03 August 2017

Dapat Hadiah Dari Ayah

Sejak dulu lagi aku terpaut pada beberapa lagu hits The Beatles, bertajuk And I Love Her , I Will dan Till There Was You dan Yesterday .Mungkin seawal 1981.Bukan kerana hati telah terisi dengan kehadiran seseorang yang digelar teman sejiwa .Tapi ia lebih kepada irama gitar di dalam lagu-lagu itu.Sejak dari itu aku berangan-angan  untuk memiliki sebuah gitar.Sebelum aku berangkat ke ITM, aku telah membeli banyak kaset-kaset The Beatles yang kuminat itu.Muzik yang catchy , lirik yang puitis dan romantis dengan lagu yang sentimental itulah, sebenarnya memikat hati untuk turut sama menyanyi.

Cuti semester pertama pertengahan Disember 1983, kulepaskan kerinduan mendengar lagu-lagu The Beatles.Tetapi aku bukan jenis peminat fanatik sampai menampal atau menggantung gambar kumpulan atau penyanyi yang diminati di dinding kamar.Hanya suka-suka mendengarkan.

Sewaktu pulang ke rumah cuti itu, aku dapat tahu kawan-kawan lama sedang kemaruk bermain dan berlatih dengan alat muzik itu.Aku pun , saban hari berulang-alik ke rumah kenalan lama, Anuar namanya hanya kerana ingin turut serta berlatih berjinak-jinak dengan alat muzik itu.

Kami bergilir-gilir memetik gitar dan mempelajari kod asas gitar.Antaranya Am, G, C, D dan F.Irama yang terhasil dari kod-kod itu menambah lagi kegilaan untuk memahirkan jari jemari memetik gitar.

Sejak aku pulang, aku jarang berada di rumah sedari pagi hingga tengahari.Balik ke rumah hanya untuk makan tengahari dan selepas itu berehat sambil mendengar lagu.Begitulah dari hari ke hari.Ayah perasan aku kerap tiada di rumah.Bila dia keluar berkerja  dan pulang jam 10 pagi, pasti ayah tercari-cari di mana aku berada.Ibu pun bercerita bahawa aku ke rumah kawan untuk bermain gitar.

Tidak terduga dan tidak tergamak untuk aku meminta sesuatu yang tidak mampu ayah sediakan.Sikapku sejak dulu memang tidak mengharapkan atau meminta orangtuaku menyediakan atau membeli sesuatu yang kuhajati.Tetapi itulah sikap ayahku.Bagai tidak percaya pada suatu hari, sewaktu pulang untuk makan tengahari, aku ternampak sebuah bungkusan besar di atas tv.Dari bentuknya sudah kutahu, sebuah gitar.Tetapi siapa yang punya? Diceritakan pada entry yang lepas

Zaman alam kanak-kanak, ayah juga membuat suprise dengan membeli mainan pistol Cowboy dan disangkutkan ke dinding yang tidak tercapai oleh tangan.Mainan yang masih berbungkus cantik dalam plastic memang sengaja diletak tinggi supaya aku tidak dapat mencapainya.Tiap-tiap hari aku hanya memandang tetapi tidak berani meminta dari ibu.Sebabnya ibu telah diamanahkan oleh ayahku supaya tidak menurunkan mainan itu.Kata ayah, kalau nak mainan tu, kena belajar sampai pandai.Itulah antara pesan ayah yang masih kuingat.Tiap kali selepas mandi atau pulang dari bermain, pasti aku akan ke bilik ibu dan memerhati pistol yang tergantung di dinding itu dengan penuh minat.


Waktu itu, aku tahu untuk siapa ayah belikan gitar itu. Tidak tergambar betapa gembiranya hati mendapat hadiah dari ayah.Maka bermulalah satu hari yang panjang, melaluinya dengan memetik gitar kapok pemberian ayah.

No comments:

Post a Comment

Aku sangat berterima kasih kerana anda sudi memberi komen dalam blog aku ini namun aku perlu memberi izin dahulu sebelum ianya kupaparkan.

Kembali menulis.

 Kembali menulis. Dalam usia yang telah mencecah 58 tahun, banyak nostalgia tidak lagi diingati dengan jelas dan tepat. Minat menulis masih ...