14 December 2008

Kursus Saudara Baru

Aku sudah punya kenalan di Jabatan Agama Islam N.Sembilan. Ustaz Jaafar orangnya komited dengan kerja-kerja dakwah kepada saudara baru. Banyak yang beliau ingin tahu tentang diriku. Beliau sedikit teruja apabila mengetahui bahawa aku juga seorang saudara baru (dah lama convert dah !). Katanya waktu itu kurang da'i-da'i dari kalangan saudara baru dan ini menimbulkan masalah untuk beliau merancang kursus. Dengan adanya aku, diharap dapat membantu kerja-kerjanya itu. Alhamdulillah. Aku nyatakan kepada UJ bahawa aku bersedia menolong mana yang terdaya.

Aku cukup berkenan dengan ustaz seorang  ini. Banyak yang aku dengar cerita tentang ustaz yang menarik hati. Perwatakannya, cara beliau berdakwah kepada saudara baru malah perngorbanannya juga mengagumkan.

Ustaz Jaafar menjemput aku menghadiri kursus saudara baru sebagai tenaga pengajar sambilan ataupun fasilitator. Aku terima dengan senang hati. Sekurang-kurangnya ilmu yang ada akan aku curahkan kepada  mereka yang baru mendalami Islam. Dalam masa yang sama aku juga belajar bagaimana berdakwah kepada saudara baru. Alhamdulillah, pengalamanku sebagai saudara baru suatu masa dulu banyak juga membantu dalam memberi semangat dan motivasi kepada mereka.

Aku mengikuti kursus pertama anjuran Unit Ukhuwah di bawah pimpinannya di Institut Pertanian Chembong, Rembau, N.Sembilan. Di samping itu tiga orang ustazah yang pernah aku jumpa di jabatan agama dulu juga turut membantu UJ. Di sana aku dilantik sebagai fasilitator (pemudahcara) untuk praktikal berwudhuk, solat dan sebagainya yang mudah-mudah. Memang kecil peranan yang diberi namun aku bersyukur kerana aku dapat mencurahkan ilmu yang pernah kutuntut dahulu. Sekurang-kurangnya amalan tersebut akan berterusan. InsyaAllah.

Suatu ketika selepas solat A'sar di surau institut , UJ memanggilku. Kami mengadakan usrah kecil. Bertukar-tukar pendapat dan percambahan idea. Selepas berbincang UJ bertanyakan umurku. Usiaku ketika itu sudah mencecah 26 tahun. UJ bertanya lagi kenapa "tak kahwin". Aku senyum. Aku teringat pesan ayah sewaktu di darjah 2 dulu. Kalau diri sendiripun susah jangan susahkan hidup orang. InsyaAllah, jika aku sudah punyai kerja tetap aku akan fikirkan.

Satu waktu dulu, aku sentiasa memikirkan F, bagaimana aku pernah melukakan hatinya. Jika aku punyai kerja yang bagus, insyaAllah aku akan cari dan tebus kesalahanku semula.

Di akhir usrah aku bertanya kepada UJ jika ada peluang kerja di jabatan agama. Aku lihat UJ  sedikit gembira kerana sememangnya dia perlukan pembantu lelaki untuk menyelia kursus-kursus dakwah pada masa akan datang. Pada ketika itu yang ada hanya 3 orang ustazah saja yang membantunya dan itu menyulitkankan kerana mereka kadang-kadang sukar hendak menunjuk ajar saudara baru lelaki. UJ memberi jaminan dan meminta ruang waktu untuk mengadakan perbincangan dengan Majlis Agama Islam N.Sembilan.

Aku gembira mendengar jawapannya. Lalu aku sentiasa berdoa jika ini jalan yang Allah takdirkan untukku satu masa lalu, maka  aku akan teruskan kerja-kerja dakwah kepada saudara seagamaku.

No comments:

Post a Comment

Aku sangat berterima kasih kerana anda sudi memberi komen dalam blog aku ini namun aku perlu memberi izin dahulu sebelum ianya kupaparkan.

Kembali menulis.

 Kembali menulis. Dalam usia yang telah mencecah 58 tahun, banyak nostalgia tidak lagi diingati dengan jelas dan tepat. Minat menulis masih ...