25 August 2008

Kroh...sebuah memori.

Selama berada di Kroh pada awalnya tidak ada siapa yang menyedari kehadiranku, maklumlah aku ketika itu tidak seperti aku ketika awal 1980'an dulu. Aku berbaju Melayu, sandal, mengenakan serban putih dan beg sandang di bahu. Di dalamnya berisi kitab Matha'al Badrin.

Namun setelah seminggu, rakan persekolahanku dulu Mohd Hanafiah dan Azhari dari Kg Selarung menegurku setelah beberapa kali ternampak aku di pekan ini. Dalam pada waktu yang sama seorang saudara jauh dikenali dengan nama Abang Abu (juga telah memeluk Islam dan berkahwin dengan perempuan Melayu) telah menemuiku dan mengajak aku tinggal bersama di rumah sewanya di Kampung Baru. Pada awalnya aku menolak tapi isterinya beriya-iya mengajak kerana mengenaliku dengan rapat sejak kecil. Isterinya juga meminta aku mengajar Muqaddam kepada dua orang anak perempuannya dan menghantar serta mejemput mereka di Kelas fadhu ain di Masjid Iskandari. Mereka memanggilku dengan nama "Abang Alim" kerana tidak pandai menyebut Alen.

Sejak tinggal di rumah Abang Abu ada ketikanya aku berkesempatan ke kem Batalion 19 (Senoi Praaq). Peluang ke sana tidak kulepaskan kerana dulu aku kerap bermimpi rumah peninggalan di mana aku dibesarkan. Aku masih ingat ibu ada memberi tahu kepadaku bahawa rumah kami itu mempunyai penunggu. Seorang tua yang berjanggut dan berjubah putih. Orang tua itu selalu datang dalam mimpi ayah dan membantu ayah dalam mengubati orang secara jampi.

Benar ayahku seseorang yang mempunyai ilmu kebatinan. Ayah juga membela sejenis makhluk halus. Makhluk itu akan datang dengan rupa sejenis serangga umpama reriang. Kata ibu makhluk itu hanya akan menolong jika ada orang yang dalam kesusahan meminta pertolongan.

Anehnya aku tidak pernah cuba menuntut dari ayah. Sedikitpun tidak. Kalau ada yang datang meminta pertolongan dan ayah menjampi air yang dibawa aku hanya duduk memerhatikan saja. Sehinggalah aku meningkat dewasa aku seperti tidak berminat dengan amalan ayah. Mungkin juga disebabkan tidak berapa rapat dengan ayah.

Berhari-hari aku di Kroh, segala kenangan mengimbau kembali. Namun aku sedikit terasing dari dunia rakan-rakan sepermainan. Mungkin tarbiyah berbulan-bulan di Al-Arqam menghadkan aku dengan alam yang satu waktu dulu menjadi duniaku. Mereka tidak berubah, tapi sebaliknya akulah yang telah banyak berubah. Aku telah jadi muslim dengan doktrin yang begitu ekstrem. Sedangkan rakanku walaupun bukan Islam namun boleh menerima aku. Kadang-kadang rasa kecewa dengan sikapku sendiri. Ya, aku lemah. Ketika itu aku tidak dapat mengimbangi Islam yang kuterima dengan realiti kehidupan di luar Al-Arqam.

Islam agama yang universal, bertolak ansur dan boleh diadaptasi dengan semua kehidupan. Asal saja kita tidak turut terjerumus dibuai perkara-perkara yang tidak bermanfaat. Sebenarnya aku boleh mempamerkan kehidupan jahiliahku dulu dengan batasan syarak, kerana satu waktu dulu aku bukanlah manusia yang menidakkan agama. Aku dulu hidup mencintai kebaikan.

No comments:

Post a Comment

Aku sangat berterima kasih kerana anda sudi memberi komen dalam blog aku ini namun aku perlu memberi izin dahulu sebelum ianya kupaparkan.

Kembali menulis.

 Kembali menulis. Dalam usia yang telah mencecah 58 tahun, banyak nostalgia tidak lagi diingati dengan jelas dan tepat. Minat menulis masih ...