11 February 2014

Pencarian.

Sepanjang kembaraku..sesekali teringat juga rakan pena yang pernah kuutuskan surat dulu.Tahun 1985 dia masih menuntut di tingkatan lima di Pantai Timur sana.Pertengahan 1986 aku terima sepucuk surat ketikanya aku berada di utara- Pengkalan Hulu.Dia memberitahu khabar gembira bahawa dia telah berjaya ke tingkatan enam .Bakal menduduki Sijil Tinggi Agama.Aku tak pernah tahu apa itu STAM.Rupa-rupanya itu peperiksaan tertinggi persekolahan bagi aliran Arab.Syukur kepadanya kerana niat ingin terus berada di kelas tertinggi dalam persekolahannya.

Dia memberiku poskad kecil.Aku tidak berapa ingat tentang isi poskad itu.Tapi aku tahu perkenalan kami berjalan seperti biasa tanpa ada cetusan  rasa bersifat peribadi.Apatah lagi itu musimnya dia perlu memberi fokus kepada matapelajaran aliran agama-Arab.Melaluinya aku tahu apa itu Balaghah,Mantiq,i'rab,Nahu Soraf,Ulum Qur'an,Ulum Hadis,mutalaah qiraah,qawaid,adab nusus dan bermacam-macam istilah pendidikan bahasa Arab yang jarang-jarang aku dengar.

Kadang-kadang dia menulis jawi kepadaku.Setakat membaca aku tiada masalah tetapi menulis jawi aku lambat sikit.Aku seronok punya rakan pena sepertinya.Cuma aku tidak berterus terang kepadanya tentang diriku.Walaupun ketika itu aku menyimpan niat akan meluahkan semuanya.Pada ketika itu rasanya tidak perlu, memandangkan dia masih belajar dan kami jarang mengutus surat satu sama lain.Biarlah keadaan yang menentukannya nanti.Tidak perlu terburu-buru fikirku.

Selepas dia mengirimkan foto dirinya pada awal tahun 1986 lalu...sejak itu aku tidak meminta dia mengirimkannya kembali.Foto itu pun telah kupulangkan.Mungkin dia terasa bila foto dirinya dipulangkan.Terpaksa aku menerangkan bahawa tujuanku hanya ingin mengenali dia sepintas lalu.Tidak mungkin aku akan menyimpan gambar seorang perempuan.Lagipun sejak di Al-Arqam lagi aku tidak menyimpan gambar-gambarku.Mungkin cara didikan al-Arqam itu telah menyebabkan aku berfikiran sebegitu.Malah, foto aku bersama dua rakan perempuan sewaktu menuntut di Institut Teknologi Mara, Shah Alam juga telah aku gunting dan buangkan gambar mereka yang berdiri di samping kiri dan kananku sewaktu presentation hasil kerja kumpulan.Walhal foto itu diambil ketika aku belum menjadi muslim.Pelik.Itulah antara fikiran ekstrimku ketika di al-Arqam.

Begitu juga nasib lain-lain foto.Sehingga sekarang yang ada cuma foto-foto lama aku bersama rakan-rakan lelaki.Ya kebanyakannya lelaki.

Mungkin M faham niatku, maka dia tidak mempersoalkan lagi.Sebenarnya aku suka menatap fotonya dulu.Orangnya sederhana.Berkulit kuning langsat.Wajahnya ada iras-iras Ustazah Norhafizah Musa, cuma matanya yang agak bundar berbanding ustazah itu.Memakai tudung agak labuh.Memang kenalah dengannya yang bersekolah agama.Anak petani di pantai timur.Punya seorang abang dan empat adik beradik dua lelaki dan dua perempuan.Waktu itu M telahpun  bersekolah di Maahad Indera Petra.Katanya sekolah lamanya di Maahad Yaakubiah,Bachok sampai tingkatan lima sahaja.Untuk menyambung ke tingkatan enam dia berpindah ke Maahad Indera Petra.

Sepanjang tahun 1986 hingga 1987 sekali sekala sahaja kami berbalas surat.Bertanya khabar.Katanya peraturan di Maahad Indera Petra ketat.Jadi tidak mungkin dapat selalu menulis.Aku faham situasinya.Lantaran aku pun tidak menulis untuknya lagi.Biarlah dia dengan dunia pelajarannya.Mungkin fokusnya pada tahun itu agak lebih sikit, jadi aku tidak membebankannya membalas surat-suratku.

Penghujung 1987 aku mula berfikir arah hidupku...apa akan aku lalui.Apa penyudahnya hidupku ini.Sedangkan usiaku ketika itu telah melewati 21 tahun.Aku masih lagi tiada pekerjaan yang tetap, yang dapat menjamin kehidupan akan datang.Aku tidak boleh berterusan begini.Ilmu agama asas telah kupelajari walaupun hakikatnya masih kurang.Aku perlu berubah...wajib berubah.Aku mesti menjadi manusia kebanggaan ayah dan ibu meskipun mereka jauh di selatan.Aku sedar aku tidak perlu lagi menjauhkan diri dari mereka semua....keluargaku.Ya sesuatu mesti berubah bermula dari diri ini. 

06 February 2014

Al-Arqam 1985-1986

Hampir setahun aku berada di dalam jemaah Al-Arqam.Bermula pada  bulan Oktober 1985 sehinggalah ke hujung Disember 1986.Pengisian ilmu yang kudapat sepanjang berada di dalam jemaah ini menambahkan lagi keyakinan terhadap Islam.Satu yang aku pelajari semasa tinggal bersama jemaah ini ialah keutamaan menuntut ilmu.Namun aku tidak menghadkan pencarian ilmu agama melalui jemaah ini saja.Niat itu aku teruskan dengan menghadiri kuliah-kuliah di surau dan masjid.Sebagai mencari sudut pandangan dan perbezaan amalan di luar jemaah.Alhamdulillah.mujur aku tidak fanatik dengan apa yang ku pelajari.Aku mengambil sikap terbuka dan menuntut di mana saja jika terbuka peluang dan ruang.

Penghujung tahun 1986 itulah detik dan ketikanya aku beransur-ansur menjauhkan diri dari Al-Arqam.Aku sudah boleh berdikari.Pencarian ilmu agama tidak terbatas lagi.Di mana-mana sahaja ilmu agama boleh didapati.Di masjid, surau, dewan ,kelas.Semuanya tidak terbatas hanya di dalam jemaah al-Arqam.Malah aku sudah berjinak-jinak dengan lain-lain usrah dakwah.Aku pernah mengikuti kaedah jemaah tabligh berdakwah.Aku punya ramai rakan dakwah di dalam jemaah ini.Hujung minggu kami berkumpul di Masjid India,Kuala Lumpur.Aku turut mengikut Parti Islam Se Malaysia PAS khususnya mengenai uslub dakwah mereka...ABIM..IRC.Hanya kerana mencari pengalaman amalan Islam yang suatu ketika dulu asing bagiku.

Ternyata ilmu-ilmu ini amat berguna untukku.Aku lebih berfikiran terbuka mengenai Islam tanpa meninggalkan perkara asas dalam agama ini.Aqidah mesti sejalur dengan amalan ahli sunnah waljamaah.Itu pesan guru-guruku dulu.Dan ternyata walau apapun jemaah yang aku turuti semuanya sepakat dalam hal aqidah.Cuma aku berhati-hati dalam hal yang tidak selari dengan kesepakatan ulama.Sebagai manusia yang baru mendalami Islam,aku rasa tidaklah susah memahami Islam kerana rujukan kepada ustaz-ustaz yang alim terlalu ramai.Tinggal lagi hati yang memang sudah tertutup untuk mempelajari Islam itu sendiri.

Penghijrahan ku ke utara,tempat di mana aku membesar sehingga remaja pada penghujung 1986 termakbul juga.Asing...itu yang boleh aku katakan pada awalnya.Segalanya telah sunyi tidak seperti dulu.Dan yang terlebih sunyi adalah hati.

Kembali menulis.

 Kembali menulis. Dalam usia yang telah mencecah 58 tahun, banyak nostalgia tidak lagi diingati dengan jelas dan tepat. Minat menulis masih ...