22 December 2008

September 1991

Acapkali aku berbual dengan UJ perkara sama diulangi.Aku tidak kisah.Di samping itu UJ memaklumkan bahawa permohonannya kepada Majlis Agama Islam untuk menambah kakitangan sokongan sambilan di bawah unitnya telahpun dibuat.Hanya menunggu masa untuk diluluskan.Keperluan mewujudkan jawatan perlu dibuat kerana menggantikan seorang lagi pembantunya yang telah meletakkan jawatan kerana mendapat tawaran kerja tetap di perpustakan Negara di Kuala Lumpur.

Aku tahu Ustaz J cuba menarik minatku kepada seorang ustazah di bawah unitnya,Unit Ukhuwah.Selalu UJ menceritakan mengenai kebaikan,istiqomah dalam membantu kerja-kerja ustaz dan kecantikannya juga.Itu peringkat awal yang kuingat.Aku hanya mendengar.Aku cuba mencari-cari wajah ustazah yang diceritakan itu.Orangnya berkulit cerah ,katanya saudara baru juga sepertiku.Waktu itu aku tidak memikirkan perkara ini sangat kerana aku masih memujuk hati agar melupakan kenangan lama dan tidak menerima kehadiran sesiapapun di hati ini selagi aku masih belum bersedia.

Aku masih ingat sewaktu membantu UJ dan unitnya menjayakan kursus kefahaman Islam kepada saudara baru di Port Dickson pada September 1991.Waktu itu aku perasan ustazah yang dimaksudkan turut berada di sana.Aku mencuri pandang kepadanya.Alhamdulillah,bertudung labuh.Memang berkulit cerah orangnya.Berbeza denganku yang gelap ini.Tidaklah pada ketika itu aku cuba mendekatinya kerana perbezaan diriku yang daif dalam serba serbinya ini.

Sepanjang di sana tidak juga aku berbual-bual atau mengenalinya.Kami hanya bertukar-tukar pandangan tanpa iringan senyuman.Hati kadangkala terdetik dan gementar namun kukawal supaya tidak terlihat perasaan di dalam.Ada perasaan bertukar ganti di jiwa yang tidak dapat digambarkan.Namun kerjaku sebagai membantu unitnya ku jalankan sebaik mungkin tanpa kekok.Tidak mahu terlihat nanti tindakan bodoh yang tidak sepatutnya berlaku dalam situasi tertekan ketika itu.

Lagipun aku hadir kerana dijemput untuk membantu UJ.Itu tujuan asal aku menyertainya.Aku tidak tahu langsung sebenarnya UJ dan isterinya telah merancang sesuatu.Mereka merancang untuk mempertemukan aku dan ustazah kenalan mereka itu.Tidak sedikitpun menaruh syak wasangka.Mereka mahu aku mengenali ustazah tersebut dengan lebih dekat dan melihat sendiri orangnya.Aku baru teringat bahawa aku pernah terjumpa ustazah itu ketika waktu aku mula-mula melangkah kaki ke Jabatan Agama Islam N.Sembilan untuk bertemu UJ dulu.Ustazah dimaksudkan itulah yang menunjukkan kepadaku arah ke bilik UJ.Tidak syak lagi.

Sebenarnya ada dua orang lagi ustazah yang membantu UJ.Semuanya masih anak dara lagi.Tapi UJ mahu aku mengenali ustazah yang seorang ini.Ada cerita yang kudengar mereka mengusik ustazah itu dan bertanya pendapatnya berkenaan diriku malah aku dikatakan secocok dengannya.

Aku terkilan.Aku masih mengingati seseorang yang bayangan wajahnya sudah semakin pudar.Kenangan dan pengalaman lalu membuat aku pilu.Apakah terpaksa aku lepaskan ikatan kenangan yang membelenggu diri dan menghadapi kenyataan.Syukur ketika itu aku tidak terburu-buru meluahkan rasa sayangnya aku kepada gadis itu dulu.Tidak tahu bagaimana parahnya jiwa jika niatku disambut mesra dan akhirnya terpaksa berpisah.F yang kutahu dari cerita A (sahabat di YAA) berada di Rantau Panjang , Kelantan ketika aku bertemu sahabatku itu pada 2003 lalu.Kata A,  F telah berpurdah dan terlibat dengan perniagaan mengusahakan taman asuhan kanak-kanak Islam di sana.Baguslah untuknya sebagai rakan aku bersyukur F meneruskan niat murninya.Mungkin,kata A, F telah berkahwin….dan mungkin juga kata-kata F kepadaku dulu bahawa dia ingin menyertai usrah Al-Arqam ketika itu termakbul.Mungkin.

Ketika ini hadir pula seseorang.Kali ini dengan bantuan orang tengah yang bersungguh-sungguh ingin mengenalkan aku dengannya,seorang ustazah.Ustazah F namanya.(F lagi...).Aku tidak memberi kata putus.Aku mahu fikirkan sedalam-dalamnya.Apalagi wajah F  masih belum mahu berpisah.Hati ini telah selalu kupujuk supaya melepaskannya.Namun ada juga kucabar supaya sebaik saja menerima tawaran kerja aku akan mencari F.

Selesai kursus di Port Dickson, UJ mempelawaku menumpang balik bersama ke Seremban.Aku setuju tapi di dalam kereta UJ ada kelibat ustazah itu.Aduh.Mahu atau tidak aku terpaksa kerana tidak ada lagi kenderaan yang membawa kupulang.Lagipun arah perjalanan kami sama.Sepanjang perjalanan aku hanya sesekali berbual dengan UJ.Malu bercampur segan.UJ memaklumkan bahawa permohonan untuk menempatkan jawatan baru di unitnya telahpun diluluskan oleh pihak Majlis Agama Islam N.Sembilan.

Aku gembira mendengar perkhabaran itu dan rasanya aku tidak sabar lagi untuk memulakan khidmat sebagai Pembantu Dakwah Sambilan.

Kembali menulis.

 Kembali menulis. Dalam usia yang telah mencecah 58 tahun, banyak nostalgia tidak lagi diingati dengan jelas dan tepat. Minat menulis masih ...