malas.Ayah tidak berkata apa-apa mungkin dia faham maksudku.Seharusnya ketika itu aku menghabiskan masa dengan kawan-kawan sebaik saja tamat Sijil Pelajaran Malaysia 1982.

Bermula Februari, 1983 aku menganggur sementara menanti keputusan SPM keluar.Masa yang ada itu banyak kuhabiskan dengan rakan-rakan sepermainan.Mendengar lagu, memancing, menggetah dan menjerat burung, menonton televisyen.Tidak ada aktiviti istimewa bagi remaja zaman itu.Cuma pada ketika itu menonton filem melalui teknologi video  VHS (video home system) telah menular dengan penggunaan katrij.Ayah pula telah membeli set VHS player dan menyewa filem-filem dari Hollywood, Bollywood juga dari negara jiran.Teknologi itu kami manfaatkan dengan  menghebahkan kepada rakan-rakan yang ingin menonton akan dikenakan bayaran sebanyak lima puluh sen. Keluargaku pun sudah mula berniaga jajan secara kecil-kecilan.Aku menjadi taukeh jajan pula.

Pada awal tahun 1983, masaku banyak dihabiskan dengan mendengar lagu.Ketika itu era disco dan dance music masih menjadi minat pendengar apalagi dengan adanya teknologi remix yang mana kebanyakan lagu-lagu disco barat diberi rentak dan nafas baru.Aku sentiasa saja mengikuti perkembangan muzik itu sehinggakan setiap hari pasti akan ke pekan Kroh dan meninjau kedai-kedai menjual lagu di situ.

Namun aku bukanlah peminat tegar aliran muzik seperti itu.Aku lebih berminat lagu-lagu yang romantis, puitis dengan bahasa yang indah-indah.Aku suka lagu yang membawa perasaan ku melayang ketika menikmati lagu-lagu itu.Lagu-lagu melodi dengan tema cinta contohnya.Seperti lagu And I Love Her dari kumpulan The Beatles di mana semua lagu kumpulan itu aku minati.Tidak ada pengalaman bermain cinta tapi lagu-lagu sebegitu membangkitkan keghairahan perasaan cinta.Mungkin jiwa remaja yang masih tercari-cari identiti diri dan kena dengan jiwaku yang lembut dan sensitif ini. 

03 January 2017

Alam Remaja dan Ayah

Ayah kerap singgah di kedai basikal melihat aku berkerja. Bila ayah bertandang,  tauke cina itu pun segera bangun dari mejanya dan mendapatkan ayah. Mereka akan berbual-bual sambil berdiri di kaki lima kedai dan  memerhati suasana kehidupan pekan Kroh atau Pengkalan Hulu sekarang. Aku hanya duduk dan sekali sekala melihat ayah dan tauke itu berbual.

Aku melihat ayahku cukup baik dengan tauke. Bahkan bukan dengan tauke kedai basikal saja. Ayah juga ramai kenalan dari golongan tauke cina di pekan Kroh. Ada tauke kedai runcit tempat ayah berhutang barang makanan yang kami sebut Kedai Ayan yang mana satu keluarga tauke itu juga mengenali ayah. Keluarga tauke pun mengenali aku. Sebabnya jika ibu meminta aku membeli barangan dapur pasti aku akan ke kedai runcit itu. Kadang-kadang kami berhutang dan jumlah hutang dicatitkan di dalam buku 555.


Begitu juga tauke cina pasar basah di hujung pekan Kroh. Kedai gunting rambut yang muda dan lembut orangnya. Aku suka kedai itu  kerana suasana kedainya bersih. Aku masih ingat sewaktu kecil, masih di sekolah rendah, ayah membawa aku bergunting rambut di kedai itu. Sambil rambutku digunting, ayah berbual-bual dengan tauke. Aku suka memerhati cermin besar di hadapanku yang dihias imej burung layang-layang berwarna putih di tepinya.

Ayah juga mempunyai  kenalan dengan tauke cina kedai pakaian, kedai kasut dan restoran makanan cina, kedai nombor ekor dan kedai menjual barangan eletrikal. Cuma aku tidak pernah nampak kenalan ayah, tauke kedai arak. Ayah nampak serasi dan mudah mengenali tauke-tauke cina di pekan Kroh pada masa itu. Pendek kata kebanyakan tauke juga mengenali ayah. Tentu ada rahsia, bagaimana  ayahku boleh berbaik-baik dengan tauke-tauke itu sehingga mereka juga mempercayai ayah.

Setelah ayah tiada di dunia ini, aku cuba mengumpul cerita-cerita ibu mengenai ayah. Dari ribuan cerita tentang ayah, aku cuma boleh simpulkan satu saja. Aku dapat tahu dari ibu sejarah kehidupan ayah sewaktu remaja dulu. Ketika ayah masih muda belia, ayah telah ditangkap oleh pengganas komunis sewaktu bersama rakan masuk ke hutan untuk mencari rotan. Maka selepas itu bermulalah kehidupan ayah bersama Parti Komunis Malaya yang kebanyakannya terdiri dari bangsa cina.

Ayah mengenali budaya cina seperti makan, minum, bahasa sepanjang mengikuti mereka. Ada juga kisah yang kudengar, ayah menyukai gadis cina di dalam kumpulan pengganas komunis itu. Oleh kerana ayah masih muda maka ayah dijadikan budak suruhan mereka. Tambahan pula ayah memang tahu selok belok hutan maka ayahlah tempat rujukan mereka.

Kata ibu, ketika ayah berkhidmat dalam Senoi Praaq, ayah menduda. Ayah sendiri tidak mahu kahwin lagi kerana serik. Kuala Lumpur tidak asing bagi veteran Senoi Praaq pada ketika itu sekitar tahun 1960’an, sebabnya bila malam tiba mereka akan keluar berhibur di Kuala Lumpur. Ayah mengenali ramai peniaga-peniaga di Jalan Chow Kit, Jalan Bukit Bintang ,Setapak dan Selayang.

Ibu menceritakan, ayah juga meminati masakan cina dan selalu mengunjungi sebuah restoren cina di Chow Kit Road. Kerap kali ayah ke situ  sehingga tauke suka memanggil ayah dengan nama Choo Kee. Satu hari tauke restoren itu mempelawa ayah untuk mengahwini anak perempuannya yang sudah lama menjanda. Ayah menolak untuk berkahwin disebabkan serik untuk bernikah lagi.

Bila aku sudah meningkat usia untuk bersekolah, ayah  mengajarku membilang dan mengira dalam bahasa cina. Pernah juga ayah ingin menyekolahkan aku ke sekolah jenis kebangsaan cina di pekan Kroh. Tetapi hasrat itu tidak kesampaian kerana aku menolak. Aku ingin bersama-sama rakan sebaya masuk ke sekolah kebangsaan.

Bila aku cuba memahami bagaimana ayah mudah membina kepercayaan dengan orang-orang cina dari situ dapatlah kufaham sikap ayah yang memang memahami budaya dan pembawakan orang cina. Ayah ingin aku menjadi sepertinya. Ayah pernah memberitahuku suatu hari nanti apabila aku telah dewasa, ayah ingin jodohku gadis cina. Itulah antara kenangan  bersama ayah ketika hayatnya masih ada satu waktu dulu.


Setelah remaja barulah aku faham mengapa ayah meminta aku berkerja di kedai basikal di pekan Kroh pada Januari 1983 itu, namun aku bertekad untuk berhenti juga.

     Pada suatu hari ayah memberitahuku niat isteri tauke untuk membawa aku ke Pulau Pinang dan berkerja di bengkel motorsikal saudaranya. Aku boleh tinggal di sana bersama saudara isteri tauke kerana kedai motosikalnya agak besar dan perlukan pekerja. Aku cuma diam dan tidak berkata apa-apa. Ayah faham kerana itulah sikapku jika tidak menyetujui sesuatu perkara.

Kabus...Dataran Seri Jempol


Tasik..Taman Tasik Seremban

Kembali menulis.

 Kembali menulis. Dalam usia yang telah mencecah 58 tahun, banyak nostalgia tidak lagi diingati dengan jelas dan tepat. Minat menulis masih ...