07 October 2008

(1986-1987) Kg Batu Papan II

Ketika tinggal di Kampung Batu Papan, Gua Musang, Kelantan, banyak juga aku pelajari mengenai adat-adat Melayu Kelantan. Walaupun tidak ada jauh bezanya dengan adat di kampung Melayu lain tetapi di sini aku dapat merasakan suasana yang berbeza dengan kampung Melayu yang pernah aku bermastautin dulu. Kehidupan di rantau orang perlu mengamalkan sikap merendah diri. Menghormati orang-orang kampung tidak kira usia. Aku diterima baik oleh masyarakat sini. Tambahan pula aku anak angkat Pokcik Me (nama sebenar Haji Abdul Rahman). Seorang tua yang di hormati di kampung itu selain penghulu.

Kepercayaan Pokcik Me dan Mek kepadaku tidak berbelah bagi. Kerap juga aku tinggal berseorangan di rumah mereka menjaga ternakan dan kedai runcit, sementara mereka tidur semalam dua di kebun yang terletak agak jauh dari rumah. Mek dan Pokcik Me pernah juga menasihatkan aku supaya kekal lama di sini. Mereka akan carikan tanah dan rumah jika aku mahu. Ada juga usikan kalau berkenan dengan anak dara kampung Batu Papan khabarkan kepada mereka. Hmmmm...

Kepercayaan dan keihklasan mereka aku balas dengan sebaik mungkin. Aku sedar aku hanyalah perantau. Di rumah, aku menjaga kedai dan melakukan tugas-tugas yang biasa aku buat ketika aku di kampung ayahku dulu. Mek selalu juga berpesan “tok payohla basuh pinggan nu.”  kerana aku suka membasuh pinggan selepas makan.

Pernah satu ketika Mek menyuruh aku tidur di katil kelamin mereka sementara mereka suami isteri bermalam di kebun. Malam ketika aku meletakkan kepala ke bantal aku teraba gumpalan barang kemas rantai dan gelang di bawah bantal. Aku terkejut banyak juga barang kemas Mek ni. Aku simpan dan bungkus dengan baik supaya nampak tidak terusik. Mungkinkah Mek mahu mengujiku?

Cucu-cucu Mek dan Pokcik amat menghormatiku, mereka memanggilku dengan panggilan abe Long. Yang sulong perempuan ku panggil Na berada di tingkatan 1 ketika itu manakala yang kedua pula Angah berada di darjah 5. Juga perempuan. Angah agak rapat denganku dan selalu bertanya tentang kehidupanku yang lalu, perihal adik beradik dan keluarga. Juga seorang yang nakal. Angah mahu aku tinggal tetap di kampung ini dan kahwin dengan orang sini.

Sesekali ada juga anak gadis yang bertandang ke kedai Mek membeli barang keperluan dan aku orangnya yang cantik manis. Aku ingin tahu siapa gadis itu lalu aku bertanya terus kepada angah. Angah pula mengusik mengatakan aku nak bergewe. Jauh dalam hati aku tidak berniat kekal lama di sini dan tidak mungkin aku mahu mengakhiri zaman bujangku di sini. Usiaku masih terlalu muda.

Tapi satu insiden yang tidak dapat aku lupakan ialah ketika aku ditertawakan oleh dua gadis ketika datang hendak membeli sesuatu di kedai Mek. Ketika itu Mek dan Pokcik bermalam di kebun dan tinggal aku saja di rumah. Seorang anak dara penghulu dan seorang lagi anak jiran yang cantik bernama Siti. 

Kisahnya, ketika hari semakin senja, aku sedang mandi. Waktu itu kedai belum tutup lagi. Aku terdengar suara orang memberi salam aku pun tergesa-gesa ke depan. Dengan kain pelikat dan tuala menutup badan aku berdiri di anak tangga rumah menghala ke kedai yang bersambung. Entah macam mana la pulak, ketika sedang menunjuk-nunjuk kedudukan barang yang dicari anak tangga tempat berpijak  pun patah. Aku jatuh ke celah anak tangga dan nasib baik kain tak koyak. Kalau tidak ....malu besar weh!. Anak penghulu tidak dapat menahan kelucuan, lalu mentertawakan aku. Aku pun ikut sama ketawa juga..maluuuu. Siti marahkan kawannya itu kerana ketawakan aku. Nasib badan. Aku tidaklah kecil hati dengan sikap mereka. Memang salah sendiri.

Sesuatu yang aku pelajari ketika tinggal di kampung ini ialah sikap hormat menghormati. Belajar dari pengalaman orang-orang kampung. Apalagi hidup di rantau orang. Aku dapat merasakan, jikalau kita menghormati orang lain pasti orang juga akan menyenangi dan segan terhadap kita. InsyaAllah.

No comments:

Post a Comment

Aku sangat berterima kasih kerana anda sudi memberi komen dalam blog aku ini namun aku perlu memberi izin dahulu sebelum ianya kupaparkan.

Kembali menulis.

 Kembali menulis. Dalam usia yang telah mencecah 58 tahun, banyak nostalgia tidak lagi diingati dengan jelas dan tepat. Minat menulis masih ...