06 August 2008

ITM 1983....dalam kenangan

Rakan-Rakan sekuliahan Art & Design 1983

Sewaktu menuntut di  bidang Seni Lukis dan Seni Reka atau disebut juga AD 10 atau AD 83 di ITM, Shah Alam, aku amat meminati muzik. Biasanya muzik yang easy listening, sentimental dan ada unsur-unsur puisi. Kebiasaannya juga lirik-lirik puitis menangkap perhatianku. Pada masa yang sama juga jabatan muzik telah ditubuhkan sebumbung dengan Jabatan Senilukis dan Senireka, dapatlah sekali sekala aku menjenguk budak-budak muzik bermain muzik di situ. Terhibur juga melayan lagu-lagu yang mereka mainkan walaupun kadang-kadang lagunya lebih banyak berunsur tradisional.

Bermula di situ, timbul minatku bermain gitar. Penghujung 1983 aku mula tercari-cari buku-buku tentang muzik di sekitar bandar besar Kuala Lumpur. Memanglah bersepah.Aku mahu mempelajari asas-asas kod gitar. Walaupun gitarnya belum ada tapi aku cuba memahirkan lagu-lagu berbahasa Inggeris dari kaset-kaset yang kubeli. Lagu-lagu The Beatles, Shakin Steven, David Gates, Bread menjadi kegemaranku. Ketika itu juga era rock kapak telah  mula menjadi kegilaan anak-anak muda.Tapi tidak aku.Aku merayau seorang diri pada hari cuti kuliah sekitar bandar Kuala Lumpur.Aku ke Emporium Campbell dan di situ aku memilih satu dari ribuan buku-buku berkaitan muzik dan kod gitar.

Cuti akhir semester pertama aku pulang ke Kroh membawa bersama buku-buku muzik. Pada ketika itu juga kawan sepermainanku dulu telah menunjukkan minat yang sama. Kami melepak seharian di rumah kawanku itu semata-mata mahu belajar bermain gitar. Maklumlah remaja. Ayahku pun hairan dan tertanya-tanya mengapa aku tidak lekat di rumah. Hilang tak tahu entah di mana?

Akhirnya ayah dapat tahu juga, aku ke rumah kawan bermain gitar. Lalu pada satu tengah hari sewaktu aku pulang ke rumah untuk menikmati makan tengah hari aku mendapati ada sebuah bungkusan kotak besar atas tv. Aku pun teragak-agak nak tahu. Bila kotak besar kubuka , aku dapati sebuah gitar baru. Aku bertanya pada ibu, gitar siapa?. Ibu memberitahu ayah belikan untuk aku. Betapa riangnya hati. Umpama pucuk dicita ulam mendatang. Itulah hadiah paling manis pernah aku terima dari ayah.

Sejak itu aku tidak berlengah lagi. Belajar dan bermain gitar sudah menjadi kerja masa lapangku. Aku mula memasang angan-angan untuk menjadi penyanyi. Aku ingin mengikuti langkah Sohaimi Mior Hassan. Lagu-lagunya sangat dekat denganku. Kembali ke ITM pada Januari 1984, aku membawa gitar bersama. Aku gunakan kesempatan bermain dengan rakan-rakan sekuliah yang lebih advance dariku.

Dalam waktu yang sama aku tidak melupakan assignment yang perlu disiapkan. Maklumlah kerja-kerja kuliah dah ada date line yang perlu diselesaikan.

Penghujung Disember, 1983, ayahku pencen berkhidmat dengan kerajaan dan kami sekeluarga pulang ke kampung ayah di Jelebu, Negeri Sembilan. Dari sana aku menyambung ke semester kedua pengajian. Penghayatan seniku makin baik dan begitu juga kecekapan bermain gitar. Sejarah dunia seni menjadi hafalan dan fahaman. Kemahiran bermain gitar semakin sedap didengar.

Kembali ke kampung akhir semester kedua pertengahan tahun 1984, aku tidak menerima keputusan akhir semester kedua seperti lazimnya. 3 bulan berlalu aku masih tidak menerima apa-apa keputusan. Aku cemas. Akhirnya aku menerima hakikat aku gagal. Gagal ?

Selepas 3 bulan senior satu course denganku (juga saudara jauh) bertandang ke kampungku kerana menziarahi keluarga sebelah bapanya. Tengah hari itu dia bertemu aku yang sedang duduk di tangga rumah. Dia hairan kenapa aku tidak menyambung pelajaranku di ITM. Sambung belajar ?. Aku terkedu.Aku menjawab, aku tidak menerima result semester 2. Dia memberitahu bahawa aku lulus. Cuma pihak jabatan tidak lagi menghantar result melalui pos seperti tahun pertama. Dan dia melihat namaku terpampang masuk ke jabatan grafik. Wow ! Graphic Department. Padahal aku target untuk ke Fine Art Department. Seniorku memberitahu aku boleh menyambung belajar walaupun sudah 3 bulan tidak hadir.Kalau aku mahu.

Itulah kali terakhir aku bergelar siswa. Aku terima hakikat rezekiku tidak ada di ITM. Pengalaman dan kenangan hanya tinggal jauh dalam diri. Peringkat awal dulu ada juga kesal di hati. Namun hidupku mesti diteruskan. Aku selalu juga mengenang. Betapa diriku kini dibandingkan dulu amat jauh. Mungkin Tuhan tidak melorongkan niatku memeluk Islam dengan cara itu. Mungkin aku perlu mencari. Aku perlu berusaha untuk mendapatkannya.Itulah kemanisan.


Hubunganku dengan rakan di ITM terputus. Mereka tidak tahu alamatku dan aku tidak cuba untuk menghubungi mereka. Mungkin timbul perasan malu pada peringkat awal kerana anggapan aku gagal dalam ujian terakhir. Bermulalah kehidupanku sebagai budak kampung. Kehidupan harian di sini amat asing kerana aku tidak pernah melakukan kerja-kerja yang memerlukan tulang empat kerat.Aku pasrah.

No comments:

Post a Comment

Aku sangat berterima kasih kerana anda sudi memberi komen dalam blog aku ini namun aku perlu memberi izin dahulu sebelum ianya kupaparkan.

Kembali menulis.

 Kembali menulis. Dalam usia yang telah mencecah 58 tahun, banyak nostalgia tidak lagi diingati dengan jelas dan tepat. Minat menulis masih ...