15 July 2008

Bermula satu hidayah

Ketika usiaku sembilan tahun (1974), aku berada dalam Darjah 3B. Aku masih ingat bagaimana aku menjadi ketua kelas dengan cara yang paling pantas—lebih pantas daripada yang pernah aku bayangkan!
Ketua kelas pada waktu itu ialah Roslan Ahmad, rakan sebelahku yang terkenal dengan sifatnya yang lasak tetapi rajin. Tidak hairanlah rakan-rakan memilihnya untuk jawatan itu. Namun, ada satu perangainya yang sering menimbulkan masalah—dia suka mengusik pelajar perempuan, terutama sekali Azean penolong ketua kelas dari Kampung Kuak Hulu.
Suatu hari, Azean akhirnya hilang sabar. Dia mengadu kepada guru kelas kami, Cikgu Yam, seorang guru yang cantik dan lemah lembut dari Kampung Selarung. Dan seperti yang dijangka, Roslan di ‘basuh’ habis-habisan! Selepas itu, tanpa sebarang perbincangan atau undian, Cikgu Yam membuat keputusan mengejut—Roslan dilucutkan jawatan, dan aku dilantik sebagai ketua kelas yang baharu. Azean pula menjadi pembantu.
Meskipun begitu, Roslan tetap seorang kawan yang baik dan cukup sporting. Dia anak kepada seorang dresser di Klinik Kecil Kroh pada tahun 1974. Aku bersyukur kerana rakan-rakan Melayu di sekolah sangat baik terhadapku, walaupun mereka tahu aku berasal dari suku Orang Asli. Mereka tidak pernah menjauhkan diri, malah sanggup datang ke rumahku. Terutama Roslan dan Husni Hasan.
Di kelas 3A pula, aku berkawan dengan seorang lagi rakan Melayu, tetapi sikapnya agak berbeza. Dia anak anggota polis. Wataknya sering menimbulkan masalah di kalangan rakan-rakan sekelas tetapi bila kami bercantum kelas antara 3A dan 3B untuk kelas agama dia akan mengajakku duduk di sebelahnya sewaktu mata pelajaran Agama Islam. Dia mengajarku cara membaca Jawi dan al-Quran, malah sering bercerita tentang Nabi Muhammad SAW. Di usia 9 tahun, aku sudah boleh membaca Jawi dan mengenal huruf Arab lebih baik daripada rakan sekelas yang lain yang bukan Muslim.
Sebenarnya ayah dan ibu aku tak tahu aku mengambil subjek Pengetahuan Agama Islam sewaktu di sekolah rendah. Mereka berdua buta huruf. Aku pula ‘berminat’ bukan disebabkan tertarik dengan subjek agama. Aku hanya suka berkawan dengan Roslan dan Husni. Aku akan mengikuti mereka ke mana saja. Guru kelas pun dah berpesan mana-mana murid-murid bukan Islam tidak boleh tinggal dalam kelas sewaktu kelas agama. Mereka diarahkan pergi buat kerja sendiri di kantin atau perpustakaan sebelah kantin sekolah. Jadi aku hanya mengikut Roslan dan Husni ke kelas 3A untuk ‘belajar’ pengetahuan agama Islam. Rakan sekelas dari keturunan India dan Orang Asli lainnya semua ke kantin kecuali aku seorang.
Di kelas 3A pula ada seorang murid perempuan bernama Hashimah Hashim juga anak anggota polis yang suka mengusik aku. Bila aku cuba membaca Muqaddam dia akan lempar batang lidi yang dipatahkan pendek ke atas buku muqaddam itu. Bila aku menoleh dia hanya melemparkan senyumannya.
Aku masih ingat satu peristiwa yang begitu mendalam dalam ingatanku. Pada suatu hari, Ustaz Hassan Basri mengumumkan bahawa kami akan menjalani praktikal solat di Masjid Iskandari yang berdekatan. Tetapi hanya murid-murid beragama Islam sahaja dibenarkan. Seluruh kelas bersorak gembira—akhirnya dapat keluar dari bilik darjah! Tetapi aku hanya diam. Aku sedar, aku bukan Islam.
Kamarulzaman, kawan kelas 3A, nampaknya dapat membaca keraguan di wajahku.Ustaz Hassan tidak membenarkan aku ikut disebabkan aku satu-satunya murid bukan Islam di kelas agama itu. Kamarulzaman tidak berputus asa. Dia berusaha bersungguh-sungguh memujuk Ustaz Hassan agar membenarkan aku turut serta. Malah, rakan-rakan lain pun sama-sama menyokong. Akhirnya, Ustaz Hassan mengizinkan. Hatiku berbunga-bunga—ini pasti menjadi satu pengalaman yang tidak akan aku lupakan!
Di masjid, aku belajar mengambil wuduk dan bersolat. Sebenarnya, ia tidaklah sesukar yang aku bayangkan. Aku hanya mengikut gerakan rakan-rakan Melayu di sekelilingku—mereka sujud, aku sujud. Ustaz Hassan membimbing kami dengan penuh sabar. Itulah kali pertama aku sujud kepada tuhan tanpa mengetahui apa tujuan tapi di situlah, tanpa aku sedari, dalam sujud pertamaku, aku melafazkan, "Maha Suci Allah Tuhanku yang Maha Tinggi dengan Segala Kepujian-Nya."
Aku tidak bertauhid kepada-Nya ketika itu, tetapi tanpa aku sedar, aku sudah pernah memuji-Nya.

No comments:

Post a Comment

Aku sangat berterima kasih kerana anda sudi memberi komen dalam blog aku ini namun aku perlu memberi izin dahulu sebelum ianya kupaparkan.

Menulis.

      Sudah lama jemari ini tidak menari di atas papan kekunci. Rindu menulis kadang-kadang datang menyelinap, mengetuk perlahan-lahan pintu...