04 April 2017

Imbauan Kenangan 1983 : Bertemu Saudara

Petang itu,  kami lima sekawan bergerak menuju kedai keluarga JOA yang terletak di sebelah kiri , pangkal jalan masuk  ke kuaters kakitangan JOA Gombak.Lebih kurang 260 meter jaraknya dari dewan penginapan kami.Aku melangkahkan kaki sambil mengamati kawasan tempat aku pernah bermain satu ketika dulu.Melewati dewan besar sebelah kanan dan di sebelah kiri pula adalah rumah sepupu ibuku.Aku melihat rumah itu masih ada penghuni namun tidak dapat dipastikan siapa pula yang mendiaminya.Rakan perempuanku  S dan J mengekori kami dari belakang.

Di situlah segala kenangan mengimbau kembali.Aku lahir di sini 17 tahun yang lalu.Sewaktu keluargaku menetap di kem Lam Jung, Jalan Maxwell, Kuala Lumpur pada tahun 1965, Batu 12 Gombak memang tidak asing bagiku.Di hospital itulah juga aku dilahirkan.Peliknya cuma satu, tentang namaku.Aku pernah bertanya kepada ibu, kenapa namaku pendek saja."Leh!" Ibu pun bercerita pada ketika aku telah dilahirkan, pakciknya dari Pahang telah memberi nama "Abu" disebabkan aku dilahirkan pada hari Rabu.Namaku telah ditulis di atas sekeping kertas kecil dan diletakkan di atas meja misi (nurse).Misi yang kembali bekerja sehari selepas aku dilahirkan bertanya pada ibu apa nama yang hendak diberikan kepadaku.Ibu mengatakan dia tidak tahu tetapi memaklumkan kepada misi, ada kertas kecil atas meja tercatat namaku.Puas misi itu mencari tapi tidak berjumpa.Akhirnya setelah putus asa, misi suku Semai itu mencadangkan kepada ibu supaya diletakkan nama "Leh" saja.Tapi ibuku lebih selesa memanggilku  dengan nama Nin atau Nja.Begitulah ceritanya mengapa namaku pendek saja.

           Satu peristiwa lucu yang ibu pernah ceritakan kepadaku ketika ibu sarat mengandung anak ke dua, adik perempuanku pada tahun 1967 yang aku tidak pernah lupa.Waktu itu ibu di dalam bilik air wad 1 (wad bersalin) kerana membasuh pakaian, sementara aku bermain di luar.Ketika itu seorang perempuan (makcik) sedang menjemur pakaian.Datanglah sebuah helikopter membawa pesakit untuk diturunkan di padang pendaratan di tengah-tengah hospital.Aku yang berusia 2 tahun , ketakutan mendengar bunyi enjin, tidak tentu arah berlari mencari tempat bersembunyi.Oleh kerana terlampau terdesak aku menyelak kain kemban mak cik tadi dan menyorok di bawah kelengkangnya.Mak cik itupun apalagi.Menjeritlah sekuat hati disebabkan terkejut.Ibuku keluar  dari bilik air dan ketawa apabila mendapat tahu di mana aku bersembunyi.

Kini ( 1983) aku kembali menjejaki Batu 12, Gombak.Suasana sudah berbeza.Penduduk sudah ramai tinggal bermastautin di sini.Banyak rumah telah dibina di lereng-lereng bukit, dipenuhi rumah-rumah yang dibina sendiri.Cuaca juga pada masa itu pun masih sejuk lagi.

Di kedai keluarga JOA, kami berkenalan dengan penyedia makanan di situ.Oleh kerana kami bukan orang di sini maka ramailah yang menanya soalan kepada kami .Aku tidak kekok kerana pernah tinggal di sekitar kawasan ini dan mengetahui serba sedikit selok belok penempatan itu.



Di kedai itu aku cuba mencari kelibat dua orang gadis yang bertandang ke dewan.Mereka tidak makan bersama.Mungkin tinggal di rumah R dan sudah pasti makan dan minum di sana.

Setelah selesai makan malam, kami dimaklumkan bahawa sarapan pada keesokan harinya disediakan di situ juga sebelum aktiviti pemeriksaan kesihatan di hospital JOA.Kami berjalan pulang ke dewan.Ketika melalui hadapan rumah yang pernah aku tinggal dulu, aku pun meminta rakan-rakan pulang sementara aku ke rumah tersebut untuk memastikan penghuninya.

Aku melihat ada anak-anak kecil bermain di beranda rumah.Aku cuba berbahasa Temuan.Mereka memahami percakapanku dan memanggil emak di dapur.Aku tidak naik ke tangga rumah tapi  menuju ke  pintu dapur di sisi kiri rumah kerana aku tahu di situ pintunya. Tiba-tiba keluar seseorang yang wajahnya masih kukenali.Dia terkejut dan menegur siapa aku.Aku lantas perkenalkan namaku, “Alen” (Nama ini lebih dikenali di kalangan kawan dan keluarga)

Orang tua itu tergamam dan tidak percaya , aku datang ke rumahnya setelah lebih 10 tahun tidak berjumpa.Macam-macam soalan bertanya bagaimana aku boleh sampai di situ.Aku menerangkan aku terpilih untuk belajar di ITM Shah Alam dan duduk di Gombak untuk sementara.Dia memelukku sambil menangis dan keluarlah panggilan biasa namaku semasa kecil dulu “Nja” singkatan Manja.

Makcikku menjemput supaya aku tinggal di rumahnya sebelum ke Shah Alam nanti.Pelawaannya kusambut baik kerana sememangnya aku ingin bertemu dengan sepupuku yang lain.Abg Aziz,Mie,Lan dan Ani.Lama kami berbual sehingga hari semakin gelap.Aku meminta diri untuk pulang ke dewan dan mandi kerana sejak sampai tengahari itu aku belum lagi membersihkan diri.

Kembali menulis.

 Kembali menulis. Dalam usia yang telah mencecah 58 tahun, banyak nostalgia tidak lagi diingati dengan jelas dan tepat. Minat menulis masih ...