15 July 2008

Sohaimi Mior Hassan


Penghujung tahun 1982, selepas menamatkan SPM. Aku menganggur sekejap. Relax habis. Mulalah berkira-kira nak mencari pekerjaan sambilan. Nak merasa duit sendiri. Nak harapkan duit orang tua, lebih baik lupakan saja. Dengan adik-beradik yang seramai lapan orang dan masih bersekolah lagi sesuatu perlu aku lakukan untuk duit poketku sendiri.

Pada ketika itu tidak banyak perkerjaan yang boleh aku lakukan. Sekitar daerah ini dan pekannya tidak dapat menjanjikan pekerjaan sambilan yang baik pulangannya. Hijrah. Ada jugak terfikir. Aku dan kawanku berpakat untuk mencari kerja di Ipoh berdekatan kampungnya. Katanya, kilang kacang di Menglembu , Ipoh ,Perak. Ok jugak tu. Aku pun berangkat dengan izin orang tuaku. Maka bermulalah episod baru dalam hidupku. Pertama kali aku berjauhan dengan keluarga.

Aku berusia 17 ketika itu dan sudah menjadi anak bujang yang boleh berdikari di daerah asing. Keluar jauh meninggalkan Kroh. Setiba aku di kampong kawanku itu dan menetap di situ dua tiga hari lamanya, aku dapat rasakan bahawa kawanku tidak serius mencari pekerjaan, sebaliknya pada waktu itu kampong mereka berpesta selama seminggu. Kadang-kadang aku rasa seperti tidak ujud di situ.

Akhirnya aku memohon kepada kawanku untuk kembali ke Kroh kerana kedatangan aku ke sini hanya membuang masa saja. Kembalilah aku dengan sedikit hampa. Waktu berada di Kroh ayah melihat dan dapat merasakan keinginanku. Namun dalam diam-diam dia sudah bertanyakan kepada tauke kedai basikal di pekan Kroh untuk membenarkan aku bekerja di kedainya. Kedai basikal itu terletak di di sebelah kedai BATA berhampiran simpang empat sebelah kiri dari jalan Baling ke Gerik.

Hari pertama aku bekerja tauke cina yang kurus tinggi itu menunjuk ajar asas-asas menampal tayar basikal pancit. Cara membuka tiub tayar dengan betul seterusnya membetulkan jajaran besi rim basikal. Aku bekerja dengan tekun. Boleh dikatakan aku cepat memahirkan diri dengan kerjaku itu. Maklumlah ramai jugak pelanggan yang datang dan tugasku hanya menampal tayar bocor saja.

Dalam tempoh sebulan bekerja, aku baru perasan rupanya tauke kedai basikalku itu mempunyai anak dara sunti yang bersekolah di SMTS. Bila pulang dari sekolah dia pasti melemparkan senyuman kepadaku. Aku gabra. Lagipun aku ini (pada ketika itu) pemalu sikit dengan perempuan. Segan pun ada.Isteri kepada tauke itu pula mesra denganku. Kadang-kadang pada waktu petang dia mempelawa aku minum petang bersama dengannya sambil berbual-bual. Kuihnya apam warna putih dan pink. Tawar tapi lembut. Sedikit air the ‘o’.Bolehlah untuk lepaskan dahaga.

Ayah suka aku berkerja di kedai tionghua itu. Kadang-kadang, kalau dia ke pekan Kroh pasti dia akan singgah di kedai tersebut dan berbual dengan tauke. Aku pernah mendengar isteri tauke tu memujiku ketika mereka berbual. Tidak seperti anak india sebelumnya yang panjang tangan. Mereka juga meminta izin dari ayahku untuk membawa aku bekerja di Pulau Pinang. Di sana mereka mempunyai saudara yang membuka sebuah kedai motor jadi elok aku menimba pengalaman membaiki motor pulak. Di rumah ayah juga bertanya kepadaku tentang hal itu, tapi aku menolak.

Setelah lama bekerja timbul rasa bosan. Rakan sebaya sudah lama tidak berjumpa. Aku berkerja dari lapan pagi hingga lima petang. Bola sepak (sukan kesukaanku) dan rakan-rakanpun sudah lama ditinggalkan. Bila duduk bersendirian termenung, fikiranku melayang jauh menggambarkan riuh rendah mereka bermain bola di padang.Sayu beb.

Selepas sebulan bekerja dan menerima gaji pertamaku aku pun berhenti. Kesal jugak. Bukan apa teringatkan kawan-kawan sepermainan hati boleh jadi sebak. Menganggur lagi.

Dalam tempoh awal 1983 hingga tiga bulan berikutnya, aku berasa kosong yang amat sangat. Waktu itu lagu-lagu hits tahun 70’an dan awal 80’an menjadi temanku. Boleh dikatakan semua penyanyi dan lagu era itu menjadi minatku. Sebut siapa saja nama kumpulan dan solo pasti lagunya bolehku jawab. Tambahan pula ayah memang suka membeli kaset-kaset penyanyi zaman itu.

Tapi lama kelamaan aku jadi tersangat bosan dengan lagu-lagu yang sama didengari setiap hari. Aku menunggu kelainan dalam dunia seni jika ada penyanyi baru yang akan muncul. Pada waktu itu Uji Rashid, Hail Amir, Sudirman, D.J Dave, Carefree, Black Dog Bone  dan sebagainya sudah tidak relevan denganku.

Penantianku tidak lama. Satu hari setelah membeli akhbar Berita Harian dan membacanya aku tertarik kepada iklan kecil mengenai penyanyi baru yang membawakan unsur-unsur puisi dalam lagunya. Aku teruja dan ternanti-nanti bila agaknya kaset penyanyi itu akan terjual di kedai-kedai menjual kaset di  pekan Kroh. Maklumlah jiwa aku ini sentimental sikit. Suka dengan puisi-puisi ini. Setelah berulang alik setiap hari ke Kroh akhirnya kaset penyanyi itu pun aku tiba. Aku memang berpuashati dengan lagu-lagu puitis Sohaimi Mior Hassan.Terasa amat dekat melodi dan liriknya di hatiku.

Mulalah aku menghafal lagu-lagu tersebut dan akhirnya dek kerana minat kesemua 12 lagunya aku hafal. Lagu penyanyi ini memberi impak yang besar ke atas jiwaku. Tambahan pula ramai kawan-kawan sebaya aku berkata bahawa wajahku  mirip penyanyi tersebut.Fuhh..makin  bertambahlah minatku.Tapi aku tak pasti kenapa lagu-lagunya jarang sekali diputarkan di radio.

No comments:

Post a Comment

Aku sangat berterima kasih kerana anda sudi memberi komen dalam blog aku ini namun aku perlu memberi izin dahulu sebelum ianya kupaparkan.

Kembali menulis.

 Kembali menulis. Dalam usia yang telah mencecah 58 tahun, banyak nostalgia tidak lagi diingati dengan jelas dan tepat. Minat menulis masih ...