10 April 2017

Ditegur kerana tidak beradab

Menjelang pagi aku dan rakanku menuju ke warung milik kakitangan JOA Gombak untuk bersarapan.Selesai sarapan kami menuju ke Hospital Orang Asli  Gombak untuk sesi pemeriksaan kesihatan sebagai syarat untuk ke ITM nanti.Kami bergilir-gilir diperiksa oleh staff hospital.Aku menanti giliran di luar klinik luar sambil memerhati sekitar.Di hadapan klinik aku dapat melihat tapak pendaratan helikopter suatu masa dahulu.Aku tersenyum sendirian bila mengenangkan di sinilah aku dilahirkan dan di sinilah aku berlari ketakutan lantas menyorok di dalam kain orang.Akhirnya dapat jugak menjejak kaki ke tanah kelahiranku.

Tidak lama kemudian namaku dipanggil untuk pemeriksaan biasa.Aku berdiri di muka pintu dan masuk ke dalam dengan debar.Di dalam bilik terdapat seorang doktor berbangsa India.Apabila aku mengambil tempat duduk dia menegur aku.Nadanya sedikit marah kerana aku tidak menunjukkan adab yang sepatutnya apabila bertandang ke tempat orang.Aku tidak mengucapkan ucapan selamat pagi.Sesuatu yang aku terlupa sebenarnya.Dia kemudian menasihati aku supaya belajar menghormati orang apabila sudah bergelar pelajar nanti.Aku akur kesilapan kerana tidak berbuat seperti dikehendaki.

Sebenarnya aku seorang yang mudah menghormati orang.Di kalangan rakan dan guru-guru sekolah mereka memandang aku sebagai pelajar yang tidak bermasalah dan mudah apabila diminta pertolongan.Aku dilantik sebagai Pengawas, Pustakawan dan Pengerusi Persatuan Bahasa Malaysia sekolah.Masih teringat peristiwa dilantik Pengerusi Bahasa Malaysia waktu di sekolah  dulu.Selepas waktu rehat pelajar-pelajar diminta berkumpul di kantin sekolah untuk sesi pemilihan AJK persatuan.Pada sesi pemilihan pengerusi ada dua nama yang memang popular di kalangan pelajar.Mereka pula terdiri dari rakanku berbangsa Melayu.Seorang dari kelas aliran sains dan seorang lagi aliran sastera yang juga ketua kelasku.Tiba-tiba seorang rakan sekelas yang lain juga mencalonkan namaku.Aku panik.Aku bukanlah menonjol di kalangan rakan disebabkan sikap pendiamku dan low profile.Aku cuba memberi alasan supaya tidak terpilih, tapi guru penaung memasukkan juga namaku.

Semasa pengundian, nama kami disebut dan para pelajar memilih pelajar yang mereka sukai.Dua rakanku mendapat bilangan undi yang ramai.Terasa lega hati melihat angka yang tercatat.Tetapi apabila namaku disebut aku dapat melihat jumlah mereka yang mengangkat tangan  lebih ramai dan hampir kesemuanya mengangkat tangan termasuk rakan-rakan perempuan.Hendak atau tidak aku terpaksa menerima hakikat bahawa mereka juga menyukai aku sebagai calon pengerusi yang baru.

Aku juga pernah dipilih oleh guru sainsku untuk mempersembahkan kajian sains mengenai penghasilan sabun dari sodium klorid.Aku meminati sains dan selalu berbincang dengan penuh minat berkenaan subjek tersebut.Apabila ada pertandingan dan pertunjukan sains di Sekolah Menengah Baru Lenggong, Perak pada awal tahun 1982, (sekarang SMK Tan Sri Abd Aziz, Lenggong, Perak), guru sains memilih aku kerana aku selalu mendapat markah tertinggi dalam subjek itu.Tetapi kemungkinan pengalaman kami bertanding dari sekolah Hulu Perak amat kurang maka aku tidak berjaya meraih tempat.Sedikit terubat bila rakan dari aliran sains berjaya mendapat tempat ketiga dalam persembahan matematik mereka.

Begitulah keadaan ketika di sekolah.Di tempat tinggalku yang biasa, aku juga bukan remaja yang membawa masalah kepada keluarga dan jiran-jiran.Mungkin nasibku tidak berapa baik hari itu aku ditegur oleh doktor berbangsa India itu.Namun bagiku ia menjadi pengajaran yang amat berguna sehinggalah aku dewasa dan menjawat jawatan kerajaan.Aku masih ingat peristiwa itu dan ia membawa makna yang baik dalam pembentukan sikapku.

Selesai ujian pemeriksaan kesihatan, aku tercari-cari rakan gadis yang lain terutamanya GK, tapi tidak kelihatan.Kata kawanku mereka telah membuat pemeriksaan lebih awal.Usai semua aktiviti, kami balik ke dewan dan berkira-kira untuk melakukan aktiviti apa yang sebaiknya untuk mengisi waktu yang ada.Sariman mencadangkan kami ke Batu Caves dan mendaki tangga untuk naik ke atas.Aku setuju kerana ia berdekatan dan mudah dituju.Selesai makan tengahari kami berlima pun ke Batu Caves.Kami turun di Greenwood dan berjalan kaki ke sana.Sesuatu yang tidak susah bagi anak remaja pada masa itu.Itulah pengalaman pertamaku menaiki anak tangga Batu Caves.Sampai di atas kami memasuki lubang gua yang banyak terdapat di atas sana.Sayangnya kami tidak mengabadikan gambar-gambar sewaktu berada di situ.


Esok adalah hari terakhir kami di batu 12, Gombak.Selesai menuruni Batu Caves kami kembali untuk makan malam.Malam itu aku akan menginap di rumah mak cikku.Sebagai menunaikan hajatnya kerana sudah lama tidak bertemu.Sebelah tengahari keesokkannya pula, kami akan bertolak ke Shah Alam.

No comments:

Post a Comment

Aku sangat berterima kasih kerana anda sudi memberi komen dalam blog aku ini namun aku perlu memberi izin dahulu sebelum ianya kupaparkan.

Kembali menulis.

 Kembali menulis. Dalam usia yang telah mencecah 58 tahun, banyak nostalgia tidak lagi diingati dengan jelas dan tepat. Minat menulis masih ...