23 January 2021

1981 : Berakhirnya Kenangan Cinta Monyet.

 

          1981. Usia menginjak ke 16 tahun. Setelah berlalunya Sijil Rendah Pelajaran. Aku naik ke tingkatan 4. Naik selangkah ke peringkat tinggi dalam pendidikan sekolah menengah. Aku ditempatkan ke kelas 4A1 aliran sastera. Aliran baru sepanjang aku menerima pendidikan. Pastinya banyak buku-buku berkaitan sastera perlu dibaca. Aku biasa saja membaca cerpen fiksyen di dalam surat khabar atau majalah. Kadangkala isinya menarik dan kadangkala menjemukan. Novel? Adalah jugak membaca novel dan seingat aku, tiada novel yang benar-benar menarik  yang menjadi ingatan sepanjang bergelar remaja tahun itu. Aku lebih menyukai muzik dan lagu. Membaca adalah satu rutin yang malas.

          Tahun 1981 di tingkatan 4 aliran sastera adalah tahun honeymoon bagi istilah pelajar sebaya dan sezaman dengan ku tahun itu. Bulan madu. Tidak perlu concentrate atau bertungkus lumus menatap buku sangat. Siapkan kerja sekolah atau kerja rumah yang diberi dan main dan layan lagu-lagu. Jika berlaku kesalahan selepas disemak betulkan. Simple! Waktu lepak boleh berhabisan sehingga 4 hingga 5 jam sehari. Waktu menalaah pelajar, cukup sejam atau sejam setengah. Relax.

          Tahun itu juga aku masih teringatkan S. Akupun menulis sepucuk surat dan mengepos kepadanya yang jauh di Pahang. Sekadar bertanya khabar dari rakan-rakan di kem ini. Aku menyukai S kerana rambut stail Chinese dollnya itu. Hitam lebat lurus melepasi paras bahu. Entah mengapa aku berminat sangat dengan fesyen rambut sebegitu. Ada satu sitcom komedi tahun 1980 yang menarik hatiku yang bertajuk Mork and Mindy. Watak Pam Dawber dengan fesyen rambutnya itulah membuatkan aku selalu teringatkan S.

          Berbalik kepada pendidikan di tingkatan 4. Aku seperti terkena culture shock dengan subjek Kesusasteraan Melayu. Terkandung dalam subjek itu kaedah memahami dan mempelajari puisi dan pantun yang banyak menumpukan puisi kontemporari dan klasik. Teks sastera lama seperti Hikayat Hang Tuah yang agak memeningkan untuk memahami kaedah cerita dan perbendaharaan kata dalam teks klasik itu. Ada juga novel moden seperti Badai Semalam, di mana aku sangat terhibur dan menyelami gelojak rasa Mazni watak utama dan plot yang menarik waktu itu hasil karya Khadijah Hashim. Bermula dari situ aku semakin berminat dengan perbendaharaan kata yang puitis dan bermulalah cetusan seni berpuisi dalam jiwa. Apalagi kena dengan lagu-lagu sentimental yang dekat dengan jiwaku.

          Awal tahun itu. Aku terima sepucuk surat. Stemnya dari Pulau Tawar, Jerantut, Pahang. Hati berdebar-debar kerana sudah pasti S membalas suratku. Aku masih ingat surat itu kubawa ke bilik air. Senyum ku semakin lebar dan teruja walapun nipis saja sampulnya. Surat pertama dalam hidup sebagai remaja yang ku terima dari seorang gadis yang aku minati. Aku keluarkan surat dari sampulnya. Tetapi… hampa. Bukan dari S tapi daripada sepupu perempuannya bernama J. J menceritakan S tidak lagi tinggal di kampong itu tetapi berpindah ke Jerantut. Walau bagaimanapun J akan memaklumkan kepada S jika S balik ke kampong nanti. J sebaliknya ingin menjadikan aku adik angkatnya kerana jarak usianya tua setahun dariku. Aku tidak membalas surat itu dan membiarkan saja memori S berakhir dalam hidupku kerana ia hanyalah kenangan cinta monyetku zaman remaja.

No comments:

Post a Comment

Aku sangat berterima kasih kerana anda sudi memberi komen dalam blog aku ini namun aku perlu memberi izin dahulu sebelum ianya kupaparkan.

Kembali menulis.

 Kembali menulis. Dalam usia yang telah mencecah 58 tahun, banyak nostalgia tidak lagi diingati dengan jelas dan tepat. Minat menulis masih ...