24 August 2017

Melankolia Disember 1983

                     Kenangan selama 20 tahun lebih akhirnya ternoktah hujung Disember 1983 itu.Aku dan keluarga akan kembali ke selatan tanahair.Kami akan menetap di kampong ayahku di Jelebu, Negeri sembilan.Aku tidak menyangka pada awalnya, bahawa percutian semester Disember itu adalah kali terakhir aku berada di daerah ini.Bagiku, daerah ini seperti tanah kelahiran.Tidak pernah merasa jemu untuk berada di sini.Di sini aku membesar bersama adik-adik dan kawan-kawan sepermainan.Di sini aku mengenal alam keremajaan.Segala gajet permainan era 1970’an dan 1980’an.Segala siri-siri drama di kaca tv ketika menjadi hiburan yang tidak akan dapat dilupakan oleh remaja 1980’an.

            Mungkin kerana ia sebuah daerah yang luas dan aku bebas menjelajah bersama kawan-kawan. Ada tasek sebagai mercu tanda yang menjadi tumpuan masyarakat setempat.Anak-anak kecil sehingga dewasa tahu apa yang menarik tentang tasek itu.Tempat mencari ikan dan melayan santai petang berlalu.Memasang jaring, bubu dan mengail di pinggiran.Bermacam-macam jenis ikan air tawar terdapat di situ dari sekecil-kecil ikan sehingga yang besarnya.

            Aku dan kawan-kawan juga tidak melepaskan peluang bermandi-manda dan berenang-renang di  dalam tasek itu.Belajar mengapungkan diri dan menyelam.Di tasek ini dan sungai-sungai berhampiran itulah, aku dan kawan-kawan mula pandai berenang.Sewaktu musim hujan dan air menaiki ke paras yang lebih tinggi adalah musim paling menggembirakan buat kami kanak-kanak.Bermain sambil mencari ikan.Teringat waktu zaman kanak-kanak dulu, aku sangat fobia dengan kedalaman sungai atau tasek, mungkin kerana terlalu mengikuti siri tv dari Amerika Syarikat “Voyage to The Bottom of The Sea”.Namun bila sudah pandai berenang, semua itu tidakku kisahkan lagi.

            Kawan-kawan sepermainan, Sony Bahdi, suku Semai Pahang.Muda setahun dariku.Dia kawan yang agak rapat kerana rumah kami selang sebuah.Pergi dan pulang dari sekolah bersama-sama sewaktu di sekolah rendah dan menengah. Aku akan menunggunya di luar rumah kerana ibunya selalu lewat menyiapkan sarapan untuknya.Sambil menarik milo panas ibunya berpesan kepadaku supaya menunggu kerana dia tahu aku rakan baik anaknya.Aku selalu juga mengikuti dia dan ibunya pergi memancing di tasek dan sungai yang mengalir ke tasek itu.

Sewaktu kecil aku juga pernah bergaduh dengan Sony.Pertama disebabkan pedang mainannya ku buang kerana hendak meletakkan pedang rakan yang lebih cantik di dinding.Kali kedua kubuang, dia mula menangis.Petang itu aku dikunjungi ibunya dan bertanya mengapa aku melakukan perbuatan itu.Aku hanya terdiam.Kali kedua kami bermusuhan disebabkan aku tidak puashati kerana pasukan bolasepaknya menjaringkan gol ke pasukanku.Mereka provoke melampau ke atas pasukanku dengan mengejek-ngejek sehingga hatiku menjadi panas.Ketika hendak menjaringkan gol aku melompat tinggi dan menolak Sony lalu dia terjatuh.Dia bingkas bangun dan menggenggam penumbok menunggu masa untuk dilepaskan.Tapi itu tidak berlaku.

Seorang lagi di kalangan mereka Sani Suntai, yang mesra dipanggil Along, suku Temiar Kelantan.Seusia dengan Sony.Along mengajarku cara-cara membuat objek helicopter dengan menggunakan ubi di mana sebelum itu aku hanya tahu menggunakan batang keladi, batang betik atau bertam.Tapi dengan menggunakan ubi, nampak lagi menarik.Kenangan manis bersama Along ketika dia dihalau dari rumah oleh ibunya pada satu senja dan dia meminta tolong untuk bermalam di dalam reban ayam yang tidak digunakan.Aku mengajak dia bermalam di rumahku saja dan kami tidur sebantal sambil bercerita.

Itu antara dua rakan yang agak rapat walaupun muda setahun dariku.Termasuk yang lain-lain yang lebih muda dariku, Ajak, Arin, Bujang, Din, Nuar dan beberapa nama yang sudah tidak tergambar lagi wajahnya.Di kalangan rakan sebaya pula aku berkawan dengan anak Melayu, Jeffry Dikan, Megat Hashim, Namin, Abu Hassan dan seorang rakan dari kaum Orang Asli, Alang Nan.Sementara seorang rakan dari kaum India, Balakrishnan atau kami panggil Bala saja.

Pagi itu, setelah aku dan anak-anak jiran serta kawan-kawan bertungkus lumus memunggah barang-barang keluargaku naik ke atas lori.Aku dan keluarga pun mengucapkan terima kasih kepada mereka.Ada riak kesedihan di wajah dan ada juga hati yang menangis.Terutama ibu yang mudah mengalirkan air mata.Mungkin terkenang jiran-jirannya yang baik hati yang dikenali sejak berjiran di Kuala Lumpur dulu.Terutamanya Makcik Yah.Bagiku, keluarga Makcik Yah, adalah keluarga melayu dan jiran sebelah rumah yang terlalu baik.Banyak kenangan manis bersama keluarga ini.Aku mengenali ahli keluarga ini sejak kecil.Selalunya kalau aku hilang, kata ibu, pasti aku akan berada di rumah ini.

Tinggallah segala kenangan manis.Suka dan duka, pahit dan maung.Disember 1983, kami tinggalkan bumi Kroh, Perak dan kembali ke Jelebu , Negeri Sembilan.Perjalanan yang jauh, namun kenangan di hati amat dekat.Satu masa nanti, akan luntur juga segala kemanisan dan kedukaan kenangan itu di hati.Sedikit demi sedikit akan hilang bersama alam kedewasaan yang bakal dilalui sepanjang hidup ini.

No comments:

Post a Comment

Aku sangat berterima kasih kerana anda sudi memberi komen dalam blog aku ini namun aku perlu memberi izin dahulu sebelum ianya kupaparkan.

Kembali menulis.

 Kembali menulis. Dalam usia yang telah mencecah 58 tahun, banyak nostalgia tidak lagi diingati dengan jelas dan tepat. Minat menulis masih ...