“Kenapa tak ambik dia,dia cantik !”
Aku sedikit resah ketika Z—NA (anak gadis Ustaz Adam)—bekas rakan sekelas sewaktu di Yayasan Anda Akademik (1988-1989) dulu, memulakan pertanyaan itu. Kisahnya berlaku ketika aku
terserempak dengannya di Pejabat Agama Islam Jelebu pada tahun 1996. Dia datang untuk mengambil borang permohonan nikah. Selesai `urusannya, aku mengajaknya keluar minum di Restoran Fatimah di pekan Kuala Klawang. Pada ketika itu, sifat malu-malu terhadap perempuan sudah lama kutinggalkan sejak bekerja di jabatan kerajaan.
Kami berbual panjang mengenai zaman belajar, perkembangan rakan-rakan, dan hal kehidupan masing-masing. Z memberitahu bahawa dia akan mendirikan rumah tangga dengan jejaka pilihannya dari Johor—ketika itu dia sudah pun menjadi guru di sana.
Dalam asyik berbual, Z tiba-tiba bertanya tentang seseorang yang sudah lama aku lupakan. Aku terdiam. Aku sedar, memang ramai rakan ketika itu menyangka aku mempunyai hubungan istimewa dengan gadis yang dimaksudkan. Namun aku cuba mengelak; kisah itu aku biarkan saja terkubur. Mungkin kerana kecewa.
Z menyambung cerita—katanya "Dia cantik Long (panggilan mesra rakan sekelas ketika itu) kenapa tak ambik dia". Rakan-rakan siswi di hostel memang tahu tentang “hubungan” kami, tetapi sejauh mana benarnya, hanya aku yang tahu.
Aku hanya tersenyum, menepis sedikit rasa kesal yang tiba-tiba datang entah dari mana.
Aku akui, gadis itu memang cantik di mataku. Tudung labuhnya—itu pilihan utama aku jika suatu hari nanti aku mencari pasangan hidup. Aku memang sangat berkenan dengan perempuan bertudung labuh. Dia mengingatkan aku kepada seorang teman lama ketika belajar di ITM Shah Alam—NZ. Kalau dikenang kembali, memang bercampur-baur perasaan. Semua terjadi tanpa dirancang.
Pada mulanya perkara ini tidak begitu serius kerana aku tidak mahu terlalu memikirkannya. Kata orang, ketika menimba ilmu, kebanyakan cintanya hanyalah cinta monyet. Entahlah—mungkin ya, mungkin juga tidak. Tapi ada saja cinta sebegitu yang sampai ke pelamin.
Namun matlamatku ketika itu jelas: lulus STPM 1989 dengan baik. Walaupun begitu, bayangan wajah pelajar perempuan sekelas itu sukar untuk dinafikan. Kadangkala ia datang tanpa dipaksa, dan mengganggu fikiranku sewaktu belajar. Fikiranku kembali berligar-ligar ke tahun 1989, tahun yang membawa cerita berbeza dalam hidupku.
Waktu itu aku begitu dahagakan ilmu agama. Hati menjadi tenang mendengar nasihat ustaz yang petah berceramah hingga kadangkala mampu meruntun jiwa. Namun pada tahun itu juga, aku perlu menyeimbangkan kecintaan terhadap ilmu akhirat dengan ilmu dunia. Dan, tidak dapat dinafikan—kehadiran gadis itu menjadi salah satu pembakar semangatku.
No comments:
Post a Comment
Aku sangat berterima kasih kerana anda sudi memberi komen dalam blog aku ini namun aku perlu memberi izin dahulu sebelum ianya kupaparkan.