Pada awal tahun 1990, aku masih berada di ibu kota Kuala Lumpur bersama teman-teman dari jemaah Tabligh. Aku hanya menyertai aktiviti-aktiviti anjuran mereka kerana ingin merasai pengalaman berdakwah dengan jemaah Tabligh. Terdapat banyak perbezaan jika dibandingkan dengan corak dakwah bil-hal yang diamalkan oleh al-Arqam. Masing-masing mempunyai kelebihan tersendiri. Namun, bagiku, aku hanya mengambil yang terbaik sahaja. Aku tidak mahu terlalu taksub kepada sesuatu amalan sehingga menjadikannya hujah dalam berdakwah. Aku lebih suka pendekatan bil-hal, iaitu menunjukkan contoh-contoh terbaik. Oleh kerana aku bukan jenis yang banyak bercakap, maka berdakwah melalui perbuatan lebih utama bagiku, dan aku memilih untuk fokus ke arah itu.
Tabligh merupakan salah satu cabang dakwah dan sifat wajib bagi Rasulullah SAW. Jemaah ini dinamakan Tabligh kerana mereka turun berhadapan dengan orang awam dan menyampaikan risalah thoyibbah secara langsung kepada masyarakat Di sinilah terletaknya ujian sebenar dalam menyampaikan dakwah secara lisan. Kita tidak tahu sama ada pendengar suka atau tidak, benci atau berminat. Aku pernah mengalami ujian-ujian tersebut. Beginilah secebis ujian yang pernah dirasai oleh para Nabi terdahulu. Malah, bagiku, ujian ini masih jauh dibandingkan dengan ujian berat yang dihadapi oleh para Rasul.
Selain itu, aktiviti mingguan termasuk beriktikaf di Masjid India, Kuala Lumpur. Masjid ini sering penuh sesak dengan jemaah dari dalam dan luar negera, terutamanya dari Pakistan dan India. Kesemuanya berpakaian putih. Ada juga watak-watak popular tempatan yang pernah terlihat di kaca televisyen. Tidak aku sangka mereka juga aktif berdakwah malah mesra apabila ditegur. Itulah kehidupanku yang biasa. Pada pagi Sabtu pula, aku bersama rakan-rakan dari sekitar Kuala Lumpur ke Kampung Baru untuk mendengar kuliah agama di rumah Pak Yazid.
Untuk menampung kehidupan di Kuala Lumpur, aku bekerja di kilang Lever Brothers, Jalan Bangsar. Pendapatannya mencukupi untuk keperluanku seorang. Aku biasa tinggal di masjid, jadi Masjid al-Rahman, Universiti Malaya, sudah menjadi seperti rumah bagiku. Tambahan pula, aku melihat ramai golongan fuqara' menumpang tidur dan beriktikaf di sana.
No comments:
Post a Comment
Aku sangat berterima kasih kerana anda sudi memberi komen dalam blog aku ini namun aku perlu memberi izin dahulu sebelum ianya kupaparkan.