Duduk: Zainal,Razali,Zabidi
Kelas 4A1(1981)
November 1988
April 1983
Mac 1983
December 1983 dan bawah aku di laman rumah saudara jauh
Savana United 1981-1982-1983
sentimental...excessively prone to feelings of tenderness, sadness, or nostalgia. ...sebuah catatan peribadi.
![]() |
Rakan-Rakan sekuliahan Art & Design 1983 |
Sejak kecil, aku sudah terbiasa melihat dunia melalui mata seorang seniman. Lukisan bukan sekadar hobi — ia adalah nyawa kedua yang menetap dalam diriku sejak zaman sekolah rendah. Aku mencintai keindahan, bukan sekadar rupa, tapi rasa yang mengalir dalam tiap inci pandangan. Lanskap luas yang menghantar angin tenang ke jiwa, itulah yang sering kutumpahkan ke atas kertas lukisan. Di rumah kami di Kroh, dindingnya seperti galeri kecil — dipenuhi lukisan-lukisan alam yang entah dibeli atau kulukis sendiri, semua menjadi bingkai kenangan.
Aku boleh melukis dari apa sahaja — bola Puma lamaku, susunan buku-buku, atau hanya cahaya dari satu sisi jendela. Kadang-kadang, bila tiada ilham pun, aku tetap melukis. Kerana diamku, sentuhanku, fikiranku — semuanya hanya hidup ketika pensil menyentuh kertas. Watak-watak kartun dari zaman 70an dan 80an seperti Ultraman, Tempe Asoka, Giant Robot, logo kumpulan muzik Blues Gang, Carefree, Alleycats dan Black Dog Bone.. menjadi teman setia imaginasi. Pensil 2B dan warna air adalah sahabat yang memahami diamku lebih daripada manusia.
Aku juga tidak keseorangan. Ada rakan seperjuangan yang berkongsi minat. Dia tidak bersekolah tinggi tetapi aku suka melihat dia mengepit art pad, penseil 2B dan pemadam. Setiap hujung minggu, kami akan ke padang pendaratan kapal terbang berhampiran kem — hanya untuk menangkap bentuk helikopter Nuri dan Alloutte yang mendarat, agar dapat kami hidupkan semula dalam lukisan. Kami duduk dalam longkang kering yang besar dan mengintai Nuri mendarat.
Namun, potret... bukan keahlianku. Wajah manusia — bagiku terlalu peribadi untuk kutangkap dalam garisan. Sehingga suatu hari, di tingkatan lima pada tahun 1982.
Hari itu, kelas sastera kosong. Cikgu Amin tidak hadir, dan kelas menjadi riuh seperti biasa. Aku duduk di barisan paling hadapan di tepi masuk masuk kelas, sunyi di tengah bising. Di kananku seorang amoi dan di belakang seorang gadis India. Aku bungkam di kepung. Sementara rakan lelaki sekelas ramai duduk di belakang. Tangan kuambil sehelai kertas kosong. Entah kenapa, wajah Cikgu Amin terbayang — lalu aku lukis perlahan-lahan. Ketika aku leka menyudahkan garisan terakhir, gadis di sebelah kananku, seorang pelajar Cina yang manis, menoleh.
Rambutnya lurus gaya China Doll. Wajahnya... cukup membuat waktu seolah-olah berhenti seketika. Dia memandang lukisanku dan tersenyum. Katanya cantik. Aku hanya tersipu, tapi dalam hati... berbunga. Kami berbual ringan. Dia pernah memuji gelang getah hitam yang kupakai. Katanya menarik — dan meminta aku membelikannya satu. Perhatian itu terasa asing, tetapi indah. Pertama kali aku rasa, mungkin dunia tidak begitu sunyi.
Kemudian dia minta sesuatu yang tak pernah aku lakukan — melukis wajahnya. Dia berjanji akan membawa fotonya keesokan hari. Tapi aku, yang belum pernah melukis potret seorang manusia pun dengan sepenuh hati, menolak. Takut kecewa. Takut dia kecewa. Atau mungkin, takut hatiku lebih terluka jika harapan itu tak kesampaian.
Namun, saat indah itu tak lama. Rakan di belakang, A, yang perasan keakraban kami, datang mencelah. Entah cemburu atau sekadar ingin tahu. Kertas lukisan itu diambilnya lalu dipamerkan kepada seluruh kelas. Gelak tawa memecah suasana. Malunya aku... tak terlukis. Mereka mendesak aku melukis di papan hitam. Aku menolak. Dunia terasa mengecil.
Itu kali terakhir aku hampir melukis wajah seseorang yang aku sukai.
Minatku tak mati di situ. Ia mekar kembali bila aku diterima masuk ke ITM Shah Alam pada tahun 1983, dalam jurusan Seni Lukis dan Reka. Di sana, potret mula menjadi bahagian dari latihan. Aku belajar teknik charcoal, pensil, warna — malah ada lukisanku pernah diambil pensyarah sebagai contoh. Tapi jiwa aku tetap di lanskap. Aku mahu menjadi pelukis Fine Art. Aku mahu menangkap rasa yang tak terucap melalui warna, garisan dan cahaya.
Aku juga menulis sajak, menyanyi, dan belajar bermain gitar. Semua itu adalah bahagianku yang lain — namun satu hal yang masih aku tak mampu lakukan: melukis wajah gadis yang aku suka, dan tak pernah aku lupa.
Dia hanya hadir sekejap dalam hidupku, tapi kekal dalam ingatanku. Dan sehingga kini, wajah itu... masih belum kulukis.
Sudah lama jemari ini tidak menari di atas papan kekunci. Rindu menulis kadang-kadang datang menyelinap, mengetuk perlahan-lahan pintu...