16 August 2008

Akhirnya...Aku Islam

Sekitar 1985, usiaku belum lagi mencecah 20 tahun.Aku masih belum punya pekerjaan tetap.Sejak aku tingal di kampung telah bermacam kerja aku buat.Kursus-kursus belia sudah banyak aku sertai.Namun ada sesuatu yang kosong dalam diri.Aku perlu bekerja.Aku masih ingat aku hanya duduk di dalam bilik.Menulis sajak mencipta lirik lagu dan bermain gitar.

Satu petang ketika aku memerap di dalam bilik dan sedang memerah otak mencipta lagu sendiri.Aku dengar di luar adik-adikku berlari ke arah dapur.Mereka seolah-olah dalam ketakutan.Aku cuba menyiasat.Aku tanya mereka kenapa.Adikku memberitahu ada orang datang.Mereka berpakaian ganjil.Aku cuba menjeguk keluar.Berderau darahku.Tiga manusia berjubah hijau, hitam berserban tersenyum di laman rumah.Mereka memperkenalkan diri.Mereka dari jamaah Darul Arqam.

Aku mengajak mereka masuk setelah dimaklumkan tujuan asal mereka datang mencari aku.Aku teringat aku ada menghantar surat ingin memeluk agama Islam beberapa bulan lalu.Tapi aku bersetuju berjumpa mereka di Kuala Pilah.Tujuanku bertemu di Kuala Pilah untuk mengelak dari pengetahuan keluargaku.Tapi hari itu dan selepasnya terpaksalah aku memberi alasan kepada kedua orang tuaku berkenaan kedatangan tiga manusia asing itu nanti.Mujur pada waktu itu ayah dan ibu tiada di rumah.

Setelah bercerita panjang mengenai kebaikan Islam,akupun diajar mengucap dua kalimah syahadah.Akupun mengucap kalimah suci dengan kerelaan diriku sendiri di rumahku .Aku memang faham maksud ucapan kalimah itu kerana sebelum ini aku telah banyak mengkaji tentang agama suci ini.Sebelum beredar mereka memberitahu ada kelas fardhu ain di markaz Seremban.Aku dijemput jika ada kelapangan.
Petang itu aku tersenyum gembira.Hatiku memberitahu betapa aku telah Islam dengan mudah.Mereka datang, mengajar perkara yang perlu dan pulang.Tidak perlu majlis , tidak perlu pengumuman rasmi.Ya akhirnya aku telah menganut agama suci ini.Petang itu juga aku bersiap hendak ke Seremban.Sekarang , fikirku aku telah Islam.Lalu aku perlu mengejar sebelum ia berlari jauh.Pada adikku aku beritahu supaya memberitahu ayah dan ibu aku ke Seremban ke rumah kawan.

Lewat petang aku ke Seremban.Melalui jalan dari Kuala Klawang, Jelebu terus ke perhentian bas Seremban kerana aku berjanji akan berjumpa dengan mereka di sana.Akupun tidaklah mahir hendak mencari markaz Al-Arqam seorang diri.Nanti mereka akan tunjukkan jalan ke sana.

Aku tiba di perhentian bas Seremban, tidaklah susah mencari tiga manusia itu tadi.Mereka seperti makhluk dari dunia lain.Salah seorang dari mereka sudi membawaku ke Taman Golf Height,Ampangan (dengan menaiki motor yang ayah belikan untukku).Kami tiba di sebuah rumah hampir senja.Aku lihat di situ ramai manusia berserban dan berjubah sedang berzikir selepas solat maghrib.Aku masuk,bersalam dan selepas diperkenalkan dengan ahli jamaah lain aku mengambil tempat dan duduk mendengar penerangan yang amat asing padaku ketika itu.

Malam itu selepas isyak,aku diperkenalkan dengan ahli jamaah Al-Arqam Seremban.Masing-masing mengucapkan tahniah dan memelukku.Kemudian aku dibawa ke Kuala Pilah.Di sana aku diperkenalkan dengan jamaah Al-Arqam Kuala Pilah pula.Di Kuala Pilah ada rumah khusus untuk ahli jemaah lelaki jadi di situlah aku menumpang bermalam dan malam-malam selepas itu.
Akhirnya aku Islam melalui jemaah Al-Arqam.Aku tidak ingat tarikh tepat.Namun tahun 1985 adalah tarikhnya.Usiaku pada ketika itu 19 tahun lebih.Impianku untuk memeluk agama suci ini sejak berusia 8 tahun sudah termakbul.Baru aku tahu mengapa suara yang kudengar dalam mimpiku dulu "kau akan selamat....." antara maksud Islam itu sendiri.

Alhamdulillah.Syukur kepada Allah.Semuanya berlaku dengan mudah.

No comments:

Post a Comment

Aku sangat berterima kasih kerana anda sudi memberi komen dalam blog aku ini namun aku perlu memberi izin dahulu sebelum ianya kupaparkan.

Kembali menulis.

 Kembali menulis. Dalam usia yang telah mencecah 58 tahun, banyak nostalgia tidak lagi diingati dengan jelas dan tepat. Minat menulis masih ...