05 April 2017

1983 :Jatuh Cinta Pandang Pertama.

Aku bergegas kembali ke dewan serbaguna. Hari semakin gelap. Suasana sunyi, hanya desiran angin menemani langkah. Tiada lagi suara tawa atau jeritan anak-anak penghuni kuarters yang biasanya riuh bermain di luar. Semuanya sudah pulang ke rumah masing-masing.

Sampai di bilik, aku lihat kawan-kawan sudah bersantai. Ada yang terbaring lesu, ada yang leka membaca atau sekadar termenung jauh. Mereka semua sudah mandi dan kelihatan seperti hanya menunggu malam berlalu. Tiada televisyen, tiada hiburan. Sunyi dan membosankan. Masing-masing diam membungkam.

Aku menyelongkar beg pakaian, mencapai tuala dan peralatan mandi. Dengan hati sedikit ringan, aku melangkah ke bilik air di hujung bangunan. Sambil berjalan, aku mengalunkan lagu-lagu dari album Prolog nyanyian Sohaimi Mior Hassan—penyanyi dan pemuisi pujaanku ketika itu. Lagu “Epilog Cinta Dari Bromley” sangat popular sekitar tahun 1983, dan ia seperti menjadi lagu tema jiwaku pada masa itu. Tapi bagiku, semua lagu dalam album itu indah, puitis, dan menyentuh. Aku memang meminati puisi, maka tidak hairan lagu-lagu itu begitu dekat di hati.

Bilik air bagaikan menjadi studio seniku. Tempat aku melepaskan suara, menguji nyanyian. Satu lagu berganti lagu lain, semuanya dari Sohaimi. Aku memang meminati genre lagu sentimental dan berunsur cinta. Tidak kira siapa penyanyinya. Namun apabila Sohaimi muncul dengan gaya puitisnya, aku terus terpaut. Malah, di kem dan kalangan rakan-rakan, aku digelar ‘Sohaimi’—mungkin kerana wajahku ada sedikit irasnya, entahlah.

Selesai mandi, aku berjalan pulang ke bilik hanya bertuala dari pinggang ke bawah. Ketika melintasi ruang rehat dewan, mataku terpandang dua sosok gadis duduk di hujung ruang, kira-kira 30 meter dari bilikku. Gadis yang aku perhatikan sejak siang tadi. Mereka memandang ke arahku. Tapi disebabkan suasana yang suram, barangkali mereka tidak pasti siapa aku. Aku mempercepatkan langkah dan terus masuk ke bilik.

Di dalam bilik, James sedang menunggu. Tak lama kemudian, pintu diketuk. Dahalan muncul, meminta kami berkumpul di ruang rehat dewan. Katanya, R ingin berkenalan dengan semua. Aku minta dia pergi dahulu, kerana aku baru saja selesai mandi. Selepas berpakaian kemas dan merapikan rambut ala Hail Amir, aku mengajak James yang dari tadi tampak agak malu-malu. Kami berdua yang terakhir tiba.

Di ruang rehat itu, sudah ada Sariman, Meng Kee, Dahalan serta dua rakan perempuan, J dan S. Kerusi rotan beralas span lembut tersusun rapi, tempat kami duduk. Aku mengambil tempat bertentangan dengan seorang gadis berambut lurus panjang yang menutupi sedikit dahinya. Bermata sepet, raut wajahnya tenang, ada pesona yang tidak dapat aku ungkapkan. Hati kecilku mula berbisik—aduhai.

Malam itu kami bersuai kenal. Perkumpulan anak-anak Orang Asli dari pelbagai suku, sekitar sepuluh orang—empat perempuan dan enam lelaki. R menjadi jurucakap malam itu. Bila tiba giliran gadis di hadapanku, aku memandang tepat ke wajahnya. Raut wajah ‘Chinese look’ itu begitu mencuri perhatian. Rambutnya berjuntaian menutup dahi ala ‘china doll’, diselit kemas ke belakang telinga. Matanya kecil, tubuhnya langsing, kulitnya cerah, dan pakaiannya berwarna terang. Cahaya neon menyerlahkan kecantikan semula jadinya. Namanya KGK, berdarah campuran Jakun dan Cina, berasal dari Pahang. Bila dia memandangku, cepat-cepat aku mengalihkan pandangan. Tak sanggup menentang matanya. Malu.

Selepas itu, aku tidak lagi fokus kepada butir bicaranya. Fikiranku sudah melayang jauh. Debar, gementar, suka, dan resah, semuanya bersatu. Setiap kali aku mencuri pandang ke arahnya, perasaan itu semakin kuat. Ketika itu, aku tahu—aku sudah jatuh cinta pandang pertama.

Sejak dulu, aku memang menyukai raut wajah seperti gadis cina. Mungkin pengaruh zaman kecilku, melihat kulit album EP penyanyi wanita Cina yang sering dibeli ayah. Aku masih ingat, aku hafal lagu-lagu mereka dan suka menatap gambar mereka sambil mendengar muziknya.

KGK memberitahu, dia juga mengambil jurusan Art & Design. Dalam diam, aku hampir menjerit kegembiraan. Sekurang-kurangnya nanti, kami akan selalu bertemu.

R pula rancak berbicara. Orangnya mesra. Dia sudah lama menetap di Batu 12, Gombak kerana kedua ibu bapanya bekerja di hospital Jabatan Orang Asli. Rumah mereka terletak dalam kawasan hospital. Dia meluahkan satu kebimbangan: penyakit homesick. Pertama kali aku dengar istilah itu. “Rumah sakit?” getus hatiku. Rupanya itu adalah perasaan rindu yang amat sangat kepada keluarga. Hmm...

Malam itu, kami berbual panjang. Gelak tawa sesekali tercetus, terutama apabila Sariman mula mengusik R. Aku hanya tersenyum memerhatikan gelagat mereka. Sementara gadis di hadapanku, KGK, lebih banyak diam. Aku pun segan hendak bersuara.

R sempat mengingatkan, esok kami akan ke hospital untuk menjalani pemeriksaan kesihatan. Dan sehari selepas itu, perjalanan kami akan bersambung ke Shah Alam—permulaan kepada sebuah episod baru dalam hidupku.

Menulis.

      Sudah lama jemari ini tidak menari di atas papan kekunci. Rindu menulis kadang-kadang datang menyelinap, mengetuk perlahan-lahan pintu...