18 July 2008

Jiwa yang melihat

Untuk menjadi baik dan sempurna bukanlah mudah .Tapi apa yang aku pastikan selama ini ia bertitik tolak daripada hidayah Allah juga.Kalau tidak mendapat hidayah tidak mungkin manusia akan berubah menjadi baik akhlak dan sempurna akal.Tetapi perkara itu mesti dilatih .Kalau tidak dilatih atau lebih ekstrimnya dipaksa untuk berbuat baik ia tidak akan berhasil.Keikhlasan ?...keikhlasan akan datang juga jika sudah terbiasa berbuat baik.

Waktu aku remaja seusia 6 atau 7 tahun aku sudah mula cuba melakukan perbuatan baik.Mungkin ini datang dari naluriku.Mungkin kedengaran seperti memuji diri.Tapi itulah yang berlaku dalam kehidupanku ketika itu.Apa yang pastinya, bila malam aku akan terkenang perbuatanku pada siangnya dan berfikir alangkah baiknya aku dapat menolong orang itu siang tadinya.Sungguh perbuatan aku kecil sangat jika nak dinilaikan.Kadang-kadang perbuatan baik itu datang dengan sendirinya.

Tapi perbuatan-perbuatan baik ini lama-kelamaan membentuk sifat dan peribadiku.Waktu di alam kanak-kanak dan remaja aku terdorong melihat perbuatan baik, aku sangat suka jika kawan-kawanku buat baik kepada seseorang.Atau jika aku terlihat seseorang berbuat sesama insan, sesama makhluk lain seperti haiwan.

Rupa-rupanya Islam pilihanku telah banyak menceritakan kebaikan-kebaikan menolong sesama manusia baik dia itu Islam atau tidak.Satu riwayat tentang Rasulullah yang menjadi ingatan kepadaku ialah bagaimana baginda sanggup menggunting gamisnya semata-mata tidak menganggu tidurnya seekor kucing di atas gamisnya.Sungguh Rasulullah mempunyai akhlak yang paling mulia.


Waktu aku kanak-kanak dulupun aku pernah melihat ibuku memberi secupak beras kepada jiran kami yang tidak mempunyai apa-apa untuk dimakan.Dengan beras yang ibu beri itu jiran kami hanya masakkan bubur untuk anak-anaknya yang ramai.Mungkin juga kebaikan yang ibuku perlihatkan itu yang membentuk jiwaku.Memang sehingga kini pun aku dan ibu punyai jiwa yang sama.

Kadang-kadang kebaikan yang pernah kita tonjolkan itu memang telah menjadi sifat semula jadi tanpa paksaan.Ianya akan berlaku tanpa sedar atau di bawah sedar.Pernah juga aku memikirkan bagaimana aku bertindak sedemikian yang tentunya memberi kepuasan jiwa kepadaku.

Bagaimana aku juga terdorong mengembalikan barang yang dicuri rakan di sebuah kedai Cina berhadapan kedai ais Punniah jalan ke pasar.Aku benar-benar kecewa pada ketika itu.Pada malam kami ke pekan Kroh semata-mata nak mencari seluar sukan untuk perlawanan bolasepak.Tapi dalam pada itu seorang rakan mengambil kesempatan mencuri seluar dan membahagi-bahagikan sesama rakan yang lain.Setelah pulang ke rumah masing-masing aku tidak senang hati memikirkan hal tersebut,Rasa bersalah dan kecewa yang amat sangat dengan sikap rakan-rakan.Malam itu aku pergi ke rumah mereka dan minta dikembalikan barangan curi tersebut.

Keesokannya aku seorang diri pergi ke kedai Cina itu dan memulangkan kembali seluar-seluar sambil meminta maaf atas perangai rakan-rakanku.Taukenya seorang perempuan mengucapkan terima kasih kepadaku.Aku berasa sungguh besar hati apabila mendengar perkataan tersebut.

Mungkin kalian tertanya mengapa aku memberitahu perkara remeh seperti ini.Sebenarnya aku ingin memberitahu bahawa dalam jiwa yang tidak bertauhid pada ketika itu aku telah cuba untuk berbuat baik sesama manusia.Inilah yang kukatakan bahawa perbuatan itu datang dari hidayahNya.Bila hidayah telah datang maka akan berlakulah perubahan yang paling besar dalam hidupku.

Sungguh kini aku amat-amat bersyukur kerana aku telah temui banyak kebaikan dalam Islam.Teringat waktu aku mula-mula diberi tugas berceramah di sebuah masjid di dalam daerah di Negeri Sembilan ini aku hanya bercerita bab kebaikan dengan mengambil contoh membuang ranting kayu di laluan manusia.Tidakkah itu satu kebaikan.Serendah-rendah pahala.Belum lagi kebaikan yang amat besar yang kita lakukan.

2 comments:

Aku sangat berterima kasih kerana anda sudi memberi komen dalam blog aku ini namun aku perlu memberi izin dahulu sebelum ianya kupaparkan.

Kembali menulis.

 Kembali menulis. Dalam usia yang telah mencecah 58 tahun, banyak nostalgia tidak lagi diingati dengan jelas dan tepat. Minat menulis masih ...