28 March 2017

Julai 1983 : Senja nan indah.

Petang itu kami bersembang panjang menghabiskan masa terluang di dalam bilik. Aku mengenali rakan-rakan baru yang sama-sama akan mendaftarkan diri ke Institut Teknologi Mara, Shah Alam. James Fredolin Daniel berasal dari Kampar Perak.Orang Asli suku Semai. Beragama Kristian. Orangnya rendah berkulit sawo matang dan berpakaian smart kasual. Gaya percakapannya agak lembut dan berhati-hati.Kurang senyum di wajah namun mesra dan peramah. Kadang-kadang perbualannya terhenti dan seperti tercari-cari ayat untuk menyambung cerita. Aku agak rapat dengannya disebabkan aku boleh berbahasa Semai sikit dan berbetulan aku juga datang dari Perak.

Meng Kee, pelajar mixed chinese dan orang asli suku Jakun. Orangnya rendah, juga cara berpakaian seperti James. Kulit cerah persis anak cina sekali pandang dan sememangnya anak cina. Bermata sepet dan bercermin mata. Aku tak tahu apa agamanya kemungkinan mengikut agama bapanya. Perbualannya agak cepat sehingga kadang-kadang aku tak tahu punca percakapannya. Namun Meng Kee seorang yang suka berbual. Apa saja pertanyaan singkat pasti jawapannya padat dan meleret. Kadang-kadang dia menjadi usikanku. Meng Kee tak kisah, mungkin itu cara membina kepercayaan dan berkawan. Bergurau senda.

Dahalan, dari suku Semelai Pahang. Orangnya tinggi sebaya denganku. Agak serius dan pendiam. Jarang tersenyum. Dalam perbualan, dia sebagai pendengar dan sesekali menyampuk. Kadang-kadang dia akan meninggalkan kami yang tengah rancak bersembang.  Sebagai orang yang sudah biasa tinggal di Gombak ketika itu, dia sebagai rakan tempat kami mendapatkan maklumat dan berita.

Sariman Ibrahim, seorang lagi rakan dari Layang-Layang, Johor, selatan tanah air dan suku Orang Laut. Dia seorang muslim. Seorang yang kuat bergurau dan berborak. Orangnya agak rendah. Sariman suka bercerita dan selalu dia akan menyapa aku untuk turut sama mendengar ceritanya. Selain Meng Kee, aku juga rapat dengan Sariman. Macam-macam cerita yang dibawa mengenai tempat asalnya.

Aku terhibur mendengar perbualan rakan-rakanku yang baru ini. Walaupun baru bersua dan mengenali namun keakraban kami diikat oleh bangsa kami. Hilang seketika ingatan kepada mereka yang kutinggalkan. Aku pula suku Temuan atau Melayu Proto dan kami menggunakan Bahasa Melayu sebagai medium komunikasi disebabkan perbezaan bahasa pertuturan. Kami bercerita tentang sekolah , keluarga dan tempat asal kami.

Petang itu kami dikunjungi oleh dua orang gadis ditemani remaja perempuan. Mereka hanya berdiri di court badminton di tingkat bawah. Salah seorang dari mereka memanggil Dahalan. Dahalan bingkas bangun dan pergi mendapatkan mereka yang berada di tingkat bawah dewan. Kami mengambil peluang mengintai gadis-gadis itu di balik pintu. Aku dapat melihat seorang gadis remaja berambut pendek paras bahu dan seorang lagi berambut lurus melepasi bahu. Kedua-duanya berkulit cerah. Gadis berambut pendek itu berkata-kata sesuatu kepada Dahalan dalam bahasa Semelai. Sementara seorang lagi hanya diam memerhati.

Sesudah meninggalkan pesan, Dahalan kembali ke bilik dan memaklumkan kepada kami yang tercegat menunggu. Semua kami tak sabar ingin tahu siapa mereka dan apa tujuan mereka ke dewan  petang itu. Dahalan menerangkan bahawa mereka adalah pelajar yang akan memasuki ITM bersama kami dan sambil itu ia memberitahu  atucara tak rasmi pada petangnya satu persatu sambil tersenyum. Senja nanti kami semua diarahkan makan malam di kedai makan koperasi di pangkal jalan masuk ke dewan dan begitulah dari hari ke sehari sehingga kami ke ITM nanti.

Sesudah penerangan ringkas, Sariman cuba mencungkil gerangan gadis berambut pendek yang petah berkata-kata dari Dahalan. Orangnya agak menarik maka berkali-kali pertanyaan rasa ingin tahu diulang. Dahalan memperkenalkan si gadis berambut pendek berkulit cerah itu sebagai R, anak kakitangan JOA Gombak. Juga bakal pelajar ITM begitu juga gadis berambut panjang yang menemaninya. Cuma tidak diketahui siapa namanya. Sariman mendengar dengan penuh minat. Aku pasti dia suka gadis bernama R itu. Bila mereka pulang melalui jalan bukit di belakang dewan. Semua kami mendekati tingkap cermin nako, mengintai sekali lagi. Memang menarik orangnya berambut pendek berkulit cerah.

Aku.... aku terpaku memandang kepada si gadis berambut lurus panjang melepasi bahu itu. Tinggi lampai orangnya dan apa lagi yang menarik hatiku pada gadis itu, kalau bukan chinese looks.

Senja itu aku melihat sorotan sinar mentari petang menembusi tingkap kaca. Indah.

Kembali menulis.

 Kembali menulis. Dalam usia yang telah mencecah 58 tahun, banyak nostalgia tidak lagi diingati dengan jelas dan tepat. Minat menulis masih ...