28 September 2008

Masjid Jamek Gua Musang ke Kg Batu Papan

Pakcik Me dan Mek mendorong aku mengaji ilmu agama di Masjid Jamek Gua Musang.Kata mereka kuliah agama diadakan tiap-tiap hari.Hari Jumaat makin bertambah rancak sebelum solat fardhu Jumaat.Aku teruja mendengarnya.Pakcik Me kata ustaz yang mengajar guna kitab lama.Hari Jumaat kitab Mathaal Badrin.

Dengan berbasikal Pakcik Me berikan ,aku pun mengayuh ke pekan Gua Musang pada petang Khamis.Lapan kilometer....jauh jugak tu.Berbekalkan ubat nyamuk dan sedikit duit untuk beli makanan yang diberikan Mek padaku.Aku akan ke sana sehingga esok petang selepas tamat solat Jumaat.Malam itu aku akan tidur di masjid saja selepas kuliah sekitar 12.00 tengahmalam.Tiada masalah kerana aku sudah biasa.

Namun tidaklah ada ketikanya aku tidur di masjid.Ada malam-malam tertentu jikalau kuliah habis awal aku balik saja ke rumah.Sebabnya cuma aku seorang saja yang iktikaf.Ada ketika pula ada insan lain yang iktikaf sama tapi cuma menunggu waktu keretapi berhenti jam 4.00 pagi.Untuk ke destinasi Pantai Timur atau hala ke Kuala Lipis,Pahang.

Aku masih terkenang pada peringkat awal aku mengaji di masjid dulu.Aku teringin sangat nak balik ke rumah.Walaupun ketika itu jam sudah menunjukkan 12.30 tengah malam.Sudah masuk awal pagi.Hatiku bagai didesak untuk balik.Padahal Mek sudah sediakan ubat nyamuk.Antara hendak atau tidak aku pulang juga malam itu.Langit gelap,cahaya bintang saja yang banyak bertaburan .Jalan sudah sunyi.Tiada langsung lampu dari kereta atau motor yang lalu lalang.Aku tabahkan hati.

Lapan kilometer bukanlah jarak yang dekat.Jalan sunyi.Simpang hendak kekampung lagilah sunyi.Keliling hanya belukar dan hutan simpan.Jalan tar kecil hanya untuk satu kenderaan lalu lalang.Dari pekan Gua Musang aku mengayuh laju.Sungguh laju.Kalau tidak laju lampu basikal tidak akan menyala dengan terang.Ada satu ketika kayuhanku jadi berat.Jantungku berdegup agak kencang,tapi aku sudah bersedia.Bayangkanlah daripada laju jadi agak berat dan perlahan.Lama-kelamaan aku tidak dapat menahan.Aku turun.Ahhh...rupanya aku berkayuh di atas pasir.Patut pun.

Waktu itu lampu basikal terus malap.Tak nampak apa-apa.Aku terus berjalan mencari jalan permukaan yang agak keras.Sampai di jalan raya aku membetulkan kedudukan.Beg berisi kitab aku letak di belakang...gunanya supaya tidak ada "sesuatu" yang dapat menumpang nanti.Depan kuletakkan Surah Yasin..sumber motivasi supaya aku bertambah berani.

Tiba di persimpangan kampung yang jauh agak sekilometer ke dalam aku terus pecut sambil menyanyikan nasyid Asma-ulHusna (99 nama Allah) dengan sekuat-kuat suara.Lampu basikal memang terang menyuluh sekitar jalan di depan,namun mataku hanya terpaku ke satu arah lurus tanpa sedikitpun menoleh ke kiri atau kanan.Agaknya makhluk malam pun ada yang terkejut mendengar ada manusia menyanyi tengah malam.Sebelum ini mungkin dunia mereka hening sangat.

Sungguh itulah malam pertama dan terakhir aku balik tengah malam.Sampai di rumah aku lihat Mek berbual dengan menantu perempuannya di sebelah rumah kami.Mek marah betul.Katanya jangan buat lagi sebab kawasan kampung ini bersempadan dengan hutan.Selalu juga penduduk kampung ternampak kelibat sang belang.

Tapi tidak lama selepas aku balik ke Negeri Sembilan,saudara jauhku ada datang ke kampung bercerita tentang satu kejadian yang menggemparkan di jalan masuk ke kampung Batu Papan.Kampung itu masih menggunakan generator untuk menjana elektrik dan membekalkan ke seluruh kampung.Pada tiap-tiap petang sekitar jam 7.00 seorang pekerja dari pekan Gua Musang akan menghidupkan penjana elektrik tersebut.Petang itu pekerja tersebut tiba agak lewat kerana hujan.Selepas menghidupkan enjin penjana sekitar jam 7.30 petang ke atas beliau pun balik.Tiba di satu selekoh beliau terpandang sekujur tubuh perempuan sedang mendukung anak serba putih tapi kelabu sedikit.Oleh sebab cahaya motorsikalnya agak jauh beliau memberanikan diri hampir untuk bertanya masalah dan memberikan pertolongan.Tidak semena-mena belumpun sempat menyapa beliau bergegas memecut motorsikalnya laju balik ke Gua Musang.Bukan manusia!Saudaraku itu bertanya bagaimana aku tidak pernah pula berjumpa kejadian yang sama....entahlah bukan rezekiku hendak berjumpa.Tapi di hati ...keyakinanku kepada Allah bertambah !

No comments:

Post a Comment

Aku sangat berterima kasih kerana anda sudi memberi komen dalam blog aku ini namun aku perlu memberi izin dahulu sebelum ianya kupaparkan.

Kembali menulis.

 Kembali menulis. Dalam usia yang telah mencecah 58 tahun, banyak nostalgia tidak lagi diingati dengan jelas dan tepat. Minat menulis masih ...