29 July 2008

episod 2..Islam

Minggu depan aku akan mula nukilkan sesuatu di sini tentang pencarianku mengenai agama ini.Aku akan mulakan di mana saat aku berasa kekosongan yang amat sangat.Dan seterusnya kehidupan ku di perantauan.InsyaAllah.

Find Me Artist David Gates


The skies are not as blue, when you're not with me
The stars, they never seem to shine as bright
And the hours crack like days across the ages
And a year or two pass by with every night.

It makes me know if i should ever leave this world before you do
When you follow you must promise, cross your heart and promise to

Find me...look hard, and dont stop,
I'll be waiting 'till then
Dont sleep, and dont eat 'till I'm back, back in your arms again

I dont wanna have to spend all my forever without you.
Just knowing that your out there somewhere too.
So darlin...please I'm begging you on bended knee...
Find me...

I've tried to tell this world how much i love you.
But they dont understand how deep it goes.
And i can't even find the words to tell you
So I'm the only one who really knows.
And though we have our times together, I am always wanting more
So if we get separated wont you do just like before and

Find me...look hard and dont stop,
I'll be waiting 'till then
Dont sleep, and dont eat 'till I'm back, back in your arms again

Through a hundred million faces you will see me shinning through.
'Cause I'll glow when you come close , I always do.
So darlin' please im begging you on bended knee..
We can share our love through all eternity'
Cause with you is all i ever wanna be......
Find me

22 July 2008

Pion...kelas Faraid











Rakan satu opis....






Ini sebahagian rakanku di opis ni.Kalau tak da mereka ni pening jugak kepala nak memikirkan kerja-kerja kat opis ni.Maklumlah aku ni "pion opis" jer...

Some of memories...Aubrey

And Aubrey was her name,
A not so very ordinary girl or name.
But who's to blame?
For a love that wouldn't bloom
For the hearts that never played in tune.
Like a lovely melody that everyone can sing,
Take away the words that rhyme it doesn't mean a thing.

And Aubrey was her name.
We triped the light and danced together to the moon,
But where was June.
No it never came around.
If it did it never made a sound,
Maybe I was absent or was listening to fast,
Catching all the words, but then the meaning going past,

But God I miss the girl,
And I'd go a thousand times around the world just to be
Closer to her than to me.

And Aubrey was her name,
I never knew her,
but I loved her just the same,
I loved her name.
Wish that I had found the way
And the reasons that would make her stay.
I have learned to lead a life apart from all the rest.
If I can't have the one I want, I'll do without the best.

But how I miss the girl
And I'd go a million times around the world just to say
She had been mine for a day.

lagu nyanyian David Gates dari kumpulan Bread.lagu ini berentak slow dan melankolik.bagiku ia sebuah lagu yang memberi kesan di dalam kehidupan awal remajaku.aku pernah menyukai seorang gadis.dia biasa saja.berkesempatan berbual namun dia tidak pernah sedar bahawa aku menyukainya dalam diam.memujanya.aku pernah cuba menitipkan surat buatnya melahirkan rasa hati, namun sifatku yang terlalu lemah kepadanya membuatkan aku takut tidak diterima.akhirnya aku terpaksa membiarkan dia pergi. 

18 July 2008

Jiwa yang melihat

Menjadi baik dan sempurna bukanlah jalan yang mudah, namun aku percaya segalanya bermula dari hidayah Allah. Tanpa hidayah, sukar bagi insan untuk mengubah akhlak dan menyempurnakan akal. Namun, hidayah itu perlu diasah, perlu dilatih, malah kadang kala perlu dipaksa untuk berbuat baik. Keikhlasan? Ia akan menyusul apabila kebaikan telah menjadi kebiasaan.

Sejak usia enam atau tujuh tahun, aku sudah mula mencuba melakukan perbuatan baik. Mungkin ini datang dari naluri semulajadiku, biarpun kedengaran seperti memuji diri. Namun, itulah yang berlaku dalam hidupku. Setiap malam, aku sering mengenang perbuatan di siang hari dan berfikir, alangkah baiknya jika aku dapat menolong orang itu tadi. Sungguh, perbuatan kecil itu terasa begitu bermakna, malah kadang kala kebaikan itu muncul dengan sendirinya.

Seiring waktu, perbuatan-perbuatan baik ini membentuk sifat dan peribadiku. Sewaktu kanak-kanak dan remaja, aku sangat terdorong melihat kebaikan. Hatiku senang melihat kawan-kawan berbuat baik kepada orang lain, atau melihat seseorang berbuat baik sesama insan, malah sesama makhluk lain seperti haiwan.

Rupa-rupanya, Islam pilihanku telah banyak mengajarkan tentang kebaikan menolong sesama manusia, tidak kira Muslim atau tidak. 

Aku juga masih ingat sewaktu kecil, ibuku pernah memberikan secupak beras kepada jiran kami yang tidak punya apa-apa untuk dimakan. Dengan beras itu, jiran kami hanya dapat memasak bubur untuk anak-anaknya yang ramai. Mungkin kebaikan yang diperlihatkan ibuku itulah yang membentuk jiwaku. Hingga kini, aku dan ibu mempunyai jiwa yang serupa.

Kadang kala, kebaikan yang kita tunjukkan itu memang telah menjadi sifat semula jadi tanpa paksaan. Ia berlaku tanpa sedar atau di bawah sedar. Aku pernah terfikir bagaimana aku bertindak sedemikian, yang tentunya memberikan kepuasan jiwa kepadaku.

Kisah Seluar Curi dan Ketenangan Jiwa

Pernah satu ketika, aku terdorong mengembalikan barang yang dicuri rakan di sebuah kedai Cina berhadapan kedai ais Punniah, jalan ke pasar. Aku benar-benar kecewa. Malam itu, kami ke pekan Kroh semata-mata untuk mencari seluar sukan bagi perlawanan bola sepak. Namun, seorang rakan mengambil kesempatan mencuri seluar dan membahagi-bahagikannya kepada rakan-rakan lain. Setelah pulang ke rumah masing-masing, hatiku tidak tenteram memikirkan hal itu. Rasa bersalah dan kecewa yang amat sangat menyelimuti diri atas sikap rakan-rakan. Malam itu juga, aku pergi ke rumah mereka dan meminta agar barangan curi itu dikembalikan.

Keesokan harinya, aku seorang diri pergi ke kedai Cina itu dan memulangkan semula seluar-seluar tersebut, sambil memohon maaf atas perbuatan rakan-rakan. Taukenya, seorang wanita, mengucapkan terima kasih kepadaku. Hatiku terasa sungguh besar apabila mendengar perkataan itu.

Mungkin kalian tertanya mengapa aku bercerita tentang perkara remeh begini. Sebenarnya, aku ingin menyatakan bahawa pada ketika itu, dalam jiwa yang belum bertauhid sepenuhnya, aku sudah mencuba untuk berbuat baik sesama manusia. Inilah yang aku katakan, perbuatan itu datang dari hidayah-Nya. Apabila hidayah itu tiba, berlakulah perubahan yang paling besar dalam hidupku.

Sungguh, kini aku amat bersyukur kerana aku telah menemukan banyak kebaikan dalam Islam. Teringat waktu pertama kali diberi tugas berceramah di sebuah masjid di daerah ini, di Negeri Sembilan, aku hanya bercerita tentang bab kebaikan dengan mengambil contoh membuang ranting kayu di laluan manusia. Tidakkah itu satu kebaikan? Itu adalah serendah-rendah pahala. Belum lagi kebaikan-kebaikan yang jauh lebih besar yang kita lakukan.

17 July 2008

mimpi-mimpi aneh..yang sunyi di hati.

Mimpi-mimpi aneh telah mula mengangguku. Kadang-kadang aku menjadi sebahagian watak dalam mimpi bertemu Nabi. Aku bertemu Nabi Ibrahim a.s. yang berlawan dengan 3 ekor syaitan lalu menang. Aku bertemu dengan seruan suara yang menunjukkan kepadaku seorang gadis anak Rasulullah SAW bernama Fatimah r.a datang ingin bertemu dan aku tidak dapat melihatnya dengan jelas kerana ia hanya berkata-kata dari jauh. Bermimpi bagaimana malam lailatul Qadar berlaku. Pohon-pohon sujud ke arah barat dan cahaya malam terang walaupun tiada bulan mengambang. 

Dan paling terkesan aku bermimpi aku dan bapa saudara sebelah ibuku berjalan di dalam hutan tebal dan tersesat lalu kami berhenti di sebuah anak sungai yang dingin untuk melepaskan kehausan lalu tanpa disedari bapa saudaraku telah dipatuk seekor ular kecil lalu mati. Pada ketika itu aku jadi takut,keseorangan di dalam hutan dan menangis. Lalu datang satu suara menyeru supaya aku memeluk Islam.

Aku masih ingat ayat itu."Masuklah Islam,nanti kau akan selamat". Seorang tua berjubah putih dan berjanggut putih pula adalah watak yang selalu datang dalam mimpiku. Anehnya, tidak pernah ia berkata-kata. Fikirkan bagaimana aku seawal 8 hingga 10 tahun pantas bermimpi sebegitu apalagi dalam keadaan aku tidak ada pegangan agama ketika itu. Aku tidak pernah bercerita tentang mimpiku pada ibu. Aku takut. Aku hanya fikirkan sesekali saat aku keseorangan. Inilah hidayah. Aku tidak menganggap mimpi-mimpi itu sekadar mainan tidur.

Hidayah boleh jadi datang dengan berbagai bentuk dan keadaan. Perkataan, perbuatan, suasana peristiwa atau mimpi sekalipun. Aku pasti Allah telah memilihku ketika itu. Cuma …bagaimana aku seusia sebegini muda akan zahir bertauhid dan menyaksikan bahawa "Tiada Tuhan Selain Allah dan Muhammad itu Pesuruh Allah" Kenapa aku didatangi mimpi-mimpi aneh ketika itu. Kenapa mimpiku itu berkaitan dengan agama Islam. Adakah aku selalu memikirkan mengenai agama suci ini.

Aku kini bekerja sebagai pegawai kerajaan di institusi keagamaan. Ada client memanggilku ustaz. Ya la kalau dah bekerja di institusi agama Islam, tentu selayaknya dipanggil ustaz. Satu panggilan yang asing pada asalnya. Tidak selari dengan apa yang aku pelajari waktu usia remajaku. Tidak pernah terlintas dalam cita-cita nak jadi ustaz. Satu panggilan yang cukup tinggi martabatnya dalam ertikata yang sebenar.

Jika aku renung kembali ke belakang dan mengutip butir-butir kenangan, terlalu jauh antara impian zaman remaja dan realiti kehidupanku kini. Apatah lagi aku tidak pernah menerima pendidikan agama Islam secara formal. Betapa aku telah dilorong oleh Tuhan mengenal siapa penciptaku. Kebaikan-kebaikan yang telah kuzahirkan adalah titisan ilham yang jatuh ke dalam hati yang masih bersih satu waktu dulu.

Dengan hidayah dan bimbinganMu Tuhan telah sampaikan aku ke matlamat hidup yang sebenar. Menjadikan aku sesempurna mungkin. Kini telah hampir suku abad aku bergelar muslim. Impian sejak aku kanak-kanak, untuk menunaikan janjiku tercapai. Kroh telah menemukan aku dengan manusia yang banyak mencorakkan peribadiku. Tidak mungkin kenangan itu luput di ingatan ini kecuali mati. Hanya jasadku saja nun di kejauhan namun jiwa ini hidup bersama pengalaman lalu.

Andaikata aku pernah jatuh cinta sehingga siang dan malamku terganggu oleh gambaran nikmat indahnya cintaku itu. Sehingga rinduku menjadi semakin dalam atau setinggi terbangnya burung di angkasa atau lebih tinggi daripada itu , pastilah bukan kepada gadis yang dicintai. Pastilah bukan kepada senyuman dan lirikan matanya yang memikat. Pastilah ia sebuah kedaerahan, sebuah daerah yang sunyi di celahan hati. Sewaktu aku membawa ibu menjejaki kembali daerah ini. Ibu ada berkata-kata kepada cucunya. Inilah tempat ayah kamu “membesar”. Anak-anakku tercengang. Aku pasti mereka tidak faham maksud ibuku itu. Aku duduk di kerusi besi yang mengadap tasik.

Satu waktu dulu kerusi besi itu menjadi tempat berlabuhnya punggungku ketika menunggu baur pancing disentap ikan dari dalam takung. Waktu aku sebaya mereka. Kini kerusi itu masih di situ. Betullah kata pujangga. Jika ada orang menceritakan tentang betapa indahnya tempat itu sehingga membuatkan hati kita memberontak untuk menikmati keindahan yang sama.

Tetapi apabila kita berpeluang sampai di kedaerahan itu, pastinya ia biasa saja. Yang indah dan cantik itu bukan pada zahir tapi kenangan-kenangan indah yang mengimbau. Biasanya manusia akan menyebut kenangan manis ketika berada di kedaerahan tersebut. Syukur kepada Tuhan,...Allah Yang Maha Agung !


16 July 2008

Terfikir Sesuatu

Selesai.Tugasan yang menjadi rutin harian ku.Mengadap client.Masalah rumahtangga.Masalah suami tak balik berbulan-bulan hingga bertahun-tahun lamanya.Bermula dari jam 9.30 pagi tadi hingga ke angka 4 petang.Menyebut kes-kes mahkamah.Kasihan pun ada melihatkan client yang kebanyakannya kaum wanita.Suami tak balik...tak beri nafkah, ada perempuan lain.Pokoknya semua berkaitan suami.Ya suami zaman ini.Terfikir juga, beginilah suami-suami zaman sekarang bertindak apabila sudah diberi amanah menjadi ketua keluarga.Entahlah..kadang-kadang takut juga sebab aku pun telah bergelar suami.Pernah juga godaan-godaan itu mendatangiku.Alhamdulillah setakat ini aku masih berpegang kepada janji diriku sendiri.


Telah beberapa kali aku lihat deraian air mata mengalir di "opis" ku ini.Kasihan, betapa jiwa mereka lebih parah menahan bebanan dan seksaan jiwa.Dengan anak-anak ditinggalkan tanpa nafkah.Urusan rumahtangga pula terletak 100%  di bahu.Sebenarnya aku tidak mahu bercerita panjang berkaitan masalah rumahtangga.Tapi inilah realiti yang ku hadapi setiap hari..semoga ia menjadi iktibar kepada kita semua.InsyaAllah akan aku nukilkan di sini nanti tanpa menjatuhkan aib sesama insan.

15 July 2008

Bermula satu hidayah

Ketika usiaku sembilan tahun (1974), aku berada dalam Darjah 3B. Aku masih ingat bagaimana aku menjadi ketua kelas dengan cara yang paling pantas—lebih pantas daripada yang pernah aku bayangkan!
Ketua kelas pada waktu itu ialah Roslan Ahmad, rakan sebelahku yang terkenal dengan sifatnya yang lasak tetapi rajin. Tidak hairanlah rakan-rakan memilihnya untuk jawatan itu. Namun, ada satu perangainya yang sering menimbulkan masalah—dia suka mengusik pelajar perempuan, terutama sekali Azean penolong ketua kelas dari Kampung Kuak Hulu.
Suatu hari, Azean akhirnya hilang sabar. Dia mengadu kepada guru kelas kami, Cikgu Yam, seorang guru yang cantik dan lemah lembut dari Kampung Selarung. Dan seperti yang dijangka, Roslan di ‘basuh’ habis-habisan! Selepas itu, tanpa sebarang perbincangan atau undian, Cikgu Yam membuat keputusan mengejut—Roslan dilucutkan jawatan, dan aku dilantik sebagai ketua kelas yang baharu. Azean pula menjadi pembantu.
Meskipun begitu, Roslan tetap seorang kawan yang baik dan cukup sporting. Dia anak kepada seorang dresser di Klinik Kecil Kroh pada tahun 1974. Aku bersyukur kerana rakan-rakan Melayu di sekolah sangat baik terhadapku, walaupun mereka tahu aku berasal dari suku Orang Asli. Mereka tidak pernah menjauhkan diri, malah sanggup datang ke rumahku. Terutama Roslan dan Husni Hasan.
Di kelas 3A pula, aku berkawan dengan seorang lagi rakan Melayu, tetapi sikapnya agak berbeza. Dia anak anggota polis. Wataknya sering menimbulkan masalah di kalangan rakan-rakan sekelas tetapi bila kami bercantum kelas antara 3A dan 3B untuk kelas agama dia akan mengajakku duduk di sebelahnya sewaktu mata pelajaran Agama Islam. Dia mengajarku cara membaca Jawi dan al-Quran, malah sering bercerita tentang Nabi Muhammad SAW. Di usia 9 tahun, aku sudah boleh membaca Jawi dan mengenal huruf Arab lebih baik daripada rakan sekelas yang lain yang bukan Muslim.
Sebenarnya ayah dan ibu aku tak tahu aku mengambil subjek Pengetahuan Agama Islam sewaktu di sekolah rendah. Mereka berdua buta huruf. Aku pula ‘berminat’ bukan disebabkan tertarik dengan subjek agama. Aku hanya suka berkawan dengan Roslan dan Husni. Aku akan mengikuti mereka ke mana saja. Guru kelas pun dah berpesan mana-mana murid-murid bukan Islam tidak boleh tinggal dalam kelas sewaktu kelas agama. Mereka diarahkan pergi buat kerja sendiri di kantin atau perpustakaan sebelah kantin sekolah. Jadi aku hanya mengikut Roslan dan Husni ke kelas 3A untuk ‘belajar’ pengetahuan agama Islam. Rakan sekelas dari keturunan India dan Orang Asli lainnya semua ke kantin kecuali aku seorang.
Di kelas 3A pula ada seorang murid perempuan bernama Hashimah Hashim juga anak anggota polis yang suka mengusik aku. Bila aku cuba membaca Muqaddam dia akan lempar batang lidi yang dipatahkan pendek ke atas buku muqaddam itu. Bila aku menoleh dia hanya melemparkan senyumannya.
Aku masih ingat satu peristiwa yang begitu mendalam dalam ingatanku. Pada suatu hari, Ustaz Hassan Basri mengumumkan bahawa kami akan menjalani praktikal solat di Masjid Iskandari yang berdekatan. Tetapi hanya murid-murid beragama Islam sahaja dibenarkan. Seluruh kelas bersorak gembira—akhirnya dapat keluar dari bilik darjah! Tetapi aku hanya diam. Aku sedar, aku bukan Islam.
Kamarulzaman, kawan kelas 3A, nampaknya dapat membaca keraguan di wajahku.Ustaz Hassan tidak membenarkan aku ikut disebabkan aku satu-satunya murid bukan Islam di kelas agama itu. Kamarulzaman tidak berputus asa. Dia berusaha bersungguh-sungguh memujuk Ustaz Hassan agar membenarkan aku turut serta. Malah, rakan-rakan lain pun sama-sama menyokong. Akhirnya, Ustaz Hassan mengizinkan. Hatiku berbunga-bunga—ini pasti menjadi satu pengalaman yang tidak akan aku lupakan!
Di masjid, aku belajar mengambil wuduk dan bersolat. Sebenarnya, ia tidaklah sesukar yang aku bayangkan. Aku hanya mengikut gerakan rakan-rakan Melayu di sekelilingku—mereka sujud, aku sujud. Ustaz Hassan membimbing kami dengan penuh sabar. Itulah kali pertama aku sujud kepada tuhan tanpa mengetahui apa tujuan tapi di situlah, tanpa aku sedari, dalam sujud pertamaku, aku melafazkan, "Maha Suci Allah Tuhanku yang Maha Tinggi dengan Segala Kepujian-Nya."
Aku tidak bertauhid kepada-Nya ketika itu, tetapi tanpa aku sedar, aku sudah pernah memuji-Nya.

Sohaimi Mior Hassan


Penghujung tahun 1982, selepas menamatkan SPM. Aku menganggur sekejap. Relax habis. Mulalah berkira-kira nak mencari pekerjaan sambilan. Nak merasa duit sendiri. Nak harapkan duit orang tua, lebih baik lupakan saja. Dengan adik-beradik yang seramai lapan orang dan masih bersekolah lagi sesuatu perlu aku lakukan untuk duit poketku sendiri.

Pada ketika itu tidak banyak perkerjaan yang boleh aku lakukan. Sekitar daerah ini dan pekannya tidak dapat menjanjikan pekerjaan sambilan yang baik pulangannya. Hijrah. Ada jugak terfikir. Aku dan kawanku berpakat untuk mencari kerja di Ipoh berdekatan kampungnya. Katanya, kilang kacang di Menglembu , Ipoh ,Perak. Ok jugak tu. Aku pun berangkat dengan izin orang tuaku. Maka bermulalah episod baru dalam hidupku. Pertama kali aku berjauhan dengan keluarga.

Aku berusia 17 ketika itu dan sudah menjadi anak bujang yang boleh berdikari di daerah asing. Keluar jauh meninggalkan Kroh. Setiba aku di kampong kawanku itu dan menetap di situ dua tiga hari lamanya, aku dapat rasakan bahawa kawanku tidak serius mencari pekerjaan, sebaliknya pada waktu itu kampong mereka berpesta selama seminggu. Kadang-kadang aku rasa seperti tidak ujud di situ.

Akhirnya aku memohon kepada kawanku untuk kembali ke Kroh kerana kedatangan aku ke sini hanya membuang masa saja. Kembalilah aku dengan sedikit hampa. Waktu berada di Kroh ayah melihat dan dapat merasakan keinginanku. Namun dalam diam-diam dia sudah bertanyakan kepada tauke kedai basikal di pekan Kroh untuk membenarkan aku bekerja di kedainya. Kedai basikal itu terletak di di sebelah kedai BATA berhampiran simpang empat sebelah kiri dari jalan Baling ke Gerik.

Hari pertama aku bekerja tauke cina yang kurus tinggi itu menunjuk ajar asas-asas menampal tayar basikal pancit. Cara membuka tiub tayar dengan betul seterusnya membetulkan jajaran besi rim basikal. Aku bekerja dengan tekun. Boleh dikatakan aku cepat memahirkan diri dengan kerjaku itu. Maklumlah ramai jugak pelanggan yang datang dan tugasku hanya menampal tayar bocor saja.

Dalam tempoh sebulan bekerja, aku baru perasan rupanya tauke kedai basikalku itu mempunyai anak dara sunti yang bersekolah di SMTS. Bila pulang dari sekolah dia pasti melemparkan senyuman kepadaku. Aku gabra. Lagipun aku ini (pada ketika itu) pemalu sikit dengan perempuan. Segan pun ada.Isteri kepada tauke itu pula mesra denganku. Kadang-kadang pada waktu petang dia mempelawa aku minum petang bersama dengannya sambil berbual-bual. Kuihnya apam warna putih dan pink. Tawar tapi lembut. Sedikit air the ‘o’.Bolehlah untuk lepaskan dahaga.

Ayah suka aku berkerja di kedai tionghua itu. Kadang-kadang, kalau dia ke pekan Kroh pasti dia akan singgah di kedai tersebut dan berbual dengan tauke. Aku pernah mendengar isteri tauke tu memujiku ketika mereka berbual. Tidak seperti anak india sebelumnya yang panjang tangan. Mereka juga meminta izin dari ayahku untuk membawa aku bekerja di Pulau Pinang. Di sana mereka mempunyai saudara yang membuka sebuah kedai motor jadi elok aku menimba pengalaman membaiki motor pulak. Di rumah ayah juga bertanya kepadaku tentang hal itu, tapi aku menolak.

Setelah lama bekerja timbul rasa bosan. Rakan sebaya sudah lama tidak berjumpa. Aku berkerja dari lapan pagi hingga lima petang. Bola sepak (sukan kesukaanku) dan rakan-rakanpun sudah lama ditinggalkan. Bila duduk bersendirian termenung, fikiranku melayang jauh menggambarkan riuh rendah mereka bermain bola di padang.Sayu beb.

Selepas sebulan bekerja dan menerima gaji pertamaku aku pun berhenti. Kesal jugak. Bukan apa teringatkan kawan-kawan sepermainan hati boleh jadi sebak. Menganggur lagi.

Dalam tempoh awal 1983 hingga tiga bulan berikutnya, aku berasa kosong yang amat sangat. Waktu itu lagu-lagu hits tahun 70’an dan awal 80’an menjadi temanku. Boleh dikatakan semua penyanyi dan lagu era itu menjadi minatku. Sebut siapa saja nama kumpulan dan solo pasti lagunya bolehku jawab. Tambahan pula ayah memang suka membeli kaset-kaset penyanyi zaman itu.

Tapi lama kelamaan aku jadi tersangat bosan dengan lagu-lagu yang sama didengari setiap hari. Aku menunggu kelainan dalam dunia seni jika ada penyanyi baru yang akan muncul. Pada waktu itu Uji Rashid, Hail Amir, Sudirman, D.J Dave, Carefree, Black Dog Bone  dan sebagainya sudah tidak relevan denganku.

Penantianku tidak lama. Satu hari setelah membeli akhbar Berita Harian dan membacanya aku tertarik kepada iklan kecil mengenai penyanyi baru yang membawakan unsur-unsur puisi dalam lagunya. Aku teruja dan ternanti-nanti bila agaknya kaset penyanyi itu akan terjual di kedai-kedai menjual kaset di  pekan Kroh. Maklumlah jiwa aku ini sentimental sikit. Suka dengan puisi-puisi ini. Setelah berulang alik setiap hari ke Kroh akhirnya kaset penyanyi itu pun aku tiba. Aku memang berpuashati dengan lagu-lagu puitis Sohaimi Mior Hassan.Terasa amat dekat melodi dan liriknya di hatiku.

Mulalah aku menghafal lagu-lagu tersebut dan akhirnya dek kerana minat kesemua 12 lagunya aku hafal. Lagu penyanyi ini memberi impak yang besar ke atas jiwaku. Tambahan pula ramai kawan-kawan sebaya aku berkata bahawa wajahku  mirip penyanyi tersebut.Fuhh..makin  bertambahlah minatku.Tapi aku tak pasti kenapa lagu-lagunya jarang sekali diputarkan di radio.

Starsky, Hutch dan Sekotak Dunhill Kenangan Tingkatan 4 & 5, SMTS, 1981-1982

Tahun 1981. Aku baru saja menjejak tingkatan empat apabila satu pagi, seorang pelajar tingkatan tiga datang mengetuk pintu kelas, membawa satu pesanan yang buat jantungku berdegup kencang. "Cikgu Amin Tolan nak jumpa kamu berdua," katanya, merujuk kepada aku dan Cham Noi — rakan sekelasku keturunan Siam dari Kampung Tasik.

Nama Cikgu Amin Tolan cukup untuk membuat mana-mana pelajar kecut perut. Guru disiplin yang tegas orangnya, terkenal pula dengan kisah cintanya bersama seorang guru yang kini menjadi isterinya. Tapi rupa-rupanya, bukan amaran yang menanti kami. Sebaliknya, beliau memilih kami sebagai calon pengawas sekolah. Senyuman kami terukir serta-merta. Itulah permulaan kisahku sebagai pengawas. Tak sangka aku, pelajar biasa, diamanahkan tugas sebesar itu.

Setahun kemudian, ketika aku berada di tingkatan lima, satu peristiwa berlaku — hingga hari ini aku masih tersenyum bila mengenangkannya.

Pagi itu amat dingin. Hujan malam sebelumnya meninggalkan kabus yang menyelimuti kawasan sekolah. Seperti biasa, aku dan rakan-rakan berjalan ke sekolah sambil bermain ‘wap’ yang keluar dari mulut, berlagak seperti pelakon dalam siri TV Barat. Pagi-pagi macam itu, budak-budak memang mudah terhibur.

Tiba-tiba, seorang rakan memberitahu dia ternampak dua orang pelajar tingkatan dua merokok di tepi belukar. Mula-mula aku tak percaya. Mana tahu, mungkin itu cuma wap mulut seperti kami juga. Tapi lama-kelamaan aku sedar — asap rokok tak cepat hilang macam wap nafas. Hati aku mula kuat mengatakan sesuatu sedang berlaku.

Sampai di sekolah, aku terus letakkan beg dan ajak Mahendran — rakan pengawas keturunan India — untuk bersama menunggu dua pelajar itu di pintu pagar. Walaupun hari itu bukan giliran kami bertugas, naluri aku kuat menyuruh aku bertindak. Ramai pengawas lain tertanya-tanya, tapi aku diam saja.

Apabila dua pelajar tersebut tiba, kami segera menahan mereka. Salah seorang, Azmi, akhirnya mengaku dan menyerahkan diri untuk dibawa kepada guru. Tapi seorang lagi — seorang pelajar India — bermati-matian menafikan. Beberapa minit kemudian, ada pelajar lain datang membisikkan maklumat bahawa dia menyembunyikan rokok di pangkal tiang telefon berhampiran rumah di luar sekolah.

Tiba-tiba dia melarikan diri. Mulanya aku hanya memerhati. Tapi bila fikir balik — dia sudah menipu aku. Api di dada mula menyala. Aku pun terus mengejarnya, meredah kabus pagi dalam pakaian sekolah — macam babak filem aksi.

Dia berlari sampai ke asrama lelaki di tepi tasik, dan tanpa segan silu, merampas basikal seorang pelajar yang diletakkan di tepi jalan. Dia terus memecut. Aku? Masih mengejar — dari pintu pagar SMTS hingga ke rumah rehat Kroh. Laju dia mengayuh, melintasi anak air, masuk ke kawasan sunyi. Orang ramai hanya memerhati aku berlari, tiada siapa cuba bantu. Aku geleng kepala.

Sampai di rumah rehat, aku nampak basikalnya dicampak ke tepi jalan. Dia hilang dari pandangan. Aku cari di sekeliling — sunyi. Tapi di belakang dapur rumah rehat, aku perasan beberapa keping atap zing yang bersandar pada dinding konkrit sedang bergoyang perlahan. Angin pagi tak cukup kuat untuk menggoyang zing begitu. Aku curiga.

Dengan penuh hati-hati, aku menghampiri lalu menendang zing itu sekuat hati.

Ada seseorang bersembunyi di baliknya. Dalam ketakutan, dia merayu agar dilepaskan. Tapi aku belum puas hati. Aku minta dia bawa balik semula basikal yang diambilnya dan letakkan di tempat asal. Dia patuh, dalam keadaan masih bingung dan takut.

Kami kembali ke sekolah. Dia mengayuh basikal, aku membonceng di belakang — satu strategi bijak supaya dia tak lari lagi.

Setibanya di sekolah, kami serahkan dua-dua pelajar itu kepada Cikgu Amin bersama sekotak rokok Dunhill. Pada perhimpunan pagi, Cikgu Yusoff, guru besar kami, merotan mereka berdua sambil memberi amaran keras kepada semua pelajar.

Hari itu, kami berdua pengawas tingkatan lima diberi gelaran baru oleh rakan-rakan — "Starsky dan Hutch", sempena siri detektif TV popular masa itu. Ramai yang memuji tindakan kami, tapi aku sendiri pun terkejut — tak sangka sejauh itu aku bertindak.

Apa yang paling aku hargai, kami tidak pernah bermusuhan. Setiap kali terserempak dengan mereka di pekan Kroh selepas tamat sekolah, kami masih bertegur sapa, masih boleh berbual. Tiada dendam. Itu sikap pelajar zaman dahulu — mereka tahu membezakan antara salah dan benci.

Hari ini, aku telah menjadi seorang pegawai kerajaan. Kisah-kisah seperti ini kekal dalam memoriku. Bila berhadapan dengan klien, atau dalam situasi memerlukan keputusan tegas, aku teringat kembali peristiwa itu — bagaimana amanah, kepercayaan dan tindakan berani pernah membentuk siapa aku hari ini.

Kroh...bermula sebuah cerita

Kroh, Antara Bunyi Enjin dan Bunga Sena

Awal tahun 1970-an, pekan kecil bernama Kroh ini tidak pernah sunyi daripada deruan enjin pesawat tentera. Helikopter Nuri dan Alouette saban hari berlegar di ruang udara, kadang-kadang disusuli pula dengan kelibat pesawat Caribou yang perlahan-lahan mendarat. Kami, anak-anak kecil yang membesar di sini, menganggap semua itu perkara biasa. Namun setiap kali bunyi enjin bergema dari kejauhan, naluri ingin tahu membuatkan kami segera berlari, cuba mencari arah datangnya pesawat itu — maklumlah, budak-budak.

Sesekali, langit Kroh diterjah jet pejuang Skyhawk milik TUDM. Kami panggilnya "jet tebuan" kerana suaranya yang nyaring membelah angkasa. Ia seolah-olah satu isyarat bahawa dunia luar tidak pernah jauh, meskipun kami terperosok di daerah sempadan yang sederhana dan sunyi.

Pekan Kroh ketika itu berdiri di persimpangan empat arah — ke utara menuju Betong, Thailand; ke timur ke Gerik dan Jeli, Kelantan; ke barat ke Baling, Kedah; dan ke selatan ke Perak Hilir. Di sinilah nadi kecil itu berdenyut perlahan. Lalu lintas begitu lengang, bahkan bas yang menghubungkan Gerik ke Baling pun boleh dihitung jumlahnya dalam sehari.

Menjelang tengah hari, suasana bertambah sunyi. Namun pada waktu malam, jika aku terjaga, sayup-sayup aku masih dapat mendengar deruan enjin lori balak dari jauh, dan kadangkala bunyi mesin kilang padi kecil — hampir dua batu dari rumah kami. Kilang itu, yang kini terletak di seberang Stesen Petronas, dulunya bersembunyi di balik deretan kedai makan.

Namun suasana itu berubah setiap hari Khamis. Pagi-pagi lagi, pekan Kroh menjadi riuh dengan suara penjual dan pembeli — hari itu hari Pasar Khamis. Kini dikenali sebagai pasar tani, namun aku masih menyimpan rindu pada versi asalnya. Kali terakhir aku berkunjung pada Disember 2006, aku lihat lokasi pasar telah berpindah ke kawasan kuarters kerajaan berhampiran Petronas. Suasananya jauh lebih meriah, pengunjung bertambah ramai, dan pilihan jualan semakin pelbagai.

Zaman kecilku, aku sangat menanti-nantikan hari pasar. Bersama ibu, kami menyusuri gerai-gerai yang dijaga makcik-makcik dari kampung sekitar, juga dari Baling dan Gerik. Jika ada rezeki lebih, kami akan pulang dengan sayur kampung, sedikit ikan, dan kuih dua tiga jenis. Tapi yang paling aku nanti — lemang dan rendang. Aroma yang kekal dalam ingatan, menjelma semula setiap kali menjelang musim perayaan atau sekadar angin rindu datang bertiup.

Kini, pasar dibuka sejak petang Rabu hingga keesokan paginya. Lebih panjang waktunya, lebih ramai pula pengunjung. Namun bagi aku, kenangan pasar lama tetap teristimewa. Laksa utara, dengan kuah pekat dan sambal pedasnya, tetap menjadi pilihan utama. Meskipun kini aku menetap jauh di selatan tanah air, rasa itu masih berbekas — cukup membuatkan "meleleh ayaq lioq" bila terkenang.

Tapak pasar kini dulunya adalah deretan rumah kuarters kerajaan. Aku masih ingat rumah Ustaz Hassan — menghadap terus ke tapak pasar sekarang. Tidak jauh dari situ, rumah Guru Besar Sekolah Kebangsaan Kroh ketika itu, Cikgu Zainal, berdiri teguh, selang dua buah rumah.

Pekan ini pula, apabila malam menjelma, hanya hidup hingga sekitar jam 8.30 atau 10 malam. Jika ayah tidak terlibat dengan operasi di hutan, dia akan membawaku menunggang basikal ke pekan — hanya untuk minum teh di kedai kopi Cina, tempat biasa dia bertemu sahabat-sahabatnya. Suatu kenangan kecil yang kini terasa amat besar nilainya.

Namun ancaman komunis masih menjadi bayang-bayang gelap pada waktu itu. Maka tidak ramai yang berani berada di luar rumah selepas malam. Suasana menjadi sepi, dan setiap keluarga mula menutup pintu, menggantungkan harapan pada esok yang lebih selamat.

Hiburan kami? Hanya satu — televisyen hitam putih yang menjadi tumpuan seluruh keluarga. Walaupun gambarnya kabur, dan bunyinya tenggelam timbul, namun itulah satu-satunya jendela ke dunia luar yang mampu kami gapai.

05 July 2008

Kroh.

Kroh, Sebuah Kenangan Diapit Bukit dan Kabus

Kroh — sebuah pekan kecil yang dikelilingi bukit-bukau, tenang namun menyimpan seribu cerita. Pagi-paginya sering diselimuti dingin, sehingga hembusan nafas pun bertukar menjadi kabus nipis yang keluar dari dasar perut. Di tengah-tengah daerah ini terbentang sebuah tasik yang dikenali sebagai Takung, bagaikan cermin yang merakam riwayat masa lalu.

Duniaku pada waktu itu berpusat di sekitar kem tentera — penempatan yang masih kekal hingga kini. Awal 1970-an, ketika mula menjejakkan kaki di sini, aku sudah terbiasa dengan wajah kematian. Mayat askar dan komunis bukan lagi pemandangan asing. Ada suatu ketika, aku menyaksikan sendiri bagaimana para askar menyusun jasad rakan mereka yang terkorban dalam serang hendap di bengkel kem — tubuh yang terpisah anggota, kepala yang pecah... semuanya terpahat dalam ingatan seorang kanak-kanak yang belum benar-benar mengerti erti peperangan.

Mayat komunis juga pernah ku lihat. Helikopter Nuri — gagah berputar di langit — membawa jasad-jasad itu, tergantung di bawah perut besinya, lalu mendarat di padang tempat kami bermain. Bayangan itu masih terlukis jelas.

Hidup ketika itu sentiasa dalam berjaga-jaga. Setiap kali berita tentang kehadiran komunis di sempadan Kedah atau Thailand tersebar, malamnya akan bergema dentuman meriam dari kem Renjer, hanya bersebelahan kem kami. Bunyi itu menggetarkan jiwa kecilku, mencipta mimpi buruk yang berpanjangan.

Namun, yang indahnya, keesokan hari Kroh kembali tenang seolah tiada apa yang berlaku. Murid-murid tetap ke sekolah, guru-guru hadir mengajar, penjawat awam kembali ke pejabat seperti biasa. Kehidupan meneruskan rentaknya dalam senyap, bagai langit yang memadam guruh malam sebelumnya.

Aku masih ingat jalan yang kami lalui setiap pagi untuk ke sekolah — Jalan Seri Adika Raja. Kiri dan kanan, berdiri megah pokok-pokok sena yang tua dan rendang. Apabila tiba musimnya, bunga-bunga kuning berguguran, menyelimuti jalan dari bangunan Mahkamah Magistret, melintasi kediaman Pegawai Daerah, hingga ke replika gajah di hadapan Pejabat Pos. Kawanku pernah berkata, pagi itu bagaikan musim salji. Dan aku, hanya mampu mengangguk, kerana hati kecil ini turut terpesona.

Seri Adika Raja
dan gugur bunga sena
bagai salju kenangan
lalu gugur air mata
mengenangkan.

Sajak ini adalah cebisan dari sebuah catatan lama — diari kecil yang pernah aku nukil dengan hati yang penuh rindu, namun telah hilang sewaktu aku merantau dahulu. Yang tinggal kini hanyalah serpihan kenangan, yang kadang datang membawa senyum... dan kadang, menggugurkan air mata.

04 July 2008

Ini adalah sebahagian dari cebisan kenangan lama....masih kekal di situ













Ini adalah sebahagian cerita yang hidup dalam diriku.Semuanya macam biasa tiada apa-apa keistimewaan pun jika dilukis di atas kanvas.Tidak memukau hati yang memandang.Tapi dalam jiwa yang menyoroti jejak kembali keperibadian diri yang aku temui adalah betapa aku sebahagian dari daerah ini.Aku terlalu dekat dengannya.Ya aku dibentuk oleh suasana apa yang aku hidup waktu aku bergelar remaja...saat-saat manis...pahit.Rakan-rakan yang kukenal dari pinggir sempadan Thailand ke Kedah...kampung-kampung yang terletak antaranya adalah tafsiran jiwaku kini...




























Pohon-pohon yang tegap gagah bertahun sejak lama kutinggalkan seperti seakan menanti aku datang menyirami dengan air tasik(takung).Dahan-dahan mereka adalah tempat aku bergayut dan bergantung.Teduhan dari panas dan hujan itu kadang-kadang bagai cintanya makhluk Tuhan yang lain kepada yang lain.

























Engkau tahu...segala yang ada di sini masih utuh di situ.Sedikit perubahan yang tidak ketara telah pihak berwajib lakukan seperti mahu mengekalkan kenangan dalam ingatan ini.Cuma aku terkilan tidak lagi dapat menjejaki padang nan luas (kini padang golf)..aku mahu lihat kembali tempat di mana aku berbaring menentang langit sambil berkata Maha luas alam ini.Dan berkata dalam diri segala yang terhidang di depan mataku adalah datang dari Pencipta Yang Satu.





















Mahu aku ceritakan realiti di mana di sinilah Islam menjadi pilihanku.Walau seusia 8 tahun aku telah kenal kebaikan dan kesempurnaan agamaNya.Mahu aku ceritakan bagaimana seusia itu aku telah sujud di lantai kaku Masjid Iskandariah memuji Tuhan...dalam keadaan zahir aku belum punyai sebarang agama ketika itu...? Bila aku kembali mengingati ini...tentu insan yang banyak jasa dan pahala wajah Ustaz Hassan singgah dalam kepalaku...
Ya aku akan ceritakan pada kalian semua rahsia daerah ini yang membentuk jiwa ini..aku tidak tahu jika Allah tidak hantar aku ke sini apakah yang akan terjadi selanjutnya.
Kepada Ustaz Hassan (yang tidak pernah ...tidak pernah marah atau memukulku) ketahuilah aku kini juga telah bergelar sebegitu.




perjalanan mencari diri...


Sekitar tahun Mac 1968, keluargaku berhijrah ke utara tanah air. Ketika itu aku masih kecil — terlalu kecil untuk menyimpan apa-apa ingatan tentang detik itu. Kata ibu, kami berpindah sewaktu ayah berada di dalam hutan Pahang, menjalani operasi memburu pengganas komunis. Maka, hanya kami bertiga — ibu, aku, dan adik perempuanku — yang memulakan hidup baru di utara, bersama keluarga-keluarga lain dari pasukan polis Senoi Praaq.

Aku tak tahu ke mana tepatnya kami dipindahkan, hanya semakin hari aku menjadi biasa dengan daerah yang sejuk dan berkabus itu. Terasa jauh bezanya dengan Kuala Lumpur yang pernah menjadi tempat kami dahulu — kota yang sudah mengenal sinar lampu malam dan deru kenderaan yang tak pernah lena.

Kami ditempatkan di sebuah kem peninggalan tentera British, yang kemudian dinamakan Kem Senoi Praaq, terletak di Jalan Seri Adika Raja. Jalan inilah yang menuju ke sebuah padang terbuka, satu masa dahulu menjadi tempat mendarat helikopter Nuri, Alouette, dan pesawat tentera jenis Caribou.

Daerah ini ketika itu ibarat dunia yang sunyi dan terasing. Bukit-bukit dan hutan menghimpit dari segala arah. Waktu pagi, kabus tebal menyelubungi segala pandangan — seolah-olah setiap hari dimulakan dalam mimpi. Siang terasa perlahan, dan malam jatuh terlalu cepat. Berbeza benar dengan Kuala Lumpur era 60’an yang penuh riuh dan cahaya. Di sini, kehidupan hanya berdenyut di waktu siang — menjelang tengah hari, sunyi kembali menguasai. Menjelang malam, seakan semuanya lenyap ke dalam gelap.

Sebagai anak kecil, aku sering dihimpit rasa takut oleh sunyi yang panjang. Tapi apabila bersama ibu, aku menjadi berani — setidaknya untuk seketika. Akulah satu-satunya teman ibu, dan ibu pula temanku yang paling setia. Ke mana saja ibu pergi, aku pasti di sisi — berjalan kecil di celah langkahnya, menjadi bayang yang tidak pernah jauh.

Pinggir beluikar anak-anak sungai di sekitar Kampung Selarong adalah taman rahsia kami. Di situlah ibu dan rakan-rakannya memancing ikan. Aku yang kecil, mengepit beg ikan buatan tangan — jaber, kata orang — penuh dengan cacing umpan dan impian kecil. Kadang-kadang aku jadi bahan gurauan mereka, tapi aku tak kisah. Ada ketenangan dalam tawa mereka, dan dalam tawa itu aku merasa selamat.

Tahun 1972, aku mula melangkah ke alam persekolahan di Sekolah Kebangsaan Kroh, nama lama bagi Pengkalan Hulu hari ini. Ketika itu, negara masih bergelut dengan ancaman pengganas komunis. Suasana penuh waspada, tapi sekolah tetap menjadi ruang kecil untuk aku membesar, bermain, dan mengenal dunia.

Kemudian, aku menyambung pelajaran di Sekolah Menengah Tun Saban (SMTS) pada tahun 1978 hingga 1982 — di sinilah terbentuk banyak kenangan remaja yang masih kukuh dalam ingatan. Dari padang berkabus hingga ke dewan peperiksaan, dari gurauan teman sekelas hingga tanggungjawab sebagai pengawas, semuanya menjadi sebahagian dari siapa aku hari ini.

Pada pertengahan tahun 1983, nasib menyebelahi aku. Aku ditawarkan menyambung pendidikan dalam bidang yang dekat di hati — Senilukis dan Senireka di Institut Teknologi MARA. Di situlah, dari seorang budak kampung yang membesar di kabus Kroh, aku mula melakar warna dan garis hidupku dengan tangan sendiri.

Menulis.

      Sudah lama jemari ini tidak menari di atas papan kekunci. Rindu menulis kadang-kadang datang menyelinap, mengetuk perlahan-lahan pintu...