11 December 2008

Doa yang panjang...

Pertengahan tahun 1991 aku bermastautin di Seremban. Di rumah Ustaz Razak, seorang bekas ahli al-Arqam yang kukenali sejak aku menganut agama suci ini pada pertengahan tahun 1985 dulu. Dia mempelawaku tinggal bersama dengannya di Seremban. Dia bercadang hendak berniaga dan aku boleh membantunya.

Aku tinggal di Taman Negeri Seremban sambil membantu kerja harian Ustaz Razak yang juga seorang pakar mengurut. Di samping itu sebelah malamnya aku mengajar anak-anak jiran mengaji di taman tersebut. Sekurang-kurangnya aku ada sumber pendapatan sampingan. Bermula dari situ aku mula berhubung dengan kenalanku  yang bekerja di jabatan kerajaan bertanya jika ada peluang pekerjaan. Aku juga ada bertanya Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan mengenai peluang-peluang kursus.

Tempoh dari awal 1991 hingga pertengahan tahun tersebut merupakan hari-hari yang membosankan kerana tidak ada rutin yang luarbiasa dalam hidupku. Namun segala doa dan tawakalku kepada Tuhan akhirnya terjawab.

Suatu pagi aku ke jabatan agama Islam Seremban untuk bertanyakan tentang kursus yang boleh aku sertai. Seorang kawan mencadangkan aku berjumpa Ustaz Jaafar Muhamad, Penolong Pengarah Unit Ukhuwah yang bertanggungjawab secara terus aktiviti dakwah dan kebajikan kepada saudara baru. Aku melangkah ke tingkat 3 bangunan jabatan, sampai di pintu perpustakaan kulihat ada 3 orang ustazah sedang makan sambil berbual, lalu aku memberi salam dan bertanya di mana aku boleh berjumpa dengan Ustaz Jaafar.

Salah seorang ustazah di situ (bertudung labuh) menunjukkan kepadaku arah ke bilik UJ. Aku ucapkan terima kasih dan menuju ke bilik yang ditunjuk tadi. Di situ aku berkenalan dengan UJ yang menyambutku dengan senyuman. Alhamdulillah tafsiran awalku tentang ustaz ini melapangkan dadaku. Memang unit UJ menganjurkan banyak kerja-kerja dakwah kepada saudara baru.

UJ kulihat amat ceria dan mengharapkan agar aku sentiasa berhubung dengannya. Peluang ini memang tidak akan aku lepaskan. Akupun mula memasang doa dan pasrahkan hidup dan nasibku kepada Tuhan andaikata di situ ada jalan untuk aku meraih rezekiNya.

Sebuah doa yang panjang.

No comments:

Post a Comment

Aku sangat berterima kasih kerana anda sudi memberi komen dalam blog aku ini namun aku perlu memberi izin dahulu sebelum ianya kupaparkan.

Kembali menulis.

 Kembali menulis. Dalam usia yang telah mencecah 58 tahun, banyak nostalgia tidak lagi diingati dengan jelas dan tepat. Minat menulis masih ...