Kami bertolak ke Shah Alam pada sebelah petang dengan menaiki sebuah van. Aku bersama tiga rakan lelaki—Meng Kee, Sariman dan James—serta dua rakan perempuan, J dan S, sudah bersedia untuk memulakan perjalanan. Dua lagi rakan kami, R dan GK, tidak menyertai kami dalam van itu. Mereka menaiki kenderaan lain, mungkin bersama keluarga. Aku sedikit kecewa kerana tidak berpeluang melihat GK. Dalam diam, aku sebenarnya mengharapkan dia menaiki van yang sama. Sekurang-kurangnya, kami boleh berbual atau berkenalan walau sepintas lalu.
Petang itu hujan, dan sepanjang perjalanan melalui ibu kota Kuala Lumpur menuju ke Shah Alam, langit tetap mendung dan hujan tidak menunjukkan tanda mahu reda. Jalan ke Shah Alam pada masa itu tidaklah sesesak sekarang, jadi perjalanan kami agak lancar. Dari kejauhan, aku terpandang sebuah bangunan tinggi di atas bukit—sebuah menara yang cukup mencuri perhatian. Van kami memasuki kawasan kampus melalui pintu utama.
Itulah saat aku merasakan betapa bertuahnya diri ini. Aku kini menjejakkan kaki di Institut Teknologi MARA, Shah Alam. Aku kini seorang pelajar institusi pengajian tinggi. Bergelar siswa—sesuatu yang menjadi impian hampir setiap pelajar selepas menamatkan SPM. Aku akan belajar di sini selama empat tahun, bersamaan lapan semester. Dua semester setahun, dan setiap satunya sekitar empat atau lima bulan, menurut maklumat daripada seorang senior. Walaupun hanya dianugerahkan diploma selepas tamat pengajian, kami diberitahu bahawa diploma ini bertaraf ijazah am.
Van kami berhenti tidak jauh dari bangunan tinggi yang aku lihat tadi. Kami menurunkan beg pakaian dan berkumpul di sebuah kawasan yang terdapat kerusi panjang. Di situ, kami duduk sambil menanti arahan seterusnya. Pegawai JOA yang mengiringi kami ke Shah Alam pergi ke bahagian pentadbiran untuk mendaftarkan kedatangan kami.
Sambil menunggu, kami berbual ringan. Mata pula sesekali meliar memerhati pelajar-pelajar baharu yang tiba bersama keluarga masing-masing. Beberapa senior kelihatan sibuk menyambut kedatangan pelajar baharu—freshies. Sesekali mereka menyapa kami dengan ramah. Tidak lama kemudian, pegawai JOA kembali dan memaklumkan bahawa urusan pendaftaran awal telah selesai. Kami hanya perlu hadir keesokan harinya untuk proses pendaftaran rasmi, termasuk penempatan asrama dan pengesahan fakulti pengajian.
Setiap seorang daripada kami menerima sehelai baju batik biru tua bercorak tulisan jawi ITM. Inilah pakaian rasmi yang perlu dipakai semasa aktiviti orientasi. Dalam cuaca yang lembap dan hujan yang sesekali turun rintik-rintik, aku mula merasa sepi. Namun, kehadiran rakan-rakan sedikit sebanyak menceriakan suasana. Hanya seketika. Kerinduan terhadap keluarga mula menjelma. Kami empat orang ditempatkan di Asrama Perindu. Dan di situlah, aku terus... merindu.
Keesokan harinya bermulalah aktiviti pendaftaran secara rasmi. Satu demi satu urusan perlu diselesaikan: dari jabatan ke jabatan, dari satu meja ke meja lain. Segala dokumen perlu dilengkapkan secepat mungkin kerana selepas itu kami akan memasuki minggu orientasi. Minggu yang menggerunkan—penuh dengan pelbagai cerita ragging dan tekanan yang telah kami dengar sejak di bangku sekolah lagi. Kini, semuanya bakal menjadi realiti.
No comments:
Post a Comment
Aku sangat berterima kasih kerana anda sudi memberi komen dalam blog aku ini namun aku perlu memberi izin dahulu sebelum ianya kupaparkan.