26 March 2017

Julai, 1983:Batu 12, Gombak

Julai 1983.Kroh, tinggallah daerah itu jauh dari pandanganku.Segala kenangan akan kubawa bersama.Menjadi teman sewaktu aku kesunyian nanti.Petang yang agak panas, aku duduk di belakang berseorangan.Dua kenalan perempuan masing-masing duduk di hadapan bersama pemandu.Sementara aku di belakang mengintai pekan Kroh buat kali terakhir.Kita akan berjumpa lagi nanti.

          Perjalanan petang itu dikhabarkan akan berhenti di destinasi sementara di bandar Ipoh.Kata pemandu yang peramah itu kami akan bermalam di kuaters Jabatan Orang Asli di Ipoh dan akan memulakan perjalanan pada pagi keesokannya.Lebih kurang tiga jam perjalanan akhirnya kami tiba di bandar Ipoh.Aku ditunjukkan bilik untuk beristirahat dan menghilangkan penat.Terdapat dua katil.Tapi malam itu aku akan berseorangan tidur di situ.Selepas menyegarkan diri kami dibawa makan malam dan pulang ke penginapan untuk tidur.Malam itu tidak seperti biasa, terasa jam begitu malas berdetik.Malam yang panjang dan aku tidak dapat melelapkan mata.Tentunya terbayang wajah adik-adik,ibu, bapa dan kawan-kawan yang ditinggalkan.

Esoknya kami bertolak lebih kurang jam 9 pagi selepas sarapan.Itu ingatan yang masih aku pasti.Kami memulakan satu lagi perjalanan yang panjang.Aku tidak lagi mengingati perjalanan itu.Dari jauh aku mengintai melalui tingkap kaca van melihat jajaran bangunan tinggi ibukota Kuala Lumpur.Sebenarnya aku sudah biasa dengan beberapa jalan-jalan ibukota sejak beberapa tahun sebelum.Bila musim percutian, biasanya keluargaku pulang ke kampong ibu kami di Pahang dan kampong ayah di Jelebu, Negeri Sembilan.Ibuku berasal dari Kg Sungai Leleh, Lanchang, Pahang.Sementara ayah Kg Air Baning atau Kg Putra, Jelebu Negeri Sembilan.Ketika pulang bercuti biasanya kami akan menaiki keretapi dari Butterworth di Pulau Pinang dan berhenti di Stesen Keretapi Kuala Lumpur, dari situ menaiki teksi ke jalan Pahang untuk mengambil bas ke arah Temerloh.Jadi aku biasa mengecam setiap perjalanan itu.

Tiba di Kuala Lumpur pada petang pertengahan Julai 1983, van kami terus ke Batu 12, Gombak , Selangor.Sekali lagi kenangan menjelma apabila kami sampai di situ pada sebelah petangnya.Di situlah aku dilahirkan pada 1 September 1965.Di situlah ibu dan ayahku bertemu lalu tidak lama mereka dikahwinkan oleh datukku.Kami biasa tinggal di sebuah rumah saudara sebelah ibu.Rumah itu masih wujud sehingga ke hari ini.Terletaknya betul-betul berhadapan surau yang dulunya kawasan permainan kanak-kanak.

Bila van menaiki bukit dan melalui deretan rumah-rumah pekerja Jabatan Orang Asli Gombak di sebelah kanan, aku meneliti setiap rumah itu dan mengamati rumah saudara ibuku.Ya masih ada penghuninya walaupun sudah hampir sepuluh tahun tidak datang ke situ.Van kami terus ke dewan serbaguna jabatan di sebelah bawah Muzium Orang Asli Gombak sekarang.Bangunannya masih wujud cuma jalan ke sana sudah ditutup ketika entry ini ditulis.




Kami tiba petang itu di pintu besar dewan serbaguna dan setelah mengeluarkan beg pakaian kami diarahkan ke tingkat atas.Ada seorang remaja lelaki menyambut kami dan dia memimpin sambil menunjukkan arah bilik penginapan.Aku, J dan S membuntuti remaja itu seperti rusa masuk kampong.Masih terpinga dan tiada punca sebenarnya.Di fikiran, aku ingin segera berjumpa saudara ibu dan sepupuku Abg Aziz dan adik-beradiknya yang lama tidak bertemu.


Di dalam bilik di tingkat atas aku mengenali rakan baru, Dahalan, Meng Kee dan James Daniel Fredolin.Dahalan berasal dari Bukit Serok,Pahang, mengambil jurusan Pra Akauntan di ITM cawangan Sabah.Meng Kee berasal dari Rompin dan mengambil jurusan diploma dalam bidang Hotel Dan Catering sementara James mengambil jurusan lanskap ataupun kuantiti survey.Tak ingat sangat dah.Lewat petang kami didatangi seorang lagi pelajar lelaki dari Layang-Layang, Johor.Sariman Ibrahim yang juga mengambil kursus sama denganku.Seni Lukis Dan Senireka.

Kembali menulis.

 Kembali menulis. Dalam usia yang telah mencecah 58 tahun, banyak nostalgia tidak lagi diingati dengan jelas dan tepat. Minat menulis masih ...