18 July 2008

Jiwa yang melihat

Menjadi baik dan sempurna bukanlah jalan yang mudah, namun aku percaya segalanya bermula dari hidayah Allah. Tanpa hidayah, sukar bagi insan untuk mengubah akhlak dan menyempurnakan akal. Namun, hidayah itu perlu diasah, perlu dilatih, malah kadang kala perlu dipaksa untuk berbuat baik. Keikhlasan? Ia akan menyusul apabila kebaikan telah menjadi kebiasaan.

Sejak usia enam atau tujuh tahun, aku sudah mula mencuba melakukan perbuatan baik. Mungkin ini datang dari naluri semulajadiku, biarpun kedengaran seperti memuji diri. Namun, itulah yang berlaku dalam hidupku. Setiap malam, aku sering mengenang perbuatan di siang hari dan berfikir, alangkah baiknya jika aku dapat menolong orang itu tadi. Sungguh, perbuatan kecil itu terasa begitu bermakna, malah kadang kala kebaikan itu muncul dengan sendirinya.

Seiring waktu, perbuatan-perbuatan baik ini membentuk sifat dan peribadiku. Sewaktu kanak-kanak dan remaja, aku sangat terdorong melihat kebaikan. Hatiku senang melihat kawan-kawan berbuat baik kepada orang lain, atau melihat seseorang berbuat baik sesama insan, malah sesama makhluk lain seperti haiwan.

Rupa-rupanya, Islam pilihanku telah banyak mengajarkan tentang kebaikan menolong sesama manusia, tidak kira Muslim atau tidak. 

Aku juga masih ingat sewaktu kecil, ibuku pernah memberikan secupak beras kepada jiran kami yang tidak punya apa-apa untuk dimakan. Dengan beras itu, jiran kami hanya dapat memasak bubur untuk anak-anaknya yang ramai. Mungkin kebaikan yang diperlihatkan ibuku itulah yang membentuk jiwaku. Hingga kini, aku dan ibu mempunyai jiwa yang serupa.

Kadang kala, kebaikan yang kita tunjukkan itu memang telah menjadi sifat semula jadi tanpa paksaan. Ia berlaku tanpa sedar atau di bawah sedar. Aku pernah terfikir bagaimana aku bertindak sedemikian, yang tentunya memberikan kepuasan jiwa kepadaku.

Kisah Seluar Curi dan Ketenangan Jiwa

Pernah satu ketika, aku terdorong mengembalikan barang yang dicuri rakan di sebuah kedai Cina berhadapan kedai ais Punniah, jalan ke pasar. Aku benar-benar kecewa. Malam itu, kami ke pekan Kroh semata-mata untuk mencari seluar sukan bagi perlawanan bola sepak. Namun, seorang rakan mengambil kesempatan mencuri seluar dan membahagi-bahagikannya kepada rakan-rakan lain. Setelah pulang ke rumah masing-masing, hatiku tidak tenteram memikirkan hal itu. Rasa bersalah dan kecewa yang amat sangat menyelimuti diri atas sikap rakan-rakan. Malam itu juga, aku pergi ke rumah mereka dan meminta agar barangan curi itu dikembalikan.

Keesokan harinya, aku seorang diri pergi ke kedai Cina itu dan memulangkan semula seluar-seluar tersebut, sambil memohon maaf atas perbuatan rakan-rakan. Taukenya, seorang wanita, mengucapkan terima kasih kepadaku. Hatiku terasa sungguh besar apabila mendengar perkataan itu.

Mungkin kalian tertanya mengapa aku bercerita tentang perkara remeh begini. Sebenarnya, aku ingin menyatakan bahawa pada ketika itu, dalam jiwa yang belum bertauhid sepenuhnya, aku sudah mencuba untuk berbuat baik sesama manusia. Inilah yang aku katakan, perbuatan itu datang dari hidayah-Nya. Apabila hidayah itu tiba, berlakulah perubahan yang paling besar dalam hidupku.

Sungguh, kini aku amat bersyukur kerana aku telah menemukan banyak kebaikan dalam Islam. Teringat waktu pertama kali diberi tugas berceramah di sebuah masjid di daerah ini, di Negeri Sembilan, aku hanya bercerita tentang bab kebaikan dengan mengambil contoh membuang ranting kayu di laluan manusia. Tidakkah itu satu kebaikan? Itu adalah serendah-rendah pahala. Belum lagi kebaikan-kebaikan yang jauh lebih besar yang kita lakukan.

2 comments:

Aku sangat berterima kasih kerana anda sudi memberi komen dalam blog aku ini namun aku perlu memberi izin dahulu sebelum ianya kupaparkan.

Menulis.

      Sudah lama jemari ini tidak menari di atas papan kekunci. Rindu menulis kadang-kadang datang menyelinap, mengetuk perlahan-lahan pintu...