04 July 2008

perjalanan mencari diri...


Keluargaku berhijrah ke utara tanahair sekitar tahun 1968.Aku tidak mengingati langsung tentang perkara ini.Waktu itu aku sudah pun mempunyai seorang adik perempuan. Kata ibu, kami berpindah ketika ayah di dalam operasi memburu pengganas di hutan Pahang. Maknanya hanya ibu, aku dan adik yang berpindah ke utara. Begitu juga lain-lain keluarga Senoi Praaq. Aku tidak mengetahui ke mana kami dipindahkan. Cuma aku semakin kenal dan biasa dengan daerah itu yang cuacanya sungguh sejuk berbanding ketika aku dan keluarga di Kuala Lumpur dulu.

Kami berpindah ke sebuah kem peninggalan askar British.Pada waktu itu kem tersebut di namakan Kem Senoi Praaq.Terletak di Jalan Seri Adika Raja.Jalan menuju ke padang tempat pendaratan helikopter dan kapal terbang tentera satu ketika dulu.

Sekitar daerah terpencil ini sungguh sunyi ketika itu.Di kelilingi bukit-bukit dan hutan tebal.Waktu pagi kabus dingin mengaburi pandangan.Tidak ramai manusia yang aku lihat di sini.Apatah lagi ketika malam tiba.Tidak seperti di Kuala Lumpur sekitar tahun 1960'an. Manusianya sudah kenal cahaya lampu malam. Sini manusia hanya berkeliaran pada siangnya.Tengah hari kembali sunyi dan petang pula hingar semula.

Seperti kanak-kanak lain,aku menjadi takut oleh kesunyian yang begini.Tapi setiapkali bersama ibu aku menjadi berani.Maklumlah anak jantan.Tapi itu cuma sebentar.Betapa ibulah satu-satunya kawanku.Dan aku adalah kawan ibu yang paling setia.Ke mana dan di mana ibu pergi pasti aku dibawa sekali.

Sekitar anak-anak sungai di pinggir Kampung Selarong sudah menjadi taman mainan.Situlah ibu dan rakan-rakannya memancing ikan.Di celah-celah langkahan mereka aku ada mengepit beg (jaber) ikan ibu bersama umpan cacing.Kadang-kadang aku dijadikan bahan gurauan mereka.Aku tak kisah.

Aku ke sekolah rendah pada tahun 1972.Waktu itu negara sedang bergelut dengan pengganas komunis.Aku mula bersekolah di Sekolah Kebangsaan Kroh.(Nama lama Pengkalan Hulu).Kemudian menyambung belajar di Sekolah Menengah Tun Saban pada tahun 1978 hingga 1982.Aku bernasib baik dapat menyambung pendidikan Senilukis dan Senireka atau disebut Art and Design di Institut Teknologi Mara pada pertengahan tahun 1983.


2 comments:

  1. Salam...dialu2kan utk link blog blog saya. Saya jg akan link blog saudara. Ceritalah lg tntang pekan Kroh zmn 70-an...byk yg sy msh belum tahu

    ReplyDelete
  2. terima kasih zz,anda boleh jadi mata dan ingatan saya di sana.!

    ReplyDelete

Aku sangat berterima kasih kerana anda sudi memberi komen dalam blog aku ini namun aku perlu memberi izin dahulu sebelum ianya kupaparkan.

Kembali menulis.

 Kembali menulis. Dalam usia yang telah mencecah 58 tahun, banyak nostalgia tidak lagi diingati dengan jelas dan tepat. Minat menulis masih ...