19 December 2008

"sampaikan daripadaku walaupun satu ayat"

Mengajar saudara baru memahami Islam bukan satu perkara yang mudah. Mereka tidak biasa dengan istilah-istilah 'Arab. Ada yang tercengang, melopong dan ada yang memandang kepadaku dengan pandangan yang melucukan. Maklumlah mereka tidak biasa mendengar perkataan-perkataan yang mudah seperti sunat, wajib, makruh, solat, wudhu' dan sebagainya. Itu belum lagi perkataan yang amat asing bagi mereka seperti lafaz-lafaz niat. Namun aku tetap bersabar kerana lambat laun aku yakin Allah SWT akan memberi faham kepada mereka. Aku hanyalah alat perantara.

Alhamdulillah, aku dapat membatu Ustaz Jaafar meringankan sedikit kerjanya. Tergambar kepuasan di wajahnya ketika itu. Kami mencari uslub (kaedah) untuk menyampaikan maksud pengajaran dan pemahaman supaya saudara baru dapat faham dengan lebih jelas. Kami banyak menggunakan logik akal dan sesekali nas al-Qur'an dan hadis sebagai bukti qat'i dalam menerangkan sesuatu kewajipan beramal. Memang berdepan dengan saudara baru kita terpaksa lebih kepada logik.

Aku tidak sunyi kerana sentiasa di dampingi oleh mereka baik waktu mengajar, rehat bahkan waktu hendak melelapkan mata juga dihujani dengan pertanyaan berkaitan Islam. Aku terangkan apa yang aku faham dan selebihnya Ustaz Jaafarlah rujukanku.  Ternyata mereka memang perlu difahamkan bermula dari A hingga Z. Kadangkala kuselitkan juga kisah-kisah Rasul dan Nabi yang biasa aku dengar dulu. Dan adakalanya juga aku menceritakan bagaimana aku mula tertarik dengan agama suci ini.

Peringkat awal  mereka menyangka aku kaum Melayu yang asal Islam. Ya itulah yang berlaku. Namun setelah aku jelaskan bahawa aku juga seperti mereka yang suatu ketika dulu tidak ada pegangan agama. Mencari erti kehidupan sebenar dan maksud aku dihidupkan. Kenapa ada kematian. Mengenal siapa rabbi yang sebenar. Alhamdulillah hidayah itu telah lama bersarang dalam jiwaku cuma menunggu apakah aku akan datang menyahut panggilanNya atau tidak.

Dan kini aku amat-amat bersyukur. 

No comments:

Post a Comment

Aku sangat berterima kasih kerana anda sudi memberi komen dalam blog aku ini namun aku perlu memberi izin dahulu sebelum ianya kupaparkan.

Kembali menulis.

 Kembali menulis. Dalam usia yang telah mencecah 58 tahun, banyak nostalgia tidak lagi diingati dengan jelas dan tepat. Minat menulis masih ...